03 January, 2009

Mengajar Mat Salleh Sembahyang

Satu hari pada tahun 1980an, semasa saya menjadi sukarelawan dakwah, saya ada mengajar seorang Mat Salleh baru masuk Islam untuk bersembahyang. Dia mengaku tidak pernah dan tidak tahu cara sembahyang dan saya terus ajaknya ikut sahaja apa saya buat dan janganlah ragu-ragu.

Apabila saya bertakbir, dia yang berdiri sejengkal ditepi kanan dan belakang saya pun berbuat demikian. Selepas membaca beberapa ayat, saya pun rasa gatal pada muka saya lalu mengangkat tangan untuk mengarunya. Sahabat dan pelajar baru saya tersebut pun melihat saya mengangkat tangan kanan saya lalu dia pun mengangkat tangan kanannya. Hampir sama cara dan tempat tangannya berada ke muka dengan apa yang saya tengah ingin buat.

Saya pun terberhenti tangan saya dan dia pun turut sama-sama berhenti. Saya cepat-cepat kembali ke tempat biasa. Dia pun berbuat demikian. Rupa-rupanya itu sahaja yang dia lakukan. Pandang sahaja apa yang saya lakukan dan ikut sahaja tanpa berfikir. Memanglah. Kan itu yang saya suruh dia buat.

Selepas sembahyang saya pun bagi tahu dia apa yang dia boleh ikut dan apa yang dia tidak patut ikut saya buat.

Jika tidak silap saya nama muslimnya Anuar dan dia seorang usahawan kecil yang masa itu dia dan isterinya sibuk perniagaan kecil membawa minyak pelincir motor. Dia semasa di Barat dahulu kerja sederhana tetapi kaya sehingga mempunyai motor besar dan motorbot sendiri. Semua itu dia jual dan berhijrah ke sini apabila berkenalan dengan isterinya orang kita di sini.

Kerana agak lama masa sudah berlalu semenjak mengenali dia, saya sudah terputus hubungan dan tidak tahu dimana dia berada sekarang atau bagaimana keadaannya menyesuaikan diri dengan cuaca dan budaya tempatan.

No comments: