Saya adalah generasi keempat dari China. Kini sebagai seorang muslim, Islam adalah addin muafakat dan penuh tanggungjawab. Kita tidak minta dilahirkan pelbagai kaum dan agama. Namun Allah jadikan kita sebagai Pendatang Dengan Izin kerana kita mengiyakan diri. Kini kita perlu bermuafakat sebagai PADI-Malaysia.
16 August, 2009
Papan Catur
Dulu semasa dalam tahun 1987 saya tertarik dengan catur sambil berkerja dalam syarikat Khalid Samad selepas kalah pilihanraya lawan Daim Zainuddin. Syarikat Khalid dapat kontrek menyelengara dan mencuci karat paip besi di semua pengkalan-pengkalan TUDM di luar bandar. Masa itu saya masih bujang dan selepas balik ke rumah tumpangan setiap petang saya mengisi masa dengan membaca buku catur dan mempraktikannya secara berseorangan. Selepas mendirikan rumah-tangga pada tahun 1989 saya telah meninggalkan buku mengenai catur dan fokus kepada bidang-bidang lain.
Baru-baru ini saya diperkenalkan kepada sebuah kelab kecil di Taman Tun Dr Ismail kepunyaan Sdr Irwan Neo yang mengajar pelajar-pelajar sekolah bermain catur. Saya jatuh minat balik kerana kini ada seorang yang serius mengenai strategi permainan catur yang saya boleh bertukar pendapat tanpa mengenal penat. Banyak perkara baru saya dengar darinya. Antaranya adalah menyedihkan kepada saya.
Menurutnya Malaysia tidak mempunyai seorang pun yang bertaraf Grandmaster. Indonesia ada dekat lima orang. Negara Cina ada beberapa puluh orang. Germany ada beratus. Russia ada beribu. Malaysia pula dapat dikalahkan oleh pasukan dari Singapura. Neo kata tidak lama dahulu seorang budak Singapura berumur 11 tahun yang dilatih oleh grandmaster impot dari Russia telah mengalahkan pemain handalan peringkat kebangsaan dari Malaysia.
Neo kata kerajaan ada peruntukan tersangat kecil untuk kegiatan bermain catur padahal ia adalah cukup baik untuk membina daya mental anak-anak kita supaya lebih pandai dalam ilmu matematik dan sains. Jika ada peruntukan ia akan pergi lebih kepada kocek tertentu dan tidak sampai kepada maksud sebenarnya seperti membawa masuk seorang grandmaster untuk melatih pemain tempatan.
Kelab tersebut tengah merancang membawa seorang grandmaster tetapi harganya adalah lima ribu ringgit sebulan dan perlu kontrek sekurang-kurangnya setahun lamanya sebelum pakar itu bersetuju terbang masuk.
Saya pun menelefon kawan saya di sini yang dari Kazakhstan dan beliau kebetulan datang dari keluarga pemain catur dan memberitahu kami ada seorang kawannya yang akan datang pada akhir tahun ini untuk belajar Inggeris dan kebetulan dia adalah seorang pakar yang bawah sedikit dari taraf grandmaster. Bolehlah saya bantunya selepas kelas Inggeris untuk percekapkan pertuturan Inggerisnya dan dia pula bantu kami di sini lebih cekap bermain catur.
Catur ini penting dalam hidup saya kerana ada beberapa konsep darinya yang saya sering terpakai dalam percaturan bisnes dan kerjaya. Contohnya menawarkan gambit dan melakukan 'positioning' untuk strategi jangka masa panjang.
Petang tadi kami di pejabat kelab tersebut berbincang lama strategi pula untuk menaikkan permainan catur tempatan. Antaranya saya akan cuba menulis skrip filem bertajuk 'Papan Catur' dan akan meminta M. Nasir sekiranya beliau berminat campur sekali. Baru-baru ini saya terjumpa M. Nasir dan nampaknya boleh berkawan. Bukanlah perkara baru seni ini bagi saya, kerana saya pernah menyumbang lapan episod sitcom Rumah Ayah yang dibintangi oleh Mustafa Kamal dan salah satu episodnya saya terlakun di dalamnya.
Harap-harap filem cadangan kami diterima dan disokong oleh semua sebagai usaha kutip derma serta sokongan untuk kegiatan minda menerusi catur dan juga sebagai tanda 1Malaysia yang baru - iaitu berteraskan kandungan minda dan bukan lisan semata-mata. Mana tahu boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Yasmin Ahmad.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
bagus artikel-artikelnya
mantabb
Post a Comment