Semasa di rumah Abeh Ru di PJ Old Town pada awal 1984, saya diajak masuk PAS oleh seorang pengunjung setia yang lain, iaitu Abdul Razak Ayub. Beliau yang bertugas sebagai seorang pemberita mahkamah dengan akhbar harian rajin mengunjungi pemimpin gerakan Islam supaya bermuafakat dan bersatu dalam satu barisan yang jelas demi memartabatkan jemaah Islam sebagai amat besar dan sepadu. Saya waktu itu hanya menyertai gerakan Murabitun pimpinan Shaykh Abdal Qadir As-Sufi Ad-Darqawi. Saya tidaklah berapa minat menyertai mana-mana usaha yang berbau politik tempatan yang saya anggap sebagai terhad skopnya ke arah perpaduan dan solidaritas ummah sedunia. Saya anggap Parti Islam seMalaysia hanya untuk Malaysia sahaja dan tidak alami. Jika saya berminat politik nescaya saya akan turut mengikuti Anwar Ibrahim dalam tahun 1982.
Tetapi Abdul Razak dapat berhujah dengan baik bahawa PAS adalah pentas semasa yang terbaik kerana Datuk Asri yang lapuk pimpinannya sudah berlalu dan kini diganti dengan kepimpinan ulama di bawah Ustaz Abdul Hadi Awang. Menurutnya, PAS akan bersifat benar-benar Islamik tanpa kira kaum dan terbuka kepada saya berdakwah kepada kaum saya sendiri iaitu orang Cina. Ini merupakan objektif utama saya kerana saya amat terasa insaf selaku seorang pemeluk Islam yang bertanggungjawab untuk berdakwah kepada kaum sendiri. Ia adalah hajat Shaykh Abdul Qadir kepada kita di Malaysia ialah supaya menyelamatkan kaum Cina yang terbesar di dunia itu. Maka PAS ada peluang untuk Cina muslim menyertainya dan boleh aktif dalam dakwah murni itu.
Saya diberikan borang keahlian serta ditawar supaya solat istikharah terlebih dahulu jika perlu sebelum membuat keputusan. Tanpa berfikir panjang kerana saya anggap apabila tiba keadaan untuk bertindak dengan ada ide dan sokongan dari orang yang sama semangat dengan kita, saya akan bertindak cepat. Saya pun mengisi borang dan menyertai PAS Cawangan Kpg Baru, Bahagian Titiwangsa.
Antara ahli PAS yang paling awal saya berkenalan adalah yang mengunjung ke flets Wisma Sabarudin iaitu Abdul Malek Husin dan Mohamad Sabu. Lepas itu saya berkenalan dengan Subky Latif, Nakhaie Ahmad, Hassan Syukri, Yusof Sulaiman (arwah), Badroll Hisham, Wan Mohamad, Radzi, Dollah Afro dan Mohd Hashim, semuanya di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur.
Yusuf Sulaiman, Abdul Razak dan saya mula merancang strategi menarik Cina kepada Islam. Kami bercadang membuat program majlis dialog dengan masyarakat Cina di Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Masalahnya saya ini sudah murtad bahasa Cina dan kita memerlukan seorang yang fasih tulisan Cina. Saya pun teringat Kamal Koh yang juga bekas pelajar IDP dan sering terjumpa semasa saya di Perkim. Masa itu Kamal bersama-sama dengan isterinya di tingkat 4, Pejabat Perkim, Jalan Ipoh. Mereka bertugas sebagai pembantu mubaligh di sana.
(bersambung, akan datang - Kamal Koh enggan menyertai PAS, Dialog dengan Cina. Penubuhan CCC, Saya dipilih Exco Pemuda PAS yang pertama bukan Melayu, Saya enggan lawan Rafidah Aziz semasa PRU. Saya kendur dari PAS.)
No comments:
Post a Comment