23 April, 2008

BBC HardTalk Lawan Mahathir


2 hari lepas BBC HardTalk telah cuba mendatangkan cara temu-bualnya yang masyur dengan soalan 'keras' dan bertalu-talu ke atas Dr. Mahathir tetapi Mahathir pula yang cuba memberi beberapa pukulan maut balik ke Steven Sackur.

Mahathir ditanya siri soalan yang sudah dijangka iaitu mengapa dia inginkan Pak Lah berhenti dan mengapa pemerintahannya dulu banyak berlaku kes-kes kekejaman. Semua jenis tikaman kenyataan yang menyusuli dengan cepat sebelum tetamu HardTalk di London boleh menjawab cuba ditepis oleh Mahathir dengan bersungguh-sungguh walaupun tergagap-gagap di sini sana.

Memang Mahathir arif dengan taktik Steven Sackur yang masyur dengan soalan dan kenyataan balas yang cuba memerangkap sesiapa yang duduk bertentangan di meja temubual tidak kira dia itu George Bush atau Salman Rushdie. Kali ini Dr. Mahathir menerima pelawaan temubual dengan harapan menaikkan markahnya dimata dunia sebagai mempunyai penyelesaian kepada kemelut politik tanah-air.

BBC dan media barat pada masa yang sama cuba membalas dendam kepada Mahathir yang sebelum ini cukup anti-Barat dan sering memberi pukulan masyur 'own medicine' kepada kuasa besar yang senantiasa mengecamnya sebagai tidak demokratik dan diktator.

Steven Sackur mulakan temubual dengan satu soalan mudah tetapi nyata ada perangkapnya,
"Mahathir, apakah keputusan pilihanraya terbaru ini tanda awal kejatuhan kerajaan BN?"

Mahathir bersikap berjaga-jaga dengan, "Tidak semestinya, sekiranya tindakan diambil termasuk PM meninggalkan jawatannya.."

Sackur, "Awak mahu PM Abdullah ditendang keluar?"

Dr. M, "Tidak sekeras itu maksudnya, tetapi dia boleh meletak jawatan.. saya pernah turun waktu saya,.. kerana PRU yang lepas menyaksikan ramai penyokong BN berpaling ke pembangkang walaupun mereka tidak suka pembangkang sebagai menghantar mesej kepada kerajaan yang ada".

Sackur, "Dollah Badawi yang menyatakan awaklah antara kecelakaan yang menjatuhkannya, (terketawa kecil Mahathir terdengar ini),.. menembaknya dari tepi gelanggang dalam 2, 3 tahun kebelakangan ini".

Dr. M, "Saya tidak fikir demikian. Saya tidak nampak mengapa saya tidak boleh mengkritik salah-laku olehnya."

Sackur, "Salah-laku apa?"

Dr. M, dengan ketawa kecil lagi, "Mula-mulanya kerajaan berjanji akan melenyapkan korupsi, tetapi kerajaan didapati korup".

Sackur, "Awak yang sedang menghancurkan parti awak sendiri, dan ini yang dipercayai oleh ahli parti awak sendiri".

Dr. M, "Saya rasa ia kadang-kala amat perlu. Saya adalah seorang doktor, jika saya terjumpa penyakit parah pada satu anggota, saya akan potong anggota itu sebelum ia boleh merebak."

Sackur, "Tetapi Dollah Badawi sudah menyatakan beliau akan berundur bila tiba waktunya, tetapi apakah mesej anda pula ialah dia tidak ada masa lagi, dia mesti berundur sekarang?"

Dr M, "Dia perlu berundur sekarang, kerana ia akan ambil masa untuk parti memulihkan keadaan sebelum PRU akan datang."

Sackur, "Tetapi hari ini kita lihat ketidak-puasan hati sebenarnya bukan dengan Dollah Badawi tetapi dengan sistem yang ada, iaitu yang ideologi yang anda pertahankan untuk negara kamu?"

Dr. M dengan suara lebih tinggi kali ini, "Sistem ini sudah berada di sana selama 50 tahun ini, dan berjalan dengan cukup baik... cukup berjaya 50 tahun ini".

Sackur, "Sekarang Pakatan Pembangkang sudah berjaya menyatakan tidak mahu lagi sistem perkauman yang ada dimana anda mempergunakan dengan berjayanya selama 22 tahun pemerintahan anda."

Dr. M, "Saya rasa itu adalah analisa khayalan pengkritik luar negara! Yang menjadi punca sebenar adalah ketidak-puasan hati penyokong kerajaan terhadap kerajaan yang ada.

Sackur, "Ini saya mahu baca kenyataan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Penang, dan kamu harus ingat, 5.. negeri besar dan makmur dikuasai pembangkang... beliau berkata, 'Kita mahu membina satu Penang yang adil untuk semua orang.' Apakah kamu telah membina Malaysia untuk semua orang?"

Dr. M nampaknya sudah panaskan badan dan agak lancar, "Memang saya ada. Jika kamu lihat Malaysia hari ini, semua orang menikmati taraf hidup yang lebih mewah dan baik, antara negara yang paling cepat bertumbuh dalam dunia, semua kaum lain memperolehi juga. Tentulah semua pembangkang akan cari modal... dan membuat rekaan.."

Sackur, "Ini bukan rekaan, Dasar Ekonomi Baru kamu yang mengutamakan kaum Melayu dalam banyak cara, dari pemberian jawatan tinggi, tempat universiti, kepada peluang perniagaan, pembelian stok, rumah, saya tidak tahu mana akhirnya, begitu banyak sekali cara yang kamu telah melaksanakan satu sistem yang tidak seimbang!"

Dr. M, "Tak! Ini adalah sistem yang sudah terlaksana oleh orang sebelum saya.."

Sackur, "Tetapi kamu sudah menggunakannya selama 22 tahun! Anda ada banyak peluang untuk menukarnya".

Dr. M, "Ya, memang saya ada peluang untuk menukarnya sejak peninggalan penjajah British yang mengakibatkan ketidak seimbangan terdahulu! Dan jika kita tidak membetulkannya tentu akan tercetus lagi satu peristiwa Mei 13."

Sackur, "Tetapi 18,000 rakyat berbangsa India telah keluar ke jalan raya menyatakan tidak ingin lagi hidup di bawah sistem perkauman itu."

Dr. M, "Mengapa ia berlaku sekarang? Mengapa tidak waktu zaman saya PM? Ramai yang tidak setuju dengan saya dapat menunjuk perasaan..."

Sackur, "Tetapi kamu telah menahan mereka yang lawan kamu dan humban mereka dalam penjara".

Dr. M, "Siapa?"

Sackur, "Ratusan dari mereka."

Seterusnya Dr. M bertekak sebelum Sackur sempat menyatakan habis tentang beberapa lapuran barat menyatakan sedemikian. Mahathir bertegas, "Inilah masalah media barat ni, awak semua buat lapuran ini lepas itu menganggapnya sebagai kebenaran. Ia sebenarnya bukan kebenaran."

Dr. M sekali lagi mengulangi, "Bagi tahu saya. Siapa mereka itu yang beratusan yang dipenjarakan?"

Di sini nampaknya Mahathir seolah-olah terjumpa lubuk kerana Sackur tidak dapat memberi sebarang nama dan mahu topik perkauman diselesaikan dulu. Ini mungkin kerana Mahathir semasa persiapan sebelum temu-bual ini sudah terhidu dan mengesan yang senarai nama tidak ada.

Sackur, "Saya mahu akhiri soal (perkauman) dengan kenyataan Anwar Ibrahm, kawan lama kamu dan kemudiannya musuh, yang dia akan menjayakan satu sistem yang memihak kepada semua yang perlu bantuan tanpa kira kaum."

Dr. M dengan sengih, "Ini adalah opurtunisnya dia. Dulu dia berada dalam kerajaan begitu lama dia tidak mengadu apa-apa, dia tak buat apa-apa. Kini sudah kat luar dia .."

Sackur, "Yalah, kamu yang letak dia dalam penjara!"

Dr. M, "Tidak, itu bukan sebabnya dia dipenjarakan. Ia adalah ke atas tuduhan sodomi, penyalah-gunaan kuasa. Dia di adili dalam mahkamah selama 9 bulan dengan 9 peguambela."

Sackur, "Tuduhan palsu, ini yang saya dapat.. yang dikatakan oleh ramai pihak.. Amnesty International, kumpulan hak asasi manusia, saya tengah tengok senarai di sini ni... dari kerajaan Kanada, White House, Kehakiman Dunia, semua begitu prihatin yang Anwar tidak diberikan keadilan yang luhur dari mahkamah kamu."

Dr. M, "Ya, awak bebas berkata demikian.."

Sackur menyampuk dengan pantas, "Tak! Bukan saya kata. Pihak-pihak ini berkata".

Dr. M dengan agak marah, "Tetapi, apakah rekod negara-negara itu? Inilah negara yang sama menahan orang tanpa bicara. Di Guantanamo Bay, di sini dalam UK, tanpa kebenaran undang-undang."

Sackur, "Jadi, kira OK lah kamu gunakannya (ISA) selama 22 tahun?"

Dr. M, "Kami gunakan di bawah undang-undang sah negara."

Sackur, "Awak guna undang-undang ISA peninggalan penjajah, awak kata ini adalah sah?"

Dr. M, "Tidak. Kita dapati keadaan negara kita agak tidak menentu, mudah bagi tercetusnya keadaan perkauman, dan jika kita tidak menahan orang dari mempromosikan kebencian kaum."

Sackur, "Macam ni, kamu sudah beberapa tahun sudah tinggalkan kerajaan. Apakah kamu sudah menyesal yang Anwar boleh kembali dan membuktikan..."

Dr. M, "Kenapa harus saya menyesal? Dia dibicara menurut proses yang ada menurut undang-undang. Jika ia tidak bersalah, tentu dia tidak akan dibicara.."

Sackur, "Jadi dia akan kembali menghantui kamu. Ada maklumat yang beberapa ahli parlimen akan menyeberang ke Anwar...".

Setakat ini temubual masih belum sampai separuh masa, tetapi Mahathir nampak macam tidak berputus asa dalam perlawanan hujah demi hujah yang dituju kepadanya. Pada satu ketika Dr. M naik baran apabila Sakur sekali lagi menyebut tentang tahanan beramai-ramai. Mahathir meminta sekali lagi nama-nama mereka yang ditahan dari Sackur dan terus serang balas dengan merujuk keadaan perkauman di UK sendiri yang baru sahaja selesai di Ireland Utara.

Sackur pula terus menekan dengan ucapan Mahathir semasa di OIC yang lebih memihak Osama bin Laden dimana Mahathir menyebut bahawa mengapa dunia Islam yang 1 billion lebih boleh kalah dengan beberapa juta sahaja rakyat Israel. Mahathir mempertahankan bahawa itu adalah kebenaran tetapi dia tidak setuju dengan keganasan ekstremis agama dimana-mana.

Mahathir terus menikam bahawa Barat memang ekstrim dan ganas, dan mencabar balik Sackur untuk menafikannya. Antara serangan keramat Mahathir apabila dia digambarkan sebagai lebih memaut kepada sistem feudal ialah, 'Feudal awak kata? Bawah feudal sejak dulu banyak keamanan dunia. Ia bukanlah sistem tetapi tokoh pemimpin yang tak baik. Kezaliman pun berlaku dengan demokrasi. Bukankah demokrasi telah menjatuhkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki sehingga terbunuh 200 ribu manusia?"

Secara kesimpulan saya, Mahathir diberi peluang seluas-luasnya untuk menjadi wira dunia Islam dan ketiga dan akan memaut sentimen anti-Barat dan anti-Yahudi kepadanya. Itupun Sackur cuba menyerang kenyataan Mahathir sebagai Anti-Semetik lalu Mahathir tanya, "Anti Semetik menurut siapa? Kan istilah ciptaan Yahudi", ujar Dr. Mahathir.

Sebagai rakyat Malaysia, saya bangga dengan Dr. Mahathir yang berkontroversi tebal itu di dalam temubual ini. Beliau pada saat yang perlu dapat menunjukkan kehebatan anak watan sini yang mampu bertarung di medan debat mana pun yang Barat mampu lontarkan ke kaki kita. Dahulunya kita memandang begitu tinggi sekali ke piawaian bekas penjajah kita yang dibimbangi tidak dapat ditandingi atau ditolak.

Hari ini sudah tidak ada perbezaan atau garis intelektual diantara dunia pertama dan dunia ketiga bagi kita. Kita sendiri yang mampu menyelesaikan permasalahan kita tanpa pendapat atau campur-tangan kuasa luar.

Temubual dalam Youtube :-
Bah 1
Bah 2
Bah 3

7 comments:

Letting the time pass me by said...

Saya sudah tengok interview itu.. Memang cara interview very intimidating.. TDM nampak kecik aje dibanding dengan Sackur..

Tapi, saya memang respect kat TDM kerana boleh cakap apa yang dia cakap dalam media Barat...

Orang putih mesti tak suka dia, tapi kita sebagai Malaysian kalau tak bangga dengan somebody who can stand up to the west well, that just show our mentality...

Tapi bila dia cakap bab 9 bulan 9 lawyer tu memang bijak... Terduduk jugak bro Sackur tu kena dengan TDM... Dia tuduh TDM, lepas tu kena tembak balik...

Anyway bro Red1 mesti lebih kenal DSAI.... Saya memang tak kenal pun any politian secara dekat... Adela jumpa, tapi sekadar jumpa aje tetapi personally, I think politician is a politician and is being driven by power....

Politic is about struggle for power and sometimes it can be very-very ugly and nasty....

world of us said...

bangga sgt2 dgn ayah det.. really proud with u ayah det.. org2 barat yg pemikirannya kolot mmg patut diajar mcm tu, jgn buat or biar org melayu di pandang rendah.. sokong ayah det sampai mati..!

Anonymous said...

Tun Dr. Mahathir.. tiada pengganti. Di mana kan ku cari ganti?

TRALAYAN said...

Assalamualaikaum.

Saya tertanya-tanya juga, apakah tujuan sebenar disebalik wawancara itu. Apa yang cuba dibongkar oleh BBC/Sackur, adakah mereka bermaksud untuk mengenakan TDM, nak bela DSAI, nak bela Pak Lah, atau ada maksud lain.

Kalaulah mereka nak seluruh dunia mendapat gambaran yang jelas dan bersifat positif tentang situasi di Malaysia pada masa ini, sepatutnya mereka menemu bual Pak Lah sendiri.

Mereka juga patut menemubual DSAI jika nak tahu tentang strategi Pakatan Rakyat.

Mereka tak akan buat begitu.

Oleh itu, wawancara dengan TDM sebenarnya kerana mahu memburukkan negara kita semata-mata. Nak melaga-lagakan TDM dengan Pak Lah, seterusnya menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat, terutama di antara Melayu, Cina dan India.

Redhuan D. Oon said...

T.k. atas ulasan yang cukup bernas. Memang kita perlu cerdik dan fikir lanjut tujuan sebenar di belakang kuasa yang ada sejarah penjajahan lama sekali di bumi ini.

Sptmn saya muqadimahkan di atas, Barat ingin membalas dendam terhadap jaguh Selatan ini yang dipandang begitu tinggi oleh NAM, OIC dan mana-mana pihak anti-Barat. Selain Mahathir, tidak ada lagi tokoh semasa yang sedemikian hebat yang tersanjung dunia.

Ini peluang terakhir barangkali mereka mampu dapat untuk menunjukkan bahawa sebenarnya Mahathir ini retorik sahaja dan tidak mampu mentadbir dan maka janganlah sesiapa percaya atau dengar cakap-cakapnya sebelum ini.

Barat berjaya menjatuhkan Mugabe sedemikian rupa menerusi spekulasi wang kertas yang paling teruk yakni 125,000 peratus inflasi di Zimbabwe kerana Mugabe merampas tanah orang putih yang asing dan penjajah dan berikan kepada orang hitam iaitu rakyat Zimbabwe sendiri.

Mahathir sering ternampak mainan barat dan zionis dan pantang berdiam diri, sehingga hampir semua gergasi maharaja lela dunia ditibainya, tak kira Singapura, Australia, Britain, Amerika Syarikat dan Israel.

Di waktu yang sama Mahathir juga mengkritik umat sendiri kerana gagal menangani isu sebenar tak kira Melayu atau Arab.

Dengan itu, sesi BBC HardTalk merupakan cubaan yang saya agak gagal oleh mereka. Tetapi jika kita perhati baik-baik, BBC cuba memainkan sentimen perkauman untuk pihak lain mengambil kesempatan. BBC memperlagakan Anwar dan Guan Eng sebagai jaguh keadilan secara strange bedfellows. Saya berharap Anwar nampak permainan mereka dan akan membuktikan beliau boleh jadi seorang Perdana Menteri yang lebih baik dari Mahathir nanti.

Long Man said...

no wonder tdm pernah dikategori antara pemimpin dunia ke3 yang mempunyai lidah yang berbisa...

apa2pun, yang hak tetap hak yang batil tetap batil...

warongtalk said...

Mahathir ni memang pelupa besar. Dulu dia kata western media semua "congenital liars" [pembohong yang amat] kerana critical terhadap beliau dan negara. Tetapi sekarang kenapa pergi kat BBC bercakap. Tak malu ke? BBC tu western media lah, sudah lupa ke Mahathir? Cakap banyak.