13 November, 2009

Apakah MSC Kalah Perang Saraf Jenama?

Dalam MSC8.pdf saya menyatakan dengan menggunakan analisa P.E.S.T. pada mukasurat 2 dimana cabaran pertandingan dengan dunia, MSC tengah kalah, dan harapan atau peluangnya saya telah memberi contoh projek dari kebun di Kuang sebagai berjaya meraut kedudukan pertama dalam dunia.

Maksud 'perang jenama' adalah penting untuk difahami sebagai satu perang saraf peringkat antarabangsa. Dalam buku 'Positioning - The Battle of the Mind' tulisan guru marketing Al Ries dan Jack Trout ada mengambarkan bahawa realiti adalah bergantung kepada persepsi atau imej.

Dalam perang jenama dengan dunia, YAB Tun Dr. Mahathir dengan memahami konsep tersebut, berjaya meletakkan persepsi terhadap Malaysia sebagai sebuah pencabar utama dunia satu ketika dahulu. Mengapa kini imej tersebut payah dipertahankan? Apakah sudah berubah kebolehan rakyatnya? Jawapannya ialah tidak. Kami masih belum berubah sebagai pencabar gergasi dunia. Lihatlah pada tokoh seperti Jimmy Choo, Nichols David, Michele Yeoh dan pembuat thumb-drive. Apa yang berubah adalah perang saraf persepsi.

Sebagai contoh, semasa zaman Pak Lah, beliau gagal menonjolkan imej sepatutnya dan walaupun beliau seorang yang cukup baik, namun persepsi umum terhadapnya menjatuhkannya. Begitu juga mengenai MSC, saya percaya pencapaian MSC cukup tinggi. Lihatlah kad pengenalan bercip dan passport automatik kita yang tidak ada tandingan lain di dunia? Tetapi apakah dunia sedar tentang itu?

Apabila saya berjalan masuk ke pekarangan MDec, saya tidak dapat merasa imej tersebut dari papan-papan iklan dan ayat-ayat yang terpampar kiri, kanan dan atas dinding. Jika saya berjalan masuk Universiti Lim Kok Wing, saya dapat rasa kebijaksanaan LKW dalam mempertonjolkan tempatnya sebagai tokoh besar dunia, walaupun saya tidak percaya kepada Lim Kok Wing secara peribadi dan tidak ingin membantunya. Saya percaya kepada jenama Malaysia dan ingin membantu Malaysia.

Hakikatnya kita nombor 1. Tetapi kita gagal menjual diri kita kepada dunia. Sudah sampai masanya kita sedar tentang betapa pentingnya memahami teori menaikkan jenama yang sebenarnya dan mengorak langkah ke arah itu. Saya syorkan kepada mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut supaya Google atau Wikipedia untuk 'Al Ries' and 'Jack Trout'.

12 November, 2009

Mengapa IAP mengambil orang luar?

Mengenai IAP-MSC, saya tertanya-tanya mengapa ia dianggotai secara pengaruhnya oleh tokoh-tokoh asing yang tidak kena-mengena dengan budaya atau kebolehan kita secara fitrah. Orang putih (dengan segala hormatnya kepada mereka kerana mendiang ayah mertua saya orang putih) bukanlah kisah sangat dengan permasalahan kita kerana mereka sendiri sudah terplay-out dengan kancah kemelut sendiri terutamanya krisis ekonomi yang mereka sendiri ciptakan.

Apakah pengerusi Forbes iaitu Steve Forbes ingin lihat kita maju dengan ide dari dirinya sekiranya ada? Tentu dia mahu ide itu untuk diri sendiri dulu iaitu melariskan pihak Amerika Syarikat yang kini ingin menyedut seberapa banyak titik minyak atau darah dari bumi Timur Tengah sebelum kiamat.

Saya cukup terkilan bahawa IAP-MSC tidak melantik seorang pun tokoh Malaysia supaya diletakkan pada tempat yang sebenar iaitu menasihati negara tercinta sendiri. Apakah rakyat sendiri tidak boleh didahulukan atau mereka tidak mampu mengutamakan produktiviti?

Kita patut ingat - dunia barat sudah gagal - dulu, kini, dan selama-lamanya. Bukan hambo roiyak tetapi Allah roiyak dalam al-Kitab. Sekiranya kita ingin mati dalam iman (seperti P.Ramlee berkata dalam AliBaba) kita harus kembali kepada petunjuk Ilahi, bahawa "anda lebih tahu urusan dunia anda sendiri"

Saya cukup bangga kerana atas kesedaran sedemikian saya dapat mencipta sejarah dunia atas kebun dan bumi sendiri tanpa satu sen pun dari MSC maupun Forbes. Akhbar tempatan yang dikutip blog tempatan maupun blog Jerman sudah iktiraf sedemikian.

