07 March, 2009

Unsur Syirik kalangan Melayu

Hari pertama saya memeluk Islam pada tanggal 12, 1980 TM juga merupakan hari pertama saya mula mempelajari Islam secara bebas dan sah. Saya diberitahu bahawa saya sudah menjadi satu kain putih seolah baru lahir. Segala ilmu dan pengetahuan saya sebelum itu hendaklah dicuci semula sekiranya kotor.

Fahaman seperti bahawa manusia itu hatta Anbiya wa Mursalin itu berkuasa, malah tiada kuasa secebis pun apa jua makhluk dalam alam luas ini yang semuanya dijadikan oleh Allah SWT. Hakikat ini merupakan cahaya murni dalam sanubari saya yang baru saya tersedar sudah ada selama ini pada saat kejadian saya olehNya.

Dengan kehendakNya yang Maha terpuji saya dilahirkan sebagai seorang hambaNya yang berkulit bangsa Cina Hokkien dan dengan lidah bahasa ibunda Kantonis dan ayahanda Hokkien. Kemudiannya saya disekolahkan dalam aliran Inggeris, satu lagi lidah yang termasyur dan terumum dari Ayat tanda kebesaran Allah SWT.

Maka dengan melalui kehidupan pada zaman ini Allah pernampakkan kepada hamba dia ni jalan yang lurus dimana yang terkeluar darinya ialah perkara bendanya iaitu yang pertama, fahaman, percakapan dan prilaku syirik. Itu yang paling tidak dimaafkan. Zina dan bunuh boleh dimaafkan. Syirik tidak sekali-kali.

Namun saya mula memeriksa apakah perkara yang boleh mengeluarkan seseorang itu dari Islam dan kedalam syirik dan saya terkejut dan insaf serta sedih bahawa banyak dari amalan dan percakapan kaum seagama saya iaitu umat Melayu yang memang sedemikian. Bukan sahaja dari segi kepercayaan kepada bomoh, tangkal, kuasa manusia, tangan manusia memberi rezeki tetapi juga dari segi cara kita bercakap dan berdoa - terputus dari menyembah Allah dan tidak lagi mengagungkanNya. Samada halus atau tidak ia tetap kasar dan jelas. Apabila kita mengatakan bahawa Allah itu jauh dan 'tidak ada rezeki'. Begitu juga apabila kita berkata, "nanti syoru miss", kita sebenarnya menjatuhkan martabat kekhalifahan yang Allah SWT memberi kepada kita dan mengelurkan diri dari perlindungan yang Islam telah meletakkan kita di dalamnya.

Fahaman anismistik peninggalan dari seni kuno sebelum Parameswara masuk Islam masih terbawa-bawa dan dengan pegangan taklik buta dan jahil kita masih tidak mahu meninggalkannya.

Adat menyembah raja dengan panggilan yang menyamai cara kita memanggil Allah adalah sesuatu yang cukup menakutkan saya kerana terdapat undang-undang negara yang melarang kita menghina raja dan boleh dijatuhkan hukuman Akta Hasutan. Padahal kita di sini hanya ingin menyatakan yang benar tanpa mendekati istana. Itu sebabnya saya tertarik dengan banyak tulisan Imam-imam muktabar sebelum ini yang antara lain (Imam Muhammad al-Ghazali) yang melarang ulama mendekati istana. Menerima pinggat apatah lagi.

Ini sudah akhir zaman. Ada hadis yang menasihati duduk lagi jauh dari bandar lagi baik. Hatta sampai dalam hutan rimba dan makan kulit kayu pokok lebih baik dari hidup mewah dengan gelaran padahal hina disisi Allah SWT.

KepadaNya saya merayu dan saya bersedia kembali. Itulah sebaik-baik akhir - husnul-khatimah.  Apa jua yang Dia kurniakan kepada hamba ini yang adalah cukup mewah dan agung sehingga tidak terlayak rasanya.

Dengan perkembangan politik tanah air mutakhir ini saya bimbang Melayu akan hilang selama-lamanya. Ada Melayu yang sudah lupa diri dan berlaku zalim. Tidak kira dari fahaman politik atau mazhab manapun. Kerana secebis tanah dan secebis habuan sanggup jual kawan dan perjuangan. Mempergunakan nama kebaikan, anti rasuah, istana dan raja untuk melakukan segala kezaliman dan ketidak-adilan. Dengan Allah kita semua berlindung dari semua ini. Bagi mereka adalah akhir yang tidak baik langsung. Bukan hambo roiyak, tetapi Tuheh roiyak.

02 March, 2009

Ceramah di Seremban mengenai Iblis

Sabtu lepas saya berada di Bangunan Mara, Seremban untuk menggendalikan satu kursus 'Negotiation Skills' bagi usahawan tempatan. Saya ingin berkongsi beberapa persoalan menarik dari kursus tersebut. Hari ini saya ingin bicarakan satu topik. Lain hari saya akan bersambung topik lain dari kursus tersebut.

Saya ada menanyakan kepada perserta kursus, siapa yang lebih berkuasa - Syaitan atau Manusia. Yang mengejutkan saya ialah ada yang menyangkakan Syaitan lebih berkuasa. Saya pun mengingatkan hadirin kursus kembali kepada nas yang sahih mengenai Syaitan. Saya pun tanya mereka,
"Siapa yang jadikan Syaitan?" Mereka pun dapat jawab dengan betul, iaitu 'Allah!".
"Siapa yang lebih berkuasa?" Sekali lagi jawapannya tegas "Allah Yang Maha Berkuasa!".
"Apakah Syaitan lebih berkuasa dari manusia?" Di sini agak samar-samar jawapan mereka.

Saya pun ingatkan kembali kepada sejarah kejadian jinn, iblis syaitan dan manusia itu sendiri. Sesungguhnya Allah lebih awal mencipta makluk malaikat dan jinn halus ini, tetapi kemudiannya mencipta pula Adam dan manusia kita ini sebagai satu jenis Khalifah yang diletak paling tinggi, malah lebih tinggi dari jinn dan malaikat.

Buktinya ialah Allah menyuruh malaikat dan jinn supaya sujud kepada Nabi Adam a.s. Pada mulanya mereka enggan kerana dengan pengetahuan mereka yang sudah luas mereka tahu bahawa keturunan Adam ini akan membawa kerosakan ke atas muka bumi dan melupakan Allah. Padahal makhluk halus ini tidak. Allah pun menjawab kembali, "Aku tahu apa yang kamu tidak mengetahui".

Dengan mengajar Adam mengenai nama-nama sekalian alam, jinn malaikat pun tidak tahu, akhirnya mereka sujud melainkan Iblis. Namun begitu Iblis itu tidak pula berkuasa dan terpaksa meminta izin dari Allah untuk menyesatkan manusia. Dan Allah pula tidak benarkan melainkan dengan syarat. Saya pun suruh peserta periksa balik Al-Quran nanti bila balik dari kursus kerana saya sendiri pun kurang pasti apa syarat itu. Tetapi saya pasti ialah memang ada syarat dan pada asasnya Allah yang berkuasa dan menentukan segalanya. Pastinya bukan Iblis secebis pun.

Dengan itu, kemudiannya Iblis itu ingin menyesatkan manusia tidak dapat membuat demikian kerana memang ia tidak berkuasa atas manusia dan ia lebih rendah dari manusia. Iblis hanya boleh berbisik sahaja, dan terpulang pada manusia itu untuk mempercayai bahawa Iblis itu lebih berkuasa dan mampu menolongnya.

Nasihat saya kepada peserta ialah Iblis ini main psikologi sahaja. Ia akan samada cuba menarik nafsu kita atau menakutkan kita. Jika kita tidak berganjak ia tidak boleh berbuat apa-apa. Tetapi ada nasihat Allah tentang lawan godaan Iblis yang cukup licik.  Saya pun bertanya kat peserta apakah ayat Allah untuk menghalau Iblis. 

Ayatul Kursi itu siapa yang bagi tahu? Iblis juga! Mengapa Iblis tidak terbakar dengan menyebut ayat tersebut? Saya pun beritahu rahsianya ialah bahawa bukan Ayat yang berkuasa, tetapi manusia yang membaca itulah yang berkuasa. Maknanya ada rahsia dalam anak Adam ini yang Allah sudah letakkan. Ayatul Kursi ini tidak ada apa-apa melainkan makna di dalamnya. Sila baca dan faham maksud ayat tersebut.

Rahsia lawan Iblis ialah berpaling darinya, jangan layan atau pedulinya, dan hanya mengambil perlindungan dengan Allah semata-mata kerana Dia lah yang sebenar-benarnya Maha Berkuasa dan tidak ada yang boleh atau ada kuasa selain dariNya. Jangan cuba lawan apa yang tidak ada kuasa. Itu adalah terkena tipu helah Iblis syaitan dan secara tidak langsung memberi pengiktirafan yang tidak layak baginya.

Kembalilah kepada menyedari bahawa anda adalah khalifah dan adalah berkuasa dengan kuasa Allah yang menghendaki anda memiliki Amanah Nya.

Walahu Aklam

- catatan peringatan topik seterusnya:
1. Macamana kita tahu yang mana satu syaitan?
2. Salahguna perkataan 'InsyaAllah'
3. Salahguna menyatakan niat ikhlas

20 February, 2009

Kelarisan Seks

Mengapa soal seks menjadi perkara paling laris dalam alam ini? Pepatah Inggeris kata "Sex Sells". Dalam iklan tarikan seksual digunakan. Jika untuk menarik lelaki, gambar wajah perempuan dengan gaya yang ada pesanan tersirat secara seksual digunakan. Jika iklan itu ada muka saya atau projek saya, ia tidak akan laku.

Untuk menarik wanita, juga ada soal romantis digunakan. Mesej kepada wanita ialah, "Anda menarik kepada lelaki. Anda seksi". Sehingga wanita dalam Islam pun akan gunakan aurat lain seperti suara dan gaya atau fesyen untuk menarik lelaki. Hatta yang memakai jilbab pun masih menunjukkan sepasang mata yang kepada saya lebih merbahaya dalam keadaan tertentu. Ada sebuah hadis menyatakan bahawa mata wanita itu adalah anak panah dari neraka. Tak dengar pula sedemikian sama mengenai bahagian tubuh lain.

Dalam kes Eli Wong baru-baru ini, soal beliau berada dalam keadaan bogel menjadi isu sehingga mengemparkan dan mampu mengugat sebuah kerajaan negeri sekiranya parti komponennya bergaduh tentang soal garisan moral dan prinsip yang berbeda dan berbeza.

Seperti yang saya tulis sebelum ini soal seks adalah soal fitrah dan ciptaan Allah yang tiada apa makna misteri atau menarik selebih itu. Seks adalah satu keperluan fitrah manusia. Bogel adalah keadaan fitrah kejadian manusia. Syaitan sahaja yang sibuk menggunakannya kerana kita jua masih jahil tentang naluri seks manusia yang fitrah.

Dalam fitrah manusia, hendaklah apabila sampai akil baligh dikahwinkan pasangan lelaki dan perempuan. Jika tidak akan berlaku gejala sosial dan penyelewengan seks. Dulu-dulu orang kahwin semuda umur 9 pun ada dalam kes Siti Aishah (RA) kepada Nabi Muhammad (SAW). Lelaki pula apabila 15. Pernah semasa saya di Semabok Melaka, seorang kawan lelaki sekolah berikan kami kad kahwin dimana dia hanya berumur 18. Saya berkahwin pula semasa umur 28. Rugi, rugi. Apa nak buat.. calon tinggi sikit tak jumpa.

Hari ini orang sampai umur 37 pun belum kahwin. Tak sihat dan tak baik. Jika payah cari jodoh lelaki umur 37 ke atas yang sesuai ada suami 45 ke atas yang sesuai. Islam benarkan asal berkahwin dan diberi penghormatan dan perlindungan  zahir wa bathin, dunia wa akhirat.

Wallahuaklam!

07 February, 2009

Kelas Inggeris - Artikel XVI

Daripada tak faham sudah jadi faham pulak undang-undang. Tetapi perlulah ada sedikit ilmu bahasa inggeris. Perhatikan rangkap berikut: 

Perak State Constitution: Artikel XVI(6): “If the Mentri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council”.

Compare with the Federal Constitution:

Federal Constitution: Article 43 (4): “If the Prime Minister ceases to command the confidence of the majority of the members of the House of Representatives, then, unless at his request the Yang di-Pertuan Agong dissolves Parliament, the Prime Minister shall tender the resignation of the Cabinet.”

Ramai yang cuba menafsir benda yang sampingan iaitu satu menyebut Dewan Undangan dan satu lagi menyebut Ahli-ahli Dewan. Kedua-dua benda itu tidak menjurus kepada soalan yang saya menafsir secara berikut.

Menurut kedua-dua rangkap tersebut ada satu subject iaitu MB atau PM yang memegang teraju kerajaan. Ia menyebut "Apabila Mentri Besar..." atau "Apabila Perdana Menteri..". Dengan itu, tindakan atau kandungan artikel adalah merujuk kepada si-penama dan bukan Sultan atau YDPA. Ingat, MB not Sultan should act - MB yang disuruh bertindak.

Dalam artikel tersebut disebut keadaan, yakni sudah jelas apa keadaan itu, "gagal memperolehi kepercayaan majoriti Dewan/Ahli2 Dewan". Sepertimana saya sebutkan Dewan atau Ahli2 tidak timbul kerana mereka bukan subjek tetapi sebahagian dari keadaan. Pokoknya hilang kepercayaan majoriti.

Seterusnya artikel mengarahkan subjek yakni MB supaya melakukan dua perkara sahaja:

1) Bubarkan Dewan (atas permintaan MB, Sultan membubarkan)

ATAU

2) Letak jawatan

Hanya perkara (1) yang menjadi isu. MB berkenaan telah menjalankan arahan artikel sebiji ayat tersebut. Yang menentukan pembubaran tidak disebut Sultan malah dengan jelas menyebut:

atas permintaan MB (at 'his' request), 

barulah Sultan membubarkan (the Sultan dissolves). Maka Sultan tidak ada kuasa eksekutif melainkan sebagai tindakan 'adat' - 'ceremonial'.

Tiada ayat terselit, tersurat, tersirat yang mengatakan "Sultan has the option, or can delay, or can withhold, or can differ, or can direct". Elek.

Sekian kelas bahasa inggeris bagi maksud memperjelaskan ini bagi tujuan penyaksian sesiapa yang berkenan.

Melayu Ingin Berhijrah

Semalam seorang kawan telefon saya melahirkan kesedihannya dengan apa yang berlaku kepada kerajaan yang sah di Perak lalu terus ingin berhijrah dari sini ke negara lain. Dia yang tahu tentang projek ADempiere say pun berkata, kini dia faham mengapa falsafah saya tentang tidak lagi bergantung kepada majikan dan sempadan tetapi bebas sepertimana Allah mengurniakan fitrah itu amat penting.

Ini lagi satu reaksi dari sahabat berbangsa Melayu bumipura yang saya tidak duga. Saya sangka suku-sakat saya sahaja yang tidak puas hati dan ingin berhijrah ke negara lain. Seperti 2 pakcik saya telah berhijrah ke Australia dalam tahun 1980a semasa krisis ekonomi waktu itu.

Allah memberi keluasan alam ini kepada insan supaya apabila merasakan kezaliman semasa supaya untuk keluar dari bumi yang dia pijak untuk memijak ke bumi lain. Yang saya hairan sikit ialah langit mana kawan itu akan junjung (mengingati pesanan Yin/Yan).

