29 August, 2009

Anak Ikut Ayah


Zaman dulu-dulu, seseorang anak akan menjejaki dan mempelajari perusahaan atau kepakaran ayahnya sehingga satu hari mampu mengganti tempat ayahnya. Tidak kira samada ayahnya seorang ulama, tukang besi, nelayan, petani, pembuat roti, penulis atau pemimpin.

Anak bongsu saya, Mohamad Nasem Oon, masih 9 tahun umurnya dalam darjah empat sekolah kebangsaan Cina, nampaknya bercita-cita ingin mengikut jejak langkah saya menjelajah dunia tanpa pergi sekolah tetapi belajar sendiri untuk bebas dan berdikari sebagai seorang pengamal ICT.

Dengan bantuan satu perisian percuma dan sumber terbuka bernama Alice 2.0 dari Universiti Carnegie Mellon, dia dapat menggunakannya tanpa satu patah tunjuk-ajar dari saya. Alice 2.0 digunakan untuk mencipta wayang permainan dengan menggunakan perkakasan yang mirip kepada Java, iaitu bahasa perisian paling canggih dan amat payah untuk dipelajari.

Saya memberitahunya dan abangnya Naquib, 14 bahawa sekiranya dapat menguasai Java dalam masa 3 tahun, maka mereka tidak perlu pergi ke sekolah dan boleh hidup macam zaman Marco Polo, Ibnu Batutta atau I Tsing, maupun Nabi Muhammad, yang mengembara semasa masih mentah dan muda lagi.

Cara hidup sedemikian lebih fitrah, lebih membawa kepada mempelajari secara fitrah dari tangan ayah sendiri, dan lebih pakar lagi kerana kasih sayang ayah kepada anak lain dari kasih sayang chegu kepada murid. Mereka pasti memperolehi lebih banyak khazanah ilmu dari Allah dengan musafir, mengutip ilmu dari banyak tempat, bebas dari menjadi hamba manusia dan sistem dunia.

Malah mereka tidak akan sebosan seperti sekarang, asyik menghadap bilik darjah umpama penjara, lantas tercetus pelbagai penyakit kronik sosial-psikologi dan tekanan minda secara tidak seimbang, ekoran dari usaha asyik menghafal tanpa henti dan tanpa masa menghadam dan memahami ilmu secara semula jadi, dari dalam jiwa dan mendalami sedalam-dalamnya.

23 August, 2009

Soal Kiasu

Perkataan Kiasu bermaksud 'Takut Kalah' dalam bahasa Hokkien, iaitu bahasa bapa saya. Bahasa ibunda saya adalah Kantonis. Nak tahu dalam bahasa ibunda saya, 'Takut Kalah" berbunyi KhengSeh. Jelas bunyi Hokkien lebih mudah dari bunyi Kantonis. Padahal Kantonis lebih popular di Malaysia dan Singapura dan Hong Kong.

Kiasu ada makna positif. Ia mungkin terungkap semasa seorang Cina mencabar kawannya dalam bertarung, samada di meja perniagaan atau meja makan atau meja judi. 'Lu takut kalah kah? Letaklah lagi banyak. Apasal sikit-sikit? Lu Kiasu!' Ini satu sikap positif. Lainlah dengan orang Melayu. Bukanlah sahabat kita orang Melayu takut kalah atau takut bertarung lebih-lebih. Tetapi tidak ada kawannya yang mencabar. Harap faham maksud saya!

Sekarang kita lihat kepada mana biasanya perkataan Kiasu digunakan iaitu terhadap orang Singapura, tempat tumpah darah ibunda dan saya. Mengapa orang Cina malah lebih kepada Cina di Singapura sendiri yang memberitahu saya bahawa ada antara mereka yang kiasu? Hairan saya kerana orang Singapura sanggup kutuk orangnya sendiri. Mungkin kerana negerinya kecil kerana berada di atas satu pulau yang lebih kecil dari Kepulauan Batam yang betul-betul di bawahnya! Itulah perkataan yang terlintas dalam kepala kita apabila kita melihat Singapura menang kes pulau kecil atau lebih tepat lagi secebis batu menjadi haknya. Mudahlah kita sebut, 'kiasu betul. Batu kecil pun nak'.

Memang masyarakat Cina dalam menggunakan perkataan kiasu tidak lain tidak bukan lebih bermaksud mencabar supaya lebih menang dan lebih berjaya. Bukan lebih mengalah. Ini saya dapati dalam jiwa saya sendiri asyik ingin menang dan tidak suka kalah. Tetapi apabila saya lebih bergaul dengan masyarakat Melayu saya dapati jiwa Melayu ini amat berbeza. Mereka lebih lemah lembut malah lebih suka mengalah daripada bergaduh! Ini kepada saya lebih serasi dengan jiwa saya kini. Apakah saya sudah dimelayukan? Entahlah. Tetapi cara mengalah itu adalah baik terutama dalam permainan catur. Ia dinamakan gambit. Apabila lawan makan bidak kita yang ditawarkan, kita dapat mengenal kelemahannya disamping mendapat kedudukan lebih baik kerana memesong bidak penyerang ke tempat yang kita mahu.

