24 September, 2010

Solat Zohor Pertama

Solat saya yang pertama adalah waktu solat Zohor pada hari pertama saya memeluk Islam iaitu pada tanggal 12, bulan Januari, 1980 taqwim Kristian atau 1400 takwim Hijrah. Saya teringat solat saya itu dengan agak jelas iaitu di rumah abang angkat saya di Semabok, Melaka yang masih bersifat rumah kampung separuh papan dengan lantai rumah disokong oleh tiang penjuru, terangkat terpisah dari tanah waktu itu. Kini ia sudah roboh dan abang angkat saya telah gantikan dengan satu bangunan besar menyerupai mahligai.

Semasa solat zohor itu, saya terasa cukup kerdil seolah sebiji habuk yang terapung ringan. Jiwa saya cukup tenang dan tidak terlintas apa jua angan-angan duniawi. Masa itu saya tiada pembiayaan tetap kerana sudah berhirjah meninggalkan keluarga kandung. 3 bapa saudara saya telah berkongsi RM70 setiap orang untuk memberikan saya RM210 untuk buat bekalan saya selama tiga bulan duduk di kampung. Mereka masa itu tidak tahu yang saya telah memeluk Islam.

Pada waktu malam saya dapat belajar bertasbih dan dengan setiap ucapan tasbih itu saya merasa diri saya makin tenang dan tersedar tentang keadaan alam sekiling. Apabila saya tertidur masih boleh teringat yang saya dalam keadaan tenang sehinggalah waktu subuh. Keadaan itu amat sukar untuk saya mengalami hari ini kerana jiwa saya kian tertutup dengan angan-angan duniawi serta senantiasa terfikir tentang soal rezeki dan kemewahan hidup. Tidak macam hari-hari pertama saya memeluk Islam dimana kocek saya hampir kosong dan tidak pula saya merasakan sedikit bimbang dan risau tentang masa depan saya yang bulat-bulat saya serah kepada Allah.

Saya teringat solat pertama saya di Masjid Bandar Hilir dan seorang hamba Allah tertanya apakah saya seorang saudara baru dan saya menjawab ya, lalu dia terus memberikan beberapa ringgit kepada saya katanya sebagai zakat ikhlas. Saya cukup terharu namun tertanya mengapa perkara ini terjadi padahal saya tidaklah meminta atau berkeadaan semacam pengemis. Peristiwa diberikan wang oleh orang lain dengan tiba-tiba tidak lagi berlaku selepas itu melainkan hanya di negeri Kelantan dimana pernah ramai ahli jemaah sana msmasukkan wang ke dalam kocek saya walaupun saya tidak meminta. Ustaz Muhammad Hussein di Pasir Putih memberitahu saya memang menjadi adat lumrah orang Kelantan memberikan wang zakat secara langsung kepada saudara baru. Walaupun saya tidak meminta wang atau merasakan perlu diberi bantuan tetapi peristiwa sedemikian menyentuh hati kecil saya dengan mendalam. Ia memberikan saya satu perasaan tentang persaudaraan Islam yang alami, yang tidak terhad oleh ras, keturunan atau martabat dan darjat. Islam begitu indah dan tepat pilihan buat manusia sejagat.

20 September, 2010

Mengucap Kalimah Sahadah

Pada tanggal 12 bulan Januari, tahun 1980, taqwim Yunani-Kristian, bersamaan dengan tahun hijrah 1400, saya mengucapkan kalimah sahadah di depan seorang Penolong Kadi, Pejabat Agama Islam di bandar Melaka. Saya ditanya apa nama Islam yang saya inginkan. Dalam perjalanan ke pejabat agama, saya dan sahabat yang membawa saya, iaitu Amir Hamzah (tuan punya pengasas air homopati ECPI kini) berbincang apakah nama saya boleh jadi Muhammad Isa dan sebagainya. Tetapi sebaik saja kami ditanya, Penolong Kadi pun seterusnya memberikan nama saya, "Mohd Redhuan" dengan tulisan dan ejaan yang sedemikian rupa dan lain dari Redzuan atau Ridhuan yang lain. (Redzuan Hashim adalah kawan Sekolah Menengah Victoria tahun sama dengan saya dan Ridhuan Tee adalah kenalan saya beberapa tahun kemudian).

Saya ditanya siapa keluarga angkat Islam yang saya ada dan saya namakan keluarga Amir Hamzah. Saya disuruh kembali kepada pejabatnya beberapa minggu kemudian untuk satu ujian lisan dan mendapat kad pengIslaman saya. Apabila saya kembali kepada pejabatnya kemudian saya telah diuji dalam fahaman saya tentang Islam dan diterima sebagai lulus. Saya pun diberikan sedikit wang zakat tak sampai seratus ringgit.

Tidak lama 2 atau 3 bulan kemudian saya dibawa oleh abang angkat saya lalu tertarik dengan seorang aktivis gerakan Tabligh yang duduk di depan Masjid Tengkera, iaitu Chegu Sallehuddin lalu saya meminta diri dari rumah Amir Hamzah dan mengikuti Chegu Sallehuddin dengan hanya bekalan beberapa helai dan sepinggang. Tetapi jiwa saya cukup tenang dan lapang kerana menjelajah hidup yang lain dari yang lain dan bebas dari tuntutan dunia buat seketika. Peristiwa demi peristiwa serta rintitan hidup telah membawa saya terjumpa orang tertentu dan gerakan lain tertentu sehinggalah ke hari ini, dapat saya menyimpulkan yang selama ini hanyalah Allah yang sebenar-benarnya Pemberi Petunjuk dan Pertolongan. Banyak ilmu dan pendalaman agama yang saya temui yang tidak mungkin terjadi sekiranya saya terus ke universiti secara normal dan bekerja seperti orang lain yang sezaman dengan saya.

13 September, 2010

Percaya Anak Tuhan

Rukun utama dalam kepercayaan saya sebagai seorang Kristian (semasa tingkatan 1(1974) dan kemudiannya sambung kembali dalam tingkatan 5 (1978)) iaitu Nabi Isa (Jesus) sebagai anak tuhan (son of god). Kepercayaan itu diterima oleh saya ketika itu kerana unsur pengaruh pelbagai jenis dari rakan-rakan gereja, pengikut Kristian yang lain dan pengisian tanpa henti sebagai seorang penganut fahaman Kristian.

Sahabat-handai saya yang turut aktif sebagai ahlul jemaah Kristian senantiasa kuat mengikuti Bible, berdoa, dan berjemaah untuk menjaga kepentingan mereka yang kurang bernasib baik sehingga ia amat mendorong saya untuk mempercayai segala yang dibawa.

Kami sentiasa ke gereja dan mengikuti upacara pembelajaran yang dinamakan Quiet Time (waktu senyap) bersama Bible. Apabila orang-orang disekeliling kita mempercayai sesuatu perkara secara berkelompok, maka kita sendiri pun turut terbawa dan terpengaruh kuat dengan pegangan tersebut.

Sering dalam gereja, hadirin akan meluahkan perasaan yang kuat diri mereka serta pengalaman mereka diiringi dengan alunan irama dan mainan choir penyanyi di hadapan. Semua ini mendatangkan kesan yang cukup mendalam nilai psikologi kepada sesiapa yang lemah imannya.

Percaya bahawa Jesus itu anak tuhan amat utama sehingga sekiranya pegangan ini dipersoalkan maka hilanglah pengaruh gereja maupun keyakinan terhadap agama Kristian itu. Ini adalah rukun iman Kristian yang membezakannya dari agama Yahudi Judaisma dan agama Islam, iaitu dua agama samawi (langit) yang lain.

Lazimnya apa jua tindakan menyoal seseorang Kristian yang tertutup pemikirannya akan ditentang secara penutupan total hati-hati mereka. Ini kerana mereka menganggap pengalaman mereka terhadap pegangan mereka berdasarkan bukan kepada fakta tetapi kepada perasaan dan psikologi. Mereka pun tidak menganggapnya sebagai emosi tetapi sebagai satu pengalaman hakiki tentang Ruh Kudus yang benar-benar memasuki diri mereka. Apa jua pengalaman sekililing mereka ditafsir sebagai kesan secara langsung dari Ruh Kudus itu. Ruh Kudus adalah teman akrab dalam Trinity atau Segi-Tiga ketuhanan Kristian. Tuhan adalah Bapa, Anak dan Ruh dalam konsep tersebut.

