28 August, 2010

Allah Basuh Umat Nabi


Sepertimana Tsunami 2004 telah membawa air bah yang besar dari laut untuk membasuh Atjeh dari maksiat, kealpaan dan kegaganasan, nampaknya air bah yang melanda Pakistan kini sedang memberi kesan yang sama. Saya bertemu dengan seorang pembesar dari Atjeh baru-baru ini yang memberitahu saya bahawa peristiwa tsunami benar-benar menakutkan dan mengingatkan mereka tentang siapa sebenarnya Allah, dan telah membersihkan buminya dari segala macam penyakit yang telah melanda bumi yang sekitika dahulu merupakan nur cahaya keIslaman serta keMelayuan yang merebak keseluruh pelusuk Nusantara.

Di harapkan selepas ini umat di Pakistan pula akan bangkit sebagai kaum yang baharu dalam iltizamnya untuk menjadi umat yang mengingati kekuasaan Allah dan pemberianNya menerusi Islam. Kaum-kaum Muslim yang lain patut mengambil iktibar bahawa nama sahaja Islam tidak memadai untuk menjamin kesejahteraan hidup. Kita patut membaharui janji dengan Allah pada setiap kali solat dari awal subuh lagi. Islam bukanlah hak kami. Tidak akan terjamin di Akhirat kelak apa yang ada pada nama atau salasilah nenek moyang Muslim kita. Yang akan menjadi penghitung kelak adalah pada amal yang salih lagi ikhlas. Umat ramai negara Islam hari ini masih leka. Iran pula terkenal dengan sindiket pengedaran dadahnya di sini. Pendatang dari Indonesia pula dengan jenayah dan perniagaan tubuh manusia. Di Malaysia pula kita turut leka dan berpuas bahawa Islam kita adalah sempurna padahal terdapat banyak kezaliman yang berleluasa di sekililing kita tanpa kita sedari.

Janji Allah pasti. Akan dipertontonkan kepada kita semua tentang kealpaan kita. Air merupakan rahmat dariNya. Ia juga diguna sebagai bala yang paling berkesan sejak zaman Nabi Nuh a.s. lagi. Semoga kita mengambil pengajaran dan menerima apa yang Allah berikan.

08 August, 2010

Tidak Hebat Jika Tidak Melampau

Sejarah Manusia memaparkan bahawasanya sekiranya jika seseorang itu mengikuti terlalu rapat nasihat yang diberikan oleh kebanyakan agama iaitu bersifat toleransi, sederhana dan tidak melampau, maka dia tidak akan semasyur yang terjadi. Lihatlah kisah Firaun, Genghiz Khan, Alexander the Great, Napoleon, Hitler, Marcos, atau Saddam Hussein. Mereka ada melakukan perkara-perkara yang melampau seperti menakluk negeri orang lain sehingga terlalu besar empayar mereka. Atau mereka mengakui diri mereka amat besar sehingga bergelar macam-macam. Atau mereka melakukan sesuatu yang amat bermakna dalam kehidupan manusia harian sehingga memberi kesan yang terlalu luas kepada semua orang lain. Bukan semua yang mereka melampau itu tidak baik. Dikatakan walaupun Genghiz Khan itu zaman dulu, purba kaedah peperangannya, dia telah membawa kebaikan dengan memusnahkan sistem feudal yang lain dan membawa banyak penhijrahan dan pemindahan DNAnya kepada ramai sekali kaum lain, jelas sekali melalui perkahwinan paksa atau perkosa.

Ada juga tokoh hebat lain seperti Gandhi, Aquino, Mandela, Mother Theresa dan John Lennon. Mereka semua tidak hidup normal malah amat tidak puas hati dengan keadaan semasa. Mother Theresa walaupun asalnya duduk dalam sebuah 'convent' yang berkhidmat kepada rakyat miskin di India, mengeluarkan dirinya dari sana kerana ingin berkhidmat kepada yang teramat miskin, baru puas. Cukup ekstrim tanggapannya. Ahirnya, apabila dia meninggalkan dunia, perarakan yang mengiringi jenazahnya terdiri dari segala lapisan masyarakat dan agama termasuk Muslim.

Pengajaran di sini ialah sekiranya hidup anda terlalu normal seperti 6 billion umat yang lain, maka apakah ertinya hidup anda? Bukanlah diajak menjadi seperti Son of Sam atau Charles Manson dan pergi bunuh orang tidak berdosa. Maksud saya ialah cubalah melaksanakan hidup ini dengan tekun dan sedar dan bukannya malas dan separa-sedar macam sesetengah orang lain yang ada. Saya juga merujuk kepada diri saya sendiri sebenarnya. Semua tulisan saya sebenarnya ada kaitan dengan bathin diri saya sendiri. Sekiranya tidak perkara ini tidak akan tertimbul dalam kepala saya. Saya turut dilanda perang bathin apakah saya patut menjalani hidup secara kiasu atau berani, walaupun dilarang oleh norma hidup. Amat penting di sini peranan akal yang diberi oleh Allah, Tuhan semesta alam.

Kembali ke tanahair sini, juga ada tokoh pempinan contoh yang kita kagum atau sanjung maupun benci dan berkontroversi. Tokoh seperti Dr. Mahathir, Anwar, Pak Lah, Najib, Nik Aziz, Hadi Awang, Ridhuan Tee dan Dr Mohd Asri. Mereka semua ada sumbangan mereka yang tersendiri yang disambut oleh rakyat dengan pelbagai reaksi. Sekiranya mereka berdiam diri hidup normal agaknya tidak masyur atau tergerak hati orang seperti saya untuk mencatat nama-nama mereka di sini.

Apakah hidup saudara normal dan berpuas hati?

06 August, 2010

Nasihat Kepada Kaum Melayu

Pertama-tama sekali, saya terfikir ingin sangat memberikan sedikit nasihat kepada kaum kerabat saya orang Melayu. Tetapi saya amat takut sekali kerana saya ini bukanlah bangsa Melayu tetapi bangsa Cina. Walaupun saya masuk Islam (maka masuk Melayulah berperlembagaan) dan mengikut ayat Al-Quran, saya dan orang Melayu adalah bersaudara (Innal Mukminin al-ikhwan). Maka kaum Melayu adalah kaum saya.

Maka saya ingin sangatlah turunkan nasihat ikhlas saya kepada mereka. Maka tolonglah jangan marah atau saya taubat akan memberikan apa jua nasihat selepas ini. Bolehlah pergi dengar saja sahabat lama saya iaitu Dr. Ridhuan Tee selepas ini yang kuat mengiasukan kaum Cinanya sendiri.

Fikir-fikir, baik juga saya pergi nasihat kaum Cina. Yalah, betul juga fikiran itu. Tetapi kaum Cina amat takut dengan Islam kerana perangai kaum kerabat saya yang lagi satu. Terutamanya yang kian Perkasa lagi memperkasakan.

Saya amat sayang kaum Melayu kerana banyak sebab yang saya sudah menyentuh dalam blog-blog sebelum ini. Namun isteri saya bukan Melayu jua bukan kerana emak saya merasakan tidak secocok dengan Melayu selepas berlakunya Mei 13. Saya kahwin orang Afrika kerana disebabkan soal ketinggian iaitu tinggi saya 1.87 meter dan orang Afrika lagi tinggi dari orang Melayu maka mudahlah saya berjalan dengan isteri buat masa ini. Masaalah fizikal tuan-tuan dan puan-puan.

Apa saya nak cakap tadi? Oh ya, cepat lupa. Saya mahu beri sedikit nasihat kepada kaum Melayu.

Wahai Melayu,
Sesungguhnya engkaulah kaum yang cukup bertuah. Pertama-tama sekali engkau kaum yang cukup peramah, cukup bersantun dan cukup berbahasa. Sehingga disanjung oleh kawan luar dan dalam. Sehingga saya merasakan cukup bertuah dapat mendalami bahasa Melayu dan cukup bangga mengukir kata-kata dalam bahasa indah ini. Walaupun bahasa pengantar utama saya bahasa orang putih, tetapi saya memilih untuk membuat blog induk saya dalam bahasa kebangsaan yakni Bahasa Melayu. Kerana saya bangga dapat berbahasa.

Wahai Melayu,
Sesungguhnya engkau lagi bertuah kerana mencapai majoriti hampir 65% terkini dalam banci pecahan kaum dalam negara ini. Maka engkaulah yang akan senantiasa menang dalam apa jua pertandingan pilihanraya kecil maupun besar. Cuma engkau sudah berpecah. Ini yang memeningkan kepala sikit, bukan banyak.

Wahai Melayu,
Sesungguhnya engkau tak boleh bertuah lagi dah kerana sudah menerima Islam sebagai agama turun-menurun sejak zaman Tok Kaduk lagi. Saya selalu tertanya siapa Tok Kaduk tetapi tak apalah. Asalnya engkau semua Islam. Ada juga orang kata Cina lagi Islam zaman sahabat Saad Ibnu Waqas tetapi hakikatnya di sini orang Melayu semuanya Islam dan orang Cina hampir semuanya bukan.

