19 May, 2008

Tidak Ingat Ini Hari Vesak

Seperti biasa bangun awal-awal, solat tahajud 5.20 pagi dan mengetuk PC bimbit kerana banyak kerja tertunggak dari http://www.adempiere.org/ yang perlu edit dokumen terbaru dari Mario Calderon, El Salvador yang merupakan seorang bekas pakar SAP yang berbini Jerman, boleh 3 bahasa.
6 pagi waktu nak solat berjemaah dengan anak-anak, Liyana pun bagi tahu saya hari ini cuti kerana Hari Vesak. Selepas solat saya pun bertanya kat anak-anak,

"Vesak itu untuk Buddha kan? Baik saya cerita sikit tentang Buddha ini.

Buddha yang saya ingat bukanlah nama sebenarnya tetapi gelaran atas kejayaan seorang Putera kerajaan India zaman dekat 2 ribu tahun dahulu iaitu 500 sebelum masihi. Namanya adalah Siddharta Gautama dan dia dilindungi ayahnya, Raja masa itu supaya Siddharta tak dapat lihat atau berjumpa apa-apa orang tua, sakit atau cacat.

Maka semua orang dalam kawasan istana adalah sihat-sihat, muda-muda dan cantik-cantik. "

Saya pun menuding kat peti TV sebelah kita dan berkata yang itulah apa yang disajikan dalam TV hari ini, dan iklan semua tempat dengan wajah dan gaya hidup senang-lenang supaya kita tidak sedar tentang hakikat pendeknya umur dan pertemuan dengan Allah. Saya pun bersambung cerita,

"Maka apabila Siddharta satu hari terlepas keluar dia terkejut besar sehingga tidak henti tanya-tanya tentang kenapa begitu keadaannya di luar. Dia pun sedar itulah realiti dan bertekad mencari jawapannya lalu meninggalkan istana, keluarga dan bakal tahtanya dan tidak kembali selepas itu sehinggalah dia mencapai Nirvana dan digelar Buddha".

Naquib menyampuk yang Buddha itu Cina. Saya jawab balik,

"Bukannn. Dia itu asalnya India. Tetapi penemuan dan ajarannya mempengaruhi sangat sehingga menjadi agama rasmi Korea, Jepun, Thailand dan sebahagian besar China. Tetapi tidak di negaranya sendiri iaitu India. Ini kerana Buddha itu asalnya dari Hindu. Kan India dah Hindu? Maka mereka kekallah dalam kehinduannya."

Saya pun terangkan yang mungkin dia salah satu nabi kerana terdapat 124,000 nabi dan ada ayat dalam Al-Quran yang setiap zaman dan setiap kaum akan dihantar seorang yang memberi amaran.

Ameera anak sulong saya pun bertanya,

"Jadi Buddha itu muslim ke?"

Soalan dari Ameera ini kadangkala membuat saya terhenti berfikir dan hampir-hampir tidak terjawab kerana tidak terfikir akan muncul bentuk soalan sedemikian. Pernah semasa Ameera berumur tadika lagi apabila saya mulakan siri kuliah saya mengenai tauhid dia pernah tertanya,

"Siapa jadikan rumput?"

Mengapa dia tidak tanya soalan canggih sikit seperti 'Siapa jadikan kapal terbang, kereta, aircond, internet?'

Saya pun cuba menjawab yang sekiranya apa yang Buddha ajar itu adalah menjurus kepada ilmu, tauhid dan akhlak mulia serta tidak menyekutukan Allah maka boleh dianggap muslim dan juga kerana tiada nabi lain yang menyeru selain darinya waktu zamannya.

Oklah, cukuplah ketagihan sekejap memblog ini. Dokumen yang berjela ini tiada orang nak edit. Juga duk tunggu-tunggu surat dan tiket dari kerajaan Nigeria yang akan sepatutnya singgah ke Berlin 27th Mei ini untuk bersama kontinjen Jerman dalam Expo LinuxTag. Ikut hati tidak berapa yakin mahu berjalan kerana pihak Nigeria tu terlalu lambat maklumbalas dan tarikh sudah dekat. Sudah solat istikharah. Tawakal kepada Allah yang sebaik-baik pengurus.
(gambar menunjukkan majlis sambutan pemusnahan patung buddha terbesar di Afghanistan oleh puak Taliban. Menjadi kontroversi besar kerana selama ini tidak disentuh patung-patung raksaksa tersebut. Turut diingatkan juga yang ikut kajian, Buddha pernah menegur pengikutnya jangan membuat patung dan menyembahnya).

No comments: