Pada awalnya saya perlu pecahkan penulisan mengenai pertembungan kepimpinan sepanjang sejarah negara sebagai tercetus hanya oleh dua gergasi ini kerana bimbang terlalu panjang. Namun saya rasa masih tidak cukup pecahan tajuk blog ini kepada tiga Bab yang ringkas sahaja. Perlu diadakan lebih banyak bab kecil-kecilan unuk menerangkan beberapa konsep yang menarik supaya kita terdidik tentang beberapa perkara penting. Bab 1a ini akan menerangkan sedikit sebab mengapa dikatakan ada kepincangan politik dari sudut 'Apa Itu Pemimpin?', dan kemudiannya meletakkan latar-belakang yang mana selain dari kepincangan ini, tidak pula ada krisis politik kempimpinan sekian lama atau sedemikian teruk.
Sepertimana dikatakan sebelum ini, tidak ada pelita atau obor sepanjang sejarah negara melainkan dua pelita tersebut. Ini adalah kenyataan mengenai peranan kepimpinan yang sebenar iaitu sebagai cahaya untuk menunjukkan jalan ke depan yang lebih besar wawasan daripada yang ada sekarang. Dr. Mahathir berjaya menjadi obor tersebut. Beliau memberikan satu wawasan kepada negara yang menjadi pemacu yang hebat ke depan.
Adapun seseorang pemimpin itu dalam konteks fenomina sosio-politik adalah seorang tokoh yang boleh menjadi inspirasi kepada semua. Seorang yang apabila kita dengar dia bercakap, kita akan tergerak untuk bertindak, atau terasa bersemangat dan sebagainya. Kedua-dua tokoh tersebut mampu melakukan yang sedemikian. Yang sedihnya tidak boleh ada dua obor hidup dalam satu arena yang sama. Mereka mesti terlawan antara satu sama lain.
Kita ambil contoh Barrak Obama, calon demokrat untuk pemilihan Presiden Amerika tahun ini. Beliau memenuhi kriteria yang digariskan di atas, iaitu sebagai satu obor dalam kemelut politik negaranya yakni Amerika Syarikat yang dilanda krisis teruk imejnya di seluruh dunia serta berhadapan dengan dilema di Timur Tengah, dan kemelesetan ekomonmi dalam negara. Ramai tertarik dengan Obama kerana beliau mampu mencetuskan semangat dan memberi inspirasi kepada pendengar dan rakyat Amerika. Ramai tidak sabar tertunggu-tunggu untuk beliau menaiki tahta di White House. Dengan adanya Barrak ini mereka akan terhidu udara baru dan mengorak langkah baru ke depan dari kemelut ketidak-tentuan politik sekarang.
Perkara kedua yang saya sebut di atas ialah calon sedemikian tidak boleh hidup dengan ada satu obor yang lain yang inginkan juga kerusi yang sama di White House. Calon Demokrat yang lagi satu, yang tidak kecil pulak kepentingannya ialah Hilary Clinton, yang merupakan calon Presiden pertama AS yang wanita. Jadi sekarang rakyat AS menghadapi satu dilema yang baik (a good problem) yakni, mereka mempunyai terlalu banyak pilihan! Barrak adalah calon cukup menaikkan semangat dan beliau adalah calon kulit hitam pertama dalam sejarah AS. Barrak sebagai presiden akan bermakna satu era yang tidak terbayang sebelum ini dalam sejarah AS yang penuh dengan kekejaman terhadap nenek-moyang yang berkulit hitam serta prinsip keadilan dan pembuktian bahawa sesiapa sahaja tidak kira warna kulit boleh naik jadi nombor satu.
Hilary pula merupakan satu fakta sejarah bagi kaum wanita. Tidak pernah ada calon wanita untuk jawatan nombor satu AS. Calon hakim atau gabenor atau ketua congres adalah, tetapi untuk penghuni White House tak pernah ada. Sekiranya Hilary menang maka sama hebat juga dengan fakta sejarah yang AS ada presiden berketurunan kulit hitam. Jadi bagaimana penyelesaiannya di AS? Macamana mahu mmberikan peluang sebaik-baiknya kepada kedua-dua calon terhebat seluruh sejarah AS untuk menyelesaikan dilema baik dimana mereka itu muncul pada saat dan waktu yang sama? Jika Barrak tidak dicalonkan 2 penggal ini dan beri laluan kepada Hilary tak apa. Setiap calon ada ruang. Hilary dulu, Barrak kemudian kerana memandangkn umur Barrak masih muda.
Tetapi maaf, ini tidak mungkin berlaku. Barrak sudah dicalonkan. Lawan tetap mesti lawan. Dan kedua-dua calon tersebut adalah dari parti yang sama iaitu Parti Demokrat. Di sini kita lihat sistem dan budaya politik di AS sudah ada penyelesaiannya iaitu konsep primaries dimana mereka dua berentap dekat setahun secara satu lawan satu (setelah calon-calon Demokrat yang lain menarik diri). Di Malaysia kita tidak ada sistem macam itu. Calon kedua tidak boleh lawan calon pertama. Jika lawan satu mesti mati. Di AS, terdapat pilihan samada Barrak jadi Vice President di bawah Hilary dan tunggu 2 penggal kemudian baru naik jadi calon Presiden secara aman dan teratur. Di Malaysia tidak boleh, kerana kita tidak ada had dua penggal, dan budaya politik kita tidak matang untuk mengadakan perdebatan terbuka dan menerima kekalahan. Di AS biasa parti pemerintah kalah. Di Malaysia UMNO tidak pernah kalah. PRU12 UMNO masih menang. Kerusi Presiden UMNO juga tidak pernah dikalahkan oleh pencabar. Sering Presiden akan berundur seperti dalam kes Tunku Abdul Rahman, Hussein Onn dan Mahathir Mohamad.
Dengan menyedari betapa pentingnya seorang pemimpin politik, kita pula ada dilema yang tersendiri. Kita tidak mempunyai calon yang ramai yang sesuai untuk kriteria kerusi nombor 1! Yang ada untuk kaum bumiputra atau dengan lebih tepat lagi kaum Melayu hanyalah dua sahaja, yakni Mahathir dan Anwar. Selain mereka tidak ada yang boleh dikatakan setaraf atau sehebat untuk memimpin negara dalam konteks yang digambarkan di atas.
Budaya politik wang negara kita juga belum matang, jika berbanding dengan AS dimana wang boleh mengalir dengan banyaknya untuk kempen presiden. Sebagai negara yang kecil, wang adalah komoditi yang harus dikuasai oleh pemimpin dan tentunya suasana kronisma berlaku. Kedua-dua calon kita iaitu Mahathir dan Anwar sedar betapa pentingnya peranan wang sebagai bekalan dan sumber minyak kepada cahaya obor mereka. Maka tentu sekali saya tidak hairan mereka itu mempunyai wang yang banyak hasil daripada kedudukan politik mereka. Betul atau salah itu perkara kedua sekarang. Menang dulu baru cerita.
Dalam sejarah Islam juga menghadapi dilema ini. Zaman Nabi Yusuf ada persingkataan pengaruh politik dengan adik-beradik untuk menjadi nombor satu. Dalam zaman peninggalan Rasulullah s.a.w. ada politik untuk siapa jadi khalifah seterusnya dan seterusnya. Ali r.a sanggup berundur sebelum menjadi khalifah yang keempat. Tetapi pengikutnya tidak sanggup berundur.
Dalam keadaan kompleks politik negara, perlu senantiasa ada satu keramat politik - iaitu perlu ada seorang pemimpin yang karismatik, hebat, mencabar, dan memecah belengu strata diperingkat negara, tetapi penting sekali dia mesti mampu memimpin (He must be able to lead). Jadi dengan krisis hari ini kita sangka kita ada seorang pilihan sahaja, iaitu Anwar. Tetapi tidak. Kita masih ada Mahathir. Beliau telah mengurung Anwar pada awalnya tetapi harimau ini sudah dilepaskan awal. Maka singa tua terpaksa keluar kembali kerana perkiraan dan kepentingan politiknya sudah terancam. Saya percaya Mahathir menyerang Pak Lah waktu itu bukanlah kerana PakLah ubah dasarnya. Tetapi kerana singa tua sudah terhidu kancil sedang mengunjung ke penjara bertanya khabar harimau malang.
Percaturan dan geografi politik kita berkebetulan tidak menawarkan mana-mana calon yang setimpal selain dari dua makhluk ini. Najib, Muhyiddin, Shahrir, Pak Albar, Mat Taib hatta Ku Li, Hadi Awang pun semuanya tidak ada kelas kepidatoan 'Obama' seperti yang ada pada Mahathir dan Anwar.
Anwar adalah lebih merbahaya kepada Mahathir daripada merbahaya kepada Pak Lah. Perdana Menteri kita hari ini adalah seorang yang baik dari segi peribadi dan pembawaannya. Kita jangan terpengaruh dengan cerita. Pak Lah adalah simple, amat menyayangi keluarga dan mudah digauli. Cuma salah dia satu sahaja. Dia adalah calon pengikut. Dia bukanlah calon pemimpin.
No comments:
Post a Comment