Tetapi bukan semua Kristian yang tertutup dalam mempersoalkan perkara ini. Semasa saya mengikuti mereka saya terjumpa juga yang menyoalkan perkara ini tetapi kerana tiada pihak ketiga di situ untuk memperkenalkan jawapan selain dari mereka, maka tidaklah mudah bagi mereka terjumpa jalan keluar. Saya terserempak dengan Islam pun adalah secara terkejut dan tidak terancang. Rintitan peristiwa hidup saya yang membawa saya kepada satu jalan yang lain. Boleh dikatakan ia adalah Hidayah Allah semata-mata. Tetapi untuk menyatakan perkara sedemikian adalah sama dengan cara Kristian memperjelaskan pengalaman mereka atau seorang pengikut ESQ memperjelaskan pengalaman dirinya.

Dengan itu dalam menerangkan perkara sedemikian yang dianggap spiritual kita haruslah bersikap objektif dan dari situlah dapat saya membuktikan sekurang-kurangnya kepada diri saya sendiri bahawa Nabi Isa itu bukan anak tuhan tetapi adalah Isa ibnu Maryam (Jesus, son of Mary) alMasihi (The Messiah), aRuhullah (Spirit of God) disamping tidak dilahirkan Tuhan yang bukan dilahirkan jua. Pegangan saya kepada Al-Quran ialah kerana unsur fakta dan penyelidikan seterusnya. Ia bukanlah takliq atau pegangan buta tuli tanpa mencari dalil dan asbabul nuzul berkaitan.

Sikap mencari ilmu sebenar adalah satu jalan Allah dan menuju kebenaran Allah yang tidak mudah tercapai sekiranya kita menganggap kita sudah selamat kerana terlahir sebagai anak ibu-bapa kita tanpa perlu lagi mencari kebenaran atau mendalaminya.

Setiap hari dalam pembacaan saya dari Kitab-kitab Allah membongkarkan kepada saya tujuan hidup kita semua yang sebenarnya dan mendedahkan konsep Tuhan yang setingginya.

08 September, 2010

Mengapa Meminta Maaf Setahun Sekali?

Ini adalah tajuk setahun sekali kerana rata-rata kekawan Melayu meminta maaf zahir dan bathin. Kepada saya yang bukan Melayu merasakan pelik kerana sebagai seorang Muslim saya tidak sedar diajar secara syarie begitu. Tidak ada nas samada dalam Al-Quran maupun AsSunnah yang saya diberitahu saya perlu meminta maaf pada yaumil Aidil Fitri atau meminta dari sudut zahir maupun bathin tanpa disebut apa sebenarnya kesilapan berkaitan.

Sesiapa yang ada buat salah terhadap saya perlu perjelaskan kepada saya, berapa banyak dia termakan hak saya, fitnah apa dia terhadap saya, atau apa hutangnya terhadap saya, barulah saya boleh mempertimbangkan untuk dimaafkan :)

Yang saya tahu, meminta maaf ini wajib ke atas kita apabila berlaku kesilapan dan wajib diminta secepat mungkin dan dinyatakan kesilapan atau dosa kita. Tiada penangguhan diberikan. Sekiranya saya termakan harta anda, saya wajib memohon ampun secara terus terang berapa banyak yang saya termakan, barulah anda harus memaafkan saya. Lepas itu saya perlu beristighfar banyak-banyak kepada Allah kerana termakan perkara yang bukan hak saya adalah dosa besar di sisi Allah SWT. Perlu pula berjanji dan taubat nasoha yang saya tidak akan melakukannya lagi.

Tetapi oleh kerana rata-rata akan meminta maaf kepada saya, saya biarkanlah. Apa nak buat, saya sudah dikira masuk Melayu dan meraikan hari besar orang Melayu. Lagu yang diputarkan pula adalah lagu Melayu and asyik itu sahaja yang tidak mendatangkan suasana insaf dan tafakur sedikit pun kepada saya. Amalan memberi wang ang pau yang warna 'cheh' (hijau) pun anih sangat. Cukuplah rintihan setahun sekali saya ini. Jika soalkan sangat tradisi orang Melayu, ultra-sensitif pula. Oh ya, lupa pula.. jika tergores perasaan, minta maaflah ya?

05 September, 2010

Tidak Yakin Kepada Tuhan

Semasa saya berumur pra-remaja iaitu lebih kurang 15 atau 16 tahun saya sudah mula tidak yakin tentang ujudnya Tuhan. Fahaman saya masa itu diterap oleh agama Kristian iaitu bahawasanya Tuhan itu berada di atas langit dan sedang memerhati kita di bawah. Doa yang sering dibaca umpamanya, "Our Father In Heaven" iaitu 'Bapa Kami Di Syurga' atau di langit.

Fahaman ketuhanan tersebut diperkuatkan dengan beberapa perkara yang lain seperti Jesus (Nabi Isa a.s) itu adalah Anak Tuhan. Gospel tulisan John bab 3, rangkap 16 menyebut, "Bahawasanya Tuhan amat menyayangi dunia ini, dimana Ia memberikan anak tunggal yang terlahir, dimana sesiapa yang percaya dengannya tidak akan mati tetapi memperolehi hidup yang kekal abadi". Fokus ketuhanan tidak kepada sifat atau ciri tauhid yang menjawab tentang hubungan Tuhan dengan kejadian alam tetapi seolah Tuhan itu sebahagian dari makhluk dan alam.

Formula keselamatan akhirat diberitahu kepada kita ialah hanya dengan menerima Jesus Christ itu sebagai Penyelamat. Jika tidak kita akan kekal berdosa kerana warisan atau keturunan Nabi Adam a.s. semuanya sudah berdosa. Surat Romans 2:20 menyatakan, "Adalah kesemuanya sudah berdosa dan jatuh dari kerahiman Tuhan". Ini dinamakan konsep Original Sin atau Dosa Asal yakni dosa yang dilakukan oleh Adam dan Hawa dengan mengingkari perintah Tuhan supaya jangan menyentuh buah epal dari pokok itu.

Falsafah dan polisi keagamaan sedemikian tidak serasi dengan fitrah saya yang inginkan formula kepercayaan yang mampu menerangkan semua soal kejadian alam dengan jelas dan menyeluruh serta tidak mempunyai persoalan yang bercanggah. Konsep ketuhanan Bible tidak dapat menerangkan tentang kuasa dan perjalanan sejarah manusia. Mengapa saya dilahirkan? Mengapa saya patut diuji? Mengapa patut saya perlu Jesus untuk masuk syurga? Jika saya tidak kenal Jesus, patutkah saya masuk neraka? Bagaimana pula tentang bayi yang baru lahir? Mengapa Tuhan yang dikatakan Maha Esa lagi Berkuasa itu tidak dapat menghilangkan syaitan dan kembalikan manusia kepada keadaan Adam dan Hawa sebelum kejatuhan mereka?

Kerana tekanan jiwa dari hidup yang terumbang-ambing, saya sentiasa berdoa kepada Tuhan itu supaya memberikan saya jawapan dan jika boleh tarik balik keujudan saya, kerana saya tidak harus melalui semua ini. Saya tidak langsung minta dilahirkan dan tidak ingin dilahirkan. Saya mula mengkaji pelbagai aliran ilmu terutama tentang astronomi, psikologi dan falsafah maupun sejarah. Banyak masa saya dihabiskan di Perpustakaan British Council dekat dengan Masjid Negara dimana saya menemani kawan-kawan Melayu untuk mereka pergi solat Jumaat tetapi saya meneruskan perjalanan sehingga ke British Council. Itu amalan saya semasa tingkatan 1 sehingga 3, setiap hari Jumaat dan di British Council itu saya terjumpa pelbagai khazanah ilmu sehingga saya merasakan jika boleh saya ingin merompak British Council itu.

Semasa saya dalam tingkatan 4, saya memasuki Lembaga Perpustakaan Victoria Institution lalu lebih menghabiskan masa di sana. Dengan pembacaan yang meluas telah memaksa saya beralih dari Kristian untuk mencari makna yang lebih mendalam tentang punca kejadian saya dan alam.

Saya pun beralih kepada fahaman Buddha dan aliran mistiknya iaitu Zen. Buat seketika saya serasi dengan konsep Tao dan Zen bahawa Tuhan itu tiada, tetapi disebalik sunnah Alam, tidak berwajah, tidak kelihatan, tiada bertempat maupun tidak bergelaran tepat. Ia ujud sediakala lagi dan akan kekal abadi. Tugas manusia adalah untuk bertafakur entah berapa lama sehinggalah sampai mencapai kesedaran sebenar tentangnya iaitu sampailah maqam Nirvana.

Pada umur 18 tahun, pada ketika ambang terbawah kehidupan saya, ketika paling pahit, ketika paling keseorangan selepas ayah dan ibu terpisah, dengan tiba-tiba saya terserempak dengan Islam yang sebelum ini saya langsung tidak membaca semasa dalam perpustakaan sekolah maupun tertanya kerana menyangkakan bahawa Islam itu adalah agama kaum Melayu semata-mata. Kejutan itu adalah pelik dan sampai hari ini saya tertanya tentang kemungkinan apakah sekiranya saya membaca tentang Islam secara lebih awal dan sistematik apakah saya akan terima Islam dan sekiranya terima apakah dengan emosi yang sama terharu. Saya ternangis teresak-esak kerana akhirnya saya terjumpa jalan yang tidak didugai yang tersembunyi entah kenapa dari saya sebelum itu. Saya seolah dalam kegelapan dan akhirnya terjumpa cahaya yang membutakan.

Saya berharap cebis-cebisan kisah hidup saya mendatangkan keinsafan kepada semua dan membawa kita kepada kesedaran tentang diri kita dan Allah dengan lebih bermakna dan memuaskan. Amin wal hamdulillahirabilaalamiin.

04 September, 2010

Mencari Kemerdekaan Semasa Remaja

Semasa saya remaja dahulu, saya belum lagi Muslim atau kenal apa itu Islam. Saya sering tertanya-tanya tentang apa itu punca kejadian alam dan lebih penting lagi kejadian diri saya. Ini kerana hidup saya sewaktu kecil agak susah dari segi bathin. Ibubapa sering bergaduh pasal wang dan kami hidup cukup sederhana kerana ayah saya sering menghabiskan wang di meja judi. Tambah pula beliau seorang kaki arak. Apa yang terjadi kepada kami sekeluarga menyebabkan saya cukup marah dengan arak dan judi.

Tetapi keadaan tertekan sedemikian dan cara kawalan ibubapa saya terhadap saya yang tidak membenarkan saya keluar dari rumah untuk apa jua aktiviti melainkan untuk belajar atau pergi gereja sahaja menyebabkan saya cukup tertanya-tanya tentang banyak perkara. Saya sering berangan bagaimana jika saya dapat bebas dan merdeka. Sering saya memutarkan wayang dalam kepala saya mejelajah seluruh dunia seperti apa yang saya terbaca dalam buku sejarah atau ensaiklopedia. Saya ingin hidup bersama-sama Marco Polo atau Laksamana Cheng Ho atau Ibnu Batuta.

Tetapi saya tidak berani melarikan diri dari rumah kerana terlalu takut dengan ibubapa yang mengamalkan hukuman pukul dengan rotan. Kayu pun pernah saya kena. Satu hari saya pernah mencuba sepuntung rokok yang dibuang ke atas jalan untuk mengambil satu sedutan. Ternampak seorang askar di luar Kem Wardieburn tempat kami sekeluarga menginap dan terus petang itu ayah saya sudah mengetahui tentang kejadian itu.

Hasil kawalan ketat dari mereka menyebabkan saya tidak berpeluang menjadi nakal dan entah baik ke tidak keadaan itu kerana mana tahu saya mungkin mengalami penyakit sakit jiwa nanti. Setakat ini belum lagi tuan-tuan dan puan-puan.

Setelah saya mencapai kemerdekaan pada umur lebih kurang 16 tahun secara berperingkat. Mula-mula mereka tidak kisah saya tidur di sekolah Victoria Institution kerana saya menjadi salah satu Assistant Librarian Lembaga Perpustakaan. Helahlah tu. Tetapi memang saya jatuh cinta dengan buku dan asyik baca sahaja apa jua buku dan majalah sains di dalamnya. Petang hari pula saya akan panjat tembok kolam berenang sekolah untuk berenang sejenak sebelum sambung lagi belajar di Perpustakaan.

Hanya pada umur 18 apabila saya dapat ilham memeluk Islam yang memberikan saya Merdeka yang menyeluruh dan muktamad. Saya memberi alasan kepada keluarga yang masa itu kedua-dua ibu-bapa saya baru berpisah dan lagi porak poranda. Kononnya saya ingin mencari ketenangan dari segala tekanan jiwa itu dengan berhijrah ke Melaka dan tinggal bersama seorang kawan sama baya. Tetapi suasana kampung yang nyaman dan tenang itu langsung menghanyutkan saya ke alam Islam.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!