Semasa di Institut Latihan Perkim (IDP) pada tahun 1980, saya sering ikut Abdul Halim Shin merata mengunjungi dan berbincang atas semangat keislaman yang kuat. Lebih-lebih lagi masa itu dia pun bujang dan ada banyak masa lapang pada hujung minggu untuk berpusing mencari kumpulan atau keluarga sahabat yang sama kuat minat tentang soal Islam.
Satu hari dia bawa saya mengunjungi sebuah rumah dekat dengan IDP iaitu di PJ Old Town. Sahabat yang duduk di sana bernama Ir. Wan Nazru Azahari merupakan seorang pakar kejuruteraan minyak. Beliau bekas pelajar dari universiti di UK di mana beliau bersama beberapa pelajar-pelajar Melayu yang sezaman dengannya menubuhkan kumpulan Suara Islam. Mereka adalah golongan pelajar moden yang mahir dalam bidang bahasa Inggeris, teknologi dan professional. Menteri Besar Perak sekarang, iaitu Ir. Mohamad Nizar juga dikatakan anggota Suara Islam semasa beliau belajar di UK dulu.
Apabila saya masuk saja dalam rumah bungalo lama yang berhampiran dengan masjid Kawasan Melayu PJ itu, saya mendapati diri saya berada dalam satu alam melayu yang lain iaitu sebuah keluarga dari Kelantan. Ibunya dipanggil Cek yang kuat ingatannya sehingga terhafal seluruh Al-Quran. Adik-beradik Abeh Ru (panggilan sekeluarga untuk Wan Nazru) merupakan cerdik-cerdik belaka dari merata universiti termasuk 2 orang yang berpendidikan perubatan. Cara mereka kecek pun lain. Ada seorang nenek juga waktu itu yang mereka panggil Mok.
Abeh Ru yang petah berbahasa Arab dan Perancis, terus menyambut saya dengan waktu yang sama bercakap dalam bahasa Arab kepada Cek yang tengah duk didapur. Agaknya dia tengah beritahu yang seorang mualaf Cina sudah sampai ke rumah mereka dan terus Cek pun keluar tengok. Saya cukup tertarik juga kerana rak buku dalam rumah setingkat dan sederhana cukup terisi penuh dengan banyak buku berjudul luar biasa. Ada buku dan majalah yang tidak boleh didapati dalam negeri tetapi Abeh Ru beli dari London, Paris dan sebagainya.
Abeh Ru terus ajak saya duduk rumahnya dan anggap ibunya sebagai ibu saya. Sekali lagi saya saksikan fenomina sama dari kaum melayu tetapi dari suku Kelantan yang lain dengan keluarga angkat saya yang lagi satu dari suku Melaka jenis Hawwau tu. Suku Kelantan lain pula beradaban mereka dengan roiyak dan keliknya. Budunya pun dengan cepatnya saya turut ketagih.
Cek cukup suka layan kito dan mek-meknya pun seronok bersembang tentang pelbagai topik. Apabila saya tengah bersolat dan membaca ayat Al-Quran, sering Cek akan tegur dengan bacaan yang lebih tepat tajwidnya. Perbincangan dengan Abang Ru banyak membuka minda saya kepada kebudayaan dan pemikiran Islam. Beliau cukup banyak membaca dan saya anggap dialah orang pertama yang mengalahkan saya dari segi pembacaan tentang soal-soal sejarah dan linguistik.
Beliau sering tegur saya dengan, "Do not be a Malay" (Janganlah awak jadi seorang Melayu). Saya pula akan menjawab dengan, "I am sorry, I am surrounded by Malays" (Maafkan saya, saya dikelilingi oleh orang Melayu!).
Abeh Ru meletakkan satu kebesaran dalam jiwa saya tentang alam melayu Islam sepertimana yang ujud di Kelantan dari kacamatanya yang cukup tajam dan mendalam analisanya. Saya dibawa mereka balik kampung ke Melur dekat dengan Pasir Putih. Saya juga berpeluang mengenal keluarga Cek yang cukup besar sehingga meliputi tiga suku pekan Melur itu. Saya juga dapat berkenalan dengan bapa saudara mereka yang masyur iaitu Datuk Dr. Zainal Abidin yang selepas itu menjadi Pengarah Pusat Islam. Sampai sekarang jika saya terserempak dengannya saya akan memanggilnya dengan gelaran 'Ayah Din'.
Saya menghabiskan tiga tahun dari 1981 sehingga 1984 duduk dengan mereka secara penuh masa semasa saya mula berkhidmat dengan Anwar Ibrahim di Yayasan Anda Akademik sehingga saya berkerja di Dataprep sebagai jurukomputer. Kerja di Dataprep itu pun saya memperolehi menerusi kontek Abeh Ru. Saya masih ingat apabila kerja itu dengan mudah diberikan kepada saya kerana ihsan pengaruhnya saya cukup rasa segan kerana darah kecinaan saya yang degil itu tidak suka dikurniakan subsidi bantuan macam bumiputera yang lain. Saya pun memberitahu Abeh Ru,
"Biarlah ini kali pertama dan terakhir Abeh Ru membantu saya".
Namun secara tidak langsung bantuan yang lebih besar ialah memberikan saya satu peluang untuk menikmati kehidupan sebuah keluarga yang penuh kasih-sayang dan tinggi peradaban keislaman dan 'kelantan'an mereka yang tidak pernah saya mengalami sebelum ini.
No comments:
Post a Comment