Saya bangga kerana Allah kurniakan pada tapak kaki dan tanah air ku.

(alangkah nikmatnya tanah air ku sekiranya Najib memperkenalkan ketua dunia Open Source ERP yang disokong tiga puluh buah negara kepada mereka sebagai kejutan)

08 October, 2009

Kehilangan 4 billion ringgit

Kita harus protes secara aman mengenai sesuatu yang berjumlah sebesar itu. Tidak, ia bukan hilang menerusi skandal tetapi menerusi cara lesen perisian komputer yang berjumlah lebih RM4 billion setakat ini.

Kerajaan bukanlah innovator yang baik. Ini adalah pendapat kebanyakan pakar dunia. Tetapi kerajaan adalah regulator atau penjaga peraturan. Ia boleh meletakkan peraturan baru yang membawa kepada innovasi secara tidak langsung. Kerajaan bukan rakyat kerana ia lebih kecil dari rakyat. Rakyatlah yang bakal bergerak untuk membawa perubahan besar kepada dirinya. Kerajaan cuma mengatur.

Contohnya bagi menaikkan daya modal insan, kerajaan tidak dapat memaksa majikan untuk memberi kursus dan latihan sumber manusia kepada kakitangan. Tetapi kerajaan boleh menerusi peraturan cukai ke atas majikan iaitu satu peratus ke atas jumlah gaji pekerja untuk dimasukkan ke dalam tabung pembangunan sumber manusia atau HRDF dimana 80% darinya boleh dikembalikan menerusi kursus latihan yang dijalankan.

Begitu juga untuk menyelesaikan soal jumlah lesen perisian yang begitu besar. Kerajaan boleh mencukai satu peratus kepada syarikat gergasi sedemikian. Microsoft sudah pun didenda satu juta dollar Amerika sehari di Amerika Syarikat. Di Kesatuan Eropah, ia pula disaman 1.7billion euro. Ini memaksa Microsoft menurut kehendak Eropah seperti memberi lebih kebebasan kepada pengguna.

Di Malaysia kita mungkin kurang agresif dan tidak mengenakan denda tetapi kita memang boleh mengenakan cukai yang amat berpatutan. Hasil cukai tersebut boleh mencecah 40 juta ringgit dan ia boleh digunakan untuk melatih pengguna sumber terbuka serta membiayai projek awal membuktikan keberkesanan sumber terbuka bagi organisasi besar atau sederhana. Kejayaan dan bukti tersebut boleh menyakingkan pengguna supaya kurang bergantung kepada perisian tertutup yang mengenakan kos lesen yang tinggi seperti SAP, Oracle dan Microsoft.

Baru-baru ini saya terdengar dari kawan dalam Telekom Malaysia bahawa ia terbelanja 400 juta ringgit untuk SAP tetapi ia gagal untuk melakukan e-perolehan. Padahal perisian terbuka projek saya iaitu ADempiere mampu melakukannya tanpa kos lesen. Cuma bayar kos manusia sahaja. Dengan itu, kos itu tidak akan mengalir keluar tetapi kembali ke dalam kocek rakyat sendiri.

Kita sedia maklum bahawa kita sering dianiaya oleh kuasa asing yang bukan bersifat perikemanusiaan melainkan berpura-pura sahaja. Apa yang kita tidak dapat jimat seperti bergantung kepada banyak jenama barat atau luar dari Jepun tidak dapat dielakkan. Tetapi dalam bidang perisian komputer ia sesuatu yang kita mampu membebaskan diri. Menerusi pembelajaran dan penguasaan ke atas sumber terbuka.

Ayuh, kita protes secara tulisan siber, dan memberi link protes ini kepada mereka samada menerusi rantaian emel dan sebagainya. Tolonglah. Kesianlah duit kita. Saya merayu supaya kita boleh dengan 2 klik sahaja membantu diri kita, negara kita dan generasi kita akan datang supaya tidak hidup lebih melarat daripada sekarang.

30 September, 2009

Mengapa Kita Segan

Sudah cukup dengan malas, ada ramai antara kita yang amat segan. Bukan kepada Allah tetapi kepada diri sendiri. Tidak berani yang diri itu ada bakat atau nilai yang boleh dibina dan dicungkil sehingga ke peringkat antarabangsa.

