24 April, 2008

Mengapa Saya Masuk Kuil Melayu?

Sebelum saya memeluk Islam, saya memandang orang Melayu dan agamanya sebagai lembab lalu tidak tertarik untuk mengkajinya semasa saya menelaah begitu banyak buku mengenai falsafah dan agama dalam khutubkhanah yang mampu tertelaah oleh saya zaman bangku sekolah di Victoria Institution dahulu.

Pernah dalam pemilihan jawatan Kelab Interact (anak Kelab Rotary) di sekolah, ada kempen senyap kita orang Cina supaya jangan naikkan calon 'bumiputera'. Kepada saya itu adalah racist kerana saya akan bangkang seorang calon berdasarkan kelembapan pemikirannya dan falsafah pegangannya, dan bukan kerana warna kulitnya semata-mata. Namun saya percaya rakan Cina saya yang lain ada yang juga begitu yakni mereka anti-bumiputera kerana sifat orang Melayu yang dianggap malas dan kurang berkebolehan dalam bidang akademik secara perbandingan dengan kita lalu amat tidak setuju yang dasar negara memihak kepada mereka secara tidak meritokrasi.
(Gambar menunjukkan saya - paling kiri, bergotong royong di Zoo Negara mungkin tahun 1977, tingkatan 4, Kelab Interact, VI)

Dalam keadaan imej yang amat negatif, saya pula menkaji Islam pada akhir tahun 1979 iaitu semasa menduduki tingkatan enam bawah. Masa itu saya amat aktif dalam gerakan gereja sekolah iaitu Christian Union. Apabila perkiraan saya minat kepada Islam bukanlah kerana politik semasa tetapi semata-mata kerana inginkan kebenaran, saya turut bertemu dengan senior saya dalam Christian Union lalu bertanya pendapat mereka tentang Al-Quran dan Islam. Tentu sekali mereka itu terkejut besar dan terus mengecam ayat-ayat yang saya baca.

Saya teringat saya membawa terjemahan Al-Quran dalam bahasa Inggeris lalu membaca dari Surah Al-Baqarah,
"This is the book, sure without doubt, guidance for those who fear. That are those who believe in the Unseen, and who stands in prayer, and gives out what We give onto them".

Senior saya, Oon Meng Kar (sama Oon tetapi tak sama keluarga) yang kini adalah seorang pakar pedaetrik yang lama dalam Kementerian Kesihatan lalu beberapa tahun ini keluar dan jadi swasta. Beliau terjumpa saya 6 tahun lepas setelah 22 tahun tidak jumpa dan cerita kepada saya tentang diskriminasi kaum dan kroni dalam kementerian kesihatan sehingga dia yang cukup tinggi kemahirannya sentiasa dilangkah oleh orang bawah yang kurang kemahiran. Inilah yang dikatakan rasuah jawatan atau kronisma).

Dia selepas mendengar terjemahan ayat yang saya baca terus berkata yang ini adalah tiruan dari kata-kata Nabi Musa dalam Bible. Kerana saya juga banyak membaca dan menghafal Al-Bible maka saya pun tanya dia dimanakah dalam Bible ada ayat sedemikian. Beliau terus diam. Lalu saya sambung membaca,

"Tunjuklah satu surah yang sama dengannya.. nescaya kamu tidak mampu.."

"Yang kafir, samada kamu beritahu atau tidak beritahu, mereka tidak akan percaya.."

Jelas ayat itu menerangkan keadaan hati mereka waktu itu. Saya cukup sedih kerana mereka kawan-kawan saya yang amat rapat dan senantiasa tolong saya malah memberi saya wang apabila tengok keadaan saya yang miskin dalam keluarga yang porak peranda.

