04 September, 2010

Mencari Kemerdekaan Semasa Remaja

Semasa saya remaja dahulu, saya belum lagi Muslim atau kenal apa itu Islam. Saya sering tertanya-tanya tentang apa itu punca kejadian alam dan lebih penting lagi kejadian diri saya. Ini kerana hidup saya sewaktu kecil agak susah dari segi bathin. Ibubapa sering bergaduh pasal wang dan kami hidup cukup sederhana kerana ayah saya sering menghabiskan wang di meja judi. Tambah pula beliau seorang kaki arak. Apa yang terjadi kepada kami sekeluarga menyebabkan saya cukup marah dengan arak dan judi.

Tetapi keadaan tertekan sedemikian dan cara kawalan ibubapa saya terhadap saya yang tidak membenarkan saya keluar dari rumah untuk apa jua aktiviti melainkan untuk belajar atau pergi gereja sahaja menyebabkan saya cukup tertanya-tanya tentang banyak perkara. Saya sering berangan bagaimana jika saya dapat bebas dan merdeka. Sering saya memutarkan wayang dalam kepala saya mejelajah seluruh dunia seperti apa yang saya terbaca dalam buku sejarah atau ensaiklopedia. Saya ingin hidup bersama-sama Marco Polo atau Laksamana Cheng Ho atau Ibnu Batuta.

Tetapi saya tidak berani melarikan diri dari rumah kerana terlalu takut dengan ibubapa yang mengamalkan hukuman pukul dengan rotan. Kayu pun pernah saya kena. Satu hari saya pernah mencuba sepuntung rokok yang dibuang ke atas jalan untuk mengambil satu sedutan. Ternampak seorang askar di luar Kem Wardieburn tempat kami sekeluarga menginap dan terus petang itu ayah saya sudah mengetahui tentang kejadian itu.

Hasil kawalan ketat dari mereka menyebabkan saya tidak berpeluang menjadi nakal dan entah baik ke tidak keadaan itu kerana mana tahu saya mungkin mengalami penyakit sakit jiwa nanti. Setakat ini belum lagi tuan-tuan dan puan-puan.

Setelah saya mencapai kemerdekaan pada umur lebih kurang 16 tahun secara berperingkat. Mula-mula mereka tidak kisah saya tidur di sekolah Victoria Institution kerana saya menjadi salah satu Assistant Librarian Lembaga Perpustakaan. Helahlah tu. Tetapi memang saya jatuh cinta dengan buku dan asyik baca sahaja apa jua buku dan majalah sains di dalamnya. Petang hari pula saya akan panjat tembok kolam berenang sekolah untuk berenang sejenak sebelum sambung lagi belajar di Perpustakaan.

Hanya pada umur 18 apabila saya dapat ilham memeluk Islam yang memberikan saya Merdeka yang menyeluruh dan muktamad. Saya memberi alasan kepada keluarga yang masa itu kedua-dua ibu-bapa saya baru berpisah dan lagi porak poranda. Kononnya saya ingin mencari ketenangan dari segala tekanan jiwa itu dengan berhijrah ke Melaka dan tinggal bersama seorang kawan sama baya. Tetapi suasana kampung yang nyaman dan tenang itu langsung menghanyutkan saya ke alam Islam.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

2 comments:

Hafiz Majdi said...

Saya suka baca post kamu..teruskan menulis & berkongsi pengalaman...May Allah Guide us both..:)

Kamal said...

Bro...great to promote you!...not for any fee, but as a great story to help those "right-brain" individuals to help comprehend better what life is all about...so keep writing!...salam