08 October, 2009

Kehilangan 4 billion ringgit

Kita harus protes secara aman mengenai sesuatu yang berjumlah sebesar itu. Tidak, ia bukan hilang menerusi skandal tetapi menerusi cara lesen perisian komputer yang berjumlah lebih RM4 billion setakat ini.

Kerajaan bukanlah innovator yang baik. Ini adalah pendapat kebanyakan pakar dunia. Tetapi kerajaan adalah regulator atau penjaga peraturan. Ia boleh meletakkan peraturan baru yang membawa kepada innovasi secara tidak langsung. Kerajaan bukan rakyat kerana ia lebih kecil dari rakyat. Rakyatlah yang bakal bergerak untuk membawa perubahan besar kepada dirinya. Kerajaan cuma mengatur.

Contohnya bagi menaikkan daya modal insan, kerajaan tidak dapat memaksa majikan untuk memberi kursus dan latihan sumber manusia kepada kakitangan. Tetapi kerajaan boleh menerusi peraturan cukai ke atas majikan iaitu satu peratus ke atas jumlah gaji pekerja untuk dimasukkan ke dalam tabung pembangunan sumber manusia atau HRDF dimana 80% darinya boleh dikembalikan menerusi kursus latihan yang dijalankan.

Begitu juga untuk menyelesaikan soal jumlah lesen perisian yang begitu besar. Kerajaan boleh mencukai satu peratus kepada syarikat gergasi sedemikian. Microsoft sudah pun didenda satu juta dollar Amerika sehari di Amerika Syarikat. Di Kesatuan Eropah, ia pula disaman 1.7billion euro. Ini memaksa Microsoft menurut kehendak Eropah seperti memberi lebih kebebasan kepada pengguna.

Di Malaysia kita mungkin kurang agresif dan tidak mengenakan denda tetapi kita memang boleh mengenakan cukai yang amat berpatutan. Hasil cukai tersebut boleh mencecah 40 juta ringgit dan ia boleh digunakan untuk melatih pengguna sumber terbuka serta membiayai projek awal membuktikan keberkesanan sumber terbuka bagi organisasi besar atau sederhana. Kejayaan dan bukti tersebut boleh menyakingkan pengguna supaya kurang bergantung kepada perisian tertutup yang mengenakan kos lesen yang tinggi seperti SAP, Oracle dan Microsoft.

Baru-baru ini saya terdengar dari kawan dalam Telekom Malaysia bahawa ia terbelanja 400 juta ringgit untuk SAP tetapi ia gagal untuk melakukan e-perolehan. Padahal perisian terbuka projek saya iaitu ADempiere mampu melakukannya tanpa kos lesen. Cuma bayar kos manusia sahaja. Dengan itu, kos itu tidak akan mengalir keluar tetapi kembali ke dalam kocek rakyat sendiri.

Kita sedia maklum bahawa kita sering dianiaya oleh kuasa asing yang bukan bersifat perikemanusiaan melainkan berpura-pura sahaja. Apa yang kita tidak dapat jimat seperti bergantung kepada banyak jenama barat atau luar dari Jepun tidak dapat dielakkan. Tetapi dalam bidang perisian komputer ia sesuatu yang kita mampu membebaskan diri. Menerusi pembelajaran dan penguasaan ke atas sumber terbuka.

Ayuh, kita protes secara tulisan siber, dan memberi link protes ini kepada mereka samada menerusi rantaian emel dan sebagainya. Tolonglah. Kesianlah duit kita. Saya merayu supaya kita boleh dengan 2 klik sahaja membantu diri kita, negara kita dan generasi kita akan datang supaya tidak hidup lebih melarat daripada sekarang.