Apabila saya berada di Jerman, saya berceramah di sebuah universiti di sana (tahun 2007) dan dapati orang Jerman pun takut atau segan untuk bertanya soalan. Ia adalah naluri biasa manusia bersifat sensitif dan bimbang akan kritikan. Walaupun orang Jerman atau Amerika dikatakan amat terbuka kepada kritikan tetapi cubalah kritik kawan kita orang Barat tu. Memang terasa dia.

Apatah lagi kita. Tak lama lagi saya akan pergi berceramah di UTM Skudai 5hb Oktober ini mengenai pencapaian saya Buku Open Source ERP .

Saya bukan malas nak pergi malah amat minat bercerita tentang bidang kesukaan saya. Tetapi saya rasa sedih apabile tidak ramai yang berani bertanya soalan yang mencabar kepada saya.

Begitu juga semasa saya menjadi orang kuat PAS dan mencabar Daim Zainuddin pada tahun 1986 untuk kerusi parlimen. Saya diusung ke sana ke mari untuk berceramah. Saya amat minat apabila ia adalah di Universiti. Kerana lebih cerdik pandai di sana untuk mencabar kita balik. Saya tidak minat sekiranya tiada orang bertanya balik. Adapun yang bertanya biasanya soalan sterotaip dan dijangka seperti,

"PAS itu Islam. Apakah Umno itu sama?" Soalan yang terlalu jelas polemiknya.

Kita mesti tajam pemikiran kita dan tidak harus asyik mengambil pendapat dari pihak lain tanpa soal. Allah berikan kita akal bukan untuk hafalan, tetapi untuk pemikiran.

22 September, 2009

Mengapa Kita Malas

Saya bersetuju dengan satu teori bahawa manusia yang menduduki kawasan di sepanjang khatulistiwa yang mempunyai cuaca baik, panas, dengan air hujan yang lumayan serta bumi yang subur akan menjadi malas dan tidak bermaya untuk berfikir panjang.

Padahal orang yang hidup dalam kawasan merbahaya seperti tempat gempa-bumi, tsunami, sejuk, dengan gurun pasir akan terasa terancam dan secara fitrah akan berfikir panjang dan tidak menjadi malas.

Kita di Malaysia tidak sama dengan Eropah yang pernah saya mengunjungi. Setangah tahun ia adalah terlalu sejuk untuk berbuat apa-apa di luar. Mukabumi payah bercucuk tanam dan hanya akan hidup tanaman pada musim yang lebih panas. Taufan pun sering melanda disetengah-tengah kawasan tropika. Di Jepun misalnya terlalu kerap berlaku gempa dan taufan sehingga mereka belajar hidup dalam rumah kertas dan tanam padi di lereng bukit curam.

Kaum-kaum yang paling dinamis dan maju adalah kebetulan dua kaum Jerman dan Jepun yang turut juga cuba mengubah dunia menerusi peperangan tetapi gagal. Mereka cukup berkemampuan sehingga selepas kalah binasa teruk muncul kembali sebagai gergasi ekonomi dunia.

Kita di Malaysia cukup malas. Sering tiru kedua gergasi ini dalam semua perkara. Namakan satu perkara dalam Malaysia yang tidak ditiru dari mereka. Apabila saya menjelajah ke Eropah beberapa bulan yang lepas saya sedar yang banyak perkara sudah berada di sana dekat sepuloh tahun sebelum ia diamalkan disini. Contohnya, sistem transit massa, tali pinggang penumpang belakang, kitar semula dan tiket atas talian. Ada lagi yang masih belum diamalkan iaitu kipas angin raksaksa untuk menangkap kuasa angin untuk ditukar menjadi tenaga letrik secara teknologi hijau. Baru-baru ini kita pula memperkenalkan bahagian teknologi hijau.

Kita tidak boleh pelupori innovasi. Kita perlu susah dulu. Kini hidup kita terlalu mewah, terlalu senang. Hutang sekeliling pinggang kerana ingin tunjuk-tunjuk kepada orang dan jiran. Hidup kiasu, dan makin kiasi - takut mati, atau sudah lupa yang satu hari kita akan meninggal dunia tanpa apa jua harta benda melainkan hisab dari Allah ta'ala. Nauzubillah dari hidup yang malas dan sia-sia.

Salam Aidil Fitri al-Mubarak!

Saya tidak kemana-mana kerana tiada kampung lagi. Marilah Kuang sekiranya ingin berbicara hati.

29 August, 2009

Anak Ikut Ayah


Zaman dulu-dulu, seseorang anak akan menjejaki dan mempelajari perusahaan atau kepakaran ayahnya sehingga satu hari mampu mengganti tempat ayahnya. Tidak kira samada ayahnya seorang ulama, tukang besi, nelayan, petani, pembuat roti, penulis atau pemimpin.

Anak bongsu saya, Mohamad Nasem Oon, masih 9 tahun umurnya dalam darjah empat sekolah kebangsaan Cina, nampaknya bercita-cita ingin mengikut jejak langkah saya menjelajah dunia tanpa pergi sekolah tetapi belajar sendiri untuk bebas dan berdikari sebagai seorang pengamal ICT.

Dengan bantuan satu perisian percuma dan sumber terbuka bernama Alice 2.0 dari Universiti Carnegie Mellon, dia dapat menggunakannya tanpa satu patah tunjuk-ajar dari saya. Alice 2.0 digunakan untuk mencipta wayang permainan dengan menggunakan perkakasan yang mirip kepada Java, iaitu bahasa perisian paling canggih dan amat payah untuk dipelajari.

Saya memberitahunya dan abangnya Naquib, 14 bahawa sekiranya dapat menguasai Java dalam masa 3 tahun, maka mereka tidak perlu pergi ke sekolah dan boleh hidup macam zaman Marco Polo, Ibnu Batutta atau I Tsing, maupun Nabi Muhammad, yang mengembara semasa masih mentah dan muda lagi.

Cara hidup sedemikian lebih fitrah, lebih membawa kepada mempelajari secara fitrah dari tangan ayah sendiri, dan lebih pakar lagi kerana kasih sayang ayah kepada anak lain dari kasih sayang chegu kepada murid. Mereka pasti memperolehi lebih banyak khazanah ilmu dari Allah dengan musafir, mengutip ilmu dari banyak tempat, bebas dari menjadi hamba manusia dan sistem dunia.

Malah mereka tidak akan sebosan seperti sekarang, asyik menghadap bilik darjah umpama penjara, lantas tercetus pelbagai penyakit kronik sosial-psikologi dan tekanan minda secara tidak seimbang, ekoran dari usaha asyik menghafal tanpa henti dan tanpa masa menghadam dan memahami ilmu secara semula jadi, dari dalam jiwa dan mendalami sedalam-dalamnya.

23 August, 2009

Soal Kiasu

Perkataan Kiasu bermaksud 'Takut Kalah' dalam bahasa Hokkien, iaitu bahasa bapa saya. Bahasa ibunda saya adalah Kantonis. Nak tahu dalam bahasa ibunda saya, 'Takut Kalah" berbunyi KhengSeh. Jelas bunyi Hokkien lebih mudah dari bunyi Kantonis. Padahal Kantonis lebih popular di Malaysia dan Singapura dan Hong Kong.

Kiasu ada makna positif. Ia mungkin terungkap semasa seorang Cina mencabar kawannya dalam bertarung, samada di meja perniagaan atau meja makan atau meja judi. 'Lu takut kalah kah? Letaklah lagi banyak. Apasal sikit-sikit? Lu Kiasu!' Ini satu sikap positif. Lainlah dengan orang Melayu. Bukanlah sahabat kita orang Melayu takut kalah atau takut bertarung lebih-lebih. Tetapi tidak ada kawannya yang mencabar. Harap faham maksud saya!

Sekarang kita lihat kepada mana biasanya perkataan Kiasu digunakan iaitu terhadap orang Singapura, tempat tumpah darah ibunda dan saya. Mengapa orang Cina malah lebih kepada Cina di Singapura sendiri yang memberitahu saya bahawa ada antara mereka yang kiasu? Hairan saya kerana orang Singapura sanggup kutuk orangnya sendiri. Mungkin kerana negerinya kecil kerana berada di atas satu pulau yang lebih kecil dari Kepulauan Batam yang betul-betul di bawahnya! Itulah perkataan yang terlintas dalam kepala kita apabila kita melihat Singapura menang kes pulau kecil atau lebih tepat lagi secebis batu menjadi haknya. Mudahlah kita sebut, 'kiasu betul. Batu kecil pun nak'.

