09 May, 2008

Karpal Betul Dan Salah


Karpal Singh dari segi undang-undang perlembagaan adalah betul. Tetapi dari segi politik adalah salah. Memang menurutnya dia mempertahankan terjemahan fahaman sistem kerajaan yang sepatutnya iaitu kuasa Raja adalah terhad dan hanya bertindak atas nasihat Menteri Besar yang mengikat. Sistem kerajaan kita adalah diwarisi dari sistem British dimana kuasa defacto adalah terletak di atas tangan Perdana Menteri atau Menteri Besar bagi peringkat negeri.

Dalam kes Perak, Menteri Besarnya boleh dikatakan melakukan kesilapan teknikal dengan tidak memberi 'nasihat' kepada Sultan Perak selaku ketua agama terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkenaan. Namun begitu Menteri Besar masih boleh mengutarakan 'nasihat'. Apabila itu berlaku, Sultan hendaklah menurut apa-apa nasihat dari Ketua Menteri kerana nasihat itu dikatakan mengikat dalam konteks sistem kerajaan kita.

Dr. Mahathir semasa menjadi PM telah memperjelaskan lagi soal 'nasihat' itu kepada lebih muktamad. Ini kerana dalam budaya dan bahasa kita, 'nasihat' tidaklah berbau mengikat sepertimana yang dimaksudkan oleh British.

Hendaklah kita faham bahawa zaman British dulu mereka adalah cukup licik apabila mula memperkenalkan sistem penjajahan mereka ke atas Tanah Melayu. Mereka elak dari menaikkan kemarahan penduduk tempatan dengan tidak menampakkan mereka itu berkuasa. Mereka kekalkan keujudan Raja-raja Melayu tetapi meletakkan diri mereka sebagai Residen atau Gabenor atau Pesuruhjaya British yang dikatakan menasihati Sultan dalam semua soal melainkan soal agama dan adat istiadat Melayu. Soal agama pun adalah terhad kepada soal perayaan secara sekular dan tidaklah soal yang menyentuh soal pentadbiran atau pengaruh politik.

Ini supaya penjajahan itu mencapai maksud sebenarnya. Dengan menyatakan mereka cuma 'menasihati' sahaja membawa gambaran seolah-olah Raja itu masih berkuasa. Padahal tidak. 'Nasihat' dalam bahasa politik British sehingga sekarang adalah bermaksud 'arahan mutlak tetapi bersopan memberi muka kepada Ratu' jika ingin dilihat secara ringkas dalam konteks sana.

Segala tindakan parlimen untuk meluluskan akta atau pindaan harus diberikan persetujuan diRaja dalam masa 30 hari. Sekiranya tidak ia boleh dibahas semula dan diluluskan sekali lagi oleh Dewan Rakyat, dan selepas itu Raja sepatutnya tidak menolaknya. Sekiranya tidak dipersetujui juga maka akan tercetuslah apa yang dikatakan sebagai krisis berperlembagaan. Dengan itu, kuasa Raja secara mutlaknya memang tiada dan hanya selaku fungsi upacara dan hiasan sahaja.

Adapun dalam keadaan darurat, ia hanya boleh diistiharkan atas nasihat Perdana Menteri menerusi YDP Agung. Selepas itu Agung sebagai Panglima Tertingi Tentera hanya boleh bertindak di atas 'nasihat' Perdana Menteri. Pendek kata, Raja dalam sistem politik tanah-air memang tidak mempunyai kebebasan memerintah secara tersendiri.

Dr. Mahathir belum puas hati bahawa konvensi di sini pun turut sama dengan sana di Britain, jadi beliau ingin memastikan 100% bahawa ia bukan sahaja konvensi tetapi juga sebagai undang-undang yang tidak boleh dicabar secara pertikaian oleh Raja itu sendiri apabila tercetus krisis perlembagaan. Dengan itu beliau telah mendatangkan pindaan kepada perlembagaan untuk mencapai kehendak dimana sekiranya pada pembentangan kedua rang undang-undang kepada YDP Agung, dalam masa 30 hari dianggap mendapat restu YDP Agung walaupun masih tidak direstu.

Entah macamana selepas era Mahathir, amalan yang ada sekarang tertimbul keadaan yang agak tidak menuruti konvensyi atau peruntukan perlembagaan tersebut. Ini adalah kerana keadaan krisis yang makro telah berlaku iaitu kehilangan daya kuasa pengaruh politik secara mutlak dan psikologi kerana keputusan PRU12. Masing-masing sudah membenarkan precedent yang bermula dengan perlantikan Menteri Besar oleh Raja Perlis. Ini diikuti dengan perlantikan Menteri Besar di Terengganu oleh Majlis Raja Terengganu. Kedua-dua kes ini dikatakan tidak mengikut jangkaan yang sepatutnya.

Realiti politik yang sedemikian adalah penentu akhir keadaan sekarang. Kehendak rakyat teramai boleh merubah keadaan. Sepertimana berlaku dalam sejarah pemberontakan rakyat bawahan di Perancis dahulu yang menyaksikan Revolusi yang menjatuhkan kuasa King Louis XVI dan Marie Antonette yang di hukum pancung untuk mengakhiri era monarki diganti dengan era Republik.

Semasa Mahathir mendatangkan pindaan tersebut pun sudah ada desas desus bahawa Malaysia sudah menuju sebuah Republik dimana akhirnya akan ada Presiden baru yang difikirkan mungkin diduduki oleh Mahathir sendiri.

Karpal Singh adalah betul sekiranya beliau sebagai seorang yang cukup pakar dalam soal undang-undang sepertimana yang cuba dibahaskan di atas. Tetapi dari segi kehendak sosio-politik yang majoritinya Melayu, maka beliau adalah dikira 'silap'. Kehendak majoriti dikira pemenang dan senantiasa betul dalam sistem demokrasi.

Cuma majoriti itu hendaklah bertindak secara tertib dan gunakan kuasa 2/3 untuk mengusulkan keadaan baru seperti memulangkan kuasa kedaulatan yang sebenar kepada Raja dan Sultan. Dalam keadaan tidak ada 2/3 pada mana-mana pihak boleh dikatakan keadaan ini adalah menuju keadaan krisis perlembagaan.

Saya percaya krisis perlembagaan ini adalah satu faktor baru yang masih belum dikaji implikasi sebenarnya apakah halatuju yang ingin dibawanya. Adalah diharapkan semua pihak melihat keadaan yang lebih luas dan saksama kerana suasana politik kita adalah amat unik tetapi tidak boleh dimainkan dengan eksperimen perlembagaan sepertimana yang berlaku dalam zaman Mahathir. Mengapa? Kerana kita sudah tidak ada orang macam Mahathir di atas.
(Gambar di atas menunjukkan hasil Revolusi Perancis iaitu satu Piagam Pengistiharaan Hak Kemanusiaan)

3 comments:

Ahmad Ramly said...

Salam,
Kita semua sudah sedia maklum kenapa kes ini diberi perhatian sedemikian rupa dan bukanlah kerana ingin memelihara kedaulatan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam Perak.

Saya setuju dengan pendapat Red1 bahawa Karpal betul dan salah. Kalau kita selidik semua ini, kita akan tahu segala krisis dengan Raja-raja bermula pada tahun 1983. Baru-baru ini, ada artikel daripada The Star yang merungkaikan kisah itu (saya dah selidik fakta-fakta itu dan saya percaya ia benar).

Sungguhpun begitu, saya masih lagi risau kerana kurangnya sistem check and balance yang berkesan di negara kita. Saya risau penyalahgunaan kuasa jika terdapat satu pihak yang mempunyai kuasa yang lebih dari pihak lain di mana kita juga sudah sedia maklum penyalahgunaan kuasa memang dan telah pun berlaku. Ingat kes Wang Ehsan di Terengganu, walaupun betul dari segi perlembagaan, tetapi dari segi kemanusiaan dan moral saya tidak syak ia memang salah. Masalahnya inilah terjadi apabila tidak mempraktikkan Islam dalam semua aspek kehidupan.

Selama beberapa hari dari sekarang, isu ini akan dimainkan sehingga orang seperti saya yang ingin membaca berita 'sebenar' pon bosan.

