17 December, 2008

Terkejut Boleh Bersuara

Saya sebenarnya, hasil dari pendidikan tempatan walaupun di Victoria Institution, sekolah elit  termasyur di Malaysia, saya masih takut-takutan untuk bersuara menentang dasar kerajaan.

Sehinggalah akhir tingkatan enam bawah iaitu pada bulan Disember, tahun 1979 saya berpeluang menghadiri kursus Biro Tatanegara di Melaka. Di sana saya terkejut dapat mendengar hujah dari pelajar yang membidas dasar kerajaan dan lebih mengejutkan lagi penganjur atau fasilitator dari kerajaan menggalakkan suara sedemikian. Di sanalah saya mula bersuara ganas sikit dan mengeluarkan segala hasrat hati dan kekecewaan saya terhadap DEB dan Bumiputera.

Kejutan lagi ialah begitu ramai pengikut kursus tersebut terutama dari kalangan berbangsa Cina yang lagi takut dari saya dan asyik menghulurkan kertas nota kecil yang mengandungi butir atau hujah untuk saya tembak ke arah pensyarah. Saya hairan mengapa mereka tidak berani bersuara dan ingin orang lain bersuara bagi mereka. Mungkin mereka takut serangan balas nanti.

Seperti yang saya sebut awal tadi ialah bagaimana saya terkejut dengan suara mengecam kerajaan dari pelajar lain, iaitu pelajar Melayu sendiri. Tidak dapat saya lupa suara Amir Hamzah Abdul Hamid dari Semabok, Melaka yang mengutuk dasar tidak cukup Islamik dan apologetik kerajaaan yang tidak menguntungkan Melayu itu sendiri.

Dari situlah saya terbuka minda dan mata bahawa bukanlah semua Melayu itu sama dan ada yang lebih bijak dari saya sangka. Dari Amir Hamzah atau kat kampung kita panggil Pak Andak yang saya mula mengetahui tentang sejarah kitab Injil dan akhirnya memeluk Islam di kampungnya lalu berhijrah ke rumah nya sebulan kemudian. Tarikhnya 12 Januari, 1980.

No comments: