30 September, 2009

Mengapa Kita Segan

Sudah cukup dengan malas, ada ramai antara kita yang amat segan. Bukan kepada Allah tetapi kepada diri sendiri. Tidak berani yang diri itu ada bakat atau nilai yang boleh dibina dan dicungkil sehingga ke peringkat antarabangsa.

Apabila saya berada di Jerman, saya berceramah di sebuah universiti di sana (tahun 2007) dan dapati orang Jerman pun takut atau segan untuk bertanya soalan. Ia adalah naluri biasa manusia bersifat sensitif dan bimbang akan kritikan. Walaupun orang Jerman atau Amerika dikatakan amat terbuka kepada kritikan tetapi cubalah kritik kawan kita orang Barat tu. Memang terasa dia.

Apatah lagi kita. Tak lama lagi saya akan pergi berceramah di UTM Skudai 5hb Oktober ini mengenai pencapaian saya Buku Open Source ERP .

Saya bukan malas nak pergi malah amat minat bercerita tentang bidang kesukaan saya. Tetapi saya rasa sedih apabile tidak ramai yang berani bertanya soalan yang mencabar kepada saya.

Begitu juga semasa saya menjadi orang kuat PAS dan mencabar Daim Zainuddin pada tahun 1986 untuk kerusi parlimen. Saya diusung ke sana ke mari untuk berceramah. Saya amat minat apabila ia adalah di Universiti. Kerana lebih cerdik pandai di sana untuk mencabar kita balik. Saya tidak minat sekiranya tiada orang bertanya balik. Adapun yang bertanya biasanya soalan sterotaip dan dijangka seperti,

"PAS itu Islam. Apakah Umno itu sama?" Soalan yang terlalu jelas polemiknya.

Kita mesti tajam pemikiran kita dan tidak harus asyik mengambil pendapat dari pihak lain tanpa soal. Allah berikan kita akal bukan untuk hafalan, tetapi untuk pemikiran.

22 September, 2009

Mengapa Kita Malas

Saya bersetuju dengan satu teori bahawa manusia yang menduduki kawasan di sepanjang khatulistiwa yang mempunyai cuaca baik, panas, dengan air hujan yang lumayan serta bumi yang subur akan menjadi malas dan tidak bermaya untuk berfikir panjang.

Padahal orang yang hidup dalam kawasan merbahaya seperti tempat gempa-bumi, tsunami, sejuk, dengan gurun pasir akan terasa terancam dan secara fitrah akan berfikir panjang dan tidak menjadi malas.

Kita di Malaysia tidak sama dengan Eropah yang pernah saya mengunjungi. Setangah tahun ia adalah terlalu sejuk untuk berbuat apa-apa di luar. Mukabumi payah bercucuk tanam dan hanya akan hidup tanaman pada musim yang lebih panas. Taufan pun sering melanda disetengah-tengah kawasan tropika. Di Jepun misalnya terlalu kerap berlaku gempa dan taufan sehingga mereka belajar hidup dalam rumah kertas dan tanam padi di lereng bukit curam.

Kaum-kaum yang paling dinamis dan maju adalah kebetulan dua kaum Jerman dan Jepun yang turut juga cuba mengubah dunia menerusi peperangan tetapi gagal. Mereka cukup berkemampuan sehingga selepas kalah binasa teruk muncul kembali sebagai gergasi ekonomi dunia.

Kita di Malaysia cukup malas. Sering tiru kedua gergasi ini dalam semua perkara. Namakan satu perkara dalam Malaysia yang tidak ditiru dari mereka. Apabila saya menjelajah ke Eropah beberapa bulan yang lepas saya sedar yang banyak perkara sudah berada di sana dekat sepuloh tahun sebelum ia diamalkan disini. Contohnya, sistem transit massa, tali pinggang penumpang belakang, kitar semula dan tiket atas talian. Ada lagi yang masih belum diamalkan iaitu kipas angin raksaksa untuk menangkap kuasa angin untuk ditukar menjadi tenaga letrik secara teknologi hijau. Baru-baru ini kita pula memperkenalkan bahagian teknologi hijau.

Kita tidak boleh pelupori innovasi. Kita perlu susah dulu. Kini hidup kita terlalu mewah, terlalu senang. Hutang sekeliling pinggang kerana ingin tunjuk-tunjuk kepada orang dan jiran. Hidup kiasu, dan makin kiasi - takut mati, atau sudah lupa yang satu hari kita akan meninggal dunia tanpa apa jua harta benda melainkan hisab dari Allah ta'ala. Nauzubillah dari hidup yang malas dan sia-sia.

Salam Aidil Fitri al-Mubarak!

Saya tidak kemana-mana kerana tiada kampung lagi. Marilah Kuang sekiranya ingin berbicara hati.