31 January, 2011

Kebangkitan Pemuda Sahara

Dengan dunia Arab, Muslim dan Barat terpingga-pingga dengan apa yang terletus secara terkejut dan mendadak di Utara Sahara hari ini - dari Tunisia ke Mesir. Kaum pemuda-pemudi yang berusia sekitar remaja sehingga tiga-puluhan mengukir satu hasrat baru iaitu untuk perubahan tanpa iringan ketakutan yang sering menghantui generasi sebelumnya. Saya ingat generasi saya bersalah kerana tidak mampu membawa perubahan tetapi mungkin kerana generasi baru ini jauh berbeza dengan alam Internet ala Facebook dan Twitter. Mereka juga lebih berpendidikan tinggi berbanding generasi ibu-bapa mereka.

Tahun lepas saya mengunjungi Libya dan kemudiannya Syria menyaksikan muda-mudi sana sudah arif dengan facebook dan sering bergayut dengan telefon bimbit. Mereka mempunyai cita-rasa yang tinggi dan ada ramai yang tidak berapa terpengaruh dengan soal agama tetapi lebih kepada soal kebebasan sosial.

Kebangkitan rakyat keluar ke jalan raya di Tunisia dan Mesir serta sedikit sebanyak di Jordan dan Yemen lebih disebabkan dengan ketidak-puasan dengan keadaan paras kemiskinan dan pengangguran mereka. Mereka lebih menginginkan keselesaan hidup dan wang kebendaan lebih daripada soal kebebasan agama, kerana memang di bumi mereka sudah lumrah dengan masjid dan malah ribuan maqam para anbiya, sahabat anbiya dan para awliyah dan ulama.

Semasa saya di Libya saya terkejut gaji pegawai yang mengiring saya dari Kementerian hanya sekitar 300 dinar sebulan iaitu kurang dari seribu ringgit secara kuasa membeli. Beliau membawa kereta cukup terbaru dan minyak sana memang murah. Tambah pula kerajaan Muamar Qadhafi meyediakan pendidikan percuma sehingga peringkat Universiti. Tetapi ramai daripada mereka terlalu bergantung kepada pekerjaan dari Kerajaan Pusat iaitu sejuta rakyat Libya adalah kaki-tangan kerajaan padahal jumlah penduduk hanya 6 juta orang. Bermakna Libya mengamalkan sistem negara kebajikan.

Tetapi revolusi mental yang lebih ketara bukanlah dari keadilan sosial tetapi lebih kepada kebebasan sosial. Kaum muda-mudi sana sudah bosan dengan retorik agama dan nasionalis semata-mata yang mereka asyik dengar sebelum lahir lagi. Di Iran pun sama. Ada seorang graduan terbijak sana yang memenangi anugerah pencipta cemerlang lari dari sana dan terjumpa dengan saya kerana ingin mengenal sistem perisian projek saya, menyatakan kepada saya tentang frasnya kaum pelajar sana sehingga 90% pemuda sana memang membangkang Presiden Iran yang ada sekarang.

Penurunan rakyat ke jalan raya di Kahirah dan merata lagi bandaraya utara Sahara dan bumi Arab tidak lagi dipimpin oleh jemaah Islam maupun para ulama. Tetapi lebih oleh suara yang serik dengan monopoli dan dominasi puak tertentu. Mereka adalah fenomina baru yang saya sendiri sudah ketinggalan tetapi saya masih prihatin.

(Gambar - 1. Bersama Asma, keturunan Libya-Russia di Persidangan Arab Pertama dalam Media Eletronik di Tripoli. 2. Pandangan saya dari belakang dewan persidangan tentang keselamatan perisian komputer anjuran Syria di Aleppo. 3. Pandangan dari atas kota purba Aleppo atau Halab dalam bahasa Arab. 4. Pandangan di hotel saya di Halab. Bersama seorang sahabat di Suoq masyur dalam kota lama Damascus atau Damasyq.)

18 January, 2011

Bersedia Untuk Mati


Bagi kaum Cina, iaitu bangsa saya sendiri, sebut tentang mati merupakan satu sial atau sueh jika disebut dikhalayak ramai. Mereka cuma mahu dengar benda untung dan duniawi sahaja. Namun jiwa saya mengikut fitrah ingin mengingati tentang mati. Dalam usia saya yang makin lanjut, saya sudah kurang dapat tidur lebih dari 5 jam sehari. Maka saya akan sering terbangun sebelum 5 pagi dan kadang kala 4 pagi.

Saya tidak dapat tidur. Saya akan terjaga dan terus terasa sunyi dalam kegelapan itu. Dalam waktu-waktu itulah di atas kain sejadah saya tafakur untuk apa tujuan hidup saya dan kemana akhirnya saya. Saya juga turut terfikir apa istimewanya waktu solat tahajud.

Rupa-rupanya ia amat membantu kita bertafakur dengan tenang. Kerana waktu itu tiada kebisingan berlaku. Tiada bunyi yang memesong telinga kita. Tiada cahaya yang memesong penglihatan kita. Tiada 'inception' yang sering berlaku waktu siang ujud sangat waktu itu.

Itu keadaan fitrah. Keadaan mati. Keadaan tiada apa disamping kita melainkan roh kita. Masa itu sering saya memohon Allah, tunjuklah hidayahNya, berikanlah ilmuNya. Bukan, bukan ilmu sains, tetapi ilmu hikmah, ilmu yang menerangkan hati. Yang lebih terang dari cahaya matahari waktu siang.

Namun tiada apa-apa yang berlaku. Dalam kegelapan semuanya diam. Dalam diam itu, saya tersedar. Saya tersedar sesuatu perkara yang saya tidak biasa sedar semasa terjaga waktu siang.

Saya sedar tentang persediaan saya untuk mati.

Sesungguhnya Allah yang menghidupkan dan yang mematikan.

(maaf tidak banyak menulis walaupun banyak cerita setelah bermusafir ke Suriya (Syria) yakni Shams, terjumpa banyak maqam para anbiya, sahabat, ulama dan wali. Termasuklah ziarah rumah Azmil Mustapha. Ini satu gambar bersama anaknya di Suoq Damsyiq kerana ayahnya, Azmil uzur beransur pulih dari pembedahan sakit jantung. Kepada saya cerita sedemikian tidak banyak mendorong saya menulis lagi. Mungkin teringat lebih kepada mati daripada dunia, walaupun indah, tetapi akhirat lebih minal ulaaa)