11 April, 2008

Konsep Abdullah Menjawab Hakikat Diri

Semasa bertafakur panjang waktu zaman dulu semasa mencari Islam, kita sedar bahawa kita ini bukanlah 'free' atau 'thinker' melainkan ada kuasa lain atau faktor lain yang senantiasa mempengaruhi diri kita. Contohnya katakan saya ini tengah fikir nak makan, padahal yang mendorong saya berfikir demikian ialah kelaparan dalam perut yang dicetuskan oleh bahan kimia seperti asid dan enzim yang menghantar isyarat neuro kepada otak saya yang kemudiannya menghantar isyarat neuro juga kepada mulut saya sehingga berair-liur memikirkan tentang makanan.

Katakan saya tengah terfikir untuk berkahwin kerana genetik dalam badan saya sudah sampai tempoh yang ia tetapkan selepas akil baligh supaya inginkan hubungan seksual. Ini diluar kawalan saya malah ia adalah kawalan yang mengikuti satu rancangan yang tersedia ada sebelum saya lahir lagi kerana kod genetik yang menjadikan saya sejak terbentuk segumpal darah dalam rahim emak saya sudah tercatat kodnya dan tidak ada kuasa lain yang mampu mengubah kod tersebut.

Segala kod yang diperlu sedia ada serta suasana sekeliling pun menurut kod tersebut. Contohnya apabila saya ternampak sebentuk tubuh badan wanita yang cantik, saya tidak tahu dia adalah cantik melainkan kod genetik tersebut bagi tahu otak saya, "Oi bingung! Itu cun lah tu!".

Jadi dimana kebebasan saya berfikir? Bolehkah saya menamatkan kod tersebut? Hatta sehingga cara saya terfikir tentang mencari kebenaran pun disebabkan sebahagian daripada kod bercampur dengan kod sejarah dan yang ada pada alam ini supaya saya terjurus terfikir tentang mencari ketuhanan dan penyelesaian seribu satu pertanyaan dalam jiwa sanubari diri.

Itu sebabnya kita mengakui kebenaran hakikat bahawa bukanlah diri sendiri sebenarnya yang terjumpa Islam tetapi Allah jualah yang memilih Islam bagi diri kita. Allah beri hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki, bukan sendiri mampu kehendaki. Sendiri tidak ada iradah, Dia yang Ada Iradah, Kita hanya hambaNya. Maka apabila saya belajar tentang makna Abdullah sebagai makam sebenar manusia dan bukan sewenang-wenang hiasan nama untuk diri kita.

Kita adalah hamba totok, hamba abdi, hamba sehamba-hambanya. Tiada daya upaya kita melainkan Tuhanlah yang menyatakan atau memberikan atau mengizinkan atau apa-apa sahaja. Allah fa'ullimaa Urid - Allah melakukan mengikut apa yang Dia kehendaki. Ini adalah antara sifat Allah yang terpenting yang kita harus ingat.

Itu sebab manusia tidak berkuasa, jinn tidak berkuasa. Kuffar tiada kuasa, para anbiya pun tidak berkuasa. Hanya Allah jua yang berkuasa. Kita silap perkara ini atau cuba berdolak-dalik tentang hakikat ini maka nahaslah jiwa kita.

Ini antara pengajaran yang sampai kepada saya tanpa saya berhak menerimanya. Maka terlalu terima kasihlah saya kepadaNya dan kepada sesiapa-siapa saja yang dijadikan alat olehNya untuk mengajar saya.
Apabila kita telah siap dan tanpa syarat menerima hakikat ini serta pantangnya barulah kita dapat meneruskan perjalanan spiritual kita selaku muslim yang sebenar. Sifat-sifat Allah ini serta sifat manusia sendiri sebenarnya harus diajar atau dipelajari walaupun kita sudah turun menurun muslim. Ini kerana kemungkinan semasa diajar itu, kita belum akil baligh lalu tidak mampu faham lagi atau belum tiba masanya lagi. Atau kita mungkin terangkap ini perkara biasa saja kerana kita sudah lahir muslim.

Adalah serius sekiranya perkara fardhu seperti konsep tauhid sedemikian tidak dipelajari dengan bersungguh-sungguh kerana akan datangkan mudarat kepada diri sendiri dan juga masyarakat kerana kita masih jahil tentang asas agama lalu tidak mungkin dapat menjaga atau mentadbir negara dengannya.
Saya cukup minat dengan topik sedemikian kerana ia akan membawa bermacam-macam ilmu lain yang berkaitan serta fikrah yang terbaik.

Contohnya kita hendak marah seseorang. Kita lalu sedar bahawa punca marah itu bukanlah hak kita tetapi hak Allah dan kita hanya terikut dengan kod kebinatangan yang juga ditanam oleh Allah ke dalam kita supaya kita bebas memilih - itupun hanya dua pilihan sahaja - take it or leave it. Itupun boleh kira satu pilihan sahaja - if you don't take it you burn. Itupun sebenarnya tiada pilihan - you have no choice.

Al-Quran itu dikatakan amat jujur dan al-karim - very generous atau amat bermurah kepada penganutnya kerana menceritakan yang sebenarnya dengan cara yang terbaik dan menyakinkan tanpa polemik maupun kontroversi.

Sekali lagi, harap saudara kagumlah dengan sebenar-benar kagum terhadap Allah, kehebatanNya serta kitabNya serta alamNya. Berharap jua saudara amat, amat meminati ilmuNya dan akan mengenalNya sebelum terlambat dan rugi kerana tidak mengenal yang Maha Esa dan Al-Habib - The Ultimate Lover and Love.

1 comment:

Abu Sofeyyah Ad Dusuqy said...

salam ukhwan..

dari beranda dusuqiyyah muhammadiyyah.

http://addusuqy.blogspot.com