Saya berharap sangat rakyat bijak dalam menilai sesuatu perkara. Karpal memang salah dalam mempersoalkan Sultan secara rambang di mana saya percaya Karpal mungkin boleh menunjukkan sedikit rasa rendah diri dengan pergi menemu Sultan atau sekurang-kurangnya menelefon baginda mengenai kes ini. Karpal telah memberi 'silver bullet' kepada pihak yang ingin menundukkan beliau. Beliau sepatutnya lebih bijak dari ini. Tetapi, berkenaan dengan kandungan ucapan beliau, tidak ada apa yang memberi perhatian sangat kerana ini adalah sesuatu yang kita sudah sedia maklum. Tanyalah Mahathir, dia lagi tahu pasal ini.

Akhir kata, diharap semua rakyat Malaysia mendapat segala fakta dahulu. Jangan cepat melatah dan sentiasa mempersoalkan niat orang yang ingin mencari keadilan kerana keikhlasan diperlihatkan melalui perbuatan.

Wassalam.

Mohd Radzian said...

Saya rasa tiada permasalahan dari segi perintah Sultan.

Dalam kes ini saya berpendapat Sultan bertindak di atas dasar check dan balance ke atas peranan yang dimainkan oleh Menteri Besar.

Sekiranya di teliti perutusan Sultan Perak, kita dapati terdapat satu clause yang menyatakan sekiranya terdapat salah laku Jamry (JAIP), MB perlu memaklumkan kepada Sultan sebelum sebarang keputusan boleh diambil.

Dengan clause ini, Sultan meminta sebab. Sudah tentu MB Perak boleh memberikan sebab sekiranya MB Perak adalah seorang yang adil di dalam menjalankan tugas beliau.

Alasan MB adalah Jamry tidak boleh bekerjasama dengan Kerajaan Negeri . Saya merasakan, persoalannya yang bermain di pihak Sultan - kerjasama dari segi apa ?

Adakah yang dinamakan kerjasama yang tidak di beri itu sebagai kerjasama untuk menukar ahli jawatankuasa masjid di seluruh negeri Perak dengan keanggotaan yang terdiri dari ahli-ahli PAS sahaja ...

Sekiranya ini adalah masalah MB. Majukan saja kepada Sultan Perak. Saya yakin , Sultan Perak sebagai

Raja yang pernah bertugas sebagai Presiden kepada Mahkamah Persekutuan dan juga Ketua Hakim Negara amat bijaksana untuk memberikan sebarang keputusan berdasarkan kepada pertimbangan yang adil dan saksama. Malah amat bijaksana untuk melihat sebab-sebab yang diberikan oleh MB Perak, dari segi ketelusan, adil dan munasabahnya.

Masalah Karpal Singh pula saya lihat sebagai orang yang sudah jatuh tetapi dtimpa tangga.

Yang jatuh adalah DAP. Walau pun mengidam jawatan MB dari kalangan ahli DAP tetapi perlembagaan negeri Perak mensyaratkan orang Islam dan atas persetujuan Sultan.

Kini, Sultan Perak, dengan segala kuasa yang ada , telah menggunakan his first right of refusal untuk menentukan kedudukan kerajaan yang berkaitan dengan agama dan budaya.

Saya merasakan, Karpal beranggapan bahawa , Sultan Perak (bekas boss beliau selaku bekas Lord President) adalah batu penghalang kepada perkembangan politik Pakatan Rakyat di negeri Perak.

Ahmad Ramly said...

Saya setuju dengan Mohd Radzian. Kesalahan MB Perak adalah membelakangkan protokol. Dalam kes ini, Sultan Perak mengamalkan dasar check and balance. Tetapi, bolehkah kita bertaruh bahawa semua Sultan akan mengamalkan dasar check and balance dengan sebaik-baiknya seperti Sultan Perak? Kalau Majlis Raja-raja boleh lebih aktif dalam pengurusan negara dan membenarkan pandangan mereka disuarakan, mungkin kita sebagai rakyat tidak akan sentiasa cuak dengan perkara yang kita tidak tahu (bersangkut paut dengan mereka).

Masalah sekarang adalah transparency. Sebab itulah kita tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan 'tidak memberi kerjasama'. Kan lebih baik kalau perkara ini diterangkan kepada umum?

Karpal sepatutnya diam sahaja kerana isu ini adalah berkaitan agama dan budaya, masuk campur dalam hal ini adalah seperti orang bukan Islam menegur orang Islam tidak sembahyang...