01 January, 2021

BAB 4 - MENDEKATI ORANG BUKAN ISLAM

 

Saya sering perlu mengingati diri dan pembaca bahawa saya bukan Melayu, tidak masuk Melayu dan tidak minta dilahirkan bangsa Cina. Ini fakta penting kerana ia membawa maksud tepat dengan misi saya selama ini. Apabila saya memeluk Islam, saya terpaksa berdepan juga dengan umat yang berketurunan Islam. Ia bukan satu keburukan malah satu rahmat kebaikan yang panjang lagi jika ingin diolah. Kepada saya, banyak rahsia saya menyelami dalam kancah dinamik campuran antara dua kaum besar ini.

 

Saya anggap Malaysia ini bertuah kerana ia mewarisi dua kaum lain dari dua alam budaya yang terbesar iaitu China dan India. Tiada negara lain dalam dunia ini yang ada dua kaum ini bersama, tetapi masih kekal budaya dan bahasa masing-masing. Hanya di Malaysia kita ada keistemewaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Ini merupakan potensi jambatan kepada kedua-dua budaya yang bakal menentukan masa depan dunia abad ke-21.

 

Apabila saya memeluk Islam, saya sebenarnya melalui satu escapism atau melarikan diri dari masalah hidup sendiri. Saya juga cukup tertekan dengan bahasa Mandarin yang payah. Saya mudah terima nama baru tanpa terfikir bahawa Islam tidak tuntut seorang mualaf menukar nama, budaya atau lari dari keluarga kandung sendiri. Saya inginkan kehidupan yang baru.


Tetapi setelah mengenal Islam,  saya sedar Ia adalah perancangan Allah, mengwujudkan  manusia dalam aturan pelbagai kaum dan budaya berlainan dan sering nampak bertentangan. Saya mula menghargai warna kulit saya dan lidah bahasa ibunda saya.


Semasa kami berdialog dengan Persatuan Cina menerusi pentas PAS,  saya perhati masyarakat Cina aliran bahasa Cina  adalah berbeza dengan saya yang beraliran bahasa Inggeris. Mereka lebih mempercayai soal spiritual dan mudah terima Islam. Tetapi masalahnya mereka tak dapat terima fahaman perkauman yang mengancam kepentingan budaya dan kaum mereka. Saya anggap ada terdapat salah faham di kedua-dua pihak terhadap satu sama lain.


Boleh dikatakan adalah memenuhi kepentingan politik pihak tertentu untuk salah faham ini berterusan. Fahaman yang sebenarnya terdapat dalam Al-Qur'an itu sendiri. Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyokong kuat usaha berdialog dengan kaum Cina di Malaysia pernah memberitahu dalam ceramah kepada mereka bahawa bahasa dan warna kulit mereka adalah sebahagian dari tanda kebesaran Allah. Sesiapa yang ingin menukarkan sesuatu bahasa kaum itu sedang cuba melawan dan cuba mengubah umpama langit dan bumi, yang sama-sama ayat Allah.


Namun ada dikalangan kaum lain menganggap apabila sesuatu kaum berada dibumi lain ia harus patuh kepada budaya kaum majoritinya. Malaysia bukan negara China atau India maka kenapa ia harus menerima budaya negara asing?


Sepertimana saya tersebut sebelum ini, suasana istimewa dengan Malaysia merupakan peluang yang besar bagi akhirnya kita menghilangkan kedua-dua budaya terbesar ini secara satu kancah politik yang baru. Memang India pernah diperintah berkurun-kurun oleh dinasti moghul Islam. Cina pun dibawah dinasti Ming, penuh dengan unsur Islam. Laksamana Cheng Ho pun dikenali sebagai dari keturunan Islam. China pun pernah hantar Puteri Hang Li Po untuk jalinkan perhubungan baik dengan Kesuktt Melayu Melaka masa itu.


Kenapa kita tidak dapat mencernakan satu natijah yang lebih baik ke atas suatu keadaan yang sebenarnya tidak semestinya dipandang buruk? kesudahan dengan cara pemikiran bumi yang lalu. Ia harus kembali kepada cara pemakaian langit. Islam adalah satu agama yang neutral. Ya tidak membezakan keturunan atau kaum atau kasta. Allah pencipta hanyalah takwah masing-masing. Falsafah ini boleh diterima oleh semua.


Nik Aziz pernah memberitahu bahawa ai adalah lebih baik Islam dipimpin dengan peranan besar kaum Cina di Malaysia. Mereka lebih kaya dengan potensi zakat yang besar. Mereka cukup tekun bekerja dan lebih berdisiplin. Yang penting sekali mereka lebih bersatu berbanding dengan orang Melayu. Saya teringat Nik Aziz memberitahu saya secara peribadi, sekiranya Islam tidak datang kepada orang Melayu, mereka tidak lebih daripada Sakai yang pakai cawat duduk dalam hutan. Dia cukup benci fahaman perkauman dan suka sekali umat lain diajak menerusi agama dan hidayah Allah.


Dengan umat Melayu berjumlah majoriti melebihi 60 peratus dalam negara kita, memberikan mereka satu peluang yang hanya mereka ada, berbanding dengan kaum-kaum lain. Mereka boleh bersifat defensif dan mengambil sikap seolah mereka senantiasa adalah mangsa, dalam apa jua keadaan, atau mereka mengambil kedudukan yang lebih tinggi, memimpin seluruh negara ke arah satu hala tuju semua kaum boleh menerima.