Memang masyarakat Cina dalam menggunakan perkataan kiasu tidak lain tidak bukan lebih bermaksud mencabar supaya lebih menang dan lebih berjaya. Bukan lebih mengalah. Ini saya dapati dalam jiwa saya sendiri asyik ingin menang dan tidak suka kalah. Tetapi apabila saya lebih bergaul dengan masyarakat Melayu saya dapati jiwa Melayu ini amat berbeza. Mereka lebih lemah lembut malah lebih suka mengalah daripada bergaduh! Ini kepada saya lebih serasi dengan jiwa saya kini. Apakah saya sudah dimelayukan? Entahlah. Tetapi cara mengalah itu adalah baik terutama dalam permainan catur. Ia dinamakan gambit. Apabila lawan makan bidak kita yang ditawarkan, kita dapat mengenal kelemahannya disamping mendapat kedudukan lebih baik kerana memesong bidak penyerang ke tempat yang kita mahu.

Kesimpulannya, takut ke tidak kepada namanya kalah tidaklah penting. Yang penting menang tak di akhirat nanti.

Salam Ramadhan Al-Mubarak. Tak mungkin bulan puasa ini kita kiasu dengan Iblis yang memang terikat bulan ini. Alhamdulilah cukup suka hamba yang bulan mulia ini sudah bermula.

16 August, 2009

Papan Catur


Dulu semasa dalam tahun 1987 saya tertarik dengan catur sambil berkerja dalam syarikat Khalid Samad selepas kalah pilihanraya lawan Daim Zainuddin. Syarikat Khalid dapat kontrek menyelengara dan mencuci karat paip besi di semua pengkalan-pengkalan TUDM di luar bandar. Masa itu saya masih bujang dan selepas balik ke rumah tumpangan setiap petang saya mengisi masa dengan membaca buku catur dan mempraktikannya secara berseorangan. Selepas mendirikan rumah-tangga pada tahun 1989 saya telah meninggalkan buku mengenai catur dan fokus kepada bidang-bidang lain.

Baru-baru ini saya diperkenalkan kepada sebuah kelab kecil di Taman Tun Dr Ismail kepunyaan Sdr Irwan Neo yang mengajar pelajar-pelajar sekolah bermain catur. Saya jatuh minat balik kerana kini ada seorang yang serius mengenai strategi permainan catur yang saya boleh bertukar pendapat tanpa mengenal penat. Banyak perkara baru saya dengar darinya. Antaranya adalah menyedihkan kepada saya.

Menurutnya Malaysia tidak mempunyai seorang pun yang bertaraf Grandmaster. Indonesia ada dekat lima orang. Negara Cina ada beberapa puluh orang. Germany ada beratus. Russia ada beribu. Malaysia pula dapat dikalahkan oleh pasukan dari Singapura. Neo kata tidak lama dahulu seorang budak Singapura berumur 11 tahun yang dilatih oleh grandmaster impot dari Russia telah mengalahkan pemain handalan peringkat kebangsaan dari Malaysia.

Neo kata kerajaan ada peruntukan tersangat kecil untuk kegiatan bermain catur padahal ia adalah cukup baik untuk membina daya mental anak-anak kita supaya lebih pandai dalam ilmu matematik dan sains. Jika ada peruntukan ia akan pergi lebih kepada kocek tertentu dan tidak sampai kepada maksud sebenarnya seperti membawa masuk seorang grandmaster untuk melatih pemain tempatan.

Kelab tersebut tengah merancang membawa seorang grandmaster tetapi harganya adalah lima ribu ringgit sebulan dan perlu kontrek sekurang-kurangnya setahun lamanya sebelum pakar itu bersetuju terbang masuk.

Saya pun menelefon kawan saya di sini yang dari Kazakhstan dan beliau kebetulan datang dari keluarga pemain catur dan memberitahu kami ada seorang kawannya yang akan datang pada akhir tahun ini untuk belajar Inggeris dan kebetulan dia adalah seorang pakar yang bawah sedikit dari taraf grandmaster. Bolehlah saya bantunya selepas kelas Inggeris untuk percekapkan pertuturan Inggerisnya dan dia pula bantu kami di sini lebih cekap bermain catur.

Catur ini penting dalam hidup saya kerana ada beberapa konsep darinya yang saya sering terpakai dalam percaturan bisnes dan kerjaya. Contohnya menawarkan gambit dan melakukan 'positioning' untuk strategi jangka masa panjang.

Petang tadi kami di pejabat kelab tersebut berbincang lama strategi pula untuk menaikkan permainan catur tempatan. Antaranya saya akan cuba menulis skrip filem bertajuk 'Papan Catur' dan akan meminta M. Nasir sekiranya beliau berminat campur sekali. Baru-baru ini saya terjumpa M. Nasir dan nampaknya boleh berkawan. Bukanlah perkara baru seni ini bagi saya, kerana saya pernah menyumbang lapan episod sitcom Rumah Ayah yang dibintangi oleh Mustafa Kamal dan salah satu episodnya saya terlakun di dalamnya.

