10 May, 2008

Menghargai Sistem Monarki

Sistem Feudal dahulu yang terdiri dari seorang Khalifah atau Imam atau Raja atau Sultan dengan satu linkungan golongan atasan adalah sistem yang paling lama dan universal dalam sunnah hidup insan di mukabumi ini.

Hanyalah dalam masyarakat Yunani silam dicuba sistem demokrasi itupun dengan kawalan ketat golongan atasan dan kaum wanita tidak dibenarkan hak mengundi. Rekod demokrasi hari ini adalah amat buruk iaitu Amerika Syarikat sebagai demokrasi yang paling fanatik adalah yang paling zalim dengan terbunuhnya jutaan manusia di negara-negara umat Islam dan ratusan ribu di Jepun (dengan manjatuhkan 2 biji bom atom semasa WWII).

Demokrasi lain seperti Israel, India, Iraq, Iran, Indonesia, Filipina, Thailand dan juga Malaysia kini tidak mengalami keadaan yang 100% stabil malah dengan mudah sahaja boleh tergugat keselamatannya menerusi tunjuk perasaan akibat kenaikan mendadak harga barangan keperluan seperti minyak dan beras dan gandum.

Permainan harga lebih mudah dalam sistem pembankan berpusat IMF dan rejim wang kertasnya. Dengan memastikan rakyat itu berdaulat adalah memberikan sijil kematian terpantas kepada sistem kenegaraan kerana undi itu adalah bilangan bukan fikiran.

Dalam sebuah sistem monarki tulen seperti Arab Saudi, Nepal (baru sahaja tamat), Monaco, Brunei, Vatican City dan Kepulauan Ternate, keadaan adalah amat aman dan fitrah. Sistem Monarki adalah mudah difahami sekiranya ada kepincangan, maka puncaynya adalah satu iaitu Raja itu zalim. Ia juga mudah dituruti iaitu perintah titah Raja adalah mutlak dan wajib ditaati. Ia juga mudah diubah iaitu racunkan saja Raja itu dan diistihar keturunannya yang terdekat sebagai Raja. Bah kata laungan masyur rakyat England dulu apabila seorang Raja mereka mati,
"The King is dead! Long live the Queen!" - Raja sudah mati. Hidup dan daulat permaisuri sebagai Ratu kita yang baru!

Sistem yang beteraskan konsep 'Al-Malik' iaitu nama Allah yang penting selaku Hakim dan Penentu perjalanan manusia dari satu alam kepada satu alam yang lain adalah diterjemah oleh Allah sendiri kepada alam manusia iaitu Bani Adam sebagai sistem Khalifah dimana Raja itu diamanahkan terus menerus oleh Allah.

Itu sebabnya dalam kebanyakan masyarakat termasuk Perancis dan China sebelum penamatannya, Thailand dan Jepun sampai sekarang adalah mempercayai bahawa Raja mereka adalah diturunkan oleh Tuhan secara langsung. Ini kepada saya satu tajaliyah Allah yang tercetus dalam fitrah manusia.

Dengan adanya seorang Raja juga, kezaliman mutlak tidak boleh berlaku. Semasa kebangkitan rakyat oleh hasutan setengah cendiakawan yang terpengaruh dengan fahaman modenis Yunani supaya rakyat bangkit merampas kuasa dari Raja, dimana Raja Louis XVI telah dinasihati oleh tenteranya supaya ditangkap dan hukum bunuh beberapa ratus rakyatnya yang menghasut, tetapi Raja Louis enggan berbuat demikian.

Sebagai seorang Raja yang turun-menurun tidak dipersoalkan haknya sebagai raja melainkan Tuhan, dan tidak terasa perlu tunduk atau hilang kerusinya dalam satu pungutan suara, maka berkelakuan zalim ke atas rakyat sendiri adalah asing dan tidak terlintas dalam kepala. Ahli demokrat akan zalim sekiranya kedudukannya asyik terancam dan tidak kekal seperti yang pasti dalam sesebuah demokrasi. Lihatlah tabiat calon-calon pilihan demokrasi yang asyik bercakaran, tidak santun, berbohong dan berkomplot demi untuk merampas kerusi dari satu sama lain pada setiap upacara PRU yang disediakan secara rasmi.

Maka dengan kebaikan Raja Louis itu yang sebenarnya tidak pernah hilang populariti dan disayangi oleh rakyat bawahan, telah diambil kesempatan oleh golongan tertentu dan akhirnya 40 ribu rakyat dibunuh, ada yang beramai-ramai iaitu dimasukkan dalam sebuah kapal dan dikaramkan supaya tidak terbuang masa dan juga kerana gullotine masa itu lambat siap.

Apabila sistem monarki sementara yang berpelembagaan diuji sepertimana yang digunapakai sekarang, sistem itu sudah rosak kerana apa gunanya seorang Raja yang tidak berdaulat tetapi masih rakyat lain yang berdaulat? Keadan rapuh ini dibolosi sekali lagi dengan pantas dan akhirnya Raja menjadi mangsa dan rakyat yang menyayanginya takut, lemah, bisu dan menyembunyikan tangisan apabila menyaksikan Raja itu dipamerkan serta dipancung kepala dari lehernya.

Raja Louis XVI dalam usaha terakhirnya yang perikemanusiaan telah cuba menyelamatkan Ratunya, Marie Antoinette dengan cuba mengistiharkannya sebagai rakyat biasa dan bukannya dari darah Raja, tetapi gagal dan Marie turut di penggal kepalanya beberapa bulan kemudian.

Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej yang masih hidup begitu ditaati oleh rakyat jelata, dan walaupun dalam sistem demokrasi, sepertimana saya membuktikan awal tadi, adalah rapuh dan mudah digugat, dan hanya dengan campurtangan Raja itu yang adil dan zuhud itu dapat diamankan keadaan dan kemajuan diteruskan.

Fahaman demokrasi akan cuba racunkan pemikiran rakyat dengan teori Jacques Rousseau tentang kontrek sosial dimana manusia tidak harus taat kepada sesiapa melainkan ada satu kontrek yang dipersetujui. Maka, menurut teori tersebut, apakah kita ada tanda-tangan kontrek sedemikian semasa kita lahir dalam sebuah kerajaan? Teori inilah yang digunakan oleh golongan muda hari ini yang tidak ditarbiahkan dengan teori politik Islam yang sebenarnya yang berasaskan Yuminul billah wa yuminul bil akhir.

Tindakan pertama fahaman tersebut adalah untuk mendesak rakyat untuk menderhaka kepada Raja dengan alasan rakyat kelaparan. Dan ini mudah dicapai sekiranya golongan pengawal modal dan saham mencekik harga barangan sehingga naik melambung. Mesti ingat, naik melambung dan bukan naik sedikit. Itulah tandanya yang jelas berlaku dan berlaku pada setiap zaman percaturan sedemikian berlaku.

Harus kita ingat England sampai sekarang masih ada Ratu. Namun sistem itu sepertimana yang tertulis sebelum ini dan sama seperti lain-lain monarki berperlembagaan adalah simbolik dan budaya adat semata-mata.

Adapun Raja Saud yang ada sekarang bukanlah Raja Hijaz yang sebenar yang merampas Haramain semasa zaman Sayyid Hussein bin Ali, Sharif of Mecca (itulah perkataan Sheriff cowboy datang tu) iaitu keturunan Bani Hashim yang sah diiktiraf dan dilantik oleh Kesultanan Khalifah Othmaniah yang berpusat di Turki.

Dengan pertolongan British, Abdul Aziz al Saud dari sebuah wilayah luar telah mengalahkan Sharif sebenar Mekah itu (yang sebenarnya istiharkan dirinya Khalifah demi menyambung Khalifah Othmaniah yang jatuh 2 tahun sebelum itu). British yang didalangi kuasa tersembunyi mengambil anak-anak Sharif dan campakkan sebagai Raja Iraq dan Jordan hari ini. Raja Iraq dijatuhkan oleh rampasan kuasa tentera tahun 1958. Raja Jordan sampai hari ini masih kekal tetapi dikepit habis-habis oleh White House.

Dasar pecah dan cincang Khalifah Insan sudah hampir sampai pengunjung asapnya setelah diusirnya Khalifah berdaulat terakhir iaitu Sultan Abdul Hameed II pada tahun 1924. Ia bukan sahaja tidak perlu ramalan tentang Janji Allah untuk ia kembali. Ia adalah fitrah tertinggi manusia yang inginkan Al-Sultaniyah untuk diberikan tangan dalam satu baiyah suci dunya wa akhirat.

Fahaman demokrasi masih disangka dan dilaungkan oleh massa sebagai suci dan murni. Namun mereka tidak sedar apa falsafah dan liku-bengkoknya dimana rakyat sebenarnya tidak berkuasa kerana suara ramai yang keramat sekali sahaja dan sebagai cloth of the matador - kain merah untuk dibunuh lembu sukan. Lepas itu pinjaman dan hutang bank terus bertindak tanpa henti dan gangguan. Demokrasi adalah cara menghalalkan matlamat sebenarya itu. Mana-mana presiden atau perdana menteri yang terpilih menerusi sistem demokrasi adalah tidak bermaya atau berkuasa. Ia tidak boleh gantikan wang kertas dengan wang emas. Ia tidak boleh halang tangan dibelakang yang suruh menghantar bom atom ke mana-mana untuk melenyapkan jutaan suara. Tidak boleh hantar permaisurinya untuk menjadi negara jiran menantu saudara turun menurun.

Harus ingat, kerajaan Othmaniah dan China dulu-dulu adalah sistem feudal yang amat prihatin tentang keselamatan dunia. Mereka masing-masing ada pertalian risalah nubuwat dan telah menghantar armada tentera ke Melaka untuk cuba menghalang penjajah awal Eropah pada 1511, tetap mereka semua dicincang habis akhirnya oleh pakatan semua kuasa Barat kuffar. Itulah kisah Jalan Sutera yang dahulunya dikawal oleh kaum fitrah Muslim yang pelbagai syuuba wal-qabaila - pelbagai warna kulit bangsa dan lidah bahasa. Dan sebaik-baik antara mereka adalah yang paling mulia akhlaknya. Itu sebabnya Maharaja Cina berlumba dengan Khalifah Turki menghantar payung kuning dan pengiktirafan Sultan kepada Raja Parameswara di Melaka dulu. Kemudiannya disambung dengan seorang permaisuri istana Hang Li Po. Tiada satu dari armada mereka menyerang, mencabul atau memperkosa bumi yang terpijak.

Kefahaman manusia dipesong dengan cara kononnya ilmiah iaitu kajian antropoloji yang mengatakan zaman dulu adalah feudal dan kalut dan manusia itu datang dari monyet. Panjang lagi ceritanya dimana golongan Yahudi memaksa Eropah berperang dan menguasai jentera ketenteraan dunia sehingga bom atom tercipta. Mereka kini adalah 'feudal kalut' sebenar. Mereka menguasai poket anda. Mereka menguasai hutang anda kepada bank tidak kira ditempek dengan label Islamic Window atau Islamic Dow Jones sehingga selepas anda mati dan disambung kepada cucu cicit nanti tidak terurus hutangnya.

Mereka menguasai air kencing anda kerana menguasai makanan anda. Mereka menguasai pelajaran dan kurikulum yang berjiwa consumeristic dan mass production. Tetapi yang saya anggap paling teruk ialah, mereka menguasai anda dengan anda sendiri menyatakan "I am proud to be muslim. I pray five times a day. My wives are so covered from heads to toes. So i know not what else Islam you talking about".

Sepatutnya kita bertanya,

"Min aina ila aina?"
(Gambar pertama menunjukkan suasana sayu khalifah terakhir Islam yang monarki dan bukan berperlembagaan, Sultan Abdul Hameed II, tetapi tetap izzah dan tampan.
Gambar kedua satu persembahan moden mengenai zaman Dinasti Qing
Gambar ketiga menunjukan perjalanan Ma ZhengHe semasa kemuncak kegemilangan Tamadun Insan)

7 comments:

Ahmad Ramly said...

Persoalan di sini bukan mengenai demokrasi atau monarki, tetapi sistem mana yang boleh membawa kehancuran atau keamanan? Saya berpendapat demokrasi kerana Kesultanan Melayu Melaka gugur kerana Sultan Mahmud yang incompetent. Tetapi kesultanan tersebut gah di zaman Sultan Alauddin. Demokrasi gah ketika di zaman Rasulullah saw, Abu Bakar, Usman dan Ali tetapi hancur setelah ditukarkan kepada monarki Muawiyah. Kemudian demokrasi dikembalikan seketika pada zaman Usman Abdul Aziz dan kita semua tahu beliau adalah seorang yang disanjung tinggi. Demokrasi Romawi hancur di zaman Julius Caesar dan makmur di zaman Marcus Aurelius. Sistem walau macam mana bagus pun, bergantung kepada ketuanya.

Btw, saya pernah menetap di Brunei. Sungguhpun saya menyanjungi tinggi Ke Bawah Duli, saya meragui kewujudan Brunei selepas 2018 (post-minyak). Minta maaf tak dapat diterangkan dengan lebih lanjut.

Ahmad Ramly said...

Minta maaf ayat tergantung:
Saya berpendapat demokrasi kerana Kesultanan Melayu Melaka gugur kerana Sultan Mahmud yang incompetent
Sepatutnya:

Saya berpendapat monarki ada limitations nya seperti Kesultanan Melayu Melaka yang gugur....

rtk said...

Terima kasih Red1 kerana penjelasan tentang kaedah fitrah bernegara. Sememangnya Islam bukan suatu sistem! Ia sebenarnya cara hidup yang sesuai untuk suatu kampung dan sesuai juga untuk sebuah empayar. Sistem berkait dengan fikiran manusia yang ingin meletakkan segalanya dalam tong atau kotak hatta Islam pun hendak diletak dalam tong undi seperti kata Yin dan Yan. Meletakkan Islam dalam tong maknanya menghalalkan proses pilih tong yang lain juga. Jika anda berkuasa, kepimpinan Islam bukan suatu pilihan. Nak Islam atau tidak mau bukan peti undi yang tentukan. Selagi ada sultanlah tanah air kita berterusan daulah islamiyahnya. Bukan selagi ada demokrasi!

Inilah cara fitrah berkerajaan.
Kita sentiasa diberi pedoman dalam segala hal hinggakan tatkala peristiwa qabil habil dahulupun Allah tunjukkan cara melalui burung gagak bagaimana hendak sempurnakan jenazah.

Sekali lagi Red1, teruskan usaha baik tuan.

wassalam
RTK
Rethinking Times

Mohd Radzian said...

Setiap sistem kerajaan mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Ciri utama yang sentiasa menjadi rebutan adalah kuasa. Puak-puak yang berdambakan kuasa akan melakukan apa sahaja yang terlintas di benak mereka untuk mendapatkan kuasa. Ini termasuk penipuan, ketidak adilan dan segala-galanya yang kotor, ditabirkan di sebalik satu perkataan iaitu "strategi" Perkataan strategi ini digunakan untuk menghalalkan kekotoran di dalam permainan politik.

Masalah utama yang dihadapi oleh sebilangan negara sebenarnya bukan terletak kepada sistem pemerintahan. Masalah terletak kepada individu yang berada di belakang sistem pemerintahan. Saya sentiasa beranggapan sistem pemerintahan adalah bersih, individulah yang menyebabkan sistem itu kotor dan tidak bersih. Sepertimana ungkapan kontemporari muda-mudi - cinta itu buta, sebenarnya cinta tidak buta , tetapi manusia yang buta. Begitu jugalah organisasi dan juga sistem pemerintahan.

Demokrasi pada dasarnya adalah sesuatu yang baik kerana ia membenarkan sesebuah kerajaan ditukar sekiranya pemimpin tidak diyakini dan disukai rakyat.

Tetapi demokrasi juga adalah tidak baik dari segi, kepimpinan buruk yang terdapat di dalam sebuah negara demokrasi semasa kepimpinan itu masih berkuasa. Contohnya, atas dasar demokrasilah "bom atom di jatuhkan di nagasaki dan hiroshima", membunuh jutaan manusia. Atas dasar demokrasi juga lah Iraq di tawan walau pun tidak dijumpai sebutir bom nuklear pun di Iraq.

Tetapi pada akhirnya sistem demokrasi tersebut akan memperbaiki kepimpinan yang telah tercalar, dengan cara undian oleh orang ramai. Kita boleh lihat ini berlaku kepada George W. Bush yang hilang sebahagian kuasa beliau setelah perang Iraq semasa mid-term election yang lepas.

Seperti sistem-sistem pemerintahan yang lain, demokrasi tanpa kepimpinan adalah pincang. Demokrasi tidak pincang, tetapi kepimpinan adalah pincang.

Sistem Raja Berpelembagaan sebenarnya adalah satu sistem yang wujud dengan cara pengasingan kuasa eksekutif dan juga kuasa raja.


Saya berpendapat sistem ini adalah lebih baik daripada sistem demokrasi. Wujudnya dua kuasa yang berasingan boleh meperbaiki kepincangan kepimpinan demokrasi sekiranya ada. Ini dibantu sekiranya Raja atau Sultan mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih syumul daripada pemimpin yang dilantik melalui sistem demokrasi.

Saudara Red1, telah memberikan contoh sistem Raja Berpelembagaan Siam. Sebab utama mengapa Raja Siam amat dihormati oleh rakyat adalah kerana raja itu sendiri mengutamakan ilmu pengetahuan ke atas anak dan cucu-citcit baginda.

Di England, Raja Berpelembagaan juga terpilih setelah berlakunya pertumpahan darah King Charles 1 dan kemudiannya akhirnya mayat Oliver Cormwell sendiri telah dikeluarkan dari kubur dan digantung dikhalayak ramai oleh Raja yang dilantik semula oleh parlimen iaitu King Charles 2.

Kesimpulan yang boleh saya berikan di sini adalah Raja Berpelembagaan boleh membataskan kuasa eksekutif pemimpin demokrasi sekiranya Raja mempunyai ilmu pengetahuan lebih tinggi daripada pemimpin demokrasi dan seterusnya mengurangkan kepincangan di dalam demokrasi.

Manakala pemimpin demokrasi boleh mengelakkan kepincangan yang berlaku di dalam sistem Raja sekiranya pemimpin demokrasi adalah lebih berpengetahuan dan adil daripada Raja itu sendiri.

Akhirnya, sistem Raja Berpelembagaan sendiri akan mewujudkan kestabilan negara dan menyebabkan negara tidak mudah diancam oleh anasir-anasir luar yang memberikan sokongan dari segi wang ringgit, manipulasi ekonomi seperti contohnya menyangak matawang dan lain-lain.

Dengan wujudnya check and balance seperti ini, pertumpahan darah sepertimana yang telah berlaku di England dan France boleh dielakkan.

Mohd Radzian said...

Satu pertanyaan : Mengapa Red1 tulis pekerjaan adalah evangelist ?

Mengikut fahaman saya , dan disokong oleh kamus-kamus online, evangelist bermakna pendakwah gospel Christian . Perkataan evangelist digunakan terutamanya oleh golongan Protestant.

Anyway, bukan saya yang memberikan definasi ini. Rujukan www.dictionary.com .

Redhuan D. Oon said...

Sdr,
Saya merujuk kepada link kamus dan melihat memang ia lebih merujuk kepada agama kristian dan hanya salah satu definasi kemudian adalah:
6. a person marked by evangelical enthusiasm for or support of any cause.

Yang terbaru adalah yang dimaksudkan terutama dalam bidang Open Source yang saya menjadi pelupor untuk projek bersama rakan-rakan dari seluruh dunia itu.

Pada awalnya saya letak diri saya dengan gelaran 'leader' sepertimana yang saya terlantik oleh mereka tetapi oleh kerana kuasa saya amat terletak kepada soal pengaruh saya secara maya dan jauh, saya sering meletakkan diri saya dengan lebih rendah diri dan maka mengelar diri hanya sebagai 'pendakwah' falsafah kami. Perkataan 'evengelist' begitu popular bagi maksud itu dan bukan maksud lebih dari itu terutama dari segi agama.

Pentingnya bersifat rendah diri dalam satu komuniti sedunia yang terdiri dari ramai pendokong yang cerdik, berbeza dan agak agresif dalam pandangan yang bertentangan memerlukan seseorang pemimpin itu bersikap tenang dan tidak menonjol diri. Amat mudah untuk hilang pengaruh sekiranya kita cuba memaksa pandangan kita semata-mata.

Komuniti ADempiere yang saya terlibat ini amat menarik dari segi pengalaman kepimpinannya kerana saya tidak biasa dengan peluang itu dengan masa depan yang tidak menentu.

Saya menggunakan falsafaha Karma apabila ingin berdakwah kepada mereka, kerana ia adalah paling hampir kepada konsep tauhid, yin dan yang yang islamik dan tidak menimbulkan polemik yang sia-sia. Yang penting mereka mendapat mesej kebaikan serta menghormati saya sebagai seorang muslim.

t.k. kerana bertanya,
wasalam

red1

yindanyan said...

Yin: Politik kepartian nampakkan akal yang terkotak dan terperangkap!

Yan: Bila DrM mahupun Nik Aziz bercakap tentang Islam dalam kotak atau pentas parti nampak kedua-duanya merepek.

Yin: DrM merepek tentang hudud. Nik Aziz merepek mencarut.Inilah padah bercakap tentang Islam dalam kotak parti. Tapi kadangkala bila kedua-duanya bercakap di luar kotak parti barulah nampak mereka tu macam berakal.

Yan: Ya betul. Yan pun nampak bila depa cakap bukan atas batas parti dua-dua cakap benda yang sama. Dulu DrM promote dinar emas. Nik Aziz pun turut sokong dinar emas. Dua-dua anti riba - anti IMF, anti bank dunia!

Yin: Sekarang nampak dua-dua cakap tentang kesultanan pun secara positif.

Yan: Baguslah tu. Lagipun nampak gaya krisis politik ni baik untuk kesultanan. Bila orang-orang parti bergaduh berebut kerusi barulah nampak siapa tuan punya semua kerusi.Kat sapa depa kena pi mengadap! Sapa menang pun kena mengadap sultan juga akhirnya.

Yin: Lagu tu kita biarpi depa gaduh berebut kerusi macam budak2 lagilah.