Solat saya yang pertama adalah waktu solat Zohor pada hari pertama saya memeluk Islam iaitu pada tanggal 12, bulan Januari, 1980 taqwim Kristian atau 1400 takwim Hijrah. Saya teringat solat saya itu dengan agak jelas iaitu di rumah abang angkat saya di Semabok, Melaka yang masih bersifat rumah kampung separuh papan dengan lantai rumah disokong oleh tiang penjuru, terangkat terpisah dari tanah waktu itu. Kini ia sudah roboh dan abang angkat saya telah gantikan dengan satu bangunan besar menyerupai mahligai.
Semasa solat zohor itu, saya terasa cukup kerdil seolah sebiji habuk yang terapung ringan. Jiwa saya cukup tenang dan tidak terlintas apa jua angan-angan duniawi. Masa itu saya tiada pembiayaan tetap kerana sudah berhirjah meninggalkan keluarga kandung. 3 bapa saudara saya telah berkongsi RM70 setiap orang untuk memberikan saya RM210 untuk buat bekalan saya selama tiga bulan duduk di kampung. Mereka masa itu tidak tahu yang saya telah memeluk Islam.
Pada waktu malam saya dapat belajar bertasbih dan dengan setiap ucapan tasbih itu saya merasa diri saya makin tenang dan tersedar tentang keadaan alam sekiling. Apabila saya tertidur masih boleh teringat yang saya dalam keadaan tenang sehinggalah waktu subuh. Keadaan itu amat sukar untuk saya mengalami hari ini kerana jiwa saya kian tertutup dengan angan-angan duniawi serta senantiasa terfikir tentang soal rezeki dan kemewahan hidup. Tidak macam hari-hari pertama saya memeluk Islam dimana kocek saya hampir kosong dan tidak pula saya merasakan sedikit bimbang dan risau tentang masa depan saya yang bulat-bulat saya serah kepada Allah.
Saya teringat solat pertama saya di Masjid Bandar Hilir dan seorang hamba Allah tertanya apakah saya seorang saudara baru dan saya menjawab ya, lalu dia terus memberikan beberapa ringgit kepada saya katanya sebagai zakat ikhlas. Saya cukup terharu namun tertanya mengapa perkara ini terjadi padahal saya tidaklah meminta atau berkeadaan semacam pengemis. Peristiwa diberikan wang oleh orang lain dengan tiba-tiba tidak lagi berlaku selepas itu melainkan hanya di negeri Kelantan dimana pernah ramai ahli jemaah sana msmasukkan wang ke dalam kocek saya walaupun saya tidak meminta. Ustaz Muhammad Hussein di Pasir Putih memberitahu saya memang menjadi adat lumrah orang Kelantan memberikan wang zakat secara langsung kepada saudara baru. Walaupun saya tidak meminta wang atau merasakan perlu diberi bantuan tetapi peristiwa sedemikian menyentuh hati kecil saya dengan mendalam. Ia memberikan saya satu perasaan tentang persaudaraan Islam yang alami, yang tidak terhad oleh ras, keturunan atau martabat dan darjat. Islam begitu indah dan tepat pilihan buat manusia sejagat.
2 comments:
Assalamualaikum. Terima kasih kerana berkongsi Tuan Red1
terima kasih telah berbagi info
kunjungi saya di www.matematikaitah.blogspot.com untuk mendapatkan soal latihan matematika dan keunikan suku Dayak Kalimantan Tengah di www.borneoetnic.co.cc
terima kasih, salam kenal
Post a Comment