07 May, 2008

Allah Al-Kamil

Sekali lagi kuliah ringkas subuh sakni, dimana tertanya pula ahlul-bait saya apakah mereka tahu tentang nama-nama Allah. Kerana lama tidak berkuliah agak berdiam sekali lagi sehingga satu persatu saya kena beri ajakan sehingga ibu mereka bermula dengan menyebut, "Ar-Rahmaan".

Cepat-cepat disambung oleh Liyana dengan "Ar-Raheem" dan Naquib dengan "Malik".

"Al-Malik adalah Raja" saya tambah sikit. Nasem pula cuba-cuba tetapi memorinya agak kosong.
"We always come across many of Allah's 99 names in our prayers". Saya pun terangkan nama-nama yang saya selalu baca waktu subuh iaitu dari surah yang ada Awwalu walaakhiruu walzahiru walbathin. Pada rakaat kedua saya akan baca Ayatul Kursi yang ada juga nama-nama masyurNya.
Kali ini saya menekan pula nama Allah yang menandakan kesempurnaannya secara mutlak yang tidak boleh dipersoalkan lagi. Allah mengajak dalam Al-Quran supaya mencari satu pun cacat-cela yang ada dalam ciptaanNya. Cari dan cari lagi. Apakah darah daging kita tidak berfungsi, saya gariskan pada tangan Naquib.

"Jika terluka, akan mengalir darah keluar dan ia kemudiannya kering dan sembuh balik tanpa kita buat apa-apa"
Kita perhati sempurnanya aturan alam ini dari kumbang ke bunga ke kita berkeluarga dalam kebun hutan ini dengan segala keperluaan semuanya sempurna tanpa resah dan risau.

Seekor kucing kesayangan kita tetapi tengah duduk diluar pintu berdawai memandang ke dalam seperti biasa bermeow pun saya rujuk sebagai sempurna dijadikan supaya jinak dan menarik kepada tuan rumah supaya mengambilnya sebagai house pet. Cuma isteri saya tidak suka kucing masuk rumah kerana dibawah bidang dasar imigresennya.
Lepas itu saya sentuh tentang perlunya sentiasa bercakap dengan Allah menerusi doa. Hendaklah doa lebih spesifik dan releven. Isteri saya mengangguk kerana dia senantiasa berdoa, "Bilalah saya akan dapatkan rumah sendiri?"

"Mesti ada rancangan dari Allah mengenai itu. Sabarlah", saya sambut balik harapannya.

Isteri adalah kelahiran Zambia, Afrika tengah yang berhijrah ke sini dalam tahun 1980 semasa umurnya 10 tahun. Saya tidak pun pernah jejak kaki ke Zambia. Tidak pun terfikir berkahwin orang sana. Abang angkat saya dari Kelantan terdengar saya kahwin orang afrika ketawa lucu tertanya-tanya, "apasal lah awak sampai sana?".

Tetapi seolah dia yang datang sini pada waktu sama saya memeluk Islam pada tahun 1980 tetapi tidak terjumpa sehingga tahun 1987 semasa keluarganya ditinggalkan oleh seorang ayah tiri (dari Kedah yang pergi sana kerja dalam lombong kupram) yang mengahwini ibunya di Zambia (selepas ayah kandung meninggal) lalu dileburkan segala harta mereka dan mereka tertinggal mengharapkan ihsan Perkim di Penang selepas beberapa tahun.

Saya sering beritahu isteri saya bahawa itu semua adalah kudrat dan perancangan Allah yang ada hikmatnya.

"Sekurang-kurangya Allah keluarkan kamu semua dari bumi yang susah kepada bumi yang baik. Sekurang-kurangnya kamu semua masuk Islam".

Kepada saya sekurang-kurangnya Allah menjawab doa saya supaya dapat seorang isteri yang tinggi. Jika tidak, tiadalah keluarga yang kami bersama-sama sayang-menyayangi ini terujud di atas bumi.

3 comments:

Nurfirdaus said...

Salam,... Sdr Red1

Alangkah indahnya apabila kita memahami hakikat ketuhan yang sebenar. Pastinya manusia akan sentiasa taat dan patuh pada segala seruan RabulJalil.

Segalanya tersusun dengan sempurna tanpa cacat dan cela. Cuma kita (saya sendiri khususnya) yang masih belum mengerti rahsia alam sepenuhnya.

Betapa indahnya hidup ini bila insan mengenal diri dan Khaliqnya...

Ahmad Ramly said...

Salam kepada Redhuan,
Setiap pagi, sebelum memulakan hari saya akan membuka blog saudara untuk mendapatkan sedikit wisdom daripada saudara. Dan saya tidak pernah kecewa dengan blog saudara. Terima kasih diucapkan kerana sudi berkongsi hikmah kehidupan yang saudara terima daripada Allah. Semoga saudara dan keluarga sentiasa dibawah rahmatNya. Wassalam.

Mohd Radzian said...

Salam Red1,

I think the reason why many people visit your blog (including myself) is because you have good writing skill. The flow is good, comparable to one book that I fondly read - Looking Back by Tunku Abdul Rahman Putra.

Semoga Allah merahmati dan memberikan rezeki kepada keluarga Red1.