01 January, 2021

Apa yang Kita Bisa Belajar dari Gengster BAB 1

PENDAHULUAN

Satu pagi dalam bulan Julai, 2020, Redhuan D. Oon, yang hampir setiap pagi akan ke udara dalam akaun Facebooknya sebagai amalan biasa kesukaannya, menyentuh satu topik yang tengah tular masa itu iaitu aduan Asri Janggut, seorang pengusaha rangkaian Hotburger terhadap pihak berkuasa di Sg Buluh.

 

Redhuan, yang lebih suka dirinya digelar Cina Apek, tidak sangka yang komentarnya terhadap rungutan Asri terhadap gengster Cina sebagai bahaya kerana mampu menyogok pihak berkuasa termasuk pegawai dan penguatkuasa dalam Majlis Perbandaran dan Bukit Aman, turut menjadi tular sehingga ditonton diseluruh negara mencecah jutaan penonton.

 

Redhuan sekadar sentuh apa yang sempat (ungkapan kesukaannya ialah ‘Jangan Ambil Kesempatan, Ambil Apa Yang Sempat, yang beliau terdengar semasa bersama rakannya Chegu Ruslan Kassim (Allahyarham)), iaitu bahawa Cina maju ialah kerana mereka bersatu, dan Melayu mundur kerana mereka asyik berpecah belah.

Redhuan, yang mengenal Islam pada akhir 1979, semasa menuntut di Sekolah Menengah Victoria Institution, Kuala Lumpur, telah berhijrah ke Melaka untuk memeluk Islam secara rasmi tanpa pengetahun keluarganya yang beragama Kristian dan tidak sokong orang Melayu Islam.

Maka beliau mula perjalanan hidup beliau yang luar biasa kerana berlawan dengan arus dan membentuk pemikirannya yang tidak mudah difahami apatah dipersetujui orang ramai.

Alangkah terkejutnya pada hari-hari selepas pagi bulan Julai tersebut, apabila akaun FB beliau diserang dengan begitu ramai pengikut dan permohonan untuk jadi kawan. Mesej pm pun menghujani kotak FBnya bertalu-talu tanpa henti selama sebulan lama.

 

Ikuti dengan lebih intim kisah latar-belakangnya berkaitan topik tular tersebut secara langsung dari isi hatinya sendiri. Lepas itu pembaca adalah bebas untuk membuat kesimpulan apakah dia ini seorang yang ambil kesempatan atau ambil apa yang sempat.


PENERBIT

 

BAB 1 - SAYA RELA MUSAFIR SAMPAI AKHIR


Satu pagi awal bulan Julai, saya tertonton sebuah video yang ada suara latar bermula dengan ayat, lebih kurang, ‘Nyawa saya mungkin terancam, dengan mendedahkan kegiatan haram judi ini..’ Saya terus tutup video tersebut dan alih cari lain bahan yang lebih menarik.



Kepada saya, isu panas yang ditularkan oleh masyarakat berbahasa tempatan, tidak semestinya disukai saya, yang menghabiskan masa lebih banyak diluar negara. Saya baru sahaja kembali dari Thailand kerana passport saya mati. Jika tidak saya akan kekal duduk di Thailand atau kembali ke Vietnam yang saya ada ramai kawan yang boleh saya tumpang duduk.

 

Sewaktu Pandemik Covid-19 mula diistiharkan pada bulan Mac, 2020, saya sudah sebulan lebih di Bangkok terlibat dalam satu projek perisian komputer Kerajaan Thailand menggunakan perisian sumber terbuka yang dikepalai saya bersama ramai rakan seluruh dunia. Berita SOP Lockdown yang diistiharkan di Malaysia cukup mengejutkan saya di sana dan saya ambil keputusan lebih baik duduk di Bangkok yang lebih longgar syarat PKPnya. 

 

Malah saya pada bulan Februari habiskan seminggu di Hanoi, Vietnam, yang sudah mula PKPnya lebih awal dari semua negara ASEAN dengan mengantung semua persekolahan. Tetapi mereka tidak sekat kegiatan biasa dipasaraya, kompleks awam, pengangkutan dan pergerakan. Tiada dipaksa menutup muka atau perjarakan atau hadkan jumlah orang ramai disesuatu tempat.



Bulan Mac, Thailand mula sekat secara sempadan, termasuk antara daerah, tutup semua restoran dan kelab malam, tetapi tidak hadkan jumlah penumpang dalam kenderaan asal pakai pelitup, dengan pasaraya dan kenderaan awam masih berjalan biasa.



Tetapi paspot saya akan tamat bulan September, dan tempoh kurang enam bulan sudah tiba. Pada akhir bulan Jun saya terdengar dari kawan di Malaysia, bahawa MKN sudah longgarkan syarat boleh kuarantin 14 hari secara sendiri dan hanya saring di sempadan masuk Bukit Kayu Hitam. Maka masa itulah saya ambil keputusan merentas sempadan Thailand memasuki Malaysia.


Saya cukup rindu kedai mamak kerana hampir enam bulan tak dapat merasai suasana santai dalam kedai mamak yang tiada tolak banding di dunia luar. Saya sudah musafir ke empat puluh negara, termasuk juga India, tetapi tidak terjumpa budaya kedai mamak yang ada di Malaysia.


Seorang kawan tunggu saya di sempadan Bukit Kayu Hitam selepas selesai meunggu 3 jam di kompleks Imigresen Malaysia. Selepas selesai hasil saringan semua yang hadir di sana masa itu, mendapat keputusan saringan negatif dari virus Covid-19. Kami pun tuju duduk restoran mamak yang pertama kita sempat singgah.

 

Kami bermalam di salah satu rumah kediamannya di Bertam, Seberang Perai, yang kini kosong tetapi menjadi rumah persinggahan kami semalaman sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Di rumah kawan ini saya tertonton video susulan Asri Janggut yang masa itu saya masih belum kenal nama gerangan orang ini.

 

Dalam video tersebut, baru kelihatan dirinya bercakap ditemubual oleh pihak media social lain. Asri mengungkap, ‘Sepatutnya pihak berkuasa berterima kasih kepada saya kerana membongkar amalan judi berleluasa yang dikawal oleh gengster Cina.” Ungkapannya itu serta wajahnya yang tenang dan berani menjadi asbab hati saya tergerak untuk memberi komen.

 

Setiap pagi sejak beberapa bulan sebelum itu, semasa bulan puasa di Bangkok, saya sering ke udara secara langsung dari laman Facebook saya untuk berkongsi pengalaman hidup yang pelbabgai sejak memeluk Islam. Saya suka menyentuh isu perbandingan yang saya rasai pelik atau menarik yang mungkin masyarakat Melayu tidak merasai kerana sudut saya ialah sebagai seorang mualaf dari luar yang melalui budaya yang asing bagi mereka.

 

Saya mempunyai ikutan masa itu berjumlah hampir 9 ribu orang. Ikutan yang agak tinggi itu terhasil kerana kisah saya bermusafir membawa anak saya yang berumur 15 waktu itu, mengelilingi dunia tanpa sekolah dan akhirnya setahun kemudian dia boleh memperolehi pekerjaan sebagai programmer macam ayahnya dengan mudah dan gaji sama taraf dengan seorang siswajah jurusan yang sama padahal dia tiada pendidikan formal atau tunjuk ajar sangat dari saya.

 

Anak dan ayah yang asalnya merancang tiga bulan dengan bajet yang sedikit untuk melawat beberapa negara di Eropah, akhirnya dapat duduk dalam 18 negara dalam masa lapan bulan dengan bertambah pendapatan yang secukupnya untuk melakukan sedemikian. Saya anggap itu rezeki janji Allah bagi anak saya dan ayah anak.

 

Dengan saya menayang slip gaji bulanannya lima tahun lepas berjumlah seribu lima ratus ringgit, mendapat perhatian umum dan ikutan Facebook saya yang sebelum itu cuma 3 ribu lebih pengikut melonjak menjadi 9 ribu pengikut.

 

Siri siaran langsung saya sempena bulan puasa di Bangkok sering juga di adakan sewaktu sebelum sahur antara pukul tiga pagi sehingga 5 pagi. Pengikut setia akan senantiasa ada dalam linkungan bawah 10 orang. Waktu siang nanti pengikut lain berjumlah seratus lebih akan menonton dan memberi sokongan setuju dengan apa yang disampaikan yang mendorong saya untuk terus membuat siaran langsung dari mana jua saya berada.

 

Kadangkala saya siarkan keadaan dalam pasar di Bangkok semasa saya tengah mencari tulang ‘gearbox’ untuk buat sup ala Diet Keto iaitu tinggi lemak dan rendah karbohidrat untuk menghilangkan kegemukan dalam perut dan membuang toksid dengan lebih cepat sempena bulan puasa.

 

Pada pagi selepas subuh di rumah sebelah Malaysia di Seberang Perai itu, saya lakukan satu lagi siaran tetapi kali ini menyentuh tentang budaya Cina gengster yang tercetus dari kisah meja judi haram di Sg Buluh. Seperti biasa tontonan hanya beberapa ratus sahaja. Namun saya puas hati kerana dapat meluahkan perasaan saya mengenai kisah tersebut.

 

Pada keesokan hari kami sudah kembali ke Kuala Lumpur dan kawan tersebut meminjam keretanya untuk saya guna sempena menunggu projek komputer seterusnya di luar negara dengan pasport saya dijangka diperbaharui semula dan PKP Covid-19 ditamatkan.

 

Masa itu saya dapat panggilan dari Kazakhstan dan saya cukup naik semangat kerana belum pernah jejak kaki atas Laluan Sutera dari sana sehingga Afghanistan. Saya sudah ke 40 negara kebanyakannya di Asia, Eropah, Afrika dan Amerika (utara, tengah dan selatan) dan duduk dengan hampir semua kawan dan keluarga bukan Islam. Saya rasa agak insaf kali ini yang maksud musafir saya tidak melalui dan merasai tempat umat Islam yang begitu tersebar terutama di Timur Tengah. Banyak cerita saya terkutip sepanjang jalan daripada penemuan dengan rakyat pelarian dari Syria, Kurdistan, Pakistan, Algeria, Palestin dan Iraq.

 

Saya rasa rezeki yang Allah limpahkan untuk saya tidak saya sempurnakan sekiranya akhir hayat saya nanti saya tidak dapat mengalami ilmu alam manusia secara menyeluruh. Dengan berita dari Kazakhstan, saya sediakan analisa awal saya kepada bakal projek tersebut yang melibatkan sistem perlombongan uranium bagi negara Kazakhstan yang mereka gagal menyempurnakan sistem komuter ERP untuk kendalikan segala data operasi jumlah sumber dan hasil keluar masuk erta perakuanannya.

 

Sistem ERP agak rumit dan teknikal dan bukan graduan IT biasa atau mana graduan pun dapat faham. Ia ambil masa yang lama dan saya bersyukur saya tanpa pendidikan tinggi formal dapat sedikit sebanyak menguasainya sehingga projek datang mencari saya hasil tulisan tunjuk ajar saya yang pernah saya lakukan secara percuma dari tahun 2003 sehingga sekarang.


Namun kerana Pandemik Covid-19 tengah memuncak pada bulan Julai lepas, saya terpaksa tunggu keadaan reda sebelum dapat terbang lagi. Maka tumpuan saya kembali kepada siaran langsung Facebook saya.

 

Di rumah seorang kawan lagi di Seri Kembangan yang berasal dari Sarawak, yang sudi memberikan saya satu bilik kecil di tingkat bawah rumah dua tingkatnya, saya selepas subuh sekali lagi terfikir apa lagi tajuk yang saya boleh utarakan. Pandangan saya terhadap dua kaum terbesar negara ini senantiasa dalam fikiran saya kerana pelbagai isu menarik maupun besar sering berlaku diantara dua kaum tersebut.

 

Ada isu yang cukup kontroversi seperti sebelum ini seperti soal monopili barangan komputer kecil dan elektronik popular di Low Yat yang mengakibatkan sebuah Digital Mall sebagai saluran lain bagi kaum Melayu memperolehi barangan IT tanpa layanan monopoli dari kartel peniaga Cina. Digital Mall tersebut saya sudah jangka akan gagal dan memang gagal dari awal lagi. Kini tiada kedengaran apa lagi rungutan dari sesiapa yang dan keadaan realiti hidup di negara ini kembali kepada status quonya iaitu kaum saya sebagai minoriti terbesar sebanyak hampir 30 peratus dari jumlah penduduk tetapi mengawal hampir semua perniagaan barangan keperluan awam negara.

 

Saya walaupun sama bangsa Cina, tetapi dengan memeluk Islam, saya ada sudut pandangan yang agak berbeza. Saya rasa kedua-dua kaum ini asyik berbalah tanpa henti-henti dan tanpa kesudahan. Jika saya memihak Cina, apa beza saya dengan Cina yang rata-rata Melayu pandang sebagai bukan Muslim, berbahasa Cina dan tidak memahami sanubari orang Melayu yang menganggap diri mereka Bumiputera dan penduduk asal negara ini?

 

Jika saya memihak kepada Melayu yang seagama dengan saya, Cina akan anggap saya ini murtad. Saya lebih melalui pendidikan Inggeris penuh dengan melalui Sekolah Menengah Victoria Institution, menghabiskan hidup awal saya setakat itu di bandar Kuala Lumpur yang kebanyakannya Cina bandar berbahasa Inggeris, dan hanya kenal bumi Melayu dengan sebenarnya setelah berhijrah ke Melaka dan memeluk Islam di sana pada awal 1980.


BAB 2 - KENAPA SAYA MEMELUK ISLAM (Bersambung)


Bab-bab cadangan, mungkin dipinda dari masa kesemasa


BAB 3 - ISLAM TANPA SEKOLAH

BAB 4 - MENDEKATI ORANG BUKAN ISLAM

BAB 5 - MELAYU ANTARA ADAT DENGAN AKIDAH

BAB 6 - PERLUNYA MELAYU BERSATU

BAB 7 - CARA ATASI KAUM CINA

BAB 8 - PANDEMIK MEMBUKA JALAN

BAB 9 - SISA HIDUP APEK

BAB 10 - KEINDAHAN MUSAFIR ALAM ALLAH

No comments: