28 March, 2008

Fahaman Materialisma Cina Baik Untuk Malaysia?

Bapa saya adalah dari suku-bangsa Hokkien yang lahir di Pulau Pinang pada tahun 1939. Emak saya adalah dari keturunan Shanghai yang lahir di Pulau Singapura pada tahun 1941. Saya berpeluang mengenal dua bahasa ibunda, iaitu bahasa Hokkien dari bapa saya dan bahasa Kantonis dari ibu saya.

Cina ini dimana jua dalam dunia tercipta dengan satu keistimewaan. Mereka ini suka berniaga. Bidang perniagaan mereka tiada had. ABJJ - Apa Boleh Jual, Jual. Apa Boleh Jalan, Jalan. Apa Boleh Jamin, Jamin. Sebab utama mereka suka berniaga ialah minat yang tinggi kepada kekuasaan wang itu.

Tetapi yang peliknya saya sebagai anak jati Cina tidak pulak tertarik dengan budaya suka berniaga. Malah saya cukup benci mengira wang! Sampai sekarang, apabila saya dapat wang atau kontrek kerja, saya sering membelanjakan wang saya macam air. Nasib baik saya ada seorang isteri yang tolong saya kira. Saya anggap wang itu alat semata-mata dan bukan objek yang boleh membawa kebahagiaan. Bukan bermakna Cina yang lain itu tidak ingin perkara spiritual. Mereka mahu tetapi mesti ada wang baru hati tenteram. Mereka akan simpan wang dalam bank, bursa saham, dalam maupun luar negara. Mereka akan beli hartanah dan apa jua aset yang boleh memulangkan wang dengan banyak. Semestinya mereka terjerumus dalam sistem berunsur riba.

Cara hidup sedemikian cukup menekan jiwa saya semasa saya kecil lagi. Saya menyaksikan perbualan ibubapa saya dalam bahasa Kantonis tentang pentingnya wang dalam hidup. Dan cara-cara mendapatkan wang itu. Bapa saya percaya satu cara ialah dengan pergi mengunjung ke tempat judi dan emak saya pula amat percayai empat nombor ekor. Apabila adik perempuan saya lahir pada tahun 1967, dia semasa masih berusia beberapa bulan sahaja dilatih mencabut nombor. Nombor yang dia cabut iaitu tiga nombor saya masih ingat-ingat lagi saya rasa adalah 6, 3 dan 8. Ibubapa saya terus membeli nombor itu dan menang pula nombor itu saya rasa tempat ketiga dan jumlahnya ialah tiga ratus ringgit. Cukup besar waktu itu, hampir sama banyak dengan gaji bapa saya selama dua bulan yang berpangkat korporal dalam tentera.

Apabila kehabisan wang, emak saya akan bergaduh dengan bapa saya, kerana seringkali bapa saya menghabiskan wang gajinya di meja judi. Apabila berjudi tidak ada hadnya. Jika menang round pertama, akan dihabiskan round seterusnya. Jika menang besar, tidak akan rasa puas. Akan judi sampai habis. Saya kenal dua orang Cina yang membunuh diri selepas kalah berjudi di casino Genting Highlands.

Amalan ibubapa saya itu bukanlah tertakluk kepada mereka sahaja tetapi merupakan tabiat pokok dalam sebahagian besar masyarakat Cina di seluruh dunia. Mereka amat mengagungkan duit dan kaedah mendapatkannya dengan cepat walaupun memperjudikannya. Mereka percaya dengan soal ong atau nasib. Untuk memenuhi tabiat judi ini mereka akan mengerakkan wang dengan pantas kerana mahu bersaing untuk mendapat pasaran terbaik, lalu mengaut keuntungan. Dengan itu, dimana ada Cina, di situ ada wang dan semestinya kemajuan.

Kita lihat diseluruh dunia banyak negara yang mempunyai penduduk Cina akan mengalami pasaran yang agak efisien dari segi ekonominya. Di rantau ini misalannya, orang Cina walaupun minoriti terutamanya di Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan juga Malaysia menguasai ekonomi tempatan kerana kehebatan mereka menguasai pusingan wang. Untuk mereka kekal mengaut hasil perpanjangan mereka mengharapkan negara yang mereka duduki itu adalah stabil dan aman. Dengan itu kita lihat minoriti Cina tidak mendatangkan masalah kepada negara tuan rumah walaupun terpaksa diasimilisasi ke dalam bahasa tuan rumah atau tukar nama mereka seperti yang berlaku di Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Di Malaysia pula masyarakat Cina cukup bernasib baik. Tidak disuruh untuk menukar nama mereka. Malah dapat pula sokongan kerajaan untuk sekolah rendah jenis kebangsaan Cina. Masuk Islam sekarang pun dah tak perlu tukar nama atau tambah 'bin Abdullah' kerana fatwa dari Mufti Perlis baru-baru ini. Contohnya Sdr Ann Wan Sen. Beliau masuk Islam tetapi tak tukar namanya. Justru itu, masyarakat Cina ramai juga yang memilih memeluk Islam atas kehendak sendiri samada minat kahwin dengan anggota masyarakat Islam yang lain atau sebab mengenal agama Allah tanpa tujuan lain.

Boleh dikatakan Cina di negara ini cukup bahagia bergaul dengan semua kaum kerana disamping mendapat pasaran besar kerana mereka cuma 30% untuk mengaut pasaran 100% yang mana kaum-kaum lain tidak sehebat mereka dan mendatangkan apa-apa saingan yang significan langsung. Mereka tentu sekali akan memastikan politik tanah air kekal sedemikian buat selama-lamanya.

Falsafah hidup Cina ini yang cekap berniaga dan materialis ini adala baik dalam konteks masayarakat majmuk kerana ia boleh mengembangkan nilai-nilai keusahawanan serta berkira dalam soal duit kepada orang lain. Banyak pemimpin negara termasuk Dr. Mahathir yang belajar banyak dengan Cina. Saya percaya Dr. Mahathir pernah baca buku strategi dari Cina seperti Sun Tze's Art Of War yang bukan sekadar mengajar strategi perang tetapi juga strategi politik dan berniaga. Dr. Mahathir dikatakan mengamal fahaman pragmatis yang merupakan lebih mirip dengan cara pemikiran Cina.

Kaum Cina saya ini saya percaya akan meletakkan keuntungan berniaga sebagai matlamat utama hidup mereka. Mereka tidak akan melakukan apa-apa yang mengancam pasaran perniagaan mereka. Ini adalah baik untuk politik tanahair kerana menjadi polar kestabilan dan pertumbuhan ekonomi. Cina mahu rakyat semua ada kuasa membeli kerana jika tidak tiada orang yang akan beli barangan yang mereka susah payah bawa untuk dijual. Mereka juga ingin keadaan stabil supaya orang-ramai keluar dan melakukan pembelian.

Namun begitu tidak bererti Cina tidak mempunyai kehendak atau otak politik yang melebihi dari sekadar soal ekonomi. Sebagai blok pengundi yang minoriti tetapi bersatu, mereka ingin melihat Malaysia seberapa maju makmor yang boleh disamping menjadi negara penaung yang sesuai bagi cucu-cicit keturunan mereka. Untuk maksud itu mereka peka dengan perkembangan politik tanahair dan akan mengundi kearah menguntungkan diri mereka secara khusus dan juga negara secara umum.

Saya percaya fahaman materialisma Cina secara umum adalah baik untuk negara tetapi ada juga unsur negatif kepada kaum muslim pula yang tidak seharusnya terlalu material tetapi seimbang antara material dan spiritual. Saya juga rasa sedih sedikit yang kaum saya telah menjadi terlalu material sehingga mengabaikan hak fitrah mereka kepada unsur spiritual yang mereka sebagai makhluk insan tetap perlu jua. Dengan itu ternampaklah peluang bagi kita terus hidup dengan masyarakat majmuk ini tetapi menawarkan kepimpinan yang peka tentang keperluan mereka secara menyeluruh.

No comments: