Selepas solat, kami berjalan ke sebuah restoran melayu yang hanya berdepan dengan surau lalu mencari tempat duduk yang sesuai. Saya perhati disekeliling kami ramai 'couple' muda-mudi yang berstail pakaian yang menunjukkan mereka ini pelajar IPTS agaknya. Mereka pula duduk secara berpasang-pasangan yakni seorang lelaki kepada seorang perempuan. Mereka itu melayu muslim nampaknya kerana calon perempuannya memakai tudung kepala dah raut wajah ayu melayu.
Tetapi stail pakaian adalah menutup kepala sehingga sehelai rambut tidak kelihatan tetapi rupa bentuk badan iaitu tentu sekali mengikut DNA ciptaan dari Allah, malah mewah juga kelihatan kawasan ketat walaupun masih sopan bagi mata orang Cina. Saya tidaklah merenung sangat kat para couple tersebut kerana terdapat juga pelajar yang berkedudukan di meja-meja sekeliling kita secara tidak berpasangan. Ada yang sekelompok gadis melayu pada satu meja secara tanpa seekor kumbang menghinggap kat mereka.
Yang berpasangan lengkap pula tadi ada yang lelakinya nampak dari luar negeri tetapi macam dari negara muslim timur tengah. Yang menarik lagi pandangan ialah cara mereka duduk iaitu agak rapat-rapat dan percubaan bersentuhan pun ada.
Mengapa asyik pula saya memandang ke aktiviti sedemikian? Maklumlah, kita ini tertarik dengan kontradiksi dan paradox sosial dan agama. Hadis kata tutup rambut, kita tutup. Quran yang jauh maksum kata tutup rupa bentuk badan, tetapi hanya Allah yang tahu, bagaimana tergodanya saya kadang-kadang dengan rupa bentuk gadis melayu hari ini.
Quran juga kata 'tundukkanlah pandangan kamu' dan maka jahatnya saya terkata semua yang di atas tanpa teguran. Alhamdulilah, mujurlah saya tegur diri saya di sini.
Apabila sampai berita perdana, kaca TV separuh raksaksa yang digantung oleh pengusaha restoran pun memaparkan tajuk berita iaitu kes murtad seorang wanita Cina yang dapat memenangi kesnya kerana membuktikan yang dia itu tidak pernah kenal dan mengamalkan Islam. Suami barunya dari Iran juga telah hilangkan diri selepas 4 bulan mutaah, agaknya. Saya sebut 'mutaah' kerana saya faham juga sikit tentang amalan orang Syiah Iran. Saya sebut agaknya ialah kerana saya bukan saksi perkahwinan itu. Saya cuma cuba agak kerana musykil bagaimana boleh meninggalkan isteri selepas 4 bulan dan tidak ditarbiyahkan isteri baru dari agama lain kepada Islam.
Kan sedih? Kahwin dengan orang lelaki yang kononnya Islam? Entah cara itu nikah ke kahwin kontrek. Lepas itu lelaki itu tidak dibicara. Yang dibicara ialah nyonya yang gedempul sikit ni. Jika dia tidak segedempul itu dan secomel gadis-gadis yang duduk pada meja-meja lain dalam restoran itu, tentu sekali saya melancarkan jihad menyelamatkan nyonya itu daripada murtad.
Tetapi saya ingin bertanya. Apakah dia itu betul-betul murtad? Selalunya hukum murtad ialah untuk mereka yang sudah Islam secara sah. Maka tertimbul soalan apakah dia itu betul-betul Islam sebelum ini? Apakah pengalaman seks kontrek selama 4 bulan itu adalah pengalaman dan pengajaran Islam? Apa yang dia dapat belajar melainkan enaknya hubungan seks? Sembahyang masih cara Buddha dan makan masih cara bantai?
Terlayang pula fikiran saya kat pasangan yang baru menguasai satu meja sebelah kami yang juga berfesyen yang saya gambarkan tadi. Agak mesra cara 'coupling' mereka dan amat menjaga konsep tutup rambut sampai habis tetapi tidak perlu menyembunyikan rupa bentuk buah dada, lengkuk perut dan kebulatan punggung. Issh.. jahat sekali mata saya ini!
Tetapi otak saya cuba memberi rasional ke atas kejahatan saya. Apakah mereka itu juga betul-betul Islam? Macamana saya tahu mereka itu Islam? Saya ada tanya kad pengenalan ke? Mana tahu, orang Indon Batak yang beragama Kristian? Saya pernah naik bersama kereta puteri Deli ke Beras Tagi dulu dan ternampak orang rupa Melayu dan bersongkok melayu tetapi mengunjungi gereja dan gadis mereka berpakaian sister nun. Supir kereta pun beritahu saya mereka itu orang bangsa batak Kristian yang biasa makan babi. Patutlah nampak banyak gerai yang tertera perkataan, "Kedai panggang babi" sepanjang jalan tetapi orang sewarna kulit kita duduk makan-makan dalamnya.
Berbalik pula kepada gadis rupa Melayu tadi, oops! takle takle... nanti jahat lagi pandangan saya. Kena main imaginasi pula. Oleh kerana mereka itu tidak menuruti hukum dari Al-Quran tetapi hanya hukum dari sebuah hadis sahaja, apakah saya boleh anggap mereka itu seagama dengan saya? Atau apakah mereka itu daripada mazhab baru seperti Ahmadiah atau Bahai yang mengaku dari Nabi Muhammad tetapi diisithar sesat dan fasiq oleh jumhur ulamak?
Allahu Akbar! Lagi silap besar saya. Kan saya sudah letak perlembagaan dalam blog saya bahawa Allah tidak akan tanya saya tentang orang lain tetapi Allah akan tanya saya tentang apa saya lakukan? Astaghfirullah! Baik saya kutuk diri saya sekarang.
Saya ini sebenarnya adalah Cina murtad. Dulu-dulu memanglah emak saya rotan saya sehingga saya terhafal semua perkataan bahasa Cina dalam buku dan saya dapat tempat pertama 2 tahun berturut untuk subjek POL (pupil's other language) yakni bahasa Cina malah mengalahkan rakan lain yang berbahasa mandarin sepenuhnya. Saya pula berbahasa Hokkien dan Kwantung di rumah tetapi lebih kepada bahasa Inggeris dan Melayu kerana duduk berek tentera di Kem Wardieburn.
Tetapi setelah meninggalkan rumah ibubapa dan masuk Islam akhirnya saya murtad Cina pulak. Tak ingat kebanyakan hafalan saya dulu. Nama saya dalam bahasa Cina pun saya hampir-hampir lupa. Mujurlah ibu saya masih hidup lalu dia tulis sekali lagi nama saya bagi saya hafal kembali iaitu Wen BauXin, yang sama 'seh' dengan Wen JiaBao iaitu Perdana Menteri China sekarang.
Itulah kerana saya insaf atas kemurtadan saya terhadap bahasa Cina yang mana semasa saya berdialog dengan kaum saya dalam majlis-majlis anjuran PAS-CCC (Chinese Consultative Council) yang ditubuhkan oleh kami Cina dalam PAS pada tahun 1985 dulu, saya telah dikecam kerana tidak boleh berbahasa Mandarin.
"Awak Cina murtad!" Kamal Koh memberi amaran kepada saya. "Nanti awak bangun bercakap, Cina mesti marah awak!
"Ya, saya murtad Cina ini ialah kerana dasar kerajaan yang menafikan hak kejadian fitrah saya dari Allah!", disambut tepukan sorak dari hadirin Dewan Perhimpunan Kabilah Kung Tsai, di Taiping yang penuh dengan Cina-cina pada salah satu majlis dialog itu.
"Tetapi saya boleh berbahasa Melayu sehingga Mahathir tidak boleh menafikan mesej saya hari ini untuk keadilan kepada kita!", tepukan makin kuat-kuat kawan-kawan Cina kita.
Dengan itu, saya menasihati kawan-kawan pembaca di sini. Hantarlah anak-anak anda ke SRJK Cina sepertimana saya dan ramai lagi Melayu yang lain telah hantar anak-anak kami. Tuntutlah hak kebebasan mampu menguasai tujuh bahasa yang dikurniakan Allah yang juga menganjurkan kita berdakwah kepada semua InsanNya di atas mukabumiNya.
(gambar hiasan di atas:
1 - Amoi sembahyang dalam kuil Cina
2 - Contoh pakaian secara kontroversi yang saya maksudkan. Maaf sekiranya menganggu pembaca budiman lagi beriman :) )
3 comments:
Yin: Apa beza ' Saya Cina Murtad' dengan 'Saya Murtad Cina'?
Yan: Ooo Besar bezanya - macam langit dengan bumi. Apa pun jangan main-mainlah dengan perkataan macam ni. Nanti sebut selalu jadi macam zikir pula. Minta simpang kita dari minta-minta, sebut-sebut lagi.
Murtad nie ape makne sebenarnya?
Hmm.. nampaknya semenjak Parlimen bersidang nie cool sikit spekulasi dan tak de arah tuju yang baru.
Maybe orang dah start cool down kut.. nampaknya Pak Lah terus memenangi persaingan dan kalau keadaan terus begini, Pak Lah sudah tentu duduk selesa hingga PRU akan datang...
red1,..
idea yg banyak... harap dapat kongsi idea...
www.nuckleik.blogspot.com/
Post a Comment