Seperti yang tersentuh dalam tulisan yang lepas, saya pernah tertanya semasa dibangku sekolah rendah lagi kenape saya tidak dilahirkan ke dalam sebuah keluarga berbangsa Melayu. Fikiran itu bukanlah tercetus menerusi tafakur secara sendiri tetapi secara terdorong oleh keadaan.
Semasa saya duduk bersama keluarga saya di blok flets Kem Wardieburn, amat sedikit keluarga berbangsa Cina dalam lautan kebanyakannya keluarga berbangsa Melayu atau berbangsa Iban dari Sarawak. Jiran yang sama bangsa dengan saya adalah perpangkat lebih tinggi dari bapa saya dan mereka duduk di blok apartment lebih mewah dan perlu jalan lebih kurang 10 minit untuk sampai.
Seperti yang telah diceritakan, kandungan rumah kita itu amat bising pada sekian waktu. Biasanya pada waktu jauh malam apabila ayah saya balik mabuk tanpa wang atau saya dihukum kerana tidak menuruti perintah. Ia tercetus selalunya dengan kenaikan suara emak saya samada terhadap bapa saya atau kepada kita masa itu 3 adik-beradik yang masih kecil.
Satu pagi keesokan selepas salah satu peristiwa 'perang' di unit kami, kami tertinggal 3 adik-beadik tanpa ibu-bapa di rumah. Sayalah yang paling pemberontak akan cuba keluar rumah walaupun duduk-duduk sekaki di luar pintu depan. Tidak berani lebih dari itu kerana barangkali emak saya akan tiba-tiba balik dan tentu sekali sebatan rotan akan menyusuli tanpa bicara. Jiran sebelah saya, seorang makcik ternampak saya lalu jemput saya memasuki rumahnya dan dilayannya dengan secawan kopi dan sedikit kuih-muih. Sambil saya duduk minum-makan saya perhati keadaan rumah mereka dan anak-beranak lain yang hidup dalam keadaan jauh berbeza dengan saya yang hanya sebelah-menyebelah tembok dinding 2 unit flet kami. Anak-anaknya tidak dimarahi atau dipukul atau ditengking ke atas sedikit kesalahan pun. Malah mereka nampak begitu bahagia, amat berjiwa kampung dan hidup bermanja. Makcik tersebut pun sebut-sebut tentang peristiwa bising yang berlaku malam sebelum itu.
Oleh kerana saya tidak cukup dewasa untuk memahami keadaan dan tidak mampu menjawab punca sebenar ibu-bapa saya bergaduh sakan, makcik itu cuma boleh mengeluarkan kata-kata cuba menenangkan hati saya.
"...semalam tu ayah mabuk agaknya.. kesian... ni kopi ni... minumlah nak, "
Kata-katanya cukup tersumat dalam hati saya kerana saya masih ingat sampai hari ini. Saya tidak ingat wajah mereka tetapi saya ingat suasana berbezaan hidup kami dan kata-katanya.
Melayu yang saya kenal sering saya silap faham. Saya adakalanya menganggap mereka ini ketinggalan dan malas. Tetapi sering merekalah merupakan antara teman-teman yang paling bermakna dengan sikap yang lebih komunal dan ambil tahu. Malah kemasukan saya dalam Islam akhirnya terdorong apabila saya terjumpa lagi seorang sahabat semasa kursus Biro Tata Negara di Air Keroh, Melaka pada tahun 1979.
Masa itu merupakan enam bulan selepas doa saya kepada 'tuhan' yang ditulis di dalam buku catatan saya. Masa itu saya rasa bebas kerana dibenarkan oleh kedua ibu-bapa saya yang telah hidup hidup terpisah dan maka agak longgar kawalan tahanan politik ke atas pergerakan saya. Selama 10 hari saya bebas di kursus tersebut saya seolah memasuki syurga. Tidak ada pihak yang menengking saya maupun saya terbiar seorangan dalam rumah kosong.
Seleasai saja kursus tersebut, saya merasakan amat berat untuk kembali ke pangkuan rumah bapa atau emak. Saya mahu terus dalam perjalanan kemerdekaan yang saya dah kecapi sebagai seorang remaja berusia 18 tahun waktu itu. Saya dengan mudah dipelawa oleh seorang kenalan di sana supaya ikut dia balik berkunjung ke kampungnya di Semabok, Melaka. Apabila jejak kaki masuk kampung tersebut dan terdengar serta terhidu suasana kampung yang hampir tak pernah saya alami dalam hidup saya sebelum ini, saya makin terdorong untuk tidak kembali lagi ke neraka jahanam.
Ibu kawan saya itu juga cukup peramah kepada saya. Terus saya bertanya dengan kawan saya apakah boleh saya duduk dirumahnya!? Dengan mudah sahaja mereka semua menjawab "boleh!".
"Jadilah anak angkat ibu saya, tak pe", kawan saya sambung lagi. Ini semua agak menakjubkan dan merupakan faktor tarikan yang mudah mengalahkan faktor tolakan dari Kuala Lumpur. Saya terus membuat keputusan untuk berhijrah. Entah macamana datang kekuatan batin kepada sanubari saya sehingga saya terus membuat permohonan tukar sekolah secara berseorangan diri tanpa bantuan sesiapa. Saya pusing berlobi dengan bapa-bapa saudara kandung saya untuk mempengaruhi dengan berjayanya bapa saya supaya tanda-tangan surat pelepasan saya dari sekolah Victoria ke sekolah St. Francis Institute, Melaka sebagai taktik pindah sekolah. Sebenarnya saya suka sangat dapat mengecapi kehidupan baru di alam baru yang bagaikan langit dengan bumi.
Pada satu pagi setelah saya bangun di rumah kampung angkat saya itu, saya teringat lagi bagaimana bunyi ayam berkokok dan bau asap daun kering dibakar di luar rumah cukup menenangkan jiwa. Waktu itu saya bermula hidup sebagai seorang Melayu. Pada minggu berikutnya saya dengan rela hati yang terbuka luas pun memeluk agama Islam.
4 comments:
teruskan menulis!amat menarik untuk dibaca :)
Reduan, apa dah jadi dengan 'politik berdisiplin' tu? By the way, keep going.
Wnf Wj,
Terima kasih atas sokongan moral untuk saya terus menulis. Saya rasa lebih kurang 300 lagi artikel baru dapat cover habis sejarah yang saya pernah lalui dan saksikan atas mukabumi ini!
Tralayan,
Pagi tadi seorang bekas editor business times yang lama bersara memberitahu saya perkataan 'muafakat' lebih tepat dari perkataan 'perpaduan'. Ini kerana 'perpaduan' membawa maksud cuba mengasimilisasikan kaum-kaum yang berbeza kepada satu nasionalisma. Padahal Allah sengaja jadikan manusia berkaum dan berpuak supaya kita dapat taaruf secara muafakat, katanya. Ini amat tepat kerana ayat yang menjadi tema fahaman politik yang kami nak terapkan di sini ialah ayat 13 Surah al-Hujarat yang menyentuh kejadian Allah tersebut.
Disiplin adalah mafhum jika kita letak 'responsibility' di depan. Tentulah perlu disiplin. Namun saya sebut juga perkataan disiplin di dalam butiran lanjut tajuk blog ini.
Saya turut elakkan perkataan 'bertakwa' kerana pun mafhum atas semua umat Islam. Juga umat bukan Muslim akan rasa asing dengan istilah yang mereka tak kenal. Mereka lagi kenal amalan dna hasil kerja yang muafakat dan bertanggungjawab, mudah2an mereka rasa nikmat amalan umat islam itu lantaran terbuka hati mereka memahami Islam.
Wallahuaklam!
Menemukan blog saudara ini menambahkan lagi masa saya berada depan komputer...
Tapi tak apa, asalkan bermanfaat.
Selamat maju jaya dan teruskan memblog.
Post a Comment