Sesungguhnya kekuatan yang sebenarnya ialah amalan Islam yang berdasarkan ilmu dan sikap yang sebenar. Sesungguhnya Islam itu tinggi dan tiada lagi tinggi darinya.

Sekiranya Melayu itu mempamirkan segala kelebihan dan kecantikan ini secara kekal dan tidak berubah walaupun dilanda arus perdana bersifat duniawi dan syaitani.

Sedihnya Allah mendatangkan seolah macam satu bala kepada kaum Melayu kerana ramai yang sudah mengambil leka terhadap segala kurniaan Allah kepadanya. Saya tidak bimbang tentang kaum Cina saya kerana saya tahu Allah ada satu kaum lain yang lebih diutamakan iaitu kaum yang sudah Muslim. Allah akan lagi hebat menujukan fokusNya samada merupakan ujian maupun bala.

Apa yang diturunkan dari Allah hanya dariNya dan bukan dari makhluk melainkan makhluk itu alat semata-mata. Allah datangkan rezekiNya dari langit iaitu cahaya dan hujan yang merupakan makhlukNya yang taat kepada penentuanNya.

Allah sudah turunkan azab yang besar iaitu dalam bentuk fitnah dan hukuman untuk memperingatkan para kekasihnya atau mereka yang mengaku sujud kepadaNya. Saya percaya kes Altantuya adalah bala kepada sekian orang kerana hilangnya barakah dan rahmat Allah kepada mereka. Saya percaya juga kes Sodomi adalah ujian kepada sekian orang kerana hilangnya barakah kerana tindakannya sendiri sebelum ini. Tiada perkara yang terjadi secara kemalangan melainkan ditakdir dan dirancang Allah jua, dengan Hak dan bukan buat main-main. Segala yang terjadi datang dari arah yang tidak diduga tetapi adalah hasil secara tidak langsung dari tindakan asal tangan dan jantung kita sendiri.

Cuba ingat-ingat balik? Apakah ada dalam pencarian harta dan rezeki engkau selama ini ada termasuk unsur yang haram? Ada tak termakan duit atau hak orang lain? Atau hak dan hasil cukai rakyat? Apakah ada banyak atau sikit? Jika sikit akan rasa sikitnya. Jika banyak akan rasa banyaknya bala dan ujian Allah subhanahu wata'ala.

Saya turut merasakan. Kebelakangan ini saya menghadapi kesulitan kewangan. Biasanya saya cuma berdoa dan membaca Ayat Seribu Dinar akan turunlah sakina kepada saya. Tetapi kali ini saya merasakan seolah saya kehilangan sesuatu. Maka beberapa kali selepas solat berjemaah bersama isteri dan anak-anak, saya telah memberikan sedikit kuliah lebih panjang dari biasa kepada mereka. Saya bertanya kepada mereka, apakah mereka tahu mengapa rezeki kita disekat. Atau apakah ini ujian lebih besar dari biasa dari Allah? Atau apakah ada diantara anak-anak yang mencuri duit bapak? Atau apakah ada diantara anak-anak yang lupa berdoa untuk kedua-dua ibu-bapanya? Atau apakah anak-anak ada melakukan maksiat atau alpa tentang amalan fardhu? Atau apakah ada antara ahli keluarga ini yang tidak berzikir atau memperingati antara satu sama lain terutamanya tentang Allah dan maut yang pasti akan datang?

Tengah-tengah soalan-soalan itu terlintas dalam hati mungkin bukan salah anak dan isteri tetapi salah bapa dan suami. Mungkinkah saya yang lupa? Mungkinkah saya yang tidak melakukan apa yang saya anjurkan?

Maka itu sebabnya pagi ini saya bertafakur menghisab diri dan saya rasa lebih baik saya cari pahala sikit dengan mengamalkan maksud Surah Wal-Asri dengan memberikan nasihat buat kaum kerabat saya.

Sekian sahaja nasihat ikhlas dari saya. Ya Allah, ampunilah dosa saya dan kaum keluarga saya. Amin ya Rabbil Alaamiin.

04 August, 2010

Anwar Ibrahim Masuk Dalam

Kes Sodomi jelas lagi memperjelaskan. Ada satu hala-tuju dalam selok-belok latar-belakang kes ini. Segalanya menunjukkan satu matlamat. Caranya kes ini dan kes seumpamanya hampir sedekad sebelum ini menunjukkan ciri dan corak yang sama. Akhir hasilnya akan sama. Tidak kira apa jua penentangan maupun hujah lawan maupun bukti atau tanpa bukti. Kes ini akan disabit kesalahan yang dikehendaki berdasarkan hujah yang paling mudah yakni pengakuan lisan semata-mata. Tidak perlu bukti lain ditokok-tambahkan. Hatta sehingga saksi utama sendiri menyatakan pengakuannya sudah berubah pendakwaraya masih akan menggunakan pengakuan bersumpah yang telah dilafazkan semasa dalam tahanan walaupun secara perbicaraan membuktikan pengakuan sudah berubah (ini semasa kes Sodomi pertama).

Dalam kes Sodomi ke2 tidak ada lagi pelbagai saksi atau mangsa sodomi yang diperkenakan. Cuma seorang sahaja dan fakta-fakta sekelilingnya sama-sama mencurigakan. Terbukti ia berjumpa dengan musuh no.1 Anwar sebelum semua ini. Ternyata dia cuba dapatkan pengesahan doktor yang tidak mengesahkan. Pengakuannya tidak mandi, cebuk atau berak selama 2 hari cukup menimbulkan tanda-tanya. Terbaru anggota DPP menjalin hubungan luar nikah pun terbongkar dan terhasil dengan pembuangan kekasih terbaru itu. Tak lut semua ini.

Anwar Ibrahim pasti akan masuk penjara. Tidak. Ini bukan ramalan, tetapi perkiraan politik. Anwar tidak boleh dibenarkan bermaharajalela di luar, sini sana mengatur dan memperbaiki dan memperkuatkan Pakatan Rakyat. Tempatnya adalah di dalam penjara kerana sekiranya tersabit apa jua kesalahan dan dipenjarakannya maka tidak dapatlah dia bertanding pilihanraya dan bersuara politik.

Sesiapa yang lain di luar sana tidak mungkin buat masa ini memainkan peranan yang sama seperti beliau untuk menyatu-padukan pembangkang BN. Lihatlah sendiri Pakatan Rakyat. Sesama sendiri ceramuk. Sama PAS pun ceramuk. Sama DAP pun ceramuk. Dalam PKR lagilah, jika tak ceramuk, ramai yang lari dibeli. Hilanglah sebuah negeri.

Apakah rakyat akan bangkit secara majoriti? Jawapan tidak. Lihatlah PRU 11. Apabila Anwar berada di dalam penjara, BN menang paling besar walaupun PMnya Pak Lah. Apabila Anwar keluar, BN kalah paling besar walaupun PM yang sama. Pak Lah dimangsakan sebagai lemah padahal faktornya hanya satu iaitu Anwar.

Maka dengan Anwar masuk dalam selepas ini, PRU13 selamat dipanggil dan BN akan menang kembali 2 pertiganya. Rakyat tidak mungkin bangkit dan bersatu dibawah satu Pakatan Rakyat. Maka apa pilihan lagi untuk rakyat? ISA akan diasah lagi dan lebih kurang 100 lagi akan ditarik kekebasan mereka atas kononnya mengugat keselamatan negara.

Rakyat hilang pilihan tetapi Anwar tetap ada satu sahaja pilihan. Iaitu Anwar perlu mengangkat sumpah, "Wallahi, Wabillahi.. saya tidak sodomi. Laknatlah Allah ke atas saya dan keluarga saya sekiranya palsu saya." Saya sudah dengar hujah Anwar dan kawan-kawan lain mengenai sebab dan nasihat ulama tentang tidak boleh mengangkat sumpah dalam soal ini. Saya bersetuju dengan hujah tersebut. Tetapi ada juga ulama lain iaitu Dr. Asri, Mufti Perlis masa itu berkomen mengenai perkara yang sama dan beliau menasihati patut dilafazkan sumpah jawapan oleh Anwar. Dalam perkara ini saya terpaksa bersetuju dengan Dr. Asri. Hujah saya adalah yang di atas. Sekiranya tidak, arus mematikan Anwar akan berterusan tanpa batasan. Menjunjung Al-Quran dan melafazkan sumpah tersebut serta dirakamkan raut wajahnya semasa sumpah tersebut mungkin tindakan terakhir yang boleh membalikkan hati-nurani rakyat yang masih atas pagar mengenainya.

Mungkin Allah SWT menginginkan kaedah penyelesaiannya sedemikian? Atau tunggu sahaja di akhirat dimana hanya satu Raja segala Raja? Bagaimana tentang dunia ini? Serahkan sahaja kepada mereka yang amat cinta terhadapnya. Anwar pasti masuk penjara.

