Semasa saya berumur pra-remaja iaitu lebih kurang 15 atau 16 tahun saya sudah mula tidak yakin tentang ujudnya Tuhan. Fahaman saya masa itu diterap oleh agama Kristian iaitu bahawasanya Tuhan itu berada di atas langit dan sedang memerhati kita di bawah. Doa yang sering dibaca umpamanya, "Our Father In Heaven" iaitu 'Bapa Kami Di Syurga' atau di langit.
Fahaman ketuhanan tersebut diperkuatkan dengan beberapa perkara yang lain seperti Jesus (Nabi Isa a.s) itu adalah Anak Tuhan. Gospel tulisan John bab 3, rangkap 16 menyebut, "Bahawasanya Tuhan amat menyayangi dunia ini, dimana Ia memberikan anak tunggal yang terlahir, dimana sesiapa yang percaya dengannya tidak akan mati tetapi memperolehi hidup yang kekal abadi". Fokus ketuhanan tidak kepada sifat atau ciri tauhid yang menjawab tentang hubungan Tuhan dengan kejadian alam tetapi seolah Tuhan itu sebahagian dari makhluk dan alam.
Formula keselamatan akhirat diberitahu kepada kita ialah hanya dengan menerima Jesus Christ itu sebagai Penyelamat. Jika tidak kita akan kekal berdosa kerana warisan atau keturunan Nabi Adam a.s. semuanya sudah berdosa. Surat Romans 2:20 menyatakan, "Adalah kesemuanya sudah berdosa dan jatuh dari kerahiman Tuhan". Ini dinamakan konsep Original Sin atau Dosa Asal yakni dosa yang dilakukan oleh Adam dan Hawa dengan mengingkari perintah Tuhan supaya jangan menyentuh buah epal dari pokok itu.
Falsafah dan polisi keagamaan sedemikian tidak serasi dengan fitrah saya yang inginkan formula kepercayaan yang mampu menerangkan semua soal kejadian alam dengan jelas dan menyeluruh serta tidak mempunyai persoalan yang bercanggah. Konsep ketuhanan Bible tidak dapat menerangkan tentang kuasa dan perjalanan sejarah manusia. Mengapa saya dilahirkan? Mengapa saya patut diuji? Mengapa patut saya perlu Jesus untuk masuk syurga? Jika saya tidak kenal Jesus, patutkah saya masuk neraka? Bagaimana pula tentang bayi yang baru lahir? Mengapa Tuhan yang dikatakan Maha Esa lagi Berkuasa itu tidak dapat menghilangkan syaitan dan kembalikan manusia kepada keadaan Adam dan Hawa sebelum kejatuhan mereka?
Kerana tekanan jiwa dari hidup yang terumbang-ambing, saya sentiasa berdoa kepada Tuhan itu supaya memberikan saya jawapan dan jika boleh tarik balik keujudan saya, kerana saya tidak harus melalui semua ini. Saya tidak langsung minta dilahirkan dan tidak ingin dilahirkan. Saya mula mengkaji pelbagai aliran ilmu terutama tentang astronomi, psikologi dan falsafah maupun sejarah. Banyak masa saya dihabiskan di Perpustakaan British Council dekat dengan Masjid Negara dimana saya menemani kawan-kawan Melayu untuk mereka pergi solat Jumaat tetapi saya meneruskan perjalanan sehingga ke British Council. Itu amalan saya semasa tingkatan 1 sehingga 3, setiap hari Jumaat dan di British Council itu saya terjumpa pelbagai khazanah ilmu sehingga saya merasakan jika boleh saya ingin merompak British Council itu.
Semasa saya dalam tingkatan 4, saya memasuki Lembaga Perpustakaan Victoria Institution lalu lebih menghabiskan masa di sana. Dengan pembacaan yang meluas telah memaksa saya beralih dari Kristian untuk mencari makna yang lebih mendalam tentang punca kejadian saya dan alam.
Saya pun beralih kepada fahaman Buddha dan aliran mistiknya iaitu Zen. Buat seketika saya serasi dengan konsep Tao dan Zen bahawa Tuhan itu tiada, tetapi disebalik sunnah Alam, tidak berwajah, tidak kelihatan, tiada bertempat maupun tidak bergelaran tepat. Ia ujud sediakala lagi dan akan kekal abadi. Tugas manusia adalah untuk bertafakur entah berapa lama sehinggalah sampai mencapai kesedaran sebenar tentangnya iaitu sampailah maqam Nirvana.
Pada umur 18 tahun, pada ketika ambang terbawah kehidupan saya, ketika paling pahit, ketika paling keseorangan selepas ayah dan ibu terpisah, dengan tiba-tiba saya terserempak dengan Islam yang sebelum ini saya langsung tidak membaca semasa dalam perpustakaan sekolah maupun tertanya kerana menyangkakan bahawa Islam itu adalah agama kaum Melayu semata-mata. Kejutan itu adalah pelik dan sampai hari ini saya tertanya tentang kemungkinan apakah sekiranya saya membaca tentang Islam secara lebih awal dan sistematik apakah saya akan terima Islam dan sekiranya terima apakah dengan emosi yang sama terharu. Saya ternangis teresak-esak kerana akhirnya saya terjumpa jalan yang tidak didugai yang tersembunyi entah kenapa dari saya sebelum itu. Saya seolah dalam kegelapan dan akhirnya terjumpa cahaya yang membutakan.
Saya berharap cebis-cebisan kisah hidup saya mendatangkan keinsafan kepada semua dan membawa kita kepada kesedaran tentang diri kita dan Allah dengan lebih bermakna dan memuaskan. Amin wal hamdulillahirabilaalamiin.
3 comments:
Di akhir akhir Ramadhan 1431, this "story" akan membawa keinsafan dan moga Allah swt memberi taufiq & hidayah kepada pembaca & terus memain peranan seperti Allah swt, Al-Khaliq, jadikan kita in the first place didunia ini, sebelum kita di "transfer" balik ke alam seterusnya...wallahu 'alam. keep writing Bro!
Bro, teruskan menulis, saya tak jemu2 baca apa bro tulis..:')
banyak ilmu yg saya dapat. berbeza org yg "mencari islam" dengan "mendapat islam"....Semoga saya masuk dalam kategori "org yg mendapat islam & menyebarkan rahmat islam kepada org yg masih belum menemuinya"..Insya Allah..:)
Saudara, saya sungguh cemburu dgn pengalaman dan ilmu yg saudara ada. Terima kaish kerana berkongsi. "Merompak British Council"? LOL. Good one.
Post a Comment