Semasa di Institut Dakwah Perkim (IDP) pada 1980, saya dapat berkenalan dengan Abdul Halim Shin yang baru sahaja tamat IDP itu tetapi sering mengunjungi saya dan berkongsi hasil bacaannya yang agak tinggi-tinggi. Beliau adalah kelulusan Universiti 1st kelas dalam ekonomi (jika tak silap saya) dari Bentong, Pahang dan duduk menumpang pula di rumah Kak Azizah Ibrahim di belakang IDP masa itu.
Beliau rajin menyalin dari sumber bacaan berfalsafah tasauf maupun orientalis serta tokoh masyur Islam yang lain yang beliau boleh pinjam dari perpustakaan Intan kerajaan yang tidak biasa didapati di perpustakaan lain maupun kedai buku. Beliau sering menziarah tokoh-tokoh setempat waktu itu untuk bertukar pendapat dan dengan mengikutinya saya dapat juga manfaat perjalanan ilmiah buat diri saya. Menerusinya saya lebih berkenalan dengan Fadhullah Wilmont, Ustaz Nasuha dari Jeram, dan Koyakutty, editor Readings In Islam yang mendedahkan saya kepada terjemahan hasil kerja Kalim Sidiqui dari UK, Syed Qutb dari Mesir dan The Darqawi Journal dari Norwich.
Saya mula membaca dengan lebih mendalam tentang Shaykh Abdal Qadir As-Sufi, seorang pemeluk Islam dari Scotland dan buku-bukunya seperti Jihad, The Ground Plan yang amat tinggi kaedah pengunaan bahasa Inggerisnya.
Abdul Halim amat berminat dengan material tasauf yang saya dapati ada persamaan dengan prinsip Tao dan Zen. Saya juga turut bersamanya ke majlis zikir tariqa Ahmadiah yang ada masa itu di Negeri Sembilan.
Oleh kerana terpengaruh secara mendalam dalam satu ilmu baru yang ada persamaan dengan fahaman yang saya dukung sebelum ini, maka saya banyak mengambil ide-ide dari Shaykh Abdal Qadir dan serapkan dalam perbincangan saya dengan rakan-rakan.
Satu pagi, giliran saya untuk memberikan ceramah kuliah selepas solat subuh dan saya pilih konsep bahawa 'ulama kini adalah musuh Islam' dari buku Jihad - The Ground Plan. Ustaz 'Wan' yang bersama mendengar ceramah saya menegur saya selepas itu dari mana saya dapat bahan tersebut dan apakah saya yakin dengannya. Saya tentu sekali jawab 'ya'.
Selepas itu semasa kelas berjalan saya dipanggil oleh TanSri Abdul Jalil Hassan untuk masuk pejabatnya. Beliau bertanya saya apa yang saya faham tentang tasauf dan tariqa. Saya pun menjawab sepertimana saya terbaca bahawa "Tariqa itu adalah adab". Beliau pun ajak saya cuba pandang rak buku-buku bahasa Arab yang ada belakangnya, yang penuh dari kiri sehingga kanan, atas sehingga bawah dengan buku-buku dalam bahasa Arab.
"Ah, baca semua ini dulu sebelum nak cakap tentang Tasauf!", ujarnya. "Saya ada ijazah lanjutan dalam Tasauf".
Saya pun termenung tetapi tetap degil bahawa dia adalah dia dan saya adalah saya. Saya sudah mengenal apa itu 'tasauf' sebelum saya masuk Islam lagi. Maka saya angguk je la kerana tidak mahu menimbulkan kontroversi dengannya.
Saya tetap mencintai ilmu dari pelbagai sumbe dan tidak kira mazhab mahupun ideologi. Lagi berbeza lagi saya curious dan ingin go to the bottom of it. Tak kira mengenai ideologi Shia, anti-hadits, bahai, atau political thought seperti Islamic State, Socialism, Marxism, Democracy, Monarchy, Feudalism, Pragmatism dan macam-macam lagi ism yang duk ada.
Tidak jarang juga saya mengadakan debat di kedai kopi maupun kat serambi masjid atau tepi katil dengan pelbagai pihak sehingga jauh malam pun ada. Cuma saya tidak berapa suka jika pihak lain itu cepat emosi atau hilang kawalan dirinya lalu marah-marah demi mempertahankan hujahnya.
Adalah agak payah untuk bersetuju seratus peratus mahupun tidak seratus peratus dengan semua pihak. Saya senantiasa cuba jalan samada berkompromi atau mencari muafakat diantara polar yang ekstrim tetapi sering tidak berjaya. Masing-masing mempunyai hujah dan fakta yang amat kuat yang menggunakan bahan Al-Quran. Sering juga saya sendiri tidak dapat menjawab kerana belum mendapat ilmu yang cukup lengkap mengenai satu-satu perkara yang dibahaskan. Hendaklah saya senantiasa pergi mengaji atau menelaah seberapa ramai kitab yang boleh. Itupun dalam masa lapang yang terjumpa. Itu pun dalam bahasa Inggeris dan Melayu sahaja kerana saya tidak cekap dalam bahasa Arab. Saya juga sering mendampingi mereka yang boleh berbahasa Arab supaya mendapat jawapan kepada persoalan tersebut.
Namun begitu, saya cukup bersyukur kerana banyak hujah dan bahan yang saya dapat, yang memenuhi kehendak saya dalam mencari ilmu Allah dan AddinNya. Kini yang tinggal ialah peluang mempraktikannya atau sekurang-kurang mencapai satu kesenian dalam berpolitik yakni dapat menuju satu kemuafakataan yang harmoni lagi bermakna kepada bukan rakyat Iran, bukan rakyat Mesir atau Turki, bukan rakyat Indonesia atau Eropah tetapi rakyat kita sendiri di sini, di Malaysia. Ah, tetapi ada yang mesti berhujah balik, "Kenapa Malaysia sahaja?!"
No comments:
Post a Comment