Saya telah mengatakan itulah penyelesaian juga bagi rakyat Palestin apabila keadaan menjadi terlalu teruk, apakah fahaman nasionalisma akan dianuti sehingga tiang lahat?

Di bumi dalam sejarah, umat kita pun pernah tidak menjunjung titah raja demi kebenaran. Dato Bendahara  yang diperintah Baginda Sultan Melaka pernah durhaka dengan perintah hukum bunuh Hang Tuah dan menyembunyikannya di bumi lain yang tidak diketahui. Jika tidak kerana tindakan memberontak Hang Jebat, sehingga kini kita tidak tahu Hang Tuah itu seorang pembesar yang disanjung raja. Mungkin hilang begitu sahaja dalam sejarah sebagai pendurhaka.

Dalam tahun krisis perlembagaan 1983 dan 1993, seluruh jentera media masa dan cerdik pandai Melayu menyerlah kesultanan lalu filem Hang Jebat dan apa-apa fakta yang membongkar kezaliman raja dulu dan kini dibongkarkan untuk tantapan khalayak ramai. Begitulah Melayu mudah lupa. Matlamat menghalalkan cara kita melayani budaya dan sejarah kita tanpa perhitungan yang saksama dan sebenar.

Dengan itu lebih afdal kembali kepada perhitungan Islam. Kita semua akan dikembalikan:
"Dan Kami telah menurunkan kepada engkau kitab yang benar, mengesahkan apa yang sebelumnya dan meletakkan pemelihara ke atasnya, maka hukumlah antara mereka dengan apa Allah turunkan, dan jangan sekali-kali ikut nafsu rendah (untuk berpaling) dari kebenaran yang sudah datang kepada engkau; untuk setiap dari engkau Kami meletakkan satu Hukum Perundangan dan satu kaedah, dan sekiranya Allah inginkan nescaya Dia akan menjadikan engkau (kesemuanya) satu kaum, tetapi supaya Dia dapat menguji dengan apa yang Dia berikan, maka usahalah dengan satu sama lain menggejar kepada amalan salih; kepada Allah adalah pemulangan engkau, untuk semua, supaya Dia akan memberitahu engkau apa yang engkau berbeza pendapat/pendirian. - Al-Maidah Ayat 48

06 February, 2009

Raja Yang Zalim

Sekali saya saya ingin mohon maaf kerana saya bukan berbangsa Melayu yang benar-benar memahami budaya Melayu. Dalam penulisan saya, pernah merujuk kepada banyak perkara dalam budaya orang Melayu yang saya anggap kurang sesuai dengan jiwa Islam saya, seperti asyik meminta maaf zahir batin waktu Aidil Fitri tetapi tidak mahu mengaku dia melakukan kesilapan terhadap saya terlebih dahulu.

Begitu juga dengan soal makhluk Allah yang diberi amanah sebagai raja. Yang saya tahu, gelaran itu dibenarkan oleh Islam dengan syarat yang amat ketat. Sehingga 3 jenis orang yang bakal menduduki neraka jahannam nanti adalah (1) Orang kaya yang kedekut (2) Ulama yang sombong (3) Raja yang zalim

Pernah saya berada di Pulau Bintan menghadiri satu majlis oleh Timbalan Gabenor Huzrin Hud masa itu pada tahun awal 2000an dimana beliau banyak berpantun enak dan memberitahu hadirin tentang cara menyembah Raja di Nusantara yang berbilang 120 lebih Sultan dan Raja kesemuanya.

Beliau bagi tahu kami dalam pantun jua, apabila Raja menjadi zalim, ada cara untuk membuangnya oleh pembesar istana. Satu cara ialah dengan memasukkan racun ke dalam makanannya. Kepada saya itu agak serius.