Inilah visi yang saya nampak. Semasa PAS berdialog dengan orang Cina, ramai mereka setuju dengan cara PAS ketika itu memisahkan soal politik dari unsur kaum dan mentadbir lebih dari keadilan agama. Tetapi visi tersebut tidak dapat sokongan penuh daripada parti-parti politik lain.  sapu kontrak balak di kalangan ahli PAS itu sendiri.


Kini saya mengambil sikap misi ini tidak boleh diharapkan ke atas bahu beberapa pemimpin Islam sahaja tetapi atas bahu seluruh umat Islam secara berjemaah. Firman Allah dalam Surah Al-Imran ayat 103 adalah cukup jelas. Adalah wajib orang beriman berpegang kepada Tali Allah dan dilarang berpecah-belah. 

Selagi umat Islam di negara ini, yang kebanyakannya terdiri dari kaum Melayu, tidak dapat bersatu padu atas prinsip Islam, selagi itu kaum Melayu tidak akan maju dan negara ini tidak dapat mencapai potensi penuhnya. Kita tidak boleh beredar ke satu tahap yang lebih tinggi.

Kaum Cina tiada lagi falsafah hidup melainkan makin moden dan terhakis keasliannya. Generasi muda mereka makin berhijrah ke cara hidup Barat dan hilang keperluan untuk pertahankan identiti kaumnya sendiri. Hanya yang berbahasa Cina di bandar dan pekan yang rasa keperluan tersebut tetapi berapa lama mereka boleh bertahan?


Adalah merugikan kita sekiranya kaum Cina menjadi seperti apa yang berlaku kepada kaum Cina di Indonesia dan Thailand. Asimilasi penuh tidak semestinya membantu kaum Bumiputera. Kita masih boleh membezakan antara China dan bukan Cina ataupun nama dan bahasa mereka sudah diubah. Kerjanya sama berlaku di Amerika Syarikat. Orang berkulit hitam walaupun berbahasa berbudaya yang sama dengan orang berkulit putih, masih menaruh dendam yang mendalam di antara satu sama lain.


Saya juga ada terbaca tentang Bani Keturah iaitu keturunan dari isteri ketiga Nabi Ibrahim AS, yang dikatakan disebarkan ke benua Asia dan mungkin meliputi kaum Monggol sehingga kaum Jawa. Ini juga merupakan peluang yang memberi alasan untuk kita bersatu. Kenapa kita tak cari alasan bersatu dan ingin pula cari alasan berpecah? Umat Nusantara ini pernah bersatu dibawah Champa atau Majapahit. Kini peluang untuk bersatu kembali, hanya terletak pada agama Islam yang menjadi identiti yang sama banyak kaum di Nusantara.


Agama lain seperti Buddha dan Kristian, tidak cukup kuat berbanding Islam yang diredhai Allah. Hanya orang yang beriman dengan mengenal ayat Allah, dapat melihat bukan saja peluang ini, tetapi tahu caranya untuk mencapai visi tersebut.


Masa itu sebabnya saya gunakan peristiwa viral di Sungai Buloh untuk mengutarakan penyelesaian sebenarnya bagi masyarakat Melayu yang terlalu lemah dari segi ekonomi, politik dan sosial berkongsi berbanding dengan kaum Cina. Memang bukan hasrat saya untuk meneguk di air keroh, menularkan nama sendiri. Saya rasa cukup terharu dan yang  jutaan orang menonton saranan saya dan memberikan komen yang positif. Ramai yang kata apa yang Abang Cina Apek Mualaf ini cakap adalah betul. Iaitu selagi orang Melayu tidak bersatu atas fahaman Islam, selagi itu keadaan tidak akan berubah.


Saya gunakan pengalaman hidup saya sebagai seorang Cina yang biasa dengan alam kebendaan dan gengster Cina, bahawa tiada apa keistimewaan yang mereka ada ke atas orang Melayu, melainkan menggunakan wang dan wanita. Beberapa orang Melayu juga tidak boleh disalahkan sekiranya sentiasa jadi mangsa kepada sogokan tersebut. Mereka mengamalkan falsafah hidup yang salah selama ini.


Saya menyifatkan falsafah hidup tersebut lebih kepada adat dan berlawanan dengan akidah. Ada orang yang menganggap sekiranya dia dilahirkan dan keluarga Islam maka tidak sekali-kali ia akan masuk neraka. Ada orang menganggap sejahat-jahat orang Islam, adalah lebih baik dari sebaik-baik orang kafir.


Fahaman adat sedemikian adalah mudah untuk dihilangkan. Perlu alim ulama nya memberi penjelasan tentang fahaman yang tidak berlandaskan kepada Tauhid sebenarnya. Banyak perkara dalam ilmu Fekah bermasyarakat yang umat sendiri tidak menyedari sebagai berlawanan dengan kehendak Allah.


Namun tidak mudah untuk mengubah satu tanggapan yang dipegang oleh segelintir dari kita sekian lama. Maka dengan video tular saya diterima begitu meluas adalah satu petanda yang cukup baik. Apakah masyarakat Muslim di negara ini memang menyokong penuh ke arah satu visi yang benar-benar berlandaskan agama? Daripada sambutan dan pesanan peribadi mereka hantar kepada kotak mesej saya, saya percaya itu adalah keadaan benar. Kesedaran sebahagian besar daripada kita tetap sudah ada. Saya cuma mendedahkannya.

BAB 3 - ISLAM TANPA SEKOLAH

 

Saat saya membuat keputusan keluar dari alam sekolah formal ialah apabila saya sedar apa itu ajaran Islam sebenarnya. Saya ingin mencari ilmu Allah yang mana Dialah Pencipta segalanya serta menjamin sesiapa yang mengorak langkah mencari ilmu tersebut. Pada masa itu saya tidak tahu mana harus saya tuju untuk memperolehi ilmu sedemikian. Dalam fikiran saya ia sepatutnya dari bangku sekolah sebuah madrasah atau pondok. Saya bertanya dengan orang sekeliling masa itu, dan itulah yang mereka memberitahu saya.


Dari nas sumber Kitab atau Hadis, ada dalil memberi petunjuk bahawa asal kita berniat dan memohon kepada Allah, maka Allahlah sebaik-baik Perancang. Allah sudah berjanjikan rezeki dan kurniaan serta kepada keluarga yang kita tinggalkan demi mencari ilmu mengenaiNya. Tetapi tidak disebut prosedur atau dimana tempat untuk mencariNya. 


Maka saya pun berdoa dan tergerak hati saya meninggalkan sekolah sekali lagi di Melaka untuk mencari tempat lain yang dapat berikan saya ilmu tersebut. Saya langsung bulat-bulat ikut hati yang masa itu cukup tenang dan yakin Allah akan menguruskan atau sudah menguruskan segala yang diperlukan. Cuma saya tidak sedar selebihnya dan bertawakal penuh, pegang janjiNya.


Islam yang saya belajar dikutip dari pelbagai sumber. Selain tahun pertama Thanawi, saya baca dari banyak buku masyur masa itu seperti dari Hamka, Syed Naquib Al-Atas, Imam Al-Ghazali, Imam Maududi, Maurice Bucaile dan Maryam Jameelah.

 

Saya cukup mengikuti pelbagai jemaah terutama yang janjikan jalan yang benar seperti Jemaah Tabligh dan Pergerakan Al-Aqam. Saya juga terikut dengan ABIM dan jemaah-jemaah yang seistilah dengannya.

 

Saya amat menghayati kata-kata dan tulisan seorang guru sufi yang berasal dari Scotland, bernama Ian Dallas yang memeluk Islam di bawah seorang guru tariqa di Maghribi yang diberi nama Abdal Qadir As-Sufi. Beliau menggunakan bahasa Inggeris yang cukup tinggi yang serasi dengan latar belakang pendidikan saya. Jika pelajaran Fekah di Perkim, mereka gunakan buku dari Indonesia yang tidak sama menarik dengan bahasa As-Sufi yang meliputi soal rohani tetapi juga falsafah politik yang amat mendalam dan menerangi polemik yang dihadapi umat sejagat.

 

Saya juga tertarik dengan Prof Dr. Ismail Faruqi dan dapat hadiri dua syarahannya anjuran ABIM dalam bahasa Inggeris. Nampaknya saya cuma tertarik sekiranya pensyarah menyampaikan dalam aliran Inggeris kerana lebih tepat istilah dan halus senikatanya.

 

Saya memperolehi lagi seorang abang angkat semasa di Perkim iaitu Nadzru Azahari dari Kelantan yang sudah mengelilingi dunia sebagai seorang pakar petroleum dan mampu pelbagai bahasa termasuk Arab dan Perancis. Dia terus pelawa saya duduk rumah keluarganya di PJ Old Town, dan saya duduk bersama keluarganya selama tiga tahun. Itulah rahsia bagaimana saya ketagih budu dan boleh kecek bahasa Kelantan dengan agak fasih.

 

Saya juga berjumpa dengan Anwar Ibrahim yang menjadi Presiden ABIM masa itu bertujuan untuk pergi ke Afghanistan untuk berjihad, tetapi saya hanya memintanya berikan saya peluang pergi ke Palestin menerusi kawannya Yasser Arafat dari PLO. Anwar menasihati saya untuk kekal belajar dan sanggup menampung saya ke universiti tetapi saya enggan kerana ingin sangat Jalan Allah. Akhirnya saya memohon kerja sebagai guru di Yayasan Anda Akademik yang diasaskannya bersama ABIM.

 

Apabila Anwar menyertai UMNO akhir tahun 1981 saya juga menamatkan perkhidmatan saya sebagai guru bahasa Inggeris di YAA dan ambil peluang dari abang angkat saya yang dapat perkenalkan saya kepada syarikat IT terbesar, Dataprep, untuk mula kerjaya baru sebagai seorang juru komputer.

 

Saya dapat ikuti setahun belajar sains komputer di Institut Goon di belakang Chow Kit Road semasa mengajar separuh masa di YAA, Jalan Stoney, Kampung Baru, yang dihadiri para pelajar lepasan SRP yang gagal dan perlu ulangan.

Semasa tiga tahun sebagai juru komputer, saya mendalami lebih dari tulisan Abdal Qadir As-Sufi tetapi telah ditarik untuk memasuki Parti Islam SeMalaysia kerana pada tahun 1982 Dato Asri Muda yang dikatakan nasionalis Islam diganti oleh fenomena kepimpinan ulama oleh Abdul Hadi Awang yang dikatakan bukan nasionalis kaum tetapi Islam sejati.

 

Setahun selepas menyertai PAS pada tahun 1984, saya masih berkhidmat dalam jurusan programming berpangkat EDP Supervisor di Syarikat Bas Sri Jaya, yang gaji cukup baik dan kerja lebih selesa selepas meninggalkan syarikat IT terbesar Datarep tersebut. Tetapi penglibatan saya dalam PAS telah menarik perhatian Fadhil Nor, Timbalan Presiden PAS bawah Yusuf Rawa masa itu yang mengajak saya berceramah atas pentas PAS.  Nama saya pun keluar surat khabar Star dan Watan. Dalam pemilihan Exco Pemuda PAS berikut tahun 1985, saya dipilih sebagai ahli bukan Melayu yang pertama dalam sejarah tanahair menjadi salah satu Exco Pemuda Pas Pusat.

Terus saya menjadi tarikan dan jadual diari saya dimohon share oleh hampir semua cawangan PAS seluruh negara untuk saya berceramah. Saya menarik seorang rakan yang saya kenali dari Perkim, Kamal Koh yang fasih bahasa Cina kerana dia aliran penuh Mandarin, dan bersamanya dan rakan lain dalam Pemuda PAS, menggunakan pentas PAS untuk berdialog dengan masyarakt Cina. Dalam dialog perdana kita di Dewan Perniagaan Cina Selangor, Abdul Hadi Awang telah keluarkan kata-kata yang mengejutkan negara. Beliau berucap yang orang Cina juga boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia sekiranya bertakwa.

Lagi melonjak naik nama PAS sehingga semua surat khabar Cina dan persatuan Cina sehingga DAP dan paling penting Dong Jiao Zhong mengenali kita dan amat musykil apa mesej yang kita cuba sampaikan. Banyak majlis diatur antara kita dalam PAS dengan ramai tokoh dari persatuan Cina tersebut.

 

Masa itu saya buat keputusan berhenti dari kerjaya komputer dan terjun masuk sepenuh masa dalam usaha yang saya anggap satu dakwah besar. Ia juga pesanan dari guru sufi saya bahawa saya perlu tarik orang Cina masuk Islam atau komunis akan menawan mereka.

 

Saya dapat sepentas dengan tokoh-tokoh seperti TG Nik Abdul Aziz, Nakhaie Ahmad, Subky Latiff, Khalid Abdul Samad, Chandra Muzaffar, Jomo Kwamesundram, Harun Idris, Ibrahim Ali dan ramai tokoh aliran Cina.

 

Kami saudara baru dalam PAS pun dicalunkan dalam PRU seterusnya pada tahun 1986 dimana saya dicalunkan berdepan dengan Daim Zainuddin, Menteri Kewangan masa itu. Tetapi ada rentetan peristiwa yang panjang dan baik saya cerita dalam buku khusus lain kelak.

 

Saya ingin berkisar kembali tumpu tajuk utama penulisan saya di sini iaitu apa yang saya pelajari dari semua ini? Tujuan utama saya memeluk Islam ialah mencari kebenaran. Tujuan utama saya tinggalkan sekolah ialah mencari ilmu Allah. Tetapi perjalanan hidup saya terjerumus dalam segala persoalan dan persengketaan dan pergolakan politik Melayu Islam yang saya tidak faham dan masih terlalu mentah masa itu.

 

Dunia yang saya tinggalkan demi mengejar ilmu Allah, mengejar saya balik dengan dicorakkan sebagai seorang Hafiz Hacker. Bukan sahaja ilmu fardhu ain dapat dikenali saya tetapi jua fardhu kifayah mengenai alam moden masa depan. Namun pendedahan kepada alam dunia dan akhirat ini tidak disertai dengan apa jua pengiktirafan sijil atau tauliah dari manusia.


Hari ini, hasil dari penglibatan saya yang begitu rupa menyedarkan saya apakah ini yang Allah inginkan sebagai pendidikan saya? Iaitu mengenal Islam dari sudut realiti politik dan ummah yang amat penting dalam soal mencari jalan yang lurus. Saya kini lebih memahami umat Malaysia secara umum tetapi lebih penting umat Melayu secara khusus. 


Apakah tiada sepatah kata dua saya boleh tawarkan dari segala pengalaman tersebut untuk kebaikan hidup beragama kita yang saya kenali? Apakah Islam sesuatu perjalanan hidup yang semata-mata infiradi atau peribadi dan tiada unsur hablum minnas atau sosial kemanusiaan?


Malah mesej terbesar Al-Qur'an yang saya dapat simpulkan ialah melaksanakan keadilan. Penghuni neraka adalah untuk mereka yang melakukan kezaliman ke atas diri mereka sendiri dan orang lain.

BAB 2 - KENAPA SAYA MEMELUK ISLAM

 

Saya membesar dalam sebuah keluarga berbangsa Hokkien sebelah ayah dan Cantonese sebelah ibu yang beragama Kristian. Ayah saya berasal dari Pulau Pinang dan ibu dari pulau Singapura. Ayah meninggalkan sekolah waktu remaja lagi untuk menyertai Unit Semboyan alam Tentera British masa itu.

 

Sebelum Mei 13, ayah bertugas di MINDEF, Kuala Lumpur dan di sana ayah mula bercampur alam gengster Cina di Chow Kit Road. Ayah dapat belikan arak dan bir tanpa cukai menerusi sumber tentera dan bekalkan kepada kawan-kawan barunya. Ayah menjadi masyur dengan gelaran ‘Ting Peng’ atau askar gila. Itulah ‘keyword’ yang saya pernah gunakan satu hari lama kemudian apabila berada disebuah operasi tersembunyi Cina di Chow Kit. Taukeh sana terkejut saya adalah anak Ting Peng.

