01 January, 2021

BAB 3 - ISLAM TANPA SEKOLAH

 

Saat saya membuat keputusan keluar dari alam sekolah formal ialah apabila saya sedar apa itu ajaran Islam sebenarnya. Saya ingin mencari ilmu Allah yang mana Dialah Pencipta segalanya serta menjamin sesiapa yang mengorak langkah mencari ilmu tersebut. Pada masa itu saya tidak tahu mana harus saya tuju untuk memperolehi ilmu sedemikian. Dalam fikiran saya ia sepatutnya dari bangku sekolah sebuah madrasah atau pondok. Saya bertanya dengan orang sekeliling masa itu, dan itulah yang mereka memberitahu saya.


Dari nas sumber Kitab atau Hadis, ada dalil memberi petunjuk bahawa asal kita berniat dan memohon kepada Allah, maka Allahlah sebaik-baik Perancang. Allah sudah berjanjikan rezeki dan kurniaan serta kepada keluarga yang kita tinggalkan demi mencari ilmu mengenaiNya. Tetapi tidak disebut prosedur atau dimana tempat untuk mencariNya. 


Maka saya pun berdoa dan tergerak hati saya meninggalkan sekolah sekali lagi di Melaka untuk mencari tempat lain yang dapat berikan saya ilmu tersebut. Saya langsung bulat-bulat ikut hati yang masa itu cukup tenang dan yakin Allah akan menguruskan atau sudah menguruskan segala yang diperlukan. Cuma saya tidak sedar selebihnya dan bertawakal penuh, pegang janjiNya.


Islam yang saya belajar dikutip dari pelbagai sumber. Selain tahun pertama Thanawi, saya baca dari banyak buku masyur masa itu seperti dari Hamka, Syed Naquib Al-Atas, Imam Al-Ghazali, Imam Maududi, Maurice Bucaile dan Maryam Jameelah.

 

Saya cukup mengikuti pelbagai jemaah terutama yang janjikan jalan yang benar seperti Jemaah Tabligh dan Pergerakan Al-Aqam. Saya juga terikut dengan ABIM dan jemaah-jemaah yang seistilah dengannya.

 

Saya amat menghayati kata-kata dan tulisan seorang guru sufi yang berasal dari Scotland, bernama Ian Dallas yang memeluk Islam di bawah seorang guru tariqa di Maghribi yang diberi nama Abdal Qadir As-Sufi. Beliau menggunakan bahasa Inggeris yang cukup tinggi yang serasi dengan latar belakang pendidikan saya. Jika pelajaran Fekah di Perkim, mereka gunakan buku dari Indonesia yang tidak sama menarik dengan bahasa As-Sufi yang meliputi soal rohani tetapi juga falsafah politik yang amat mendalam dan menerangi polemik yang dihadapi umat sejagat.

 

Saya juga tertarik dengan Prof Dr. Ismail Faruqi dan dapat hadiri dua syarahannya anjuran ABIM dalam bahasa Inggeris. Nampaknya saya cuma tertarik sekiranya pensyarah menyampaikan dalam aliran Inggeris kerana lebih tepat istilah dan halus senikatanya.

 

Saya memperolehi lagi seorang abang angkat semasa di Perkim iaitu Nadzru Azahari dari Kelantan yang sudah mengelilingi dunia sebagai seorang pakar petroleum dan mampu pelbagai bahasa termasuk Arab dan Perancis. Dia terus pelawa saya duduk rumah keluarganya di PJ Old Town, dan saya duduk bersama keluarganya selama tiga tahun. Itulah rahsia bagaimana saya ketagih budu dan boleh kecek bahasa Kelantan dengan agak fasih.

 

Saya juga berjumpa dengan Anwar Ibrahim yang menjadi Presiden ABIM masa itu bertujuan untuk pergi ke Afghanistan untuk berjihad, tetapi saya hanya memintanya berikan saya peluang pergi ke Palestin menerusi kawannya Yasser Arafat dari PLO. Anwar menasihati saya untuk kekal belajar dan sanggup menampung saya ke universiti tetapi saya enggan kerana ingin sangat Jalan Allah. Akhirnya saya memohon kerja sebagai guru di Yayasan Anda Akademik yang diasaskannya bersama ABIM.

 

Apabila Anwar menyertai UMNO akhir tahun 1981 saya juga menamatkan perkhidmatan saya sebagai guru bahasa Inggeris di YAA dan ambil peluang dari abang angkat saya yang dapat perkenalkan saya kepada syarikat IT terbesar, Dataprep, untuk mula kerjaya baru sebagai seorang juru komputer.

 

Saya dapat ikuti setahun belajar sains komputer di Institut Goon di belakang Chow Kit Road semasa mengajar separuh masa di YAA, Jalan Stoney, Kampung Baru, yang dihadiri para pelajar lepasan SRP yang gagal dan perlu ulangan.