Kepada orang Cina, mereka cukup menyembah Maharaja dalam sejarah mereka. Itu sebab British dan Komunis membuang Maharaja Cina sebelum dapat mengkotak-katikkan rakyatnya. Tetapi sebab utama jatuhnya adalah Maharaja tersebut sudah terputus hubungan baik dengan rakyat kerana menduduki terlindung dalam kota larangan yang rakyat tidak boleh mendekatinya. Maka akhirnya rakyat Cina tidak dapat membangkit mempertahankannya.

Sistem berRaja amat bergantung kepada semangat dan sokongan rakyat jelata. Sekiranya rakyat membenci dan tidak lagi mendoakan raja, maka dia tidak mendapat berkat dunia apatah lagi akhirat.

Dalam solat berjemaah pun saya belajar yang salah satu ciri Imam adalah ia mesti popular dikalangan makmum. Pelik juga rukun itu tetapi saya rasa ada makna yang baik.

Dalam kes Negeri Perak baru-baru ini, sistem berlembagaan sepatutnya meletakkan hak kepada Dewan Negeri dengan lebih kuasa berbanding sistem Raja mutlak yakni kesultanan rata-rata di Malaysia sudah tidak lagi mutlak tetapi berpelembagaan di mana Raja adalah bersifat adat atau ceremonial dan tidak sebenarnya mempunyai kuasa langsung. Ini adalah sistem yang dikenalpasti tetapi hari ini semua itu disapu tepi.

Saya mengikuti banyak komentar dalam blog dan media alternatif. Ada yang menganggap tindakan BN itu sah kerana membalas cubaan DSAI sebelum ini untuk mendapat katak-katak dari BN sebelum ini termasuk dari Bota, Perak baru-baru ini.

Kepada saya, kadang-kala kaum kita ini gagal melihat pokok yang sebenar dan tertutup dengan daun yang kecil. DSAI tidak membelakangkan Raja maupun Dewan Rakyat malah mengemukakan usul undi tidak percaya untuk dibahaskan. Apabila digagalkan beliau tidak melakukan paksaan untuk apa-apa diluar dewan. Malah juga beliau didatangkan musibah yang besar seperti tuduhan sodomi (sekali lagi) yang amat menekan jiwa sesiapa yang kena sedemikian.

Kali ini saya amat simpati kepada MB Datuk Seri Ahmad Nizar yang sah. Walaupun saya ingin berjumpa beliau tidak lama dahulu, tetapi cukup sekadar nampak wajah tenangnya mempertahankan prinsip walaupun tidak dihormati oleh beberapa pegawai tinggi kerajaan yang tidak memahami perlembagaan. Amat sedikit makhluk pimpinan yang bertakwa dan tidak takut kepada makhluk di akhir zaman ini. Apa makna hidup sedemikian takut kepada yang bukan Hak dan akhirnya dimatikan Allah jua dan kemabli dalam keadaan hina.

Ini semua kerana perbuatan yang tidak mudah disebut melainkan dibalas dengan pepatah Melayu yang masyur pernah saya pelajari:

Raja yang adil, Raja yang di sembah; Raja yang zalim, raja yang disanggah.

30 January, 2009

Dapat Pengiktirafan dari Asia e-University

Alhamdulilah, projek antarabangsa yang saya pelupori, ADempiere yang sering mendapat kedudukan terulung di tangga no.1 termasuk hari ini, kini diiktiraf oleh sebuah universiti iaitu Asia e-Universiti yang baru tertubuh dianggotai oleh 30 buah negara di Asia.

Selama ini saya agak sedih kerana sebagai rakyat hasil pendidikan di Malaysia yang dapat mencapai projek yang terkemuka ini tidak diberi perhatian oleh mana-mana institusi tempatan berkaitan. Bukan kerana inginkan nama, kerana jika dah masyur di luar negara, tidaklah sangat ingin turut masyur dalam negara yang lebih terhad pula. Cuma merasa rugi kerana khazanah projek tersebut boleh dimanfaat oleh semua IKS terutamanya dari sektor pembuatan dan perdagangan antarabangsa.

Terutama dalam waktu sekarang yang seluruh dunia sedang mengalami kegawatan ekonomi serta ramai siswazah akan menganggur. Projek ERP tersebut mampu memberi kepada siswazah satu sistem yang sudah siap sedia untuk dipasang pada IKS dan mendapat keuntungan lumayan kepada siswazah lepasan nanti dari segi jangkamasa panjang. Ini kerana IKS nanti tidak perlu membayar royalti atau lesen tinggi kepada pembekal perisian ERP luar negara terutamanya SAP B1 yang merupakan hasil kerja syarikat Israel yang kita tengah ingin sangat memboikot.

Asia e-Universiti akan menawarkan kursus lanjutan Asian Executive Master in Open Source Software ERP yang dikeluarkan oleh saya sebanyak 10 modul dan akan mula pengajian secara atas talian pada bulan Mac ini. Modul pertamanya sedang dalam proses di sini: http://red1.org/aaa/WebEconomy.zip

Saya berharap kerajaan akan lebih prihatin dan memberi sokongan lebih jitu kepada Universiti berkenaan dengan menarik Kem. Sumber Manusia, MDec dan SIMIDEC untuk membiayai siswazah nanti supaya dapat mengikuti kursus master ini dan dibiayai terus untuk mengambil projek awal dari kalangan IKS terpilih sempena manfaat dari latihan praktikal nanti. Agensi kerajaan berkenaaan dikatakan ada banyak dana ke arah tujuan tersebut samada untuk membantu siswazah lepasan postgraduate atau IKS yang ingin sistem ERP yang canggih untuk menurunkan kos operasi mereka dan meningkatkan sistem sokongan ICT seperti yang mampu dilakukan oleh ERP projek ADempiere ini.

Projek ERP sedemikian bukan sahaja amat berguna bagi meningkatkan industri dan modal insan tempatan tetapi adalah merupakan satu jenama "Made In Malaysia" yang mahal harganya serta amat diidam-idamkan oleh semua lapisan selama ini. Kini terpaksa ditempatkan projek ini beralamat di Berlin, Jerman kerana sokongan dari Eropah terlalu baik berbanding Asia.

Sekiranya ada permintaan rasmi dari kerajaan, tentu sekali ia boleh dipertimbangkanoleh komuniti projek saya supaya memindahkan pusat tersebut ke Malaysia.

25 January, 2009

Anak Peserta Khidmat Negara

Anak sulong cukup suka dapat mengikuti Program Latihan Khidmat Negara di Kem Kuala Kangsar yang bermula pada bulan lepas, dan semalam dapat kembali bersama keluarga sempena Tahun Baru Cina. Dapatlah kami sekeluarga dengar cerita pengalamannya.

Dia jenis berjiwa ingin meneroka dan berkenalan dengan ramai kawan baru berjaya berkenalan dengan ramai peserta lain dari pelbagai negeri dan bangsa. Dapat juga kenalan yang bercakap dalam bahasa Mandarin.

Ameera turut cerita bagaimana dia ternangis sekejap apabila be
rsendirian pada minggu pertama terpisah buat pertama kalinya dalam sejarah hidup daripada keluarga sendiri. Dia yakin sudah tidak perlu menangis lagi selepas ini dan ingin sangat berjumpa kembali rakan-rakan barunya pada Rabu depan nanti.

Dalam ujian larian, dialah paling pantas dengan melalui 'Bleep Test' sebanyak 6.3, kerana memang dia Olaragawati SMK Bukit Rahman Putra bagi tahun 2008 lepas. Ini semua juga kerana latihan yang amat intensif sebelum ini sebagai perenang peringkat negeri di bawah jurulatih Cindy Ong, pemegang rekod renang yang mengalahkan Nurulhuda Abdullah.

24 January, 2009

Tahun Baru Cina 4707

Saya berbangsa Cina. Maka saya akan berjumpa dengan ibu saya. Ia merupakan hari bercampur emosi kerana seringkali saya sekeluarga sahaja yang mengunjungi ibu kerana adik-beradik lain tidak dapat berbuat demikian. 
Adik lelaki saya yang kedua berada di Manila, Filipina dan lebih menyambut tahun baru Cina dengan keluarga isterinya di Jakarta, Indonesia. Ia juga kehausan kewangan kerana dalam tahun 1990an hilang banyak duit di bursar saham yang menjadi medan judi kebanyakan orang Cina.

Adik perempuan pun sama kehilangan banyak duit di bursar saham. Namun dia bernasib baik sebagai seorang bekas pragawati, ada harta, tetapi hidup keseorangan, kehilangan 2 anak lelaki kepada keluarga lain dan sering bersedih. Ia juga marah dengan saya kerana tidak memberinya sokongan moral.

Saya tidak main saham kerana wang sentiasa cukup-cukup saja. Allah selamatkan saya dengan cara itu barangkali.

Adik bongsu saya bekas penghuni penjara, walaupun sudah keluar, tetapi lebih baik dia duduk dalam, bagi keselamatan dirinya. Itupun dia ada satu kes
tunggakan dan menunggu perbicaraan.

Maka hampir setiap tahun hanya saya anak sulong dan tunggal dapat mengunjungi ibu bagi makan malam sempena tahun baru Cina. Dahulunya adik-beradik saya pernah tertarik kepada Islam. Pernah adik perempuan saya mula memakai tudung apabila datang mengunjungi saya semasa dibangku sekolah lagi. Adik lelaki saya pernah tertanya tentang falsafah hidup saya apabila dia kedukaan kehilangan teman wanitanya seorang pramugari.

Tetapi ibu saya tidak suka dan menganggap sudah cukup seorang anaknya masuk agama orang Melayu. Dia tidak mahu kehilangan kecinaan kita dengan semua anaknya memeluk Islam.

Maka kini hanya seorang anak tunggalnya sahaja yang dapat menghiburkan hatinya pada malam Ahad ini.

Bagi masyarakat Cina, ia merupakan makna yang sudah berlangsung 4707 tahun mengikut takwim mereka. Boleh baca lanjut di sini.
 
- (gambar tanda pintu rumah Cina yang menunjukkan satu jenis ucapan 'AsSalamualaikum warahmat' tetapi tanpa nama Allah, cukup menarik dan bermakna)

21 January, 2009

Obama mengugat dominasi kaum

Obama sebagai satu ide baru dalam dunia politik kerana selama ini Amerika Syarikat bukan sahaja didominasi oleh golongan kulit putih, malah pernah membawa orang kulit hitam sebagai hamba abdi dengan layanan buruk sekali dalam sejarah perkembangan negara tersebut.

Kini sudah jelas golongan dominan pun boleh menerima seorang dari bangsa pendatang malah mempunyai akar umbi dari negara Afrika yang beragama Islam.

Apakah ide sedemikian boleh mengugat golongan dominan seperti yang berada di Malaysia? Apakah satu hari kuasa dominan Umno boleh diganti oleh golongan minoriti seperti dari DAP atau PAS yang mungkin berbangsa Cina Muslim untuk menjadi seorang Perdana Menterinya?

Memang didebatkan bahawa Barack Obama dipilih kerana kebolehan dirinya dan bukan kerana warna kulitnya. Tentu sekali bagi kita di Malaysia pun kita mahu sedemikiannya berlaku. Apakah seseorang yang benar-benar berkebolehan akan terpilih atau ia mestilah kerana politik wang atau pengaruh kronisma?

Barack bukanlah calon bebas dalam pertandingan Presiden AS, tetapi ahli Parti Demokrat yang dominan dalam sistem dwi-parti di sana. Di sini kita lihat bagaimana kuasa masih menjadi satu faktor penting. Yang dominan di Malaysia masih parti besar seperti Umno, PAS dan kini PKR. DAP masih merupakan parti bagi golongan penduduk bandaraya yang majoritinya berbangsa Cina.

Walau macamanapun perubahan pasti berlaku. Bukan dalam jangkahayat kita, mungkin semasa  zaman anak kita.