15 March, 2010

Bagaimana Buku Saya Terjadi


Setelah bertahun bercakap mengenainya, akhirnya buku yang membuktikan saya sebagai penulis yang sahih keluar dalam pasaran. Saya masih ingat sejak tahun 1985 pada umur 24 tahun, saya asyik berangan-angan ingin menjadi seorang penulis yang melahirkan pelbagai ide dan falsafah tetapi tertinggal angan-angan sahaja.

Memang bukan mudah untuk menukarkan sesuatu yang tidak nyata kepada yang nyata. Maka menurut syariat, selepas bertahmid kepada Allah, mana-mana makhlukNya yang membantu ke arah itu akan diberi penghormatan di sini.

Buku saya diterbit oleh Pearson yang merupakan satu jenama penerbitan yang unggul di seluruh dunia. Siapa di sana yang menghasilkannya? Mereka adalah Alison Poh dan Norhiza Jaafar dan mereka berurusan dengan saya pada tahun 2009. Siapa yang memperkenalkan hasil tulisan saya kepada mereka? Sahabat itu adalah Dr. Nurhizam Safie, Dekan School of ICT, Asia e-University dan beliau mengenali saya pada tahun 2008.

Bagaimana beliau dapat tahu mengenai projek saya? Ia adalah disebabkan bacaan beliau mengenai berita saya dan perhubungan saya dengan Presiden universiti tersebut iaitu Dato Ansary Ahmed pada tahun 2007 lagi. Bagaimana saya diperkenalkan kepada akhbar New Straits Times dan Dato Ansary pada tahun tersebut? Ia adalah menerusi usaha Dr. Azman Firdaus, seorang usahawan teknologi MSC. Bagaimana beliau mengenali saya pada tahun akhir 2006? Ia adalah menerusi seorang sahabat bernama Faizal Yusof (kini seorang usahawan teknologi jua) yang mengenali saya pada tahun 2005.

Siapa pula yang memperkenalkan beliau kepada saya? Ia adalah seorang pendatang dengan izin dari India, iaitu Suresh Punajan yang berhijrah ke sini untuk menjadi seorang pakar IT yang berjaya. Bagaimana Suresh dapat mengenali Malaysia? Ia adalah kerana syarikat saya menghantar saya kepada Bangalore pada tahun 2000 untuk mencari syarikat perisian offshore untuk mengurangkan kos pembuatan perisian untuk www.famili.tv. Kami memberi projek kepada bos beliau yang menghantarnya ke Malaysia dan akhirnya ia jatuh cinta dengan negara ini.

Bagaimana pula saya berkerja dengan syarikat iaitu Chase Perdana Bhd sebagai seorang Chief Technology Officer? Ia kerana saya dikenali oleh Nordin Saisi yang diajak oleh pengerusi Chase Perdana. Nordin sebelum ini yang mempelawa saya mengujudkan laman web Bank Bumiputra pada tahun 1996 dan pada tahun 2000 mengajak saya untuk mengujudkan portal famili.tv. Dari Bank Bumiputra, seorang pegawai bank iaitu Zolkipli mengenali syarikat Siti Nurhaliza menghubungi saya untuk mengujudkan laman web pertama artis terkenal Asia. Bagaimana pula saya mengenali Nordin Saisi seorang pakar pemasaran dari IBM? Panjang lagi ceritanya.. dan seterusnya. Ramai lagi nama para sahabat dalam isnad dan salasilah yang ingin saya mencatat di sini tetapi ia akan mengambil masa yang begitu lama nanti dan tidak terterbitlah blog ini.

Saya berterima kasih kepada setiap mereka yang tercatat di atas, semoga Allah membalas jasa mereka kepada saya dengan balasan yang lebih thayib dan hasanah kerana dapat saya menghasilkan ide dan bahan untuk buku terulong saya ini.

Harus atau wajib juga untuk mengenali satu hakikat dalam semua ini. Saya terserempak dengan mereka dalam perjalanan hidup dan tergerak hati berurusan tanpa sedar tetapi kerana gerak hati tersebut datang dari Allah tanpa kita sedari maka kita mengakui bahawa Allah yang sedar dan ujud dalam segala-galanya pada hakikatnya.

Hendaklah juga saya senantiasa bersabar dengan segala pancaroba dan ujian hidup. Sesiapa yang saya terserempak pada hari ini saya anggaplah hanya dari Allah SWT. Rezeki datang dari arah yang aku tidak menduga. Hendaklah saya senantiasa bertakwa dan bertawakal kepadaNya.

Maka sempurnalah usaha terima kasih saya kepada makhluk dan syukur saya kepada Pencipta makhluk. Amin, amin, ya rabbil alamin.