Sebaik sahaja saya memeluk Islam pada 1400 Hijrah, saya dapat mengikuti perarakan pertama Maal Hijrah saya di Kota Melaka bersama rakan-rakan dari Saint Francis Institute (SFI). Bolehlah saya sebut bahawa pengetua SFI adalah Brother Harold iaitu seorang padri Kristian. Beliau cukup prihatin tentang saya sehingga apabila mengetahui saya memeluk Islam beliau memaklumkan saya bahawa terdapat pelbagai sokongan kerajaan dan NGO untuk bantu saya sekiranya mahu. Guru ekonomi saya, Chegu Lim pula yang tidak percaya saya ini boleh ambil subjek ekonomi kerana selama ini saya pelajar Sains Tulen, akhirnya insaf bahawa saya memang cepat mengejar bab ekonomi dalam masa beberapa hari. Satu hari saya duduk rihat kat surau dan tidak hadhir kelas. Chegu Lim pula hantar agen siasat saya mana dan agen tersebut kembali memberitahu Chegu Lim. Tersedar saya dicari Chegu saya cepat kejar kembali ke kelas dan beliau suruh saya duduk lagi kat surau kerana dia cuma bimbang saya kat mana ke kena kidnap ke dan tidak mahu saya diganggu!
Saya ingat lagi dalam perarakan itu kita menaikkan sepanduk yang bertajuk, "Kembalilah kepada Al-Quran dan AsSunnah". Saya masa itu cukup mentah dalam Islam. Saya masih ingat lagi (maaf wayang ini asyik flashback ke belakang) semasa saya dibawa oleh sahabat kursus BTN merangkap abang angkat Kampung Semabuk merangkap rakan sedarjah iaitu Amir Hamzah Abdul Hamid pergi ke Pejabat Agama Melaka untuk mendaftarkan pengislaman saya.
Dalam perjalanan pada tanggal 12hb Januari 1980 itu semasa dalam bas, Amir Hamzah dan saya tengah berbual apa nama yang sesuai buat saya sebagai muslim. Kita bercadang nama Muhammad Isa kerana kami banyak berbincang tentang kedua-dua pesuruh Allah itu (atas mereka selawat dan salam). Setibanya ke depan assistant Kadi yang terus berikan nama sepintas kilat "Mohd Redhuan" dengan ejaan yang lain dari Ridhwan atau Redzuan. Kami angguk sahaja tanpa soal banyak dan lekatlah nama saya sebagai 'Redhuan' sejak hari itu.
Saya ingat lagi kembali ke rumah Semabok saya melaksanakan solat saya yang pertama yakni solat zohor. Perasaan yang menyelubungi saya tidak boleh dibayangkan. Rasa begitu ringan dan kecil serta perasaan semasa sujud adalah yang paling suci. Selepas itu apabila belajar bertasbih subhanallah, walhamdulilah wallahu akhbar! cukup menyejuk dan menenangkan hati. Tidak boleh saya sambung cerita perjalanan hati itu kerana bimbang saudara pun mabuk sekali!
Hari-hari selepas itu bagaikan hidup dalam alam syurga di mukabumi. Suasana rumah keluarga angkat saya di Kpg Semabuk itu cukup hijau, nyaman, sejuk pada pagi selepas subuh, beraroma kampung, dengan keadaan lorong berliku, kawasan lapang, jiran mesra, segalanya stail kampung tidak boleh didapati di Kem Wardieburn atau kehidupan dibandar yang bising dan pening.
Saya terjumpa sebuah basikal tua di bawah rumah (rumah kampung separuhnya yang lebih tradisional adalah berada di atas tiang, jadi bawahnya ada ayam dan basikal tua), lalu membaikinya dan gunakan untuk bergayuh ke sekolah yang terletak hanya 3 batu jaraknya dari rumah. Semasa bergayuh basikal saya cukup suka kerana dengan perlahan melalui jalan kampung, ternampak sawah, ternampak laut dan ternampak bangunan lama Kota Melaka. Jimat pula tambang bas pergi balik.
Tetapi jiwa saya yang masih meronta itu meminta saya tidak berhenti sekadar tukar sekolah dan tukar agama. Saya perlu berjalan jauh lagi. Akhirnya abang angkat saya itu rasa saya masih sakit jiwa ini dibawanya ke seorang kenalan yang cukup istimewa iaitu Chegu Sallehuddin di Masjid Tengkera atas sikit dari Kota Melaka menuju utara. Semabok pula menuju selatan.
Chegu Sallehuddin dulunya pelajar universiti tetapi berhenti setengah jalan kerana inginkan hidup yang lain yakni seratus peratus Islamiklah macam lebih kurang yang saya inginkan juga masa itu. Tetapi kerana kita tidak tahu mana nak cari apa yang datang kita terimalah.
Apabila setibanya di rumahnya betul-betul seberang Masjid Tengkera, saya pun menaiki tangga rumah tua atas tiang juga, cat hijaunya dah lama dan memasuki ke ruang yang langsung tiada perabot! Lantainya kayu lama dan suasana di dalam memang sederhana dan berbau lama, cukup nostalgic buat saya kerana teringat rumah atap di kampung Cina saya di Penang sebelah bapa, tetapi sudah lenyap ditelan pembangunan.
Terlihat saja wajah Chegu Sallehuddin di dalam rumah hati saya kedengaran satu suara berkata, "Follow this man" (Ikutlah orang ini). Saya tidak pasti macamana suara itu datang, tetapi selepas itu jarang saya dapat bisikan sedemikian terang dalam hidup saya. Mungkin kerana waktu itu jiwa saya terlalu kosong tanpa satu fikiran menganggu.
Saya pun meminta persetujuan Amir Hamzah yang saya ingin pula berpindah ke rumah Tengkera ini dan duduklah sementara waktu mengharapkan dapat mendalami lagi Islam dengan Chegu Sallehuddin.
Hari-hari seterusnya saya perhati cara hidup guru saya yang baru yang cukup sederhana tetapi kemas. Beliau pakai jubah hijau dan serban putih yang senantiasa bersih dan kemas. Saya ternampak guru saya ini pakai jam dalil yang boleh menunjukkan arah kiblat. Di rumahnya dia mengajar saya bacaan beberapa ayat dengan tertib. Dia juga banyak berceramah kat saya seorang tentang mengapa dia 'masuk Islam semula' walaupun dia sudah keturunan Melayu Islam. Dia cerita tentang cara hidup kampung dia dekat Jasin yang sudah tidak Islamik, dimana mereka ada tarian joget lambak semasa majlis perkahwinan. Satu hari tengah-tengah orang berjoget, dia naik pentas dan lakukan solat sunnat 2 rakaat. Semua orang terhenti dan muzik turut terhenti dan selepas itu bermesyuarat jawatankuasa kampung menyuruh dia tinggalkan kampungnya. Itulah dia datang ke Masjid Tengkera lalu mengambil kerja sebagai guru kelas tuition dan menghabiskan masa lapang mengikuti kegiatan tabligh, berceramah kat kampung-kampung dan yang penting sekali hidup dengan cara yang redha meredhai dengan Allah. Hidupnya tidak pernah kering kerana ada saja orang datang menjenguk, membawa makanan pesanan, membawanya ceramah, dan ramai peminat pula.
Itulah hidup yang saya ingin sangat. Saya makin terpaut kepada guru baru saya itu lalu mengikuti dia ke mana sahaja dia pergi. Masjid Tengkera yang kita senantiasa pergi untuk solat harian berjemaah adalah cukup tradisional dan exotik rekabentuknya.
Saya juga membaca apa jua buku yang ada di rumah separuh usang itu. Satu buku yang menyebabkan saya membuat keputusan besar seterusnya adalah bertajuk lebih kurang, "Mencari Keredhaan Allah". Di dalam buku diceritakan bagaimana Allah menuntut kita mencariNya, ilmuNya dan keredhaanNya. Dan yang paling diminati dalam itu disebut tentang Janji Allah yang tidak mungkin Allah memungkirkan (tukhliful mi'ad). Janji tersebut ialah bahawasanya jika kamu mengambil jalan menuju tujuan tersebut, nescaya:
a) Malaikat di langit akan mengembangkan sayap menaungi kamu;
b) Ikan di sungai akan mendoakan kamu;
c) Rezeki kamu terjamin double;
d) Rezeki dan keselamatan keluarga yang anda tinggalkan walaupun bukan muslim adalah terjamin;
e) Jalan yang kamu berjalan itu adalah fisabilillah (Jalan Allah);
f) Jika kamu meninggal dunia separuh jalan pun dikira Syaheed (saksi yang terus masuk syurga dengan izinNya)
g) Niat kamu atas jalan ini akan dikurniakan (yakni ilmu Allah)
Wah, wah saya pun terkata kepada diri saya. Ini niaga manyak untungloh. Macamana boleh rugi? Semua ade gerenti! Tak dapat pun ade gerenti dapat!
Saya pun terus minta confirm dengan Chegu Sallehuddin guru saya yang pertama itu apakah benar janji-janji tersebut. Chegu pun makin menguatkan lagi dengan hujah-hujahnya yang tersendiri,
"Dunia ini bagaikan bayang-bayang kamu. Jika kamu kejarnya, ia akan lari dari kamu. Jika kamu berhenti, ia akan berhenti. Jika kamu lari darinya, ia akan mengejar kamu".
"Wahh.. ini macam kah? Lebih baik saya lari darinya. Biar dia kejar saya. Tak payah saya susah-susah cari dunia selepas ini".
Saya pun terus mendesak guru saya itu untuk tunjuk saya mana jalan Allah itu. Mana boleh saya belajar lagi ilmu Allah. SFI itu dengan kurikulum manusia tentu sekali tak mampu menampung hasrat saya ini. Chegu Sallehudin pun terrenung sekejap lalu berkata,
"Di sini susah cari sekolah yang sedemikian. Rasa-rasanya yang paling dekat ialah di Kelantan, di sekolah pondok sana. Tetapi apakah kamu sanggup?"
"Sanggup chegu. Saya tidak kisah jadi petani pun. Memang kerja itu baik dan sesuai untuk pengikut Islam", ujar saya.
"Baiklah, esok nanti kita bertolak ke Kuala Lumpur dulu", jawapan Chegu yang cukup menenangkan hati saya kerana akhirnya saya makin dekat untuk dapat tuntut dari janji Allah itu. Masa itu hati saya cukup tenang dan rasa kuat. Sakina namanya.
Dalam perjalanan bas ke Kuala Lumpur, juga saya ikut menunaikan solat atas bas saya yang pertama. Setibanya di Kuala Lumpur, Chegu bawa saya ke Kampung Kerinci menumpang sehari di Flets masyur itu dan saya tidak tahu pula kemana selepas itu akan dibawanya saya. Agak runsing sikit kerana perlu kembali ke bandaraya yang sudah benci dan tidak ingin duduk di dalamnya. Semasa berdiri dibalkoni Flets yang tinggi itu dan dapat melihat ke bawah seluruh bandaraya Kuala Lumpur saya merasakan saya ini amat berkuasa atas dunia yang fana ini padahal saya tidak ada duit dalam kocek maupun ada rancangan tertulis apa akan berlaku. Yang saya yakin ialah Allah adalah Penjaga saya. Sudah promise semasa saya buat doa janji nekad malam itu selepas membaca janjiNya itu,
"Ya Allah. I take this promise from You, and so grant me this wish to be on this path to seek for You and Your Knowledge."
Chegu Sallehudin pula teringat seorang sahabat setablighnya yang mengajar dekat dengan sana. Dia pun bawa saya ke Institut Dakwah Perkim dan berjumpa dengan Ustaz Kamal. Beliau terus ajak saya menduduki IDP dengan semua elaun makan dan belanja dan asrama diberikan percuma. Chegu Sallehudin pun bertanya saya, apakah saya terima bahawa ini mungkin persinggahan saya yang seterusnya dalam perjalanan hidup yang saya sudah berjanji 'keluar ke jalan Allah seumur hidup", bukan 3 hari, atau 3 bulan.
Saya pun bersetuju memasuki IDP dan mengikuti pengajian Islam peringkat Tsanawi iaitu yang bermula dari bawah siri pelajaran fardhu ain serta pengajian bahasa Arab dan tajwid membaca Al-Quran dengan betul.
(Selepas itu saya jarang berjumpa dengan Chegu Sallehudin melainkan sekali dua sahaja sebelum beliau mendirikan rumah tangga. Pernah dia tulis surat kat saya menyatakan rasa agak sunyi walaupun dengan Allah. Selepas beliau mendirikan rumah-tangga, saya tidak berjumpa dengannya. Saya berharap siapa yang kenal beliau tolong sampaikan salam dan khabar. Di sini saya merakamkan jutaan terima kasih buat beliau kerana membawa saya maju ke depan.)
(bersambung - berkenalan dengan ramai jemaah lain dalam dan luar negara)
1 comment:
Allahu Akbar...Alhamdulillah..
Post a Comment