17 October, 2008

Keadilan Macamana Yang Cina Mahu

Sepuluh tahun yang lalu semasa 'the so called' Gerakan Reformasi bermula, seorang kawan telah mengajak saya supaya memeluk KEADILAN dan jawapan saya mudah sahaja kepadanya sehingga terus dia tidak meminta dari saya apa-apa selepas itu.

Saya bertanya dengan dia, soorr jaaa (satu perkara sahaja), "Apakah saudara sanggup hilang hak istimewa bumiputera saudara? Apakah saya akan diberi tempat kerusi dalam universiti secara keadilan berbanding dengan saudara? Adakah saya akan mendapat biasiswa secara keadilan? Apakah saya akan mendapat membeli rumah secara keadilan?" (Ini kerana sistem kuota yang diamalkan hari ini tidak memberikan saya hak-hak tersebut kerana saya dianggap sebagai non-bumi)

Saya memberitahunya bahawa sebagai seorang rakyat Malaysia yang berbangsa Cina, kita tidak faham apa makna keadilan sekiranya kami masih tidak akan mendapat hak sama rata. Jadi apa maksud KEADILAN? Adil kepada siapa? Apakah adil bermakna saya dapat lebih atau awak dapat kurang? Bukankah adil bermakna saya turut menikmati merit atau hak setimpal dengan kebolehan saya?

Kepada saya, memberi tempat kepada kaum Cina dalam negara ini bukanlah tujuannya. Bukanlah Cina sini mahu kerusi atau bantuan wang semata-mata. Mereka cukup kaya dan merasakan nikmat yang sebaik-baiknya di Malaysia ini. Ramai Cina lain luar Malaysia merasakan cemburu dengan rakyat Malaysia yang berbangsa Cina. 

Apa yang Cina mahu adalah taraf yang tidak dipandang rendah oleh orang lain. Mereka tidak mahu ada dikotomi atau perpisahan antara sesama mereka selaku rakyat dengan suku-kaum yang lain. Mereka mahu diperakui sebagai rakyat 'biasa' dan tidak diiktiraf sebagai rakyat 'kelas kedua'. Ini adalah persepsi mereka dan saya juga. 

Tetapi konsep 'bumiputera' dan 'non-bumiputera' adalah sesuatu yang sudah termaktub di dalam perlembagaan dan tidak boleh disentuh lagi sebagai tajuk yang dilindungi oleh sekian akta. Rakyat Cina di sini turut menerima kontrek sosial ini dan tidak ingin membangkitkanya.

Tetapi kuasa percaturan politik dan anasir-anasirnya suka membangkitkan isu ini untuk menaikkan markah mereka dan akhirnya isu seperti ini terletus dan menimbulkan pelbagai keresahan dan igauan.

Dengan itu, saya meletak prinsip di sini bahawa saya tidak suka menyentuh perkara ini dan hanya menyentuhnya bagi memberi kesedaran kepada mereka (ahli politik terutamanya) yang menyangkakan begitu mudah mempermainkan istilah dan laungan politik seperti KEADILAN tetapi tidak memahami maksud istilah itu dengan sebenar-benarnya dalam konteks realiti pelbagai kaum dan kelas negara kita.

6 comments:

Kamal said...

Penatijahan keadilan berunsur Tawheed sebagai asas keadilan, Natijah ini sudah pasti akan memanfaat bukan sahaja orang2 yang memeluk agama Islam tetapi juga yang BELUM memeluk agama Islam..Allahu 'alam bissawab..

Alias Mohd Yusof said...

Dalam peribahasa Melayu ada mengatakan; "Tak kenal maka tak cinta".
Inilah masalah utama kita di Malaysia.
Kita telah diasingkan sekolah sejak dari tadika lagi, anak melayu sekolah melayu, anak cina sekolah cina, anak india sekolah india.
Mereka tak ada peluang untuk berkenal, bergaul dan berkawan dari kecil.
Bila tak kenal dan tak berkawan mustahil timbul kasih sayang antara satu kaum dengan kaum lain.
Yang ada hanyalah menyayangi orang dari kaum mereka sendiri sahaja.
Hanya bila ada perasaan kasih sayang sahaja barulah 'keadilan' itu dapat menjadi perhatian.
Kalau tak ada kasih sayang, perasaan engkau engkau dan aku aku sahajalah yang akan menguasai diri.

yin & yan said...

Red1,

kalau tuan secara peribadi boleh kawin 4 dan semua isteri kata tuan adalah adil ...

kalau semua isteri-isteri tuan sama gemuk atau sama kurus atau sama kaya atau sama miskin, rambut sama ikal mayangnya, pipi sama pauh dilayang, kulit sama hitam? sama putih? sama sawo matangnya..

kalau tuan boleh bezakan bezakan cinta, kasih, sayang, dan suka dan keempat-empat perkara ini sama tiba ke semua isteri ...

maka MUNGKIN bolehlah tuan cakap tentang keadilan...jika tidak terimalah kelebihan dan kekurangan masing-masing.

terimalah adil yang berlebih kurang,dan 'tidak adil' yang adil.

burujerdi said...

Salam ukhuwwah Red1,

Terlalu besar kawasan kelabu yang menyelubungi konsep keadilan dalam ertikata amalannya di negara kita.

Masing-masing kaum menyimpan rahsia dan strategi diskriminasi terhadap kaum yang lain. Setiap transaksi akan pasti menyentuh persepsi dan sentimen kaum. Lihat sajalah kuota kemasukan ke IPTA dan lihat jugalah diskriminasi terhadap pelanggan-pelanggan berbangsa Melayu apabila berkunjung ke kedai hardware atau workshop kereta berbangsa China.

Konsep keadilan terlalu 'delicate' dari sudut realiti walaupun pendefinisiannya qat'i dari segi hukum. Ini amat galak berlaku di negara seperti kita yang masyarakatnya majmuk dan 'self-centred'.

Semoga anda menemukan keadilan di dalam diri anda sendiri.

otai said...

"adil" dalam Islam adalah meletakkan sesuatu itu pada tempat yang sepatutnya..bukannya konsep "kau dapat satu, aku pun mesti dapat satu" ...wallahualam

red1 said...

Ya memang. Cina akan dapat lebih kerusi kerana perlu berlaku adil kepada kebolehan mereka dan bukan berdasarkan purata peratusan mereka.

Mengikut purata peratusan Cina akan mendapat 35% daripada kerusi Universiti kerajaan. Jika mengikut konsep keadilan mereka mungkin dapat 70% kerana mereka lebih tinggi pencapaian akademik.

Konsep keadilan disini bukanlah disini kerana disini adalah tempat akademik dan Islam amat menganjurkan amanah kepada ahlinya. Keadilan sebenar kepada Bumiputera adalah yang saya sanjungkan menerusi bantuan tambahan sebelum atau diluar tempat Universiti.

Seperti memberi lebih pendedahan, peralatan, dan latihan. Tetapi apabila masuk gelanggang Universiti, hendaklah disiplin dan kacamata akademik diguna-pakai. Sekiranya gagal atau mendapat markah lebih rendah, maka diakui begitu dan tidak memperolehi pula kedudukan lebih tinggi dari orang yang lebih pintar. Itu zalim namanya.