Dengan meninggalkan mereka dan memasuki alam Melayu kerana rata-rata orang Islam adalah Melayu meninggalkan saya satu perjuangan supaya memperjelaskan Islam kembali dalam kacamata yang sebenar. Itu sebabnya Wan Nazru, abang angkat saya dari Kelantan bagi tahu saya,
"Do not be a Malay". Janganlah aku menjadi seorang Melayu yang bukan contoh terbaik secara umum sebagai seorang Muslim, tetapi saya menjawab bahawa ia tidaklah mungkin hitam putih begitu. Bagaimana saya mahu jadi Muslim yang 100% bukan Melayu padahal saya terpaksa bercampur gaul rapat dengan mereka?

Saya terpaksa pakai kain pelekat macam Melayu, dengan baju Melayu, songkok Melayu, makan makanan Melayu, jika tidak mamak sahaja. Bila nak kahwin pun kebanyakan calon-calon yang sesuai waktu itu pun dari kalangan orang Melayu. Jadi bagaimana saya mahu elak 'masuk Melayu'?

Maka saya dalam dilema sendiri. Jika Mahathir tulis 'The Malay Dilema', saya patut tulis, "The Masuk Melayu Dilema'! Maka saya percaya polemik mengapa kawan-kawan saya tidak turut saya masuk Islam ialah bukan salah Islam tetapi salah persepsi mereka terhadap Islam dan saya ingin berjuang memperbetulkan imej tersebut.

Tetapi ini meletak saya pada tangga negatif atau turun tangga sebelum saya dapat bermula! Sepatutnya saya bermula dari tangga kosong, iaitu kain putih yang tidak ada cacat cela di atasnya. Tetapi sori sangat, saya tak dapat kain macam itu. Saya diberikan kain Islam yang sudah comot dalamnya lalu saya kena bersihkannya terlebih dahulu sebelum saya dapat tunjuk kain itu kepada kawan-kawan saya.

Mereka mudah terima Buddha, atau Hindu atau Kristian tetapi mengapa tidak Islam. Emak saya pun marah pada saya pada hari pertama saya berjumpa balik dengan dia setelah Muslim,
"Kita orang Cina ada banyak kuil boleh masuk. Apasal awak masuk kuil Melayu!?".

Stigma Melayu-Islam itu begitu kuat. Bagi orang luar Malaysia ia pula stigma Arab-Islam. Sekiranya Islam itu dibawa oleh orang Rom maka Vatican City hari ini akan bernama Vatican Madinah dan Pope pula bernama Khalifah Benedict!

Orang Melayu kita tidak akan membantu keadaan jika mereka asyik reaktif dan terlalu cepat melatah apabila dikritik Melayu itu. Saya tahu masyarakat kita amat sensitif. Pernah semasa Mat Sabu ditahan daerah di Kuala Pilah, dia dibelakang tabir menyuruh orang sana menyusun ceramah supaya saya boleh sentiasa turun bermain tembak botol kicap dengannya. Ceramah yang dia suruh dia sendiri tidak boleh turun kerana langgar perintah tahanan Restricted Order. Setelah habis ceramah baru saya boleh balik cerita kat dia apa yang terjadi.

Satu malam saya balik dengan cerita terkejut,
"Mat, mat... aduh.. saya tercakap silap Mat! Saya mengecam kes BMF Bank Bumiputera dan cerita yang mangsanya orang Melayu sendiri iaitu Jalil yang terbunuh di HongKong, dan untungnya orang Cina macam George Tan... dan ada seorang hadirin dari dalam gelap semak tempat ceramah menyuarakan kembali,
'Saudara! Jangan sebut Melayu. Sebut Umno tak apa... Ini kampung Melayu. Awak Cina!'"

Terus Mat Sabu berseronok,
"Aiya! Sayang wa takde! Saya cukup suka apabila orang nak baling telur busuk kat wa! Sayang, sayang rugi saya tak boleh keluar sana! Saya akan terus rampas mikrofon dan memekik balik mangkuk hayung tu!"