Harap-harap filem cadangan kami diterima dan disokong oleh semua sebagai usaha kutip derma serta sokongan untuk kegiatan minda menerusi catur dan juga sebagai tanda 1Malaysia yang baru - iaitu berteraskan kandungan minda dan bukan lisan semata-mata. Mana tahu boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Yasmin Ahmad.

26 June, 2009

Sebulan di Eropah


Musafir kali ketiga ini lebih kepada Eropah dimana saya dapat menjejak kaki ke bumi England dan Ireland buat pertama kalinya dalam hidup. (Kali pertama musafir adalah dalam awal 2000an di kepulauan Indonesia selama 3 minggu. Kali kedua ke Afrika Selatan setahun kemudian itu. Kini juga lebih 3 minggu sejak 5hb Jun sehingga hari ini kembali ke Potsdam, pekan yang mempunyai komuniti muslim Jerman yang asli (masuk Islam secara tersendiri). Saya mengambil peluang menghadiahkan kain pelekat bagi kaum lelaki di sana dan kain selendang bagi kaum muslimah mereka.

Semasa di Berlin, saya menghadiri konferensi projek ADempiere yang kedua dan memutuskan untuk lebih bersatu mengujudkan satu installer berasaskan pentas Windows yang amat mudah digunakan supaya makin mencabar gergasi ERP iaitu SAP. Kerajaan Malaysia juga telah memberi perhatian yang lebih intim kepada perkembangan ini dan saya akan memohon sejumlah wang dari MDec supaya menjayakan projek ini sebagai projek buatan Malaysia yang bekal mengejutkan dunia perisian perniagaan. Berita mengenai diri saya juga turut disiarkan dalam akhbar The Star baru-baru ini.

Baru juga mendapat berita mengenai kematian Michael Jackson. Menurut jemaah muslim Jerman di Potsdam ini, mereka mengenalnya sebagai memeluk Islam tahun lepas dengan mengikuti jejak langkah seorang lagi saudaranya yang telah memeluk Islam sebelum itu. Wallahu-aklam sekiranya benar, semoga Allah mengampuni dosanya dan meredhai arwah Mikail (nama yang dipilihnya depan seorang Imam semasa itu).

23 April, 2009

Pelawat dari Jerman


MSC Development Corporation atau MDec dan Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit atau MAMPU, telah memasukkan projek ADempiere sebagai salah satu projek Sumber Terbuka (Open Source) untuk membentangkan topik pada Open Source Conference  2009 yang akan diadakan pada Mei 31 sehingga Jun 3, di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Mereka telah sudi menjemput rakan saya dari Jerman, iaitu Kai Schaeffer untuk berucap mengenai potensi projek ini di negara Jerman yang berdepan dengan gergasi perisian yang sama sektor dengan projek kita iaitu SAP.  Saya turut akan berucap mengenai trend dan beberapa potensi besar dari projek antarabangsa kita.

Terdapat satu hari Hackathon pada Mei 31, iaitu belajar secara percuma dan menguji bakat memasang sistem dimana hadiah kursus pendek percuma ditawarkan oleh Asia e-University. Pada Jun 1 sehingga 3, kemasukan adalah secara berbayar tetapi bagi pelajar adalah harga rendah.

Kursus saya di Asia e-University juga sudah siap 2 modul dan mereka dijadikan siri buku. Satu versi Inggeris sedang disunting oleh Pearson, dan satu lagi versi Bahasa oleh Dewan Bahasa & Pustaka.

Alhamdulilah saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan dan Dekan ICT, universiti tersebut (Dr. Nurhizam Safie) kerana atas visinya, serta dorongan tanpa henti, dan semangat yang lebih tinggi dari saya yang akhirnya berjaya juga mengeluarkan buku-buku yang saya sebagai penulisnya. Selama ini saya bercita-cita menjadi penulis buku, tetapi sejak 1985 hanya berangan-angan sahaja. Kali ini sudah menjadi kenyataan, saya berazam menulis makin banyak dalam subjek Sumber Terbuka ini.

Oh ya, saya akan menurut kawan saya dari Jerman itu kembali ke Berlin pada tanggal Jun 4 dan akan menjelajah sedikit sekitar Eropah sehingga June 25 kembali ke tanahair.