01 January, 2021

BAB 2 - KENAPA SAYA MEMELUK ISLAM

 

Saya membesar dalam sebuah keluarga berbangsa Hokkien sebelah ayah dan Cantonese sebelah ibu yang beragama Kristian. Ayah saya berasal dari Pulau Pinang dan ibu dari pulau Singapura. Ayah meninggalkan sekolah waktu remaja lagi untuk menyertai Unit Semboyan alam Tentera British masa itu.

 

Sebelum Mei 13, ayah bertugas di MINDEF, Kuala Lumpur dan di sana ayah mula bercampur alam gengster Cina di Chow Kit Road. Ayah dapat belikan arak dan bir tanpa cukai menerusi sumber tentera dan bekalkan kepada kawan-kawan barunya. Ayah menjadi masyur dengan gelaran ‘Ting Peng’ atau askar gila. Itulah ‘keyword’ yang saya pernah gunakan satu hari lama kemudian apabila berada disebuah operasi tersembunyi Cina di Chow Kit. Taukeh sana terkejut saya adalah anak Ting Peng.

 

Hari-hari ayah akan balik mabuk atau pokai kerana habiskan wang di meja judi. Kelab Kuda dan casino Genting Highlands menjadi kebiasaannya. Rumah kami yang sederhana dalam Kem Wardieburn, berek tentera senantiasa kacau-bilau dengan bergaduhan diantara ayah dan ibu mengenai wang.

 

Waktu persekolahan saya amat miskin. Saya tiada duit poket untuk belanja di sekolah. Ibu akan berikan saya roti dan air ribena untuk bawa ke sekolah. Ada seorang anak taukeh perabut Cina kaya akan upah saya dua puluh sen untuk meniru kertas jawapan peperiksaan saya.

 

Saya banyak membaca dan cinta buku waktu sekolah rendah kerana tiada apa yang boleh saya lakukan semasa terkurung dalam rumah bersama adik-adik saya. Tiada TV pun kerana ayah tidak bayar ansuran hutang. Cuma Kitab Bible di rumah dan saya dapat menghafal banyak bahagiannya.

 

Apabila di sekolah, perpustakaan lah menjadi tempat kesukaan saya. Ibubapa tidak benarkan saya apa jua kegiatan di sekolah kerana ibu beritahu hanya ilmu sahaja yang jamin masa depan dengan kerjaya sebagai seorang doktor. Persatuan atau sukan tiada faedah. Hidup saya jadi begitu sunyi dan seksa, kerana selain bising memanjang dari pergaduhan tanpa henti antara ayah dan ibu, kami senantiasa dirotan atas apa jua kesalahan sedikit.

 

Saya dipaksa menghafal bahasa Cina padahal saya diletakkan dalam sekolah aliran Inggeris. Cina amat payah untuk disebut kerana ada empat nada pada setiap sebutan. Tulisannya bergambar lagi payah untuk diingati. Setiap garis tersilap akan disambut dengan rotan.

 

Keputusan peperiksaan mesti senantiasa sempurna dan memperolehi tempat teratas dalam seluruh darjah. Markah bawah 80% akan terima rotan. Kedudukan melebihi 10 akan terima rotan.

Dalam kem tentera, kebanyakan jiran kita orang Melayu. Saya dilayani dengan baik oleh jiran dijamu milo dan biskut bersama anak-anak orang Melayu. Ini menimbulkan pertanyaan kenapa saya dilahirkan dalam keluarga Cina dan bukan Melayu.

 

Saya cuba percaya falsafah hidup yang ditawarkan Kristian di sekolah oleh gerakan Kristian dan gereja. Saya yang kuat ikuti buku-buku sains dari perpustakaan British Council tidak dapat terima Bible sebagai kata-kata Tuhan dan akhirnya jadi atheis pada usia 14 tahun. Tetapi perbalahan dalam rumah memuncak pada satu malam semasa saya berusia 17 tahun sehingga ibu saya ditendang keluar rumah dengan kecederaan dan berdarah pada badannya. Peristiwa itu cukup menyayat hati saya sehingga saya mengeluarkan buku kosong dan mula menulis surat kepada Tuhan.

Saya soalkan Tuhan macam-macam. Kenapa saya dilahirkan? Kenapa hidup ini penuh kesengsaraan? Pada yang hebat sangat dengan alam ini jika hidup ini tiada makna? Walaupun saya sedar soalan saya hampir sama dengan soalan Siddharta Gautama Buddha, saya tidak percaya nasib saya sebaik Gautama yang lahir sebagai anak raja yang mewah. Saya tiada pilhan. Gautama ada.

 

Enam bulan kemudian apabila saya menghadiri sebuah Kursus Tatanegara di Melaka, pada akhir 1979, saya bertemu seorang rakan kursus yang memberitahu saya tentang kisah sebenar versi lainan Injil dan bagaimana Al-Quran membetulkan wahyu Tuhan.

 

Dengan cepat saya dapat sedar kerana selama ini saya tidak tersoal kenapa Injil ada empat versi dalam Bible dan ia ditulis sebagai pihak ketiga menerusi riwayat orang lain.

 

Tetapi keadaan tekanan rohani yang dasyat saya menghadapi waktu itu memaksa saya cari jalan keluar iaitu meminta kawan tersebut untuk benarkan saya duduk dengan keluarganya di Semabuk Melaka supaya saya dapat lari dari hidup di bandar dan masalah saya disamping mendalami Al-Quran.

 

Saya memohon pertukaran sekolah dari Victoria Institution ke Saint Francis Institut di Melaka dengan sendiri, dan cuma sembahkan surat untuk ayah saya tandatangani tanpa sesiapa melakukan apa-apa untuk membantu saya.

 

Saya diterima dengan penuh mesra oleh orang kampung dan suasana nyaman dan hijau bagaikan syurga setelah saya melalui zaman neraka yang lama. Pada tanggal 12, Januari, 1980 saya mengucap dua kalimah syahadah di depan Pembantu Kadi, Pejabat Agama Negeri Melaka, yang terus memberikan saya nama baru, Mohd Redhuan bin Abdullah.

 

Tiga ayah saudara saya pada mulanya tidak tahu tentang keIslaman rahsia saya dan telah memberikan saya 70 ringgit setiap seorang bagi 3 bulan pertama saya hidup bersama keluarga angkat baru saya.

 

Tetapi suasana baru Islam mengubah saya untuk mendalami Islam sepenuhnya maka saya berhenti sekolah sebulan kemudian dan mengikuti pengajian Islam sepenuh masa di Institut Dakwah Perkim di Petaling Jaya yang diberikan biasiswa penuh berasrama. Masa itu baru saya dedahkan keIslaman saya kepada bapa saudara saya yang amat terkejut dan putuskan hubungan dengan saya.

Saya teruskan pengajian saya selama setahun sebelum berhenti kerana perjalanan kurikulum Thanawi Islam biasa adalah terlalu lambat. Saya banyak berjalan ikut pelbagai jemaah dan tokoh masa itu dan kutip pelbagai kitab dan buku untuk dibaca sendiri.

Saya juga dapati fahaman agama pada masyarakat Melayu di luar tidak sama dengan apa yang saya baca. Tetapi suasana bertentangan itu lebih menajamkan fahaman saya kerana merupakan asam garam menimbulkan pelbagai persoalan yang mendorong saya menyiasat lagi asal usul banyak perkara.

 

Tetapi secara umum, masyarakat Melayu amat baik hati kepada saya dan melayani saya sama macam ahli keluarga mereka sendiri. Budaya mereka cukup berbeza dengan budaya orang Cina yang amat mementingkan kebendaan dan hidup semata-mata kerana dunia.


Itulah yang cuba sampaikan dari video tular yang dirakam di Seri Kembangan pagi itu. Saya letakkan tajuk 'Apa kita dapat belajar daripada gengster Cina?' bukanlah bertujuan membesarkan kehebatan orang Cina yang saya anggap saya sudah tinggalkan atau menghukum orang Melayu yang saya sifatkan lemah mudah disogok oleh gengster sehingga penguatkuasan atas perkara haram tidak berjaya. 


Saya cuba terangkan yang Melayu ini ada harta agama yang kaya dan apa yang saya pelajari darinya adalah cukup untuk menyelesaikan soal seperti rezeki yang Allah janjikan tetapi manusia tidak sabar atau yakin.

1 comment:

nadyaoatis said...

Slots Casino - New York - MapyRO
Play online slots at Slots.com NY. 경상북도 출장마사지 We offer MILLIONS OF PLAYERS 청주 출장샵 an exciting new casino experience for NY 사천 출장안마 players. Play all 광주 출장마사지 your favorite online 충주 출장샵 slots for FREE today!