18 January, 2009

Jenayah Perang Barisan Nasional

Cuba bayangkan sekiranya benar-benar media perdana dan kerajaan berlaku adil dalam Pilihanraya samada besar atau kecil baru-baru ini di Kuala Terengganu yang Pakatan Rakyat mencapai kemenangan simbolis yang amat besar dengan menewaskan calon Barisan Nasional dengan majoriti dua ribu enam ratus lebih.

Tentu sekali majoriti tersebut mungkin mencecah sepuluh ribu majoriti. Dengan kerajaan menggunakan segala jentera dan kewangan serta sumber hak rakyat sepenuhnya ke arah memastikan kemenangan calon BN seorang, menampakkan ketidak-adilan dan ketidak-berkesanan langsung taktik selama ini.

Kerajaan harus sedar bahawa jenteranya adalah dibayar oleh jutaan rakyat menerusi cukai dan titik peluh mereka. Adalah menyalahi undang-undang dan perlembagaan sekiranya digunakan untuk memelihara satu pihak sahaja tanpa mengambil kira bahawa proses pilihanraya adalah proses rakyat sejagat.

Dalam demam dan perang demokrasi, jentera kerajaan sudah disalahgunakan. Maka ia sudah merupakan satu jenayah perang oleh pemerintah sementara iaitu Barisan Nasional. Mereka harus menjawab tuduhan ini. BN bukanlah tuhan maupun lembaga yang diletakkan disana oleh Allah. Mereka hanya berada disana kerana rintitan sejarah daripada penjajah British meletakkan mereka menerusi satu perancangan rapi sebelum merdeka dengan membuang semua pencabar utama mereka dari kalangan Melayu itu sendiri seperti API, KMM dan ramai lagi tokoh-tokoh hebat lain seperti Dr. Burhanudin Al-Helmy, Ahmad Boestaman, maupun Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh yang dilabelkan sebagai komunis. 

Untuk kerajaan membetulkan keadaan ianya boleh dilakukan dari sekarang sementara masa 3 tahun lagi masih ada. Sekiranya ia tidak dibetulkan akan menandakan parah bagi sistem demokrasi tulen dalam  negara kita dimana pelbagai spekulasi dan penyakit boleh berlaku.

Kerajaan hanyalah sebuah jentera rakyat sebenarnya dan bukanlah satu lembaga yang kejam dan jauh dari hati rakyat. Ia tidak boleh bersifat draconis dan monstrous atau sejuk dan hitam dimana rakyat perlu takut dan bimbang kepadanya.

Rakyat tidak harus takut kepada Kerajaan. Kerajaan harus takut kepada rakyat.

12 January, 2009

Konsep Arab Tidak Selamatkan Gaza

Dah lah terlalu sedih melihat wajah-wajah mangsa pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh tentera Israel, terdengar pula suara penduduk Gaza muncul di Al-Jazeera dengan rayuan, 
"Apa sudah jadi dengan dunia Arab? Di mana anda apabila kami di bunuh? Mana pergi janji mu?"

Masih yang tidak sedar bahawa pada Arab itu tidak ada secebis kuasa pun. Identiti Arab tidak boleh selamatkan mereka. Bukankah mereka itu beragama? Bukankah kitab sudah menyatakan,
"Apabila datang pertolongan dari Allah yang membuka.."? Atau, "Sesungguhnya 'nasrullah al karib' - pertolongan Allah itu amat hampir". Tetapi kepada siapa yang mereka memohon?

Mengapa mereka tidak melaungkan, "Di mana pertolongan Mu ya Allah?"? Nescaya semua umat Islam boleh bangkit dengan jawapan tersebut.

Sama juga dengan apa yang mata kasar kita lihat sebagai kekuatan Israel, yang pada hakikatnya tiada berkuasa, melainkan apa yang dikehendaki oleh Allah. Sepatutnya kalimah kita kepadanya juga sepertimana Al-Quran sudah ajarkan,
"(Katakan kepada mereka), 'Wahai Bani Israel, ingatkanlah nikmat yang Allah berikan kepada Mu yang engkau dustakan.."

Hendaklah sedar bahawa Bani Israel itu adalah atas Iradah atau Kehendak Allah. Ia diizin untuk melakukan kerosakan. Malah ditakdirkan sedemikian sepertimana yang lumrah diutarakan dalam Al-Quran, samada dari Al-Fatihah lagi, maupun surah terpanjang selepas itu yakni Surah Al-Baqara, Surah Bani Israel, dan banyak lagi surah-surah yang mengkisahkan tentang Bani Israel ini.

Apakah Bani ini boleh tiba-tiba bertukar sifat dan bertukar menjadi beriman? Hanyalah dengan kehendak Allah sekali lagi, tetapi Allah sudah berjanji dipelbagai tempat dalam Al-Quran tentang sikap dan sifat mereka.

Maka apa yang kita saksikan hari ini tidak lain dan tidak bukan jelmaan apa yang Allah sudah firmankan. Maka saya tidaklah hairan sedikit pun atas apa yang berlaku selama ini. Yang saya hairan adalah sikap Arab itu sendiri yang masih tidak sedar tentang penentuan Allah dan berhijrah dari sana kerana ada lagi satu potong nas yang lebih kurang,

"Mengapa engkau tidak berhijrah ke tempat lain? Bukankah bumi Kami luas?". Akan dihukum pula mereka yang gagal berbuat demikian dalam keadaan tertentu pada Hari Perbicaraan nanti.

Kalimah kita mesti kalimah Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Sempurna dalam PerancanganNya.

Allah sudah berjanji satu kemenangan, yang pasti hanya dariNya, yang akan membangkitkan satu kemenangan atau kesatuan pada Ummah. Ia hanya akan datang dengan umat manusia disedarkan dengan satu fenomina yang amat dasyat, yang mampu menyatu-padukan mereka. Gaza cuma antara rintitan kisah menuju hari yang dijanjikan itu.

".. dan akan kamu melihat manusia berduyun-duyun memasuki Dinullah dengan ramainya." - Surah An-Nasr.

08 January, 2009

Media Perdana Masih Tidak Menghormati Rakyat

Nampaknya media perdana seperti berita perdana jam 8 semua saluran lebih terbuka  sedikit dan sanggup memuatkan berita mengenai pembangkang terutama yang meliputi kempen pilihanraya kecil di Terengganu. Namun begitu saya masih terdengar skrip pembaca berita yang jelas diubah-suai untuk mengutuk satu pihak dan mengangkat satu pihak yang lain.

Rakyat penonton dan pendengar berita sudah matang dan amat terpelajar dan mampu berfikir. Bukan macam zaman Jepun atau British dahulu. Malah rakyat masa itu pun sudah pandai berfikir. Jika tidak, tak kan mereka tahu lawan British dan Jepun dan menuntut kemerdekaan?

Mengapa hari ini masih ada skrip ulasan berita yang cukup suka memperbodohkan proses pemikiran rakyat? Bukankah ini akan membosankan lagi pendengar dan mereka akan langsung tidak lagi bergantung kepada media perdana dan lebih suka mendapat maklumat dari media alternatif? 

Saya tahu media alternatif seperti blog itu tidak rasmi dan tidak bertanggungjawab kerana tiada pihak yang boleh disaman dan diambil tindakan seperti menarik permit siaran blognya.

Tetapi apabila media perdana yang sudah ada permit dan bertanggungjawab, perlulah juga bertanggungjawab menjaga 'kehormatan otak rakyat' dan tidak dicabulinya atau diperlekehkan dengan begitu sahaja. Ini sudah tahun 2009 bro..

Satu kajian peringkat dasar perlu diadakan oleh kerajaan untuk mempertingkatkan  bidang penyiaran kepada tahap yang setanding dengan BBC, London yang walaupun dipunyai oleh kerajaan tetapi amat bebas dalam menentukan hala tuju medianya sehingga banyak mendedahkan kelemahan kerajaan sendiri - secara langsung maupun secara tidak langsung (seperti menyiarkan siri HardTalk dan Doha Dialogs yang ada mengutuk kuasa-kuasa besar dan memberi peluang kepada umat Islam bersuara).

Rakyat makin bijak akan memerlukan bahan yang lebih intelektual. Yang tidak bijak pun akan tunduk malu kerana tidak faham berita secara terbuka. Janganlah kita bimbang. Kes amuk pun sudah tidak kedengaran. Zaman negatif memang tidak ada dan tidak harus dikhayali lagi.

03 January, 2009

Mengajar Mat Salleh Sembahyang

Satu hari pada tahun 1980an, semasa saya menjadi sukarelawan dakwah, saya ada mengajar seorang Mat Salleh baru masuk Islam untuk bersembahyang. Dia mengaku tidak pernah dan tidak tahu cara sembahyang dan saya terus ajaknya ikut sahaja apa saya buat dan janganlah ragu-ragu.

Apabila saya bertakbir, dia yang berdiri sejengkal ditepi kanan dan belakang saya pun berbuat demikian. Selepas membaca beberapa ayat, saya pun rasa gatal pada muka saya lalu mengangkat tangan untuk mengarunya. Sahabat dan pelajar baru saya tersebut pun melihat saya mengangkat tangan kanan saya lalu dia pun mengangkat tangan kanannya. Hampir sama cara dan tempat tangannya berada ke muka dengan apa yang saya tengah ingin buat.

Saya pun terberhenti tangan saya dan dia pun turut sama-sama berhenti. Saya cepat-cepat kembali ke tempat biasa. Dia pun berbuat demikian. Rupa-rupanya itu sahaja yang dia lakukan. Pandang sahaja apa yang saya lakukan dan ikut sahaja tanpa berfikir. Memanglah. Kan itu yang saya suruh dia buat.

Selepas sembahyang saya pun bagi tahu dia apa yang dia boleh ikut dan apa yang dia tidak patut ikut saya buat.

Jika tidak silap saya nama muslimnya Anuar dan dia seorang usahawan kecil yang masa itu dia dan isterinya sibuk perniagaan kecil membawa minyak pelincir motor. Dia semasa di Barat dahulu kerja sederhana tetapi kaya sehingga mempunyai motor besar dan motorbot sendiri. Semua itu dia jual dan berhijrah ke sini apabila berkenalan dengan isterinya orang kita di sini.

Kerana agak lama masa sudah berlalu semenjak mengenali dia, saya sudah terputus hubungan dan tidak tahu dimana dia berada sekarang atau bagaimana keadaannya menyesuaikan diri dengan cuaca dan budaya tempatan.

25 December, 2008

Ayah Saya Tidak Pilih Singapura

Saya lahir di Singapura iaitu di BMH (British Military Hospital) pada tanggal 16, bulan Oktober, tahun 1961. Ayah saya masa itu menjalankan latihan awal sebagai rekrut pasukan semboyan tentera penjajah British. Dia berasal dari Pulau Pinang.

Dia menemui emak saya yang berasal dari Singapura. Mereka berkahwin sana dan pada usia yang muda bagi mereka. Ayah saya berumur 20 tahun dan emak saya 19 tahun waktu itu.

Selepas saya dan adik lelaki saya pula terlahir, kami tidak lama di sana. Masa itu Singapura dan Malaysia baru merdeka dan belum berpisah sehingga 1965. Masa itu ayah saya sudah bawa kami ke kem tentera Port Dickson. Saya masih ingat-ingat tempat itu dimana berek tentera satu tingkat separuh kayu dan kami sering dibawa merentas jalan ke pantai dan laut untuk berenang. Pokok-pokok kelapa yang tinggi lampai sudah tercap dalam ingatan saya sampai bila-bila.

Semasa Singapura berpisah dari Malaysia, ayah dan emak saya yang masih British Subjects tidak pilih untuk menjadi rakyat Singapura. Masa itu ayah saya fikir Singapura itu kecil dan pasti akan lebih mundur dari Malaysia yang lebih luas tanah dan ramai penduduknya.

Apabila saya berumur 17 tahun saya berpeluang untuk mencuba memasuki tentera udara Singapura sebagai juruterbang kapal terbang pejuang. Tetapi saya tidak cukup syarat kerana 'long-sighted' 0.2 poin pada mata sebelah mata kanan. Saya merayu sekiranya boleh jadi juruterbang pelatih kapal terbang kargo kurang pantas seperti Hercules C130. Mereka jawab bahawa itu khas untuk rakyat Singapura dan bukan Malaysia. Saya pun hampa lalu ayah saya kisahkan cerita tentang pilihannya tidak memilih Singapura, dan menyesal tidak berbuat demikian.

Hari ini ayah saya bukan sahaja tidak menyesal tidak memilih Singapura tetapi mujur tidak berbuat demikian kerana kami menganggap Malaysia jauh lebih selesa dan jauh moden daripada keadaan sebelum ini.

Tetapi saya pula lain. Saya masih teringat Port Dickson dengan jalan kecilnya menerusi suasana kampung dengan pantai dan pokok kelapa.

22 December, 2008

Pelbagai Bahasa Lebih Baik

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) menganggap bahasanya adalah lebih tinggi mutu dan mampu mengajar anak-anak mereka ilmu Sains dan Matematik dengan lebih baik dari Bahasa Kebangsaan maupun bahasa antarabangsa - Inggeris.

Ini mungkin kerana tatabahasa Cina adalah beribu-ribu perkataan dengan ribuan huruf unik sendiri yang payah dihafal. Walau macamanapun saya rasa pendekatan lidah ibunda sedemikian tidak praktikal dan realistik dalam dunia terbuka hari ini.

Bagi saya, saya amat minat pelbagai bahasa - 'Ana uhibbu lughatul ajnabi al alami', 'Je sues pranz allez francais', 'dozo yoroshiku', 'auf fei dah zen'.

Itu sebab apabila saya bertutur bahasa Kanton dan Hokkien di rumah dengan ibu-bapa, mereka hantar saya ke sekolah Inggeris (Jalan Kuantan (sama sekolah dengan Razak Baginda)). Ayah saya kata dia pilih Inggeris dan bukan Melayu atau Cina kerana menganggap Inggeris lah bahasa masa depan. Saya berterima kasih kepada dia dan bersyukur kepada Allah kerana memberi ilham sedemikian kepada ayah saya masa itu.

Apabila saya mempunyai anak-anak saya sendiri, saya turut mengamalkan dasar pelbagai bahasa atau belajarlah bahasa lain yang lebih payah. Saya menghantar semua anak-anak saya kepada SRK (Cina) dan mereka mendapat pendidikan sekurang-kurangnya 2 tahun tadika Cina dan 6 tahun SRJK (Cina). Kini mereka bertutor sakan sesama mereka dalam bahasa Mandarin. Sehingga isteri saya pun turut "Woh bu chi tau".

Tetapi anak-anak saya tidak dapat memahami bahasa dialek Kanton dan Hokkien yang saya mampu menggunakan. Namun saya tidak pula sehandal mereka dalam bahasa Mandarin.

Saya amat minat bahasa dan mengharapkan ada sekolah yang mengajar bahasa Jepun, Jerman dan Sepanyol dalam negara dan anak-anak kita harus dihantar ke sekolah sedemikian.

Mengapa kita perlu belajar bahasa ibunda di sekolah rasmi? Bukankah kita sudah belajar segala bahasa ibunda semasa di rumah lagi? Bagi anak-anak saya, mereka mempunyai bahasa ibunda dalam bahasa Inggeris. Maka mereka tidak perlu pergi ke sekolah pengantara Inggeris. Mereka pergi ke sekolah untuk belajar bahasa Cina. Mereka belajar Melayu pula dengan bergaul dengan jiran di kampung. Sekejap sahaja sehingga terkejut saya mendengar mereka.

Tetapi apabila saya duduk di rumah yang tiada jiran melayu bagi anak lelaki pertama (anak ketiga) pun lucu juga kerana dia tidak dapat menguasai bahasa Melayu dari mana-mana kawan jiran. Apabila dia bermain dengan budak Melayu satu hari, saya dengar dia cuba cakap Inggeris dan budak Melayu cuba jawab dalam bahasa masing-masing! Kanak-kanak tidak segan atau tertutup dan cuba juga meneruskan permainan.

Tidak pula orang dewasa. Mereka sudah hilang alam fitrah dan pembelajaran yang tinggi dan pantas. Maka kita pula mempolitikkan bahasa ibunda pula seolah-olah itulah tujuannya ciptaan Allah. Dan tidak pula makna Allah mencipta pelbagai warna kulit dan lidah bahasa.

Itu sebab saya menyokong anjuran Prof Emiritus Dr. Khoo Kay Kim yang menasihati masyarkat Cina untuk tidak lagi mengamalkan SRJK (Cina) tetapi SRJK (Malaysia) seperti yang diamalkan di negara-negara lain di luar China.


17 December, 2008

Terkejut Boleh Bersuara

Saya sebenarnya, hasil dari pendidikan tempatan walaupun di Victoria Institution, sekolah elit  termasyur di Malaysia, saya masih takut-takutan untuk bersuara menentang dasar kerajaan.

Sehinggalah akhir tingkatan enam bawah iaitu pada bulan Disember, tahun 1979 saya berpeluang menghadiri kursus Biro Tatanegara di Melaka. Di sana saya terkejut dapat mendengar hujah dari pelajar yang membidas dasar kerajaan dan lebih mengejutkan lagi penganjur atau fasilitator dari kerajaan menggalakkan suara sedemikian. Di sanalah saya mula bersuara ganas sikit dan mengeluarkan segala hasrat hati dan kekecewaan saya terhadap DEB dan Bumiputera.

Kejutan lagi ialah begitu ramai pengikut kursus tersebut terutama dari kalangan berbangsa Cina yang lagi takut dari saya dan asyik menghulurkan kertas nota kecil yang mengandungi butir atau hujah untuk saya tembak ke arah pensyarah. Saya hairan mengapa mereka tidak berani bersuara dan ingin orang lain bersuara bagi mereka. Mungkin mereka takut serangan balas nanti.

Seperti yang saya sebut awal tadi ialah bagaimana saya terkejut dengan suara mengecam kerajaan dari pelajar lain, iaitu pelajar Melayu sendiri. Tidak dapat saya lupa suara Amir Hamzah Abdul Hamid dari Semabok, Melaka yang mengutuk dasar tidak cukup Islamik dan apologetik kerajaaan yang tidak menguntungkan Melayu itu sendiri.

Dari situlah saya terbuka minda dan mata bahawa bukanlah semua Melayu itu sama dan ada yang lebih bijak dari saya sangka. Dari Amir Hamzah atau kat kampung kita panggil Pak Andak yang saya mula mengetahui tentang sejarah kitab Injil dan akhirnya memeluk Islam di kampungnya lalu berhijrah ke rumah nya sebulan kemudian. Tarikhnya 12 Januari, 1980.

08 December, 2008

Mengapa Barat Menguasai Dunia?


Ramai orang yang mengutuk Barat, kerana menguasai dunia sehingga tidak memberi peluang kepada kuasa lain yang lebih kecil. Ramai yang ramal sepatutnya China menguasai dunia. Ada yang hairan mengapa Islam yang dikatakan Adiinullah gagal menguasai dunia.

Saya pun terfikir. Mengapa Barat pula yang menguasai dunia dari segi budaya, politik, bahasa dan kuasa tenteranya? Apakah kerana takdir? Apakah kerana sunnahtullah? <-- Memang takdir tetapi dengan musabab yang rasional dan logik.

Saya berpendapat bahawa Barat mampu berbuat demikian ialah kerana sebab yang logik dan mengikut sejarah manusia. Sekiranya kita mengkaji sejarah dunia kita akan melihat bagaimana dunia hari ini boleh merujuk kepada bahasa Inggeris kerana satu sebab utama dan lain-lain sebab tidak utama.

Yang utama ialah kuasa British dapat menguasai dunia menerusi teknologi moden padahal teknologi awal dikuasai oleh China. Malah China mempunyai budaya Universiti seribu tahun sebelum Eropah teramal konsep pengajian tinggi. Tetapi Eropah dengan cepat merebak pengaruh akademiknya dalam sekelip mata sahaja berbanding China yang sudah lama terjumpa serbuk meriam, kompas dan kertas - unsur-unsur pra-syarat kepada penguasaan dunia menerusi ilmu dan pendidikan.

Jawapannya ialah tekonologi tidak dapat merebak dengan sistem feudal yang ada pada Kerajaan China pada masa itu yang bercorak 'centralised' padahal sistem politik di Eropah lebih bersifat desentralised dengan kuasa lain seperti Gereja dan 'Guilds & Associations' atau persatuan dan pertubuhan NGO <-- tidak bersifat kerajaan.

Dengan itu, apabila Barat dapat merebakkan kuasa akademik kepada rakyat jelata menerusi ciptaan seperti Pencetak Gutenberg yang beroperasi sempurna pada 1450 TM iaitu masih mentah bagi Portugis dan Belanda menggunakannya secara sosial lagi. Dengan British mula menjajah dengan lebih baik dari segi ketenteraan dan teknik, maka ciptaan-ciptaan sedemikian dapat digunakan dengan amat berkesan dan maka tertanamlah budaya Inggeris serta bahasanya dalam pemikiran dan penyampaian maklumat dunia.

Faktor sampingan yang lebih kecil tetapi kritikal dari itu merupakan pembukaan dunia barat iaitu semasa British berjaya mengalahkan Perancis untuk menduduki benua Amerika Utara dengan ramainya berserta suku-bangsa lebih kecil Eropah seperti Jerman dan Italy. Mereka mengalahkan Sepanyol dari segi perlumbaan penjelmaan kuasa Barat kerana Sepanyol di Amerika Selatan adalah lebih kecil kerana lebih jauh dan terancam oleh ribut taufan 'Bermuda Triangle'. Mereka juga secara nisbah tidak cukup 'desentralised' dari segi corak pemerintahan.

Lahirnya Amerika Syarikat yang berjaya memberontak dari sistem feudal Raja England dan mengamalkan perundangan yang ekstrim dari segi demokrasi dimana Presidennya pun tidak boleh memegang jawatan lebih dari dua penggal, maka masa itulah budaya akademik dapat meletup dengan sebenarnya. Oleh kerana Amerika Syarikat sebagai bekas tanah-jajahan England maka semestinya Bahasa Inggeris digunakannya. 

Apabila banyak ciptaan Barat mula muncul dari sana di AS seperti telefon, kereta, televisen dan Internet, maka budaya Barat yang berbahasa Inggeris, beragama Kristian-Latin-Rumawi dan bercorak liberal demokrasi menjadi budaya dominan sehinggalah dikutuk kerana terlalu dominan.

Mengapa Islam yang walaupun datang agak lambat dalam sejarah manusia tidak dapat menguasai dunia seperti Barat? Jawapan atau penyakit yang sama melanda China juga melanda Kerajaan Islam Turki masa itu yang memang dapat menawan Eropah sekiranya mahu.

Turki tidak dapat menguasai Barat kerana banyak isu dan kontroversi. Walaupun mereka mengamalkan sistem persatuan NGO dan kabilah dalam empayarnya tetapi golongan cendiakawan tidak seberapa aktif seperti yang terdapat dikalangan Barat. Budaya kecutan ilmiah ingin meneroka kerana kefanatikan kembali kepada jahiliyah kaumiah 'bumiputera' qabilah Arab, pilih kasih, kronisma dan politik kotor juga dapat menyelar masuk dan membantutkan pertumbuhan sihat yang sepatutnya. Akhirnya Empayar Islam Turki jatuh, berkecai kepada seratus satu bangsa asal dan sehingga hari ini hanya mampu melancarkan serangan teroris yang tidak siuman terhadap Barat maupun Timur.

Hari ini kita bukan sahaja menjadi hamba Barat dari segi MacDonalds dan Ikea nya tetapi gagal memahami sejarah mengapa kita boleh terjadi sedemikian. Hari ini saya melihat bagaimana konsep politik di tanah air sendiri pun entah dari mana dan pergi kemana.

  - (gambar menunjukkan Pencetak Gutenberg yang merevolusikan budaya akademik dunia yang menjadi pencetus dominasi budaya segala-galanya)

01 December, 2008

Yoga ala Islam

Bangun sebelum subuh, dan membasuh diri dengan mandi.
Sebutkan mantra kesyukuran kerana pemberian air bersih dan nyaman serta kesihatan badan.
Pakaikan pakaian yoga tutup seluruh badan bersifat longgar dan selesa.
Sebutkan mantra kesyukuran atas kecantikan wajah diri yang sempurna dengan segala pancaindera.
Diri tegap tangan lurus ke bawah menghadap arah kiblat.
Sebutkan mantra bersedia menyerahkan jiwaraga dan minda kepada yang Maha Berkuasa.
Bongkokkan separuh badan ke depan seolah menghulur kepala untuk dipancung.
Sebutkan mantra kesyukuran atas segala ketinggian Pembekal Sekian Alam.
Tegapkan badan kembali.
Sebutkan mantra yang Dia Maha Pendengar dan Maha Terpuji.
Sujudkan badan meletakkan kepala pada lantai.
Sujud lebih lama lebih baik kerana darah turun ke kepala dapat membetulkan masalah toxik terkumpul dan membuang angin dalam badan.

- (bersambung)

Saya sebenarnya telah pernah menghadiri sesi yoga di salah satu pusat gym di 1Utama dan mendapati memang ada unsur syirik pada amalan yoga yang tersaksi di sana. Contohnya guru yoga akan panggil kita untuk menghadap matahari dan menyebut segala puji bagi matahari seolah kita berdoa kepadanya.

Walaupun saya ini sedar tentang itu sebagai sebutan menyalahi agama Islam, saya dapat mengekalkan iman saya kerana saya tidak menyebut malah sedar bahawa ia salah. Tetapi apakah mereka yang lain dari saya dapat berbuat demikian?

Seorang guru amat berpengaruh. Setiap guru yang dapat menyembuh orang dari penyakit akan disanjung malah apa-apa ungkapan darinya diterima dengan hati yang tercenderung. Ini saya perhati pada sesi-sesi sedemikian kerana ada yang bertanya dengan tekun dan mengangguk dengan jiwa terbuka.

Secara senaman yoga sudah masyur tetapi Tai Chi lagi masyur. Apa kata kita mulakan senaman Tai Chi ala Islam lain kali pula?

12 November, 2008

Ketuanan Melayu Tidak Perlu Kuasa Luar

Saya telah acap kali berkomentar di blog Mahathir bahawa sejarah hidupnya adalah bukti yang terlalu jelas dan ironis sekali betapa ketuanan dan kecemerlangan kaum Melayu itu sendiri adalah bertapak di atas fitrah kejayaan manusia dan bukannya mekanisme luar seperti DEB atau keistimewaan bangsa ke atas bangsa yang lain.

Izinkan saya mengupasnya.

Dr. Mahathir sepertimana kita semua sedia maklum hidup sebagai remaja dalam tahun 1930an dimana beliau selepas sekolah menengahnya telah asyik dan tekun berniaga di pasar dengan menjual kuih-muih. Gerainya begitu maju sehingga seorang pelabur lain membeli gerai tersebut! Ingat, ini adalah pada tahun 1930an dimana Umno pun belum ujud lagi. Malaysia pun belum merdeka dan British masih menjadi tuan rumah kita.

Bagaimana seorang pemuda itu dapat maju dalam perniagaannya lalu menjualnya kepada orang lain dengan keuntungan yang lumayan? Apakah kerana ada kursus tatanegara atau Khidmat Negara waktu itu? Apakah ada kelas bimbingan usahawan waktu itu?

Mahathir berjaya kerana beliau berkerja kuat. Yang penting lagi adalah dorongan dari perkara yang sebaliknya. Bukan dorongan dari perkara yang menyokongnya. Dengan ketiadaan pejuang bangsa dan kemerdekaan, semangat Mahathir berkobar-kobar dan terbakar besar. Kini bangsa Melayu tiada bersemangat sekuat demikian ialah kerana sudah tiada apa lagi yang perlu diperjuangkan secara relatif.

Halangan dan rintingan serta cabaran besar adalah pencetus dan pra-syarat seseorang itu berjaya. Bukan subsidi dan hak keistimewaan yang berat sebelah dan tidak kontrit dari segi perlaksanaannya.

Ayah Dr. Mahathir pula menjadi guru besar yang pertama dalam sejarah di Kedah bagi sekolah beraliran Inggeris. Bagaimana ayahnya berjaya berbuat demikian. Sekali lagi jawapannya sama seperti yang saya menterakan di atas. Iaitu dengan berkerja kuat tanpa menyalahkan atau begantung kepada kuasa dan mekanisma lain tetapi daya usaha dan kesungguhan yang berkobar dalam sanubari diri sendiri.

Dengan itu saya tidak faham mengapa Dr. Mahathir yang terang dan jelas mengetahui bahawa kejayaannya adalah berpunca dari sumber sedemikian boleh pula menyanjurkan supaya Melayu itu maju atas yang sebaliknya.

Saya menulis ini bukan untuk mencetuskan cabaran terhadap status quo atau kontrek sosial yang ada. Tetapi untuk sekadar renungan apakah sebenarnya yang menjadi formula kejayaan seseorang dan bangsa itu.

Cina di sini berjaya bukan kerana Cina di China itu maju malah mereka mundur dan tersiksa di bawah sistem feudal dan kerakusan penjajah pembawa candu. Mereka maju kerana terpaksa. Begitu juga dengan India. Tetapi Melayu kini masih ketinggalan dan tidak terkejar ekonomi sendiri kerana hilangnya unsur 'terpaksa' itu.

Percayalah, selagi kita ada kusyen yang tebal kita tidak akan rasa keperitan terjatuh dan tidak akan tercetus semangat juang yang sebenarnya untuk diri maupun negara atau agama. 

Saya kerja kuat kerana saya tiada jalan lain. Saya tiada izajah atau harta pusaka. Sekiranya saya lahir sebagai bumiputera apakah semangat san sejarah saya tetap seperti sedia ada? Saya berbangga yang saya mara jauh ke sini dan tidak akan saya pandang lagi ke belakang. Saya berharap teman-teman saya seagama tidak sebangsa turut semaju atau lebih maju dari kaum-kaum lain yang hanya berdiam diri kerana tidak ingin kita memotong mereka dengan formula sebenarnya,