Ahmad Shabery Cheek kini lebih matang dan masyur selepas berdebat dengan Anwar. Tak usah kira yang dia menghampakan saya dari segi beliau berdebat. Jelas kalah kepada Anwar yang lebih tenang dan bersedia sebagai tokoh debat. Tetapi selepas ini ahli Kabinet junior ini akan dapat markah yang amat tinggi dari Kerajaan kerana merupakan tokoh pertama yang sanggup berdepan dengan Anwar secara langsung di khalayak jutaan penonton.
Md Shabery jelas menggunakan skrip yang disusun dari awal lagi. Dan jelas Anwar bersedia menghadapi skrip tersebut dari awal lagi. Iaitu jangan sentuh taktik pakai wang Petronas, tetapi beri fakta konkrit kira-kiranya yang menggunakan sumber pembekalan letrik. Ini taktik amat bijak yang menjangkakan pertahanan yang akan digunakan oleh Md Shabery. Anwar menangguhkan pusingan pertamanya dengan menyelesaikan soal turun 30 sen dan meninggalkan 20 sen lagi supaya dapat memperhatikan taktik serangan Md Shabery sebelum meyambung.
Dengan meninggalkan 20 sen itu sebagai helah pintu tangga keluar sekiranya perlu memakainya, yakni jika Md Shabery menyerang dengan angka-angka sendiri dari kerajaan. Tetapi jelas kawan saya yang berjawatan Menteri Penerangan ini tidak membaca taktik tersebut dan terus membaca skrip yang disediakan itu. Anwar nampak kesilapan itu dan menggunakannya untuk tumbukan simpanan kelak.
Tetapi Md Shabery melakukan kesilapan pada hujah awalnya yang cukup taktikal membunuh diri. Beliau melakukan hujah terbaik iaitu tentang corak perjuangan Anwar yang suka menentang dengan menyebut bagaimana Anwar menentang Tun Abdul Razak yang mengasaskan Petronas pada zaman 1974.
Saya kira itu peluru terbaik tetapi dengan mengeluarkannya pada awal debat dan bukan sebagai pemukul terkakhir yang tidak terbalas nanti, adalah memberi peluru kosong kembali kepada Anwar yang jauh lebih handal dalam soal perdebatan.
Anwar bukan sahaja tepis tetapi mengambil taktik pindah dari medan perangkap lawan dengan menyatakan bahawa beliau tidak akan melakukan taktik kotor menghentam peribadi dan akan fokus kepada isu turun harga minyak. Sekali gus Anwar menyelesaikan peluru hidup itu jadi mati, malah dapat peluru balas percuma dengan liciknya menyebut, "Saya tidak akan menyentuh yang anda dulu Semangat 46". Yalah, tak nak sentuh tetapi tersentuh juga. Itulah katanya taktik peluru balas free dan mematikan peluru lawan.
Md Shabery cuba sedaya upaya untuk mengaitkan peribadi Anwar sebagai tidak berwibawa, dan ada antara hujahnya amat baik dan tepat. Tetapi dengan teknik berdebat dimana kita tidak dapat menawan hujah secara karisma dan menarik hati penonton, maka Md Shabery sebenarnya lebih bersyarah daripada berdebat.
Anwar dapat dengan tenang mengfokus kepada isu dan menepis serangan lawan secara terkawal dan mengikut peluang alunan hujah. Md Shabery jelas tidak berdaya sedemikian sehingga tersekat suaranya sekurang-kurangnya pada tiga tempat yang saya dapat kira. Saya pun geling kepala mengakui Md Shabery ini sudah kalah.
Saya percaya Md Shabery tidak akan mahu mengulangi malam tadi atau berdepan sekali lagi dengan Anwar. Dulu saya pernah bagi tahu kat kawan-kawan yang sesiapa pun jangan beri mikrofon kepada Anwar. Tidak akan normal kembali iklim politik negara. Anwar boleh baca bahawa kebanyakan yang menentangnya adalah dari soal peribadi dan fitnah terhadapnya. Beliau mencari jalan mencerminkan karisma yang tertumpu kepada soal hati perut rakyat yang cukup sengsara waktu ini.
Hari ini, Anwar bersedia untuk ke balai polis. Beliau kini akan mendapat tumpuan terbesar dalam dan luar negara. Kekecohan beliau dari minggu lepas disebabkan kes tuduhan sodomi kian terkawal dengan kejayaan debat malam tadi. Tindakan kerajaan BN beberapa hari ini pula yang kecoh. Melakukan sekatan jalanraya oleh polis dan menghalang orang ramai termasuk Anwar dari mendekati Parlimen sejauh 5 km menampakkan kebimbangan terserius kerajaan BN.
Keadaan nampaknya 50 50. Apa-apa pun boleh berlaku. Selepas ini Anwar akan istihar bertanding salah satu kerusi parlimen. Beliau perlu pilih kerusi yang tidak berapa selamat untuk menaikkan suhu politik dan peluang mendapatkan keuntungan terbesar. Dengan mengubah undi majoriti kepada yang lebih majoriti akan betul-betul meletakkan pentadbiran Pak Lah pada tahap yang paling lemah.
Pakatan Rakyat juga perlu lebih praktikal dalam taktiknya untuk mengambil alih kerajaan. Cuba melakukan undi tidak percaya tidak berapa kena di Malaysia. Kotak undi adalah pilihan yang lebih realistik buat masa ini. Tetapi Anwar perlu mematikan hantu yang mengikutinya selama ini. Kes sodomi mesti diselesaikan olehnya dengan keputusan muktamad buat selama-lamanya. Beliau mesti sanggup menjunjung Al-Quran di depan beberapa mufti. Mata markahnya bertambah malam ini. Harus ditambah tanpa henti selepas ini.
Sekurang-kurangnya debat ini bukan sahaja menguntungkan kedua-dua pihak. Ia juga mengorak langkah dan budaya terbaru politik tanahair. Nampaknya politik jalanan boleh ditepikan selepas ini. Polis pun kurang perlu risau. Tak perlu cota dan air pedih lawan sorakan. Biar hujah lawan hujah, undi lawan undi.