Semalam saya terbaca akhbar bahawasanya kali ini apabila seseorang berdaftar untuk memeluk Islam dengan jabatan agama atau institusi yang bertanggungjawab hendaklah menyatakan dalam borang kemasukan bahawa mereka telah memaklumkan keluarga sendiri tentang kemasukannya dalam Islam.
Jelas pengumuman ini adalah ekoran banyak isu yang tertimbul apabila berlaku kes kematian misalnya, dimana pihak hospital keliru dan terperangkap kerana tidak tahu siapa ingin menyerahkan mayat seseorang yang dikatakan dari keluarga bukan muslim tetapi mempunyai rekod masuk Islam secara sulit.
Isu sedemikian menimbulkan banyak ketegangan kepada keluarga kandung arwah berkenaan kerana mereka tentu sekali tidak dapat mengambil mayat arwah kerana Jabatan Agama atau pihak berkuasa akan bertindak menahan. Jika sah seseorang itu telah memeluk Islam menurut rekodnya, ia akan dimandikan dan dikebumikan sebagai seorang Islam dan tidaklah sebagai seorang hindu, kristian atau buddha atau atheis (sekiranya ada pengebumian secara atheis).
Saya dari dulu lagi tidak berapa suka cara orang kita apabila berdepan dengan kes dimana kita terpaksa bertembung dengan orang bukan Islam. Seringkali kita turut bertindak secara emosi dan tidak pandai dan rajin berunding dengan pihak lain. Akhirnya kita dapat imej buruk serta tidak dapat menarik kaum lain kepada Islam kerana kita terlalu ortodoks dan tertutup. Penerangan tidak diberikan kepada keluarga bukan muslim tentang apa sebenarnya berlaku.
Kita juga tidak pandai melihat kepada contoh konsep 'Perjanjian Hudaibiyah' yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad (salam dan selawat ke atasnya) yang membenarkan pelarian dari Mekah yang lari ke Madinah untuk memeluk Islam supaya dikembalikan kepada Mekah yang musyrik masa itu.
Saya bukanlah mempertahankan keluarga bukan muslim, tetapi saya rasa kita boleh melakukan macam-macam cara untuk memartabatkan kehebatan Islam yang tidak ada yang lebih hebat darinya, terutama kepada yang bukan muslim supaya mereka akhirnya tersedar kebaikan dan keluhuran Islam itu sendiri.
Saya pun tidak sedar apakah langkah yang diumumkan oleh Pak Lah ini sudah mendapat persetujuan atau perundingan dengan institusi yang menjaga soal dan hak saudara baru seperti Macma dan Perkim.
Kini kita nampak macam 'kalah' dan reactionary dengan mereka kerana menuruti kehendak mereka supaya kita 'reform' amalan kita yang seharusnya kita 'reform' secara lebih total termasuk tidak mengalakkan saudara baru ditukar nama kepada 'bin' atau 'binti Abdullah'. Ini adalah cukup menghina kepada keluarga kandung yang amat menitik-beratkan nama keturunan. Mufti Perlis, Dato' Asri telah 'mengharamkan' menukar nama saudara baru dalam satu fatwa tidak lama dahulu dan saya cukup gumbeerah dengan fatwa yang pro-saudara baru itu.
Saya lebih suka lihat peraturan tidak tukar nama dan juga memberi kaunseling kepada kedua-dua pemeluk dan keluarga kandung sebagai langkah lebih bijak daripada hanya mengisi borang tersebut.
Contohnya pernah saya dan Kamal Koh dipanggil untuk menyelesaikan satu kes gadis amoi Cina yang lari dari rumah dan duduk di rumah orang Melayu dikatakan telah memeluk Islam dan tidak ingin keluarga bukan muslimnya menganggunya. Setelah kami menyiasat bertemu-ramah dengan amoi itu, kita dapati dia terlibat kes kahwin lari dengan budak lelaki muslim dan tidak mahu bagi tahu keluarganya sendiri dan menganggap mereka sudah hilang hak ke atasnya kerana dia muslim dan mereka tidak. Saya pun menegurnya bahawa itu cara tidak baik dan memalukan Islam kerana masuk Islam semata-mata ingin kahwin sahaja dan tidak bertanggungjawab sebagai seorang anak perempuan kepada orang tuanya, yang masih dituntut oleh Islam.
Saya menasihatinya supaya pergi berhubung dan berjumpa dengan keluarganya secara beransur bermula dari tempat neutral dulu. Ini kerana dari pengalaman saya, keluarga kandung akan menerima kembali anak mereka selagi anak mereka itu tahu tentang hak fitrah masing-masing yang Islam tidak suruh kita abaikan.
Pernah adik perempuan saya sendiri yang pernah hidup sebagai seorang pragawati dengan ramai peminatnya sehingga satu hari terlibat dengan kes dimana dia ada anak diluar kahwin dan ingin melarikan anak lelakinya dari bapak kepada anaknya itu. Dia telefon saya menyatakan ingin masuk Islam supaya kerajaan akan menahan teman lelakinya itu dari menuntut anaknya.
Saya membantah keras niat adik saya itu kerana ini adalah memasuki Islam secara menipu orang lain dan juga Allah.
Islam bukanlah satu lambang untuk kita tipu. Ia adalah satu cara hidup. Jika kita mahu ikuti cara hidup itu kita jangan pandai-pandai guna akai kita dan tak ikut tertib Islam. Perundingan seperti yang diamalkan oleh junjungan kita s.a.w. adalah cukup penting dari segi sosio-politik tetapi sedihnya kita agak lembab dan tertekan dengan keadaan politik lawan sehingga membuat konsensi yang tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya demi kedua-dua pihak.
Saya walaupun menerima secara prinsip amalan terbaru kerajaan ini dalam proses memeluk Islam tetapi saya rasa banyak lagi perkara yang saya tidak puas hati. Takpelah.. nanti saya pergi jumpa Pak Lah memberitahunya cara yang boleh menaikkan markahnya kepada Cina tanpa membuat orang lain marah pulak.
No comments:
Post a Comment