Yalah, senang bagi Mat Sabu yang berbangsa Melayu. Bagi saya walaupun sama Islam dengan tuan-tuan dan puan-puan tidaklah semudah itu. Saya selalu berhati-hati apabila bertutur selepas itu di depan khalayak ramai. Kedua-dua belah pihak amat sensitif. Tetapi dakwah kita macamana pulak? Bagaimana kita mahu hilangkan prejudis bukan Islam kepada kita? Kita boleh berdakwah kepada mereka tetapi mereka dilarang oleh undang-undang daripada berdakwah kepada orang Islam. Apakah mereka akan suka kita berdakwah kepada amoi-amoi mereka dan tarik mereka masuk Islam, lalu tidak dikembalikan kepada pangkuan mereka semasa Tahun Baru Cina dan tak boleh lagi makan bersama-sama malah tak boleh lagi dipanggil dengan nama keluarga mereka?

Segala prejudis ini sepatutnya tidak ujud malah sepatutnya mereka akan lebih suka amoi-amoi mereka masuk Islam sekiranya mereka tahu Islam begitu cantik dan baik kepada semua Insan. Tetapi Islam perlu kepada petunjuk yang dipikul oleh manusia sebagai contoh. Kaum Quraish pun pernah minta Nabi Muhammad s.a.w untuk tunjuk malaikat turun dari langit atau kitab jatuh dari sana, tetapi Islam meletakkan bahawa Islam hanya boleh dibawa oleh manusia itu sendiri. Produk Islam bukanlah ukiran masjid dan tarian sufi tetapi seorang Insan, yang terbaik akhlaknya.

Sekarang siapa pewarisnya yang saya boleh ambil sebagai contoh itu?

4 comments:

beewizer65 said...

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakattuh.

Nama saya Morni Bin Sulaiman
Ayah saya berbangsa Melayu.
Ibu berbangsa Tionghoa yang telah di angkat oleh keluarga Melayu.

Saya amat terharu dengan cita -cita anda menyampaikan pemaham Islam sejati kepada masyarakat Tionghoa.

Semoga Allah s.w.t. memberkati segala usaha anda.

Saya harap saudara dapat menceritakan pembangunan Chinese Muslim Actiivity Centre di Kota Bharu.
Sudahkah siap ?
Kemungkinan kesannya ( possible effect )keatas Dakwah Islamiah di kalangan Masyarakat Tionghoa Kelantan ?
Saya lebih senang menggunakan istilah TIONGHOA daripada istilah CINA . Pendapat anda bagaimana ?

Redhuan D. Oon said...

Assalama,
Sdr Morni, Ni hao!
Mengenai pusat tersebut di KB, mungkin persatuan yang terlibat barangkali Macma lebih mengetahui.

Mengenai sebutan Tionghua dari Tiong (Tengah-tengah alam) dan Hua (bunga yakni bahasa Cina itu berbunga harum dan mulia) adalah falsafah Cina memandang tinggi terhadap ketamadunan diri mereka sehingga menganggap semua pihak luar Cina sebagai gui atau hantu atau babarian yakni tidak bertamadun.

Dari segi Islam tentu sekali kurang sesuai kerana yang paling tinggi tamadun adalah Madinah zaman Nabi dan turunnya ayat, "Anda semua adalah terbaik dari manusia sejagat".

Tetapi saya rasa masi boleh pakai sebagai budaya asal dan simbolik kerana makna istilah dari Cina senantiasa mendalam dan tinggi kesusasteraannya.

Xie-xie!

red1

beewizer65 said...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakattuh

Hen Hao.Xie xie.

Sdra Redhuan, are you in Germany now?
If so ,perhaps you could watch this youtube video and share with your colleaques atADempiere Deutschland e.V.
http://www.youtube.com/watch?v=DpxDn_4aIO4&feature=related
Pierre Vogel (Abu Hamza) his way to Islam in English

http://www.youtube.com/watch?v=TKseXHJGw5A&feature=related

Pierre Vogel, the Man Who Converts Hundreds Germans To ISLAM

May ALLAH s.w.t. BLESS YOU.

Wassalam.

Redhuan D. Oon said...

Not now. I be in Berlin few mths later every year (warmer ones). Yes i seen a youtube on him just yesterday, while researching on the name of Allah. What a coincidence.

Danke Schon!

red1