13 February, 2015

Nik Aziz Dalam Kenangan

Saya mula bersua dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) sekitar pertengahan 1980an (1985 jika tidak silap) (semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas rohnya). Masa itu saya baru menganggotai PAS dan diangkat sebagai penceramah baru untuk menunjukkan yang PAS mempunyai ahli yang bukan Melayu tidak seperti UMNO yang berpejuangan bangsa Melayu semata-mata.
Kami tengah bersolat berjemaah di masjid dan selepas solat, TGNA menghampiri saya tengah bersila dan duduk bersama lalu bertanya satu soalan mengenai agama Kristian kerana ilmu saya mengenainya pun agak dalam setelah mengamati agama tersebut dari bangku sekolah lagi,
Betulkah dalam Injil ada sebut yang Nabi Isa (ke atasnya salam) menyatakan 'berilah kepada Caesar hak Caesar dan beri kepada Tuhan hak Tuhan'?  Bukankah itu punca fahaman sekularisme Barat?
Saya cukup suka perbincangan akademik sedemikian maka saya mengambil masa menerangkan kepada TGNA bahawa pendapat saya bukan begitu. Saya menjelaskan,
Nabi Isa masa itu sedang menjawab soalan mengenai membayar zakat apakah harus dibayar kepada agama Yahudi atau bayar kepada penjajah Rumawi masa itu untuk memerangkapnya. Lalu Nabi Isa pun meminta ditunjuk kepadanya sekeping syiling wang. Nabi Isa lihatnya seketika dan bertanya, 'Wajah siapa ada pada keping wang?'. Orang ramai pun menjawab, "Caesar'. Nabi Isa pun baling keping itu ke atas lantai lalu bersabda, apa yang TG sebut tadi. Cuma pendapat saya ialah ia lebih bermaksud, 'Kembali kepada Allah apa yang nyata iaitu segalanya, dan kembali kepada kerajaan apa yang palsu iaitu duit cetak Rumawi masa itu yang dipaksa atas kalian.'
TGNA selepas itu dikatakan mengeluarkan satu ketetapan bahawa 'Sekiranya Redhuan ada di Kelantan, hambo tokseh ceramah melainkan Redhuan ceramah terlebih dahulu'. Saya tidak tahu apakah kenyataan ini benar atau tidak tetapi sering dipergunakan oleh YB Fatah Harun dan YB Umar Muhammad (Wakil dan Speaker DUN) untuk memujuk saya datang ceramah ditempat TGNA.

Ada beberapa lagi kenangan manis semasa saya bersua atau berbicara dengan beliau termasuk satu pertemuan yang agak serius dan kontroversi. Mungkin ada masa kelapangan kelak saya boleh menyiarkannya. Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita semua dikembalikan untuk perhitungan muktamad.