 

Hari-hari ayah akan balik mabuk atau pokai kerana habiskan wang di meja judi. Kelab Kuda dan casino Genting Highlands menjadi kebiasaannya. Rumah kami yang sederhana dalam Kem Wardieburn, berek tentera senantiasa kacau-bilau dengan bergaduhan diantara ayah dan ibu mengenai wang.

 

Waktu persekolahan saya amat miskin. Saya tiada duit poket untuk belanja di sekolah. Ibu akan berikan saya roti dan air ribena untuk bawa ke sekolah. Ada seorang anak taukeh perabut Cina kaya akan upah saya dua puluh sen untuk meniru kertas jawapan peperiksaan saya.

 

Saya banyak membaca dan cinta buku waktu sekolah rendah kerana tiada apa yang boleh saya lakukan semasa terkurung dalam rumah bersama adik-adik saya. Tiada TV pun kerana ayah tidak bayar ansuran hutang. Cuma Kitab Bible di rumah dan saya dapat menghafal banyak bahagiannya.

 

Apabila di sekolah, perpustakaan lah menjadi tempat kesukaan saya. Ibubapa tidak benarkan saya apa jua kegiatan di sekolah kerana ibu beritahu hanya ilmu sahaja yang jamin masa depan dengan kerjaya sebagai seorang doktor. Persatuan atau sukan tiada faedah. Hidup saya jadi begitu sunyi dan seksa, kerana selain bising memanjang dari pergaduhan tanpa henti antara ayah dan ibu, kami senantiasa dirotan atas apa jua kesalahan sedikit.

 

Saya dipaksa menghafal bahasa Cina padahal saya diletakkan dalam sekolah aliran Inggeris. Cina amat payah untuk disebut kerana ada empat nada pada setiap sebutan. Tulisannya bergambar lagi payah untuk diingati. Setiap garis tersilap akan disambut dengan rotan.

 

Keputusan peperiksaan mesti senantiasa sempurna dan memperolehi tempat teratas dalam seluruh darjah. Markah bawah 80% akan terima rotan. Kedudukan melebihi 10 akan terima rotan.

Dalam kem tentera, kebanyakan jiran kita orang Melayu. Saya dilayani dengan baik oleh jiran dijamu milo dan biskut bersama anak-anak orang Melayu. Ini menimbulkan pertanyaan kenapa saya dilahirkan dalam keluarga Cina dan bukan Melayu.

 

Saya cuba percaya falsafah hidup yang ditawarkan Kristian di sekolah oleh gerakan Kristian dan gereja. Saya yang kuat ikuti buku-buku sains dari perpustakaan British Council tidak dapat terima Bible sebagai kata-kata Tuhan dan akhirnya jadi atheis pada usia 14 tahun. Tetapi perbalahan dalam rumah memuncak pada satu malam semasa saya berusia 17 tahun sehingga ibu saya ditendang keluar rumah dengan kecederaan dan berdarah pada badannya. Peristiwa itu cukup menyayat hati saya sehingga saya mengeluarkan buku kosong dan mula menulis surat kepada Tuhan.

Saya soalkan Tuhan macam-macam. Kenapa saya dilahirkan? Kenapa hidup ini penuh kesengsaraan? Pada yang hebat sangat dengan alam ini jika hidup ini tiada makna? Walaupun saya sedar soalan saya hampir sama dengan soalan Siddharta Gautama Buddha, saya tidak percaya nasib saya sebaik Gautama yang lahir sebagai anak raja yang mewah. Saya tiada pilhan. Gautama ada.

 

Enam bulan kemudian apabila saya menghadiri sebuah Kursus Tatanegara di Melaka, pada akhir 1979, saya bertemu seorang rakan kursus yang memberitahu saya tentang kisah sebenar versi lainan Injil dan bagaimana Al-Quran membetulkan wahyu Tuhan.

 

Dengan cepat saya dapat sedar kerana selama ini saya tidak tersoal kenapa Injil ada empat versi dalam Bible dan ia ditulis sebagai pihak ketiga menerusi riwayat orang lain.

 

Tetapi keadaan tekanan rohani yang dasyat saya menghadapi waktu itu memaksa saya cari jalan keluar iaitu meminta kawan tersebut untuk benarkan saya duduk dengan keluarganya di Semabuk Melaka supaya saya dapat lari dari hidup di bandar dan masalah saya disamping mendalami Al-Quran.

 

Saya memohon pertukaran sekolah dari Victoria Institution ke Saint Francis Institut di Melaka dengan sendiri, dan cuma sembahkan surat untuk ayah saya tandatangani tanpa sesiapa melakukan apa-apa untuk membantu saya.

 

Saya diterima dengan penuh mesra oleh orang kampung dan suasana nyaman dan hijau bagaikan syurga setelah saya melalui zaman neraka yang lama. Pada tanggal 12, Januari, 1980 saya mengucap dua kalimah syahadah di depan Pembantu Kadi, Pejabat Agama Negeri Melaka, yang terus memberikan saya nama baru, Mohd Redhuan bin Abdullah.

 

Tiga ayah saudara saya pada mulanya tidak tahu tentang keIslaman rahsia saya dan telah memberikan saya 70 ringgit setiap seorang bagi 3 bulan pertama saya hidup bersama keluarga angkat baru saya.

 

Tetapi suasana baru Islam mengubah saya untuk mendalami Islam sepenuhnya maka saya berhenti sekolah sebulan kemudian dan mengikuti pengajian Islam sepenuh masa di Institut Dakwah Perkim di Petaling Jaya yang diberikan biasiswa penuh berasrama. Masa itu baru saya dedahkan keIslaman saya kepada bapa saudara saya yang amat terkejut dan putuskan hubungan dengan saya.

Saya teruskan pengajian saya selama setahun sebelum berhenti kerana perjalanan kurikulum Thanawi Islam biasa adalah terlalu lambat. Saya banyak berjalan ikut pelbagai jemaah dan tokoh masa itu dan kutip pelbagai kitab dan buku untuk dibaca sendiri.

Saya juga dapati fahaman agama pada masyarakat Melayu di luar tidak sama dengan apa yang saya baca. Tetapi suasana bertentangan itu lebih menajamkan fahaman saya kerana merupakan asam garam menimbulkan pelbagai persoalan yang mendorong saya menyiasat lagi asal usul banyak perkara.

 

Tetapi secara umum, masyarakat Melayu amat baik hati kepada saya dan melayani saya sama macam ahli keluarga mereka sendiri. Budaya mereka cukup berbeza dengan budaya orang Cina yang amat mementingkan kebendaan dan hidup semata-mata kerana dunia.


Itulah yang cuba sampaikan dari video tular yang dirakam di Seri Kembangan pagi itu. Saya letakkan tajuk 'Apa kita dapat belajar daripada gengster Cina?' bukanlah bertujuan membesarkan kehebatan orang Cina yang saya anggap saya sudah tinggalkan atau menghukum orang Melayu yang saya sifatkan lemah mudah disogok oleh gengster sehingga penguatkuasan atas perkara haram tidak berjaya. 


Saya cuba terangkan yang Melayu ini ada harta agama yang kaya dan apa yang saya pelajari darinya adalah cukup untuk menyelesaikan soal seperti rezeki yang Allah janjikan tetapi manusia tidak sabar atau yakin.

Apa yang Kita Bisa Belajar dari Gengster BAB 1

PENDAHULUAN

Satu pagi dalam bulan Julai, 2020, Redhuan D. Oon, yang hampir setiap pagi akan ke udara dalam akaun Facebooknya sebagai amalan biasa kesukaannya, menyentuh satu topik yang tengah tular masa itu iaitu aduan Asri Janggut, seorang pengusaha rangkaian Hotburger terhadap pihak berkuasa di Sg Buluh.

 

Redhuan, yang lebih suka dirinya digelar Cina Apek, tidak sangka yang komentarnya terhadap rungutan Asri terhadap gengster Cina sebagai bahaya kerana mampu menyogok pihak berkuasa termasuk pegawai dan penguatkuasa dalam Majlis Perbandaran dan Bukit Aman, turut menjadi tular sehingga ditonton diseluruh negara mencecah jutaan penonton.

 

Redhuan sekadar sentuh apa yang sempat (ungkapan kesukaannya ialah ‘Jangan Ambil Kesempatan, Ambil Apa Yang Sempat, yang beliau terdengar semasa bersama rakannya Chegu Ruslan Kassim (Allahyarham)), iaitu bahawa Cina maju ialah kerana mereka bersatu, dan Melayu mundur kerana mereka asyik berpecah belah.

Redhuan, yang mengenal Islam pada akhir 1979, semasa menuntut di Sekolah Menengah Victoria Institution, Kuala Lumpur, telah berhijrah ke Melaka untuk memeluk Islam secara rasmi tanpa pengetahun keluarganya yang beragama Kristian dan tidak sokong orang Melayu Islam.

Maka beliau mula perjalanan hidup beliau yang luar biasa kerana berlawan dengan arus dan membentuk pemikirannya yang tidak mudah difahami apatah dipersetujui orang ramai.

Alangkah terkejutnya pada hari-hari selepas pagi bulan Julai tersebut, apabila akaun FB beliau diserang dengan begitu ramai pengikut dan permohonan untuk jadi kawan. Mesej pm pun menghujani kotak FBnya bertalu-talu tanpa henti selama sebulan lama.

 

Ikuti dengan lebih intim kisah latar-belakangnya berkaitan topik tular tersebut secara langsung dari isi hatinya sendiri. Lepas itu pembaca adalah bebas untuk membuat kesimpulan apakah dia ini seorang yang ambil kesempatan atau ambil apa yang sempat.


PENERBIT

 

BAB 1 - SAYA RELA MUSAFIR SAMPAI AKHIR


Satu pagi awal bulan Julai, saya tertonton sebuah video yang ada suara latar bermula dengan ayat, lebih kurang, ‘Nyawa saya mungkin terancam, dengan mendedahkan kegiatan haram judi ini..’ Saya terus tutup video tersebut dan alih cari lain bahan yang lebih menarik.



Kepada saya, isu panas yang ditularkan oleh masyarakat berbahasa tempatan, tidak semestinya disukai saya, yang menghabiskan masa lebih banyak diluar negara. Saya baru sahaja kembali dari Thailand kerana passport saya mati. Jika tidak saya akan kekal duduk di Thailand atau kembali ke Vietnam yang saya ada ramai kawan yang boleh saya tumpang duduk.

 

Sewaktu Pandemik Covid-19 mula diistiharkan pada bulan Mac, 2020, saya sudah sebulan lebih di Bangkok terlibat dalam satu projek perisian komputer Kerajaan Thailand menggunakan perisian sumber terbuka yang dikepalai saya bersama ramai rakan seluruh dunia. Berita SOP Lockdown yang diistiharkan di Malaysia cukup mengejutkan saya di sana dan saya ambil keputusan lebih baik duduk di Bangkok yang lebih longgar syarat PKPnya. 

 

Malah saya pada bulan Februari habiskan seminggu di Hanoi, Vietnam, yang sudah mula PKPnya lebih awal dari semua negara ASEAN dengan mengantung semua persekolahan. Tetapi mereka tidak sekat kegiatan biasa dipasaraya, kompleks awam, pengangkutan dan pergerakan. Tiada dipaksa menutup muka atau perjarakan atau hadkan jumlah orang ramai disesuatu tempat.



Bulan Mac, Thailand mula sekat secara sempadan, termasuk antara daerah, tutup semua restoran dan kelab malam, tetapi tidak hadkan jumlah penumpang dalam kenderaan asal pakai pelitup, dengan pasaraya dan kenderaan awam masih berjalan biasa.



Tetapi paspot saya akan tamat bulan September, dan tempoh kurang enam bulan sudah tiba. Pada akhir bulan Jun saya terdengar dari kawan di Malaysia, bahawa MKN sudah longgarkan syarat boleh kuarantin 14 hari secara sendiri dan hanya saring di sempadan masuk Bukit Kayu Hitam. Maka masa itulah saya ambil keputusan merentas sempadan Thailand memasuki Malaysia.


Saya cukup rindu kedai mamak kerana hampir enam bulan tak dapat merasai suasana santai dalam kedai mamak yang tiada tolak banding di dunia luar. Saya sudah musafir ke empat puluh negara, termasuk juga India, tetapi tidak terjumpa budaya kedai mamak yang ada di Malaysia.


Seorang kawan tunggu saya di sempadan Bukit Kayu Hitam selepas selesai meunggu 3 jam di kompleks Imigresen Malaysia. Selepas selesai hasil saringan semua yang hadir di sana masa itu, mendapat keputusan saringan negatif dari virus Covid-19. Kami pun tuju duduk restoran mamak yang pertama kita sempat singgah.

 

Kami bermalam di salah satu rumah kediamannya di Bertam, Seberang Perai, yang kini kosong tetapi menjadi rumah persinggahan kami semalaman sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Di rumah kawan ini saya tertonton video susulan Asri Janggut yang masa itu saya masih belum kenal nama gerangan orang ini.

 

Dalam video tersebut, baru kelihatan dirinya bercakap ditemubual oleh pihak media social lain. Asri mengungkap, ‘Sepatutnya pihak berkuasa berterima kasih kepada saya kerana membongkar amalan judi berleluasa yang dikawal oleh gengster Cina.” Ungkapannya itu serta wajahnya yang tenang dan berani menjadi asbab hati saya tergerak untuk memberi komen.

 

Setiap pagi sejak beberapa bulan sebelum itu, semasa bulan puasa di Bangkok, saya sering ke udara secara langsung dari laman Facebook saya untuk berkongsi pengalaman hidup yang pelbabgai sejak memeluk Islam. Saya suka menyentuh isu perbandingan yang saya rasai pelik atau menarik yang mungkin masyarakat Melayu tidak merasai kerana sudut saya ialah sebagai seorang mualaf dari luar yang melalui budaya yang asing bagi mereka.

 

Saya mempunyai ikutan masa itu berjumlah hampir 9 ribu orang. Ikutan yang agak tinggi itu terhasil kerana kisah saya bermusafir membawa anak saya yang berumur 15 waktu itu, mengelilingi dunia tanpa sekolah dan akhirnya setahun kemudian dia boleh memperolehi pekerjaan sebagai programmer macam ayahnya dengan mudah dan gaji sama taraf dengan seorang siswajah jurusan yang sama padahal dia tiada pendidikan formal atau tunjuk ajar sangat dari saya.

 

Anak dan ayah yang asalnya merancang tiga bulan dengan bajet yang sedikit untuk melawat beberapa negara di Eropah, akhirnya dapat duduk dalam 18 negara dalam masa lapan bulan dengan bertambah pendapatan yang secukupnya untuk melakukan sedemikian. Saya anggap itu rezeki janji Allah bagi anak saya dan ayah anak.

 

Dengan saya menayang slip gaji bulanannya lima tahun lepas berjumlah seribu lima ratus ringgit, mendapat perhatian umum dan ikutan Facebook saya yang sebelum itu cuma 3 ribu lebih pengikut melonjak menjadi 9 ribu pengikut.

 

Siri siaran langsung saya sempena bulan puasa di Bangkok sering juga di adakan sewaktu sebelum sahur antara pukul tiga pagi sehingga 5 pagi. Pengikut setia akan senantiasa ada dalam linkungan bawah 10 orang. Waktu siang nanti pengikut lain berjumlah seratus lebih akan menonton dan memberi sokongan setuju dengan apa yang disampaikan yang mendorong saya untuk terus membuat siaran langsung dari mana jua saya berada.

 

Kadangkala saya siarkan keadaan dalam pasar di Bangkok semasa saya tengah mencari tulang ‘gearbox’ untuk buat sup ala Diet Keto iaitu tinggi lemak dan rendah karbohidrat untuk menghilangkan kegemukan dalam perut dan membuang toksid dengan lebih cepat sempena bulan puasa.

 

Pada pagi selepas subuh di rumah sebelah Malaysia di Seberang Perai itu, saya lakukan satu lagi siaran tetapi kali ini menyentuh tentang budaya Cina gengster yang tercetus dari kisah meja judi haram di Sg Buluh. Seperti biasa tontonan hanya beberapa ratus sahaja. Namun saya puas hati kerana dapat meluahkan perasaan saya mengenai kisah tersebut.

 

Pada keesokan hari kami sudah kembali ke Kuala Lumpur dan kawan tersebut meminjam keretanya untuk saya guna sempena menunggu projek komputer seterusnya di luar negara dengan pasport saya dijangka diperbaharui semula dan PKP Covid-19 ditamatkan.

 

Masa itu saya dapat panggilan dari Kazakhstan dan saya cukup naik semangat kerana belum pernah jejak kaki atas Laluan Sutera dari sana sehingga Afghanistan. Saya sudah ke 40 negara kebanyakannya di Asia, Eropah, Afrika dan Amerika (utara, tengah dan selatan) dan duduk dengan hampir semua kawan dan keluarga bukan Islam. Saya rasa agak insaf kali ini yang maksud musafir saya tidak melalui dan merasai tempat umat Islam yang begitu tersebar terutama di Timur Tengah. Banyak cerita saya terkutip sepanjang jalan daripada penemuan dengan rakyat pelarian dari Syria, Kurdistan, Pakistan, Algeria, Palestin dan Iraq.

 

Saya rasa rezeki yang Allah limpahkan untuk saya tidak saya sempurnakan sekiranya akhir hayat saya nanti saya tidak dapat mengalami ilmu alam manusia secara menyeluruh. Dengan berita dari Kazakhstan, saya sediakan analisa awal saya kepada bakal projek tersebut yang melibatkan sistem perlombongan uranium bagi negara Kazakhstan yang mereka gagal menyempurnakan sistem komuter ERP untuk kendalikan segala data operasi jumlah sumber dan hasil keluar masuk erta perakuanannya.

 

Sistem ERP agak rumit dan teknikal dan bukan graduan IT biasa atau mana graduan pun dapat faham. Ia ambil masa yang lama dan saya bersyukur saya tanpa pendidikan tinggi formal dapat sedikit sebanyak menguasainya sehingga projek datang mencari saya hasil tulisan tunjuk ajar saya yang pernah saya lakukan secara percuma dari tahun 2003 sehingga sekarang.


Namun kerana Pandemik Covid-19 tengah memuncak pada bulan Julai lepas, saya terpaksa tunggu keadaan reda sebelum dapat terbang lagi. Maka tumpuan saya kembali kepada siaran langsung Facebook saya.

 

Di rumah seorang kawan lagi di Seri Kembangan yang berasal dari Sarawak, yang sudi memberikan saya satu bilik kecil di tingkat bawah rumah dua tingkatnya, saya selepas subuh sekali lagi terfikir apa lagi tajuk yang saya boleh utarakan. Pandangan saya terhadap dua kaum terbesar negara ini senantiasa dalam fikiran saya kerana pelbagai isu menarik maupun besar sering berlaku diantara dua kaum tersebut.

 

Ada isu yang cukup kontroversi seperti sebelum ini seperti soal monopili barangan komputer kecil dan elektronik popular di Low Yat yang mengakibatkan sebuah Digital Mall sebagai saluran lain bagi kaum Melayu memperolehi barangan IT tanpa layanan monopoli dari kartel peniaga Cina. Digital Mall tersebut saya sudah jangka akan gagal dan memang gagal dari awal lagi. Kini tiada kedengaran apa lagi rungutan dari sesiapa yang dan keadaan realiti hidup di negara ini kembali kepada status quonya iaitu kaum saya sebagai minoriti terbesar sebanyak hampir 30 peratus dari jumlah penduduk tetapi mengawal hampir semua perniagaan barangan keperluan awam negara.

 

Saya walaupun sama bangsa Cina, tetapi dengan memeluk Islam, saya ada sudut pandangan yang agak berbeza. Saya rasa kedua-dua kaum ini asyik berbalah tanpa henti-henti dan tanpa kesudahan. Jika saya memihak Cina, apa beza saya dengan Cina yang rata-rata Melayu pandang sebagai bukan Muslim, berbahasa Cina dan tidak memahami sanubari orang Melayu yang menganggap diri mereka Bumiputera dan penduduk asal negara ini?

 

Jika saya memihak kepada Melayu yang seagama dengan saya, Cina akan anggap saya ini murtad. Saya lebih melalui pendidikan Inggeris penuh dengan melalui Sekolah Menengah Victoria Institution, menghabiskan hidup awal saya setakat itu di bandar Kuala Lumpur yang kebanyakannya Cina bandar berbahasa Inggeris, dan hanya kenal bumi Melayu dengan sebenarnya setelah berhijrah ke Melaka dan memeluk Islam di sana pada awal 1980.


BAB 2 - KENAPA SAYA MEMELUK ISLAM (Bersambung)


Bab-bab cadangan, mungkin dipinda dari masa kesemasa


BAB 3 - ISLAM TANPA SEKOLAH

BAB 4 - MENDEKATI ORANG BUKAN ISLAM

BAB 5 - MELAYU ANTARA ADAT DENGAN AKIDAH

BAB 6 - PERLUNYA MELAYU BERSATU

BAB 7 - CARA ATASI KAUM CINA

BAB 8 - PANDEMIK MEMBUKA JALAN

BAB 9 - SISA HIDUP APEK

BAB 10 - KEINDAHAN MUSAFIR ALAM ALLAH