Semasa tiga tahun sebagai juru komputer, saya mendalami lebih dari tulisan Abdal Qadir As-Sufi tetapi telah ditarik untuk memasuki Parti Islam SeMalaysia kerana pada tahun 1982 Dato Asri Muda yang dikatakan nasionalis Islam diganti oleh fenomena kepimpinan ulama oleh Abdul Hadi Awang yang dikatakan bukan nasionalis kaum tetapi Islam sejati.

 

Setahun selepas menyertai PAS pada tahun 1984, saya masih berkhidmat dalam jurusan programming berpangkat EDP Supervisor di Syarikat Bas Sri Jaya, yang gaji cukup baik dan kerja lebih selesa selepas meninggalkan syarikat IT terbesar Datarep tersebut. Tetapi penglibatan saya dalam PAS telah menarik perhatian Fadhil Nor, Timbalan Presiden PAS bawah Yusuf Rawa masa itu yang mengajak saya berceramah atas pentas PAS.  Nama saya pun keluar surat khabar Star dan Watan. Dalam pemilihan Exco Pemuda PAS berikut tahun 1985, saya dipilih sebagai ahli bukan Melayu yang pertama dalam sejarah tanahair menjadi salah satu Exco Pemuda Pas Pusat.

Terus saya menjadi tarikan dan jadual diari saya dimohon share oleh hampir semua cawangan PAS seluruh negara untuk saya berceramah. Saya menarik seorang rakan yang saya kenali dari Perkim, Kamal Koh yang fasih bahasa Cina kerana dia aliran penuh Mandarin, dan bersamanya dan rakan lain dalam Pemuda PAS, menggunakan pentas PAS untuk berdialog dengan masyarakt Cina. Dalam dialog perdana kita di Dewan Perniagaan Cina Selangor, Abdul Hadi Awang telah keluarkan kata-kata yang mengejutkan negara. Beliau berucap yang orang Cina juga boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia sekiranya bertakwa.

Lagi melonjak naik nama PAS sehingga semua surat khabar Cina dan persatuan Cina sehingga DAP dan paling penting Dong Jiao Zhong mengenali kita dan amat musykil apa mesej yang kita cuba sampaikan. Banyak majlis diatur antara kita dalam PAS dengan ramai tokoh dari persatuan Cina tersebut.

 

Masa itu saya buat keputusan berhenti dari kerjaya komputer dan terjun masuk sepenuh masa dalam usaha yang saya anggap satu dakwah besar. Ia juga pesanan dari guru sufi saya bahawa saya perlu tarik orang Cina masuk Islam atau komunis akan menawan mereka.

 

Saya dapat sepentas dengan tokoh-tokoh seperti TG Nik Abdul Aziz, Nakhaie Ahmad, Subky Latiff, Khalid Abdul Samad, Chandra Muzaffar, Jomo Kwamesundram, Harun Idris, Ibrahim Ali dan ramai tokoh aliran Cina.

 

Kami saudara baru dalam PAS pun dicalunkan dalam PRU seterusnya pada tahun 1986 dimana saya dicalunkan berdepan dengan Daim Zainuddin, Menteri Kewangan masa itu. Tetapi ada rentetan peristiwa yang panjang dan baik saya cerita dalam buku khusus lain kelak.

 

Saya ingin berkisar kembali tumpu tajuk utama penulisan saya di sini iaitu apa yang saya pelajari dari semua ini? Tujuan utama saya memeluk Islam ialah mencari kebenaran. Tujuan utama saya tinggalkan sekolah ialah mencari ilmu Allah. Tetapi perjalanan hidup saya terjerumus dalam segala persoalan dan persengketaan dan pergolakan politik Melayu Islam yang saya tidak faham dan masih terlalu mentah masa itu.

 

Dunia yang saya tinggalkan demi mengejar ilmu Allah, mengejar saya balik dengan dicorakkan sebagai seorang Hafiz Hacker. Bukan sahaja ilmu fardhu ain dapat dikenali saya tetapi jua fardhu kifayah mengenai alam moden masa depan. Namun pendedahan kepada alam dunia dan akhirat ini tidak disertai dengan apa jua pengiktirafan sijil atau tauliah dari manusia.


Hari ini, hasil dari penglibatan saya yang begitu rupa menyedarkan saya apakah ini yang Allah inginkan sebagai pendidikan saya? Iaitu mengenal Islam dari sudut realiti politik dan ummah yang amat penting dalam soal mencari jalan yang lurus. Saya kini lebih memahami umat Malaysia secara umum tetapi lebih penting umat Melayu secara khusus. 


Apakah tiada sepatah kata dua saya boleh tawarkan dari segala pengalaman tersebut untuk kebaikan hidup beragama kita yang saya kenali? Apakah Islam sesuatu perjalanan hidup yang semata-mata infiradi atau peribadi dan tiada unsur hablum minnas atau sosial kemanusiaan?


Malah mesej terbesar Al-Qur'an yang saya dapat simpulkan ialah melaksanakan keadilan. Penghuni neraka adalah untuk mereka yang melakukan kezaliman ke atas diri mereka sendiri dan orang lain.

No comments: