Semalam lapuran tentang kenyataan YTM Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Faris telah dibidas dengan kuatnya oleh pembaca di MalaysiaToday.net sehingga undi menyokong pembidasan tersebut melepasi angka yang tidak pernah saya lihat dalam 2 bulan ini iaitu 400 undi. Dengan membaca pendapat mereka saya agak terkunci dalam satu dilema. Ini kerana saya adalah berbangsa Cina yang memang tidak boleh setuju dengan Keadilan yang hanya untuk satu kaum sahaja tetapi bukan untuk kaum saya yakni kaum Cina. Tetapi dari satu segi saya juga adalah muslim yang mesti taat kepada kesultanan Melayu Islam yang saya anggap peluang terakhir di zaman saya untuk melihat kembalinya kepada sistem pemerintahan khalifah al-sultaniyah yang lebih adil dunia wa akhirat, yang amat dianjurkan dan diajar oleh guru saya Shaykh Abdal Qadir As-Sufi. Dalam perkara ini saya tahu apa Shaykh saya mesti akan berkata, "Kan dah suruh awak bawa Islam kepada orang Cina? Jika tidak akan hancur semua".
Sementara itu saya terpaksa sekali lagi men'tergendala'kan siri tulisan tentang sejarah perjalanan hidup saya kerana terhidu krisis politik terbaru ini. Sebelum ini saya terpaksa berhenti sejenak kerana ingin bagi tahu dua tiga puak di sini tentang kepala otak SunTze. Ini pulak saya kena bagi tahu pulak perkara yang jauh lebih payah kerana melibatkan masa silam kita bersama dan tentunya masa depan kita.
Dalam sejarah kita, penjajah kita yang bernama British itu terlebih dahulu telah mengalami satu mala-petaka di benua India kerana British selepas kejatuhan ekonominya tergesa-gesa perlu menarik diri dari jajahannya yang mengalami pemberontakan dan tuntutan kemerdekaan. Dalam kes India, kaum muslim dan bukan muslim tidak dapat berkompromi dan maka berlakulah Partition Plan yang mengorbankan jutaan nyawa apabila India berpecah untuk mencipta wilayah Pakistan Barat dan Pakistan Timur. Penghijrahan beramai-ramai penganut Islam dari sebelah India ke wilayah baru dan juga penganut Hindu yang berhijrah sebaliknya mendedahkan kedua-dua pihak kepada penyembilihan yang terbesar dalam sejarah manusia. Kemerdekaan India pada 15 August 1947 adalah berbeza dengan kemerdekaan Malaysia 10 tahun kemudian dimana satu perjanjian sosial diadakan untuk mengelakkan kemungkinan yang sama.
Namun pada tahun 1969, iaitu beberapa tahun lagi dimana perjanjian sosial itu sepatutnya dikaji semula pada tahun 1972, telah berlaku peristiwa hitam Mei 13 yang langsung memperketatkan lagi keadaan menerusi beberapa tindakan kerajaan meminda akta sehingga tidak boleh lagi dipersoalkan hak dan kedudukan istimewa Kesultanan, Agama dan Bangsa Islam yakni Melayu.
Tetapi dengan kelemahan yang berlarutan dalam mencorakkan kepimpinan Melayu yang utuh dan membanggakan semua sepertimana yang berjaya dilakukan oleh Dr. Mahahtir dulu, UMNO selaku simbol ketuanan Melayu itu sudah hilang pegangan ke atas cabaran oleh sesiapa pun. Dahulunya tiada pihak yang berani mencabar sedemikian rupa. ISAlah jawabnya. Sekarang dengan pemimpin yang dipandang sebagai lembik dan lemah, keadaan akan makin tidak terkawal.
Mengikut perkiraan saya, setelah mengamati sejarah, kita sebenarnya tidak ada benda hendak risau sekiranya tidak ada pihak yang bertindak melulu dan tanpa usul periksa. Cuma saya risau ialah masyarakat muslim kita bersikap reactionary dan terus hilang kawalan kenderaan negara yang kita sedang tengah pandu laju ini.
Pak Lah memang baik secara peribadi orangnya dan harus diberikan kepercayaan penuh untuk meneruskan kerjanya berpusing satu negara mendapat maklumbalas dan pendapat umum. Kita bukan lagi di zaman feudal dimana Perlis Indra Kayanan tak sedar apa yang sedang berlaku di Sabah Pairin Kitingan. Cuma setelah puas pusing nanti, Pak Lah haruslah sedar bahawa yang negara ini sudah jauh lebih maju dari zaman feudal yang tidak mudah ditadbir dengan hanya bertanya khabar sahaja. Ia memerlukan seorang pemimpin yang sezaman dengan zaman ini.
Hanya tinggal Pak Lah sahaja seorang yang boleh melakukan Do The Right Thing and Not Do Things Right (Buatlah apa yang betul dan jangan buat dengan betul). Inilah ujian kepimpinan sebenarnya. Sekiranya beliau tidak mampu memimpin dalam keadaan dan era sebegini, dia harus memilih seorang yang betul-betul mampu.
Menurut Dr. M, tradisi UMNO apabila perlu berundur ialah untuk melepaskan jawatan kepada timbalannya. Tetapi apakah keadaan sekarang masih cukup untuk tradisi berjalan selangkah sahaja? Bukankah Najb nanti harus berfikir lebih panjang dari itu dengan langkah yang lebih dan panjang.
Beliau harus berfikir tentang apa yang perlu buat tentang Keadilan yang akan senantiasa menghantui politik tanah-air. Apakah perlu lebih ruang dan hak bagi masyarakat bukan muslim? Jika tidak, apakah mereka akan memberi kesetiaan mereka yang tidak berbelah-bagi demi kebaikan semua di Malaysia?
Atau adakah masyarakat muslim di sini merasakan mereka sudah cukup kuat dan tidak perlu orang lain untuk membangunkan mereka? Sekiranya masyarakat Cina semua lari dari Malaysia saya percaya ekonomi Malaysia akan runtuh. Tetapi dimasa yang sama juga, jika Cina semua lari keluar, Cina sendiri itu akan terapung dalam Lautan Cina Selatan kerana British sudah lepas tangan 50 tahun dahulu dan tak akan menerima mereka sebagai rakyat.
Singapura, Australia maupun Kanada jika mau terima saya orang Cina ini pun kerana saya ini kaya, atau terlalu bijak serta tidak terrorist dengan keupayaan diri untuk hidup secara aman dan produktif di negara orang. Tentu agak ramai sudah berhijrah ke negara asing seperti 2 bapa menakan saya. Tetapi hari ini mereka cuba hendak kembali ke sini kerana mereka sudah sedar di negera Barat amat payah untuk mempertahankan kedaulatan kecinaan dari segi ekonomi, budaya dan bahasa mereka sepertimana yang mereka mampu dapat selama ini di Malaysia.
Namun dalam saya menceritakan penyelesaian yang jelas dari segi exptrapolasi masa depan dari sejarah silam secara ringkas, saya tetap akur kepada beberapa pihak yang masih tidak puas hati, iaitu mereka hendaklah hidup dengan soal Dilema Melayu + Cina ini.
No comments:
Post a Comment