Zaman dulu-dulu, seseorang anak akan menjejaki dan mempelajari perusahaan atau kepakaran ayahnya sehingga satu hari mampu mengganti tempat ayahnya. Tidak kira samada ayahnya seorang ulama, tukang besi, nelayan, petani, pembuat roti, penulis atau pemimpin.
Anak bongsu saya, Mohamad Nasem Oon, masih 9 tahun umurnya dalam darjah empat sekolah kebangsaan Cina, nampaknya bercita-cita ingin mengikut jejak langkah saya menjelajah dunia tanpa pergi sekolah tetapi belajar sendiri untuk bebas dan berdikari sebagai seorang pengamal ICT.
Dengan bantuan satu perisian percuma dan sumber terbuka bernama Alice 2.0 dari Universiti Carnegie Mellon, dia dapat menggunakannya tanpa satu patah tunjuk-ajar dari saya. Alice 2.0 digunakan untuk mencipta wayang permainan dengan menggunakan perkakasan yang mirip kepada Java, iaitu bahasa perisian paling canggih dan amat payah untuk dipelajari.
Saya memberitahunya dan abangnya Naquib, 14 bahawa sekiranya dapat menguasai Java dalam masa 3 tahun, maka mereka tidak perlu pergi ke sekolah dan boleh hidup macam zaman Marco Polo, Ibnu Batutta atau I Tsing, maupun Nabi Muhammad, yang mengembara semasa masih mentah dan muda lagi.
Cara hidup sedemikian lebih fitrah, lebih membawa kepada mempelajari secara fitrah dari tangan ayah sendiri, dan lebih pakar lagi kerana kasih sayang ayah kepada anak lain dari kasih sayang chegu kepada murid. Mereka pasti memperolehi lebih banyak khazanah ilmu dari Allah dengan musafir, mengutip ilmu dari banyak tempat, bebas dari menjadi hamba manusia dan sistem dunia.
Malah mereka tidak akan sebosan seperti sekarang, asyik menghadap bilik darjah umpama penjara, lantas tercetus pelbagai penyakit kronik sosial-psikologi dan tekanan minda secara tidak seimbang, ekoran dari usaha asyik menghafal tanpa henti dan tanpa masa menghadam dan memahami ilmu secara semula jadi, dari dalam jiwa dan mendalami sedalam-dalamnya.