09 April, 2008

Dari Al-Bible Ke Al-Quran

Saat saya membuat keputusan ingin memeluk Islam itu disebabkan beberapa faktor yang merangkumi aspek emosi dan juga intelek. Yang emosi itu sudah saya terangkan iaitu kerana perpecahan dalam keluarga saya menyebabkan saya hidup tak tentu arah. Juga kerana tekanan falsafah hidup menyuruh kita senantiasa berkerja keras tidak tentu hala sebenar, senantiasa fikir tentang wang, keputusan peperiksaan dan kejayaan tanpa penyelesaian spiritual.

Aspek intelek adalah cukup mudah bagi saya. Selama itu saya cuba mencari kebenaran dan ketuhanan. Yang saya jumpa adalah fahaman Tao, Zen, Buddha, dan kitab Bible yang menceritakan tentang kisah-kisah yang entah ya ke tidak. Kitab Bible sebagai kitab yang besar mengandungi banyak aspek - kisah-kisah, kandungan, peristiwa, penulisan, bahasa, serta penulisnya. Dalamnya saya terjumpa kisah Nabi Isa (atasnya salam) yang cukup memaut jiwa saya apabila saya meninggalkan fahaman atheis dan ingin sangat percaya bahawa mesti ada Tuhan yang memelihara kita. Nabi Isa (a.s) menyatakan tentang satu hakikat kepercayaan yang cukup mudah tetapi tidak sangat diikuti oleh gereja itu sendiri. Contohnya, apabila ia diuji oleh kaum munafik zaman dia tentang apakah dia membawa agama baru, Nabi Isa a.s. menjawab,
"Tidak, saya diutuskan untuk menyempurnakan ajaran Nabi Musa" (a.s).

Dan apabila kaum munafik yan berbangsa yahudi itu dari kalangan padri mereka hendak memerangkapnya dengan membawa kepadanya seorang wanita yang dituduh berzina,
"Ah, jika betul, apa hukuman bagi wanita ini? Bukankah kitab Nabi Musa menyatakan rejam sehingga mati?"

Kumpulan manusia yang mengepung Isa a.s. waktu itu sudah siap memegang ketulan batu masing-masing tengah bersedia hendak memaling batu ke arah wanita malang itu.

Nabi Isa a.s. tunduk pandang ke bawah dan melukiskan sesuatu di atas pasir lalu berkata,
"Biarlah yang tidak berdosa sahaja memaling batu yang pertama" (Let those without sin cast the first stone).

Satu persatu, bermula daripada yang paling tua melepaskan batu mereka jatuh ke tanah tanpa dibaling ke wanita tersebut. Mereka seolah-olah sedar mereka itu berdosa, sehinggalah yang paling muda. Jelas yang paling tua paling banyak dosa.

Menurut satu sumber, apa yang Isa a.s. melukis di atas tanah itu macam satu kotak tayangan yang setiap orang nampak di dalamnya dosa-dosa mereka.

Selepas mereka itu hampa dan terpaksa meninggalkan wanita itu di situ bersama Nabi Isa a.s., baginda pun berkata kepadanya,
"Pulanglah wahai wanita, dosa kamu telah Allah ampunkan".

Kisah ini dan banyak lagi kisah-kisah menunjukkan satu fahaman agama yang unik dan tidak diingini oleh golongan ahlul kitab maupun dalam analisa saya diikuti zaman ini. Jesus (Isa) tidak memanggil dirinya Christ (perkataan Yunani), atau menyatakan dia itu baik melainkan Tuhan sahaja yang baik, dan menyatakan bahawa hukum masuk syurga adalah sama seperti Nabi Musa a.s. menyatakan iaitu Cinta Tuhan dengan sepenuh jiwa, minda dan roh, dan berbaik dengan jiran sepertimana sayang diri sendiri. Tetapi fahaman Kristian mengambil fahaman Yunani seperti Hari Krismas dan 3 tuhan dalam 1, tuhan itu seolah dewa bapak dilangit dan bahawasanya Jesus itu anak tuhan. Saya cuba menyatukan konsep ini dalam diri saya dengan payah sehinggalah saya terjumpa Al-Quran.

Tidak sama macam Bible, Al-Quran tidak disumberkan kepada pelbagai pihak dan tidak bersuara dengan suara pihak ketiga. Contohnya dalam Bible ada empat versi Injil iaitu dari Mark, Matthew, Luke dan John. Ada dari mereka yang menyatakan bahawa,
"Inilah yang mampu saya tuliskan dari kisah.. Jika dituliskan semua nescaya tidak cukup buku atau dakwat untuk menghabiskannya.." Cara berbual sedemikian menunjukkan unsur manusia lebih dari unsur ketuhanan.

Padahal Al-Quran menyatakan secara parti pertama, iaitu Allah menyatakan secara tegas dan mencabar pula dengan suara tegas tentang kesahihannya. Apabila saya terbaca yang Al-Quran bermula dengan Bismillahirrahmannirahiim (Dengan Nama Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang), saya cukup terpegun. Jika kitab Bible adalah yang terakhir dan muktamad, mengapa ada satu lagi kitab bersuara sedemikian?

Dengan Nama Allah itu bukan sahaja jarang jumpa dalam Bible, malah rasa apabila membacanya rasanya lain. Ia bersuara suci, dan dari pihak yang suci. Seterusnya ayat dalam Surah Al-Baqarah, Dzalikal kitab la raibafii hudalil mutaqiin - Itulah kitab (bukan ini tetapi itu dari Luh Mahfuz) tidak syak di dalamnya petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Jika sekiranya ini adalah dari syaitan yang padri gereja memberitahu saya, mengapa ia tidak ajak kepada kepalsuan malah asyik kepada satu penyataan penyaksian yang jelas?

Makin saya baca makin jelas Al-Quran itu tidak menghasut, tidak membelit, tidak menghalang tomahan, tidak menafikan hak menentangnya pun.

"Carilah satu surah yang sama dengannya dengan mendatangkan segala pertolongan jinn maupun manusia, nescaya kamu tidak boleh berjumpa satu pun contoh", sepertimana yang saya faham dari surah Al-Baqarah itu lagi, mencabar secara tenang dan terbuka.

"Katakanlah, sesungguhnya Allah itu Satu, ... Tiada Dia beranak atau dilahirkan.. tiada yang sama umpamaNya".

Bukan sahaja itu, fahaman tauhidnya adalah natural dan universal yang Tao dan Ying/Yang bukan sahaja boleh terima malah amat memperjuangkan,
"Dari awalnya hanya ada Tao, dari Tao datangnya Ying/Yang (dualisma kejadian yang berpasangan dan bertentangan), dari Ying/Yang datang 10,000 benda (seluruh alam dalam bahasa Cina klasik) dan dari situ kembali kepada Ying/Yang dan dari situ kembali kepada Tao".

"Tanpa Tao, ikan boleh hidup dikuali masak, api tidak boleh membakar". Inilah antara falsafah Tao dan Zen Buddha.

Penting sekali ialah Al-Quran tidak menolak keujudan Bible malah mengesahkannya! "Beriman dengan apa yang diturunkan ini dan dengan apa yang diturunkan sebelum ini" Bermakna saya masih wajib beriman dengan Bible.

Dengan ertikata lain, Al-Quran bersikap liberal terhadap kitab yang saya duk pegang waktu itu. Jadi tidak timbullah konflik sekiranya saya beriman juga dengan Al-Quran kerana ia inklusif dan bukan eksklusif. Jika saya menolak satu seolah saya menolak kedua-duanya. Jika saya pegang satu sahaja dengan menolak yang satu lagi pun tidak boleh. Tetapi apabila berpegang dengan Bible sahaja, Kristian akan meminta saya menolak Al-Quran.

Setelah saya bertanya debat lagi dengan kawan-kawan Kristian sehingga padri sekali, saya yakin mereka tidak ada hujah intelektual menghalang saya untuk menerima Al-Quran serta ajaran Islamnya yang suci. Malah apa-apa hujah mereka keluarkan saya sedar adalah prejudis semata-mata kerana kefanatikan kepada ajaran yang berkebetulan kaum mereka mewarisi turun menurun dari pendakwah kristian dahulu dan sekarang.

Yang istimewa pulak dalam Islam, kita disuruh menghormati dan mengaku bahawa mereka itu enggan menerima fahaman Islam, malah dibolehkan berkahwin dengan mereka tanpa mereka memeluk Islam! Ini dihentam dalam kepala saya baru-baru ini oleh Imran Hussein, bekas Imam United Nations di New York yang datang melawat Malaysia. Saya berkeras berdebat dengannya dan dia pulak marah saya," Awak orang sahajalah orang Islam dalam seluruh dunia yang tidak faham hakikat ajaran Islam ini. Hanya Malaysia sahaja yang suruh orang Nasrani atau Yahudi memeluk Islam baru boleh kahwin dengan mereka!"

Itu saya anggap kisah ekstrem yang perlu saya siasat terlebih dahulu tetapi masalahnya tidak ramai yang mempunyai cukup bekalan ilmu untuk berdebat dengan Imran Hussein. Saya sedar banyak amalan kita disini sebenar boleh saya sendiri cabar pun kerana disyaki terikut-ikut dan bukan sebenarnya terpelajar dari sumber yang betul. Di lain bab saya akan menyentuh beberapa amalan yang halus yang kurang disedari langsung. Saya akan menguji air kencing dengan tulisan saya disini. Jika pembaca boleh terima saya akan teruskan. Jika tidak dan mendatangkan kemarahan puak-puak tertentu saya akan berhenti. Saya tidak berniat menghasut atau menyebabkan kontroversi, tetapi menginginkan cahaya ilmu semata-mata.

Saya sedar perkara ini adalah sensitif, tetapi Islam begitu liberal terhadapnya. Yang saya sedih ialah ramai umat Islam tidak belajar tentang ilmu-ilmu Allah sepertimana dikehendaki. Islam meletakkan ilmu sebagai harta orang mukmim yang hilang. Di mana kamu menemuinya hendaklah kamu merampas atau menuntut akan dia, kata sebuah hadits.

Wallahu Aklam,
Patek yang sebenarnya tidak mengetahui.

4 comments:

wnf wj said...

assalamualaikum...
sesungguhnya ilmu saya sangat sikit sekali tetapi masih ingin memberi respon.

surah al-baqarah 2:221
"dan janganlah kamu nikahi wanita-wanita musyrik, sebelum mereka beriman. sesungguhnya wanita budak yang mu'min lebih baik dari wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu. dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mu'min) sebelum mereka beriman. sesungguhnya budak yang mu'min lebih baik dari orang musyrik walaupun dia menarik hatimu. mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke surga dan ampunan dengan izin-Nya. dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (perintah-perintah-Nya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran."

wallahu 'alam...

tentang amalan yang terikut-ikut di malaysia, memang diakui. dan ramai lagi yang masih jahil tentangnya. saya pun tahu serba sedikit setelah didedahkan dengan muslim di bumi uk. sesungguhnya islam itu indah dan tidak menyusahkan tetapi disusahkan di bumi sendiri...

wallahu 'alam...

TRALAYAN said...

Assalamualaikum,

Dalam banyak-banyak tulisan anta, saya rasa tulisan ini sangat menyentuh jiwa. Sebenarnya dari dulu lagi saya menyedari status Islam dalam diri ini begitu rendah setelah membaca cabaran dan pengalaman yang dilalui oeh saudara baru dalam usaha untuk mendapatlan Cahaya Allah ini. Apabila membaca kesah-kesah dan hujah-hujah seperti ini, saya rasa kuat kembali dan tercabar dengan apa yang telah mereka lalui. Terasalah bahawa kita yang mewarisi Islam secara warisan ni, tidak buat apa-apa untuk dapatkan Islam. Kalau tidak melalui warisan, mungkin langsung tidak kenal Islam tu apa. Setinggi-tinggi kesyukuran buat-Mu ya Allah.

Redhuan D. Oon said...

Wnf Wj,
Terima kasih kerana mengingati tentang ayat tersebut, namun saya percaya Imran Hussein telah cover ayat itu. Bukan saya seorang saja dalam majlis muzakarah itu. Beliau berulang kali menerangkan kembali ayat dengan huruf arabnya satu persatu serta berikan keterangan tentang hujah dari tempat lain. Yang saya ingin tekankan di sini ialah liberalisma dalam Al-Quran atau inductive rulings dalam Islam, yakni sesuatu hukum itu dicungkil dan bukan dinyatakan supaya ia amat diterima umum. Banyak lagi contoh lain dan saya berharap akan kupas secara tertib setelah saya buat lagi penyusunan dan rujukan dalam sedikit masa lagi. Jangan risau, jika saya tidak menjawab, saya tetap akan berbuat demikian kemudiannya.

Tralayan,
Pengalaman orang keturunan muslim pun berharga juga. Secara umum ramai umat Islam masih mengekalkan semangat dan amalan Islam, jika tak, tentunya Islam hilang dinamika dalam dunia hari ini. Cuma golongan lain yang mengambarkan Islam sebagai lemah, berpecah dan reactionary. Iman kita ada, cuma Islam kita yang perlu dikembalikan dengan kekuasaan Khalifahan, amalan Madinah, dinar-dirham, dan sistem zakat yang sebenarnya.

Konteks tulisan saya ialah Islam itu mudah dan jelas sepertimana yang disebut dalam Al-Quran.

rastom said...

Petikan: Saya akan menguji air kencing dengan tulisan saya disini. Jika pembaca boleh terima saya akan teruskan. Jika tidak dan mendatangkan kemarahan puak-puak tertentu saya akan berhenti.

Tolong! Jangan berhenti, jangan kerana dibantah oleh pihak lain Tuan mau berhenti menulis di sini sedangkan Tuan sendiri akui Islam itu liberal, maka teruskanlah dengan semangat liberal itu dan teruskan menulis.

Wassalam
halwaromantis
revolusi!