Antara unsur yang paling menyerapi pemikiran saya sambil bila-bila adalah salah satu konsep yang dibangkitkan oleh Shaykh Abdal Qadir (Ian Dallas nama asalnya sebelum memeluk Islam) ialah tentang sindrom jurnalis atau sifat kita (tak kira ulama maupun muslim biasa) senantiasa menjadi pemberita, yakni bercerita tentang kisah semalam atau yang silam semata-mata tanpa membawa apa-apa faedah kepada persoalan hari ini yang amat terdesak. Sikap jurnalis merujuk kepada membawa khabar tentang orang lain dan bukan tentang diri sendiri yang lebih utama kerana bakal dihisab di depan Allah kelak. Kita tak lain sudah menjadi macam pemberita surat-khabar - yesterday's news about yesterday's events. Ulama kita dianggapnya sebagai jurnalis kerana tidak mampu mengeluarkan fatwa, menghukum pemimpin atau penjenayah dan menghindarkan ummah dari mala-petaka.
Saya teringat semasa saya menjadi Exco Pemuda PAS Pusat pada tahun 1985 di mana Ustaz Hj. Nakhaie Ahmad (waktu itu Naib Presiden PAS) bermula ucapan aluannya kepada mesyuarat Pemuda kita dengan,
"Sepertimana saya sering bagi tahu kat AJK Agung, saya juga ingin beritahu kat sini supaya jangan kita datang mesyuarat tanya khabar, 'apa khabar' dan duk tunggu dengar khabar orang lain. Hendaklah kita masuk mesyuarat siap dengan analisa kita tentang peristiwa atau suasana iklim politik lalu memperbincangkannya dalam mesyuarat."
Tinggal lagi Nakhaie ini walaupun cukup berisi pemikirannya sehingga beliaulah yang menulis kebanyakan kertas-kerja dan ucapan dasar PAS zaman 80an dulu, beliau tidak begitu popular kerana tidak pandai berpidato, malah sering boring apabila beliau berceramah kerana kadang-kadang terlalu akademik dan tidak ada 'Obama' efek.
Maka setelah kekalahan PAS dalam tahun 1986, dimana saya turut bersama sebagai calun PAS menentang calun UMNO iaitu Daim Zainuddin, Nakhaie telah memberi satu ucapan pada majlis post mortem kekalahan tersebut, yang ucapan tersebut saya anggap paling terbaik dalam sejarah beliau,
"Mahal sangat ke air mata kita? Sekiranya ia jatuh setitik lagi? Khalid Samad masyur bukan kerana Khalid Samad seorang engineer, tetapi dia masyur kerana dia adik kepada Shahrir Samad. Mat Sabu masyur bukan kerana dia seorang graduan ITM tetapi kerana dia pandai berpidato. Abdul Hadi Awang masyur bukan kerana dia seorang ulama dari Al-Azhar, tetapi kerana beliau pandai ceramah.
Datuk Asri dahulu dikagumi semasa beliau pandai ceramah. Sekarang beliau dah tua dan tak larat ceramah maka tidak lagi dikagumi. Percayalah sekiranya Abdul Hadi Awang sudah sampai waktu tua dan tidak larat berceramah, maka akan hilanglah kagum kita kepadanya. Inilah yang dikatakan mentaliti kagum."
Kepada saya, seseorang pemimpin harus pandai berpidato dari segi ketepatan isinya dan bukan bergema intonasi suara dan retoriknya. Yang lebih penting adalah golongan pemimpin dan ulama patut jejak kaki atas bumi nyata dan menyelesaikan persoalan ummat sejagat secara serius dan jangan sekadar membuai pendengar dengan isu-isu yang hangat-hangat kerana inginkan populariti.
Saya juga tidak mahu tulisan saya ini dikagumi (terutama oleh Sheikh Teluk Intan yang bukan sheikh dan bukan duduk di Teluk Intan hari ini) tetapi tidak ada nilai sebenar kepada masyarakat setempat dan waktu terkini dan yang akan datang. Saya cuba menulis secara bukan sahaja berkongsi ilmu pengalaman dan berkongsi pendapat tetapi menjurus kepada kenyataan dan tindakan yang boleh digunapakai demi muafakat mengikut anjuran ayat 13 dalam surah Al-Hujarat itu.
No comments:
Post a Comment