(Saya baru tonton semula ucapan Dr Asri, rupa-rupanya junjung Al-Quran (semasa bersumpah) itu tidak perlu. Maka disini saya turunkan ralatnya)

02 August, 2010

Berdepan Dengan ISA di Amcorp Mall


Semalam saya bersama dengan sahabat amat lama, Hayatul Kamil, membawa lilin dan semarak bersama untuk membantah 50 tahun I.S.A (Internal Security Act - Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang membenarkan orang politik yang kebetulan memerintah kita untuk menahan musuh politiknya tanpa bicara supaya mereka boleh terus memerintah tanpa disoal.

Sudah lama tidak bersama tunjuk perasaan sedemikian agak kaku tetapi setelah melihat wajah-wajah sahabat lama yang lain seperti Haris (kawan sekolah VI dulu) yang mengasaskan People's Parliament, Dr Kua Kia Soong, Dr. Nasir Hashim dan orang kanannya Selvam, Aidil Akhbar, member lama dari MicroMart Medan Mara 1990an, dan ramai lagi, cukup rasa nostalgia.

29 orang termasuk 8 wanita ditahan oleh polis secara berperingkat sebagai taktik untuk melemahkan semangat mereka yang hadhir. Saya perhati ia menggunakan hukum pertama dalam kitab Sun Tze's Art of War. Mula-mula mereka tangkap terus dan buat macam kasar terhadap ketua GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) Syed Ibrahim dan beberapa pemimpin malam anti-ISA itu. Lepas itu polis akan memberi amaran lagi supaya kambing bebiri yang ada itu lumpuh dan bersurai. Tetapi yang aneh, dan seperti dalam saf sembahyang orang Muslim, ada yang melangkah ke depan mengambil tempatnya. Ini yang ditakuti oleh musuh perang mengikut Sun Tze dan harus dikasari lagi supaya mesej itu sampai kepada lawan.

Maka ditangkap lagi saf depan lagi dan sekali lagi orang lain tampil ke hadapan untuk ditangkap. Agak lama taktik kami berkumpul semula secara spontan dalam kawasan Amcorp Mall untuk berbincang pemimpin dan tindakan seterusnya. Sampai satu tahap saya sangka sayalah giliran seterusnya. Akhirnya yang tertinggal iaitu lebih kurang 40 orang daripada kami duduk atas lantai dan berbincang dan lepas itu membuang undi apakah terus ditangkap atau jalan secara berpecah ke Balai PJ untuk berhimpun semula di sana dengan lilin untuk tunjuk sokongan moral kepada mereka yang ditahan (setakat 16 lelaki dan 8 wanita masa itu). Sampai di Balai baru saya teringat untuk mengeluarkan telefon bimbit dan mula merakamkan gambar-gambar di sini.

Tiga gadis di sini cukup mengkagumkan saya kerana trak-trak polis sudah habis kepong kami dan mereka yang lain telah dihalau dari depan balai dan ditangkap lagi 5 orang. Kami berempat ini tidak berganjak dan tertanya agak bila pula giliran kami. Namun kami tidak ditahan agaknya kerana kita hanya berjumlah 4 orang dan bukan berpuluh lebih yang dikejar, yakni melebihi had Akta Polis yang tidak membenarkan lebih dari 4 orang berkumpul.

Saya bertanya kepada gadis yang duduk ditengah. "Apa yang menyebabkan anda cukup berani berdepan dengan semua ini?". Jawapannya, "Kerana apa yang mereka lakukan kepada kami membuat saya tidak takut lagi".

Berbeza dengan pengalaman saya dalam tahun 1990an dalam PAS, kali ini mereka yang berani keluar atas isu penting adalah pemuda bandar berbangsa saya. Saya bertanya latar belakang mereka dan ada yang dari kolej tahun pertama dan tak pernah melakukan ini sebelum ini.

Semoga semangat ini berterusan untuk membina negara yang lebih khabar dari indah. Negara yang benar-benar mengikuti undang-undang dan memberi hak bicara kepada yang ditahan akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk kembali kepada Malaysia. Lagipun akta sedemikian adalah haram dari segi Islam.

Ada peristiwa yang agak menyayat hati apabila Muslimah dalam video ini cuba ditahan dan anak-anak yang berpaut pada bajunya menangis kuat sehingga orang lain mengambil tempat ibu mereka untuk ditahan.