Kesimpulannya, takut ke tidak kepada namanya kalah tidaklah penting. Yang penting menang tak di akhirat nanti.

Salam Ramadhan Al-Mubarak. Tak mungkin bulan puasa ini kita kiasu dengan Iblis yang memang terikat bulan ini. Alhamdulilah cukup suka hamba yang bulan mulia ini sudah bermula.

16 August, 2009

Papan Catur


Dulu semasa dalam tahun 1987 saya tertarik dengan catur sambil berkerja dalam syarikat Khalid Samad selepas kalah pilihanraya lawan Daim Zainuddin. Syarikat Khalid dapat kontrek menyelengara dan mencuci karat paip besi di semua pengkalan-pengkalan TUDM di luar bandar. Masa itu saya masih bujang dan selepas balik ke rumah tumpangan setiap petang saya mengisi masa dengan membaca buku catur dan mempraktikannya secara berseorangan. Selepas mendirikan rumah-tangga pada tahun 1989 saya telah meninggalkan buku mengenai catur dan fokus kepada bidang-bidang lain.

Baru-baru ini saya diperkenalkan kepada sebuah kelab kecil di Taman Tun Dr Ismail kepunyaan Sdr Irwan Neo yang mengajar pelajar-pelajar sekolah bermain catur. Saya jatuh minat balik kerana kini ada seorang yang serius mengenai strategi permainan catur yang saya boleh bertukar pendapat tanpa mengenal penat. Banyak perkara baru saya dengar darinya. Antaranya adalah menyedihkan kepada saya.

Menurutnya Malaysia tidak mempunyai seorang pun yang bertaraf Grandmaster. Indonesia ada dekat lima orang. Negara Cina ada beberapa puluh orang. Germany ada beratus. Russia ada beribu. Malaysia pula dapat dikalahkan oleh pasukan dari Singapura. Neo kata tidak lama dahulu seorang budak Singapura berumur 11 tahun yang dilatih oleh grandmaster impot dari Russia telah mengalahkan pemain handalan peringkat kebangsaan dari Malaysia.

Neo kata kerajaan ada peruntukan tersangat kecil untuk kegiatan bermain catur padahal ia adalah cukup baik untuk membina daya mental anak-anak kita supaya lebih pandai dalam ilmu matematik dan sains. Jika ada peruntukan ia akan pergi lebih kepada kocek tertentu dan tidak sampai kepada maksud sebenarnya seperti membawa masuk seorang grandmaster untuk melatih pemain tempatan.

Kelab tersebut tengah merancang membawa seorang grandmaster tetapi harganya adalah lima ribu ringgit sebulan dan perlu kontrek sekurang-kurangnya setahun lamanya sebelum pakar itu bersetuju terbang masuk.

Saya pun menelefon kawan saya di sini yang dari Kazakhstan dan beliau kebetulan datang dari keluarga pemain catur dan memberitahu kami ada seorang kawannya yang akan datang pada akhir tahun ini untuk belajar Inggeris dan kebetulan dia adalah seorang pakar yang bawah sedikit dari taraf grandmaster. Bolehlah saya bantunya selepas kelas Inggeris untuk percekapkan pertuturan Inggerisnya dan dia pula bantu kami di sini lebih cekap bermain catur.

Catur ini penting dalam hidup saya kerana ada beberapa konsep darinya yang saya sering terpakai dalam percaturan bisnes dan kerjaya. Contohnya menawarkan gambit dan melakukan 'positioning' untuk strategi jangka masa panjang.

Petang tadi kami di pejabat kelab tersebut berbincang lama strategi pula untuk menaikkan permainan catur tempatan. Antaranya saya akan cuba menulis skrip filem bertajuk 'Papan Catur' dan akan meminta M. Nasir sekiranya beliau berminat campur sekali. Baru-baru ini saya terjumpa M. Nasir dan nampaknya boleh berkawan. Bukanlah perkara baru seni ini bagi saya, kerana saya pernah menyumbang lapan episod sitcom Rumah Ayah yang dibintangi oleh Mustafa Kamal dan salah satu episodnya saya terlakun di dalamnya.

Harap-harap filem cadangan kami diterima dan disokong oleh semua sebagai usaha kutip derma serta sokongan untuk kegiatan minda menerusi catur dan juga sebagai tanda 1Malaysia yang baru - iaitu berteraskan kandungan minda dan bukan lisan semata-mata. Mana tahu boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Yasmin Ahmad.