06 August, 2010

Nasihat Kepada Kaum Melayu

Pertama-tama sekali, saya terfikir ingin sangat memberikan sedikit nasihat kepada kaum kerabat saya orang Melayu. Tetapi saya amat takut sekali kerana saya ini bukanlah bangsa Melayu tetapi bangsa Cina. Walaupun saya masuk Islam (maka masuk Melayulah berperlembagaan) dan mengikut ayat Al-Quran, saya dan orang Melayu adalah bersaudara (Innal Mukminin al-ikhwan). Maka kaum Melayu adalah kaum saya.

Maka saya ingin sangatlah turunkan nasihat ikhlas saya kepada mereka. Maka tolonglah jangan marah atau saya taubat akan memberikan apa jua nasihat selepas ini. Bolehlah pergi dengar saja sahabat lama saya iaitu Dr. Ridhuan Tee selepas ini yang kuat mengiasukan kaum Cinanya sendiri.

Fikir-fikir, baik juga saya pergi nasihat kaum Cina. Yalah, betul juga fikiran itu. Tetapi kaum Cina amat takut dengan Islam kerana perangai kaum kerabat saya yang lagi satu. Terutamanya yang kian Perkasa lagi memperkasakan.

Saya amat sayang kaum Melayu kerana banyak sebab yang saya sudah menyentuh dalam blog-blog sebelum ini. Namun isteri saya bukan Melayu jua bukan kerana emak saya merasakan tidak secocok dengan Melayu selepas berlakunya Mei 13. Saya kahwin orang Afrika kerana disebabkan soal ketinggian iaitu tinggi saya 1.87 meter dan orang Afrika lagi tinggi dari orang Melayu maka mudahlah saya berjalan dengan isteri buat masa ini. Masaalah fizikal tuan-tuan dan puan-puan.

Apa saya nak cakap tadi? Oh ya, cepat lupa. Saya mahu beri sedikit nasihat kepada kaum Melayu.

Wahai Melayu,
Sesungguhnya engkaulah kaum yang cukup bertuah. Pertama-tama sekali engkau kaum yang cukup peramah, cukup bersantun dan cukup berbahasa. Sehingga disanjung oleh kawan luar dan dalam. Sehingga saya merasakan cukup bertuah dapat mendalami bahasa Melayu dan cukup bangga mengukir kata-kata dalam bahasa indah ini. Walaupun bahasa pengantar utama saya bahasa orang putih, tetapi saya memilih untuk membuat blog induk saya dalam bahasa kebangsaan yakni Bahasa Melayu. Kerana saya bangga dapat berbahasa.

Wahai Melayu,
Sesungguhnya engkau lagi bertuah kerana mencapai majoriti hampir 65% terkini dalam banci pecahan kaum dalam negara ini. Maka engkaulah yang akan senantiasa menang dalam apa jua pertandingan pilihanraya kecil maupun besar. Cuma engkau sudah berpecah. Ini yang memeningkan kepala sikit, bukan banyak.

Wahai Melayu,
Sesungguhnya engkau tak boleh bertuah lagi dah kerana sudah menerima Islam sebagai agama turun-menurun sejak zaman Tok Kaduk lagi. Saya selalu tertanya siapa Tok Kaduk tetapi tak apalah. Asalnya engkau semua Islam. Ada juga orang kata Cina lagi Islam zaman sahabat Saad Ibnu Waqas tetapi hakikatnya di sini orang Melayu semuanya Islam dan orang Cina hampir semuanya bukan.

Sesungguhnya kekuatan yang sebenarnya ialah amalan Islam yang berdasarkan ilmu dan sikap yang sebenar. Sesungguhnya Islam itu tinggi dan tiada lagi tinggi darinya.

Sekiranya Melayu itu mempamirkan segala kelebihan dan kecantikan ini secara kekal dan tidak berubah walaupun dilanda arus perdana bersifat duniawi dan syaitani.

Sedihnya Allah mendatangkan seolah macam satu bala kepada kaum Melayu kerana ramai yang sudah mengambil leka terhadap segala kurniaan Allah kepadanya. Saya tidak bimbang tentang kaum Cina saya kerana saya tahu Allah ada satu kaum lain yang lebih diutamakan iaitu kaum yang sudah Muslim. Allah akan lagi hebat menujukan fokusNya samada merupakan ujian maupun bala.

Apa yang diturunkan dari Allah hanya dariNya dan bukan dari makhluk melainkan makhluk itu alat semata-mata. Allah datangkan rezekiNya dari langit iaitu cahaya dan hujan yang merupakan makhlukNya yang taat kepada penentuanNya.

Allah sudah turunkan azab yang besar iaitu dalam bentuk fitnah dan hukuman untuk memperingatkan para kekasihnya atau mereka yang mengaku sujud kepadaNya. Saya percaya kes Altantuya adalah bala kepada sekian orang kerana hilangnya barakah dan rahmat Allah kepada mereka. Saya percaya juga kes Sodomi adalah ujian kepada sekian orang kerana hilangnya barakah kerana tindakannya sendiri sebelum ini. Tiada perkara yang terjadi secara kemalangan melainkan ditakdir dan dirancang Allah jua, dengan Hak dan bukan buat main-main. Segala yang terjadi datang dari arah yang tidak diduga tetapi adalah hasil secara tidak langsung dari tindakan asal tangan dan jantung kita sendiri.

Cuba ingat-ingat balik? Apakah ada dalam pencarian harta dan rezeki engkau selama ini ada termasuk unsur yang haram? Ada tak termakan duit atau hak orang lain? Atau hak dan hasil cukai rakyat? Apakah ada banyak atau sikit? Jika sikit akan rasa sikitnya. Jika banyak akan rasa banyaknya bala dan ujian Allah subhanahu wata'ala.

Saya turut merasakan. Kebelakangan ini saya menghadapi kesulitan kewangan. Biasanya saya cuma berdoa dan membaca Ayat Seribu Dinar akan turunlah sakina kepada saya. Tetapi kali ini saya merasakan seolah saya kehilangan sesuatu. Maka beberapa kali selepas solat berjemaah bersama isteri dan anak-anak, saya telah memberikan sedikit kuliah lebih panjang dari biasa kepada mereka. Saya bertanya kepada mereka, apakah mereka tahu mengapa rezeki kita disekat. Atau apakah ini ujian lebih besar dari biasa dari Allah? Atau apakah ada diantara anak-anak yang mencuri duit bapak? Atau apakah ada diantara anak-anak yang lupa berdoa untuk kedua-dua ibu-bapanya? Atau apakah anak-anak ada melakukan maksiat atau alpa tentang amalan fardhu? Atau apakah ada antara ahli keluarga ini yang tidak berzikir atau memperingati antara satu sama lain terutamanya tentang Allah dan maut yang pasti akan datang?

Tengah-tengah soalan-soalan itu terlintas dalam hati mungkin bukan salah anak dan isteri tetapi salah bapa dan suami. Mungkinkah saya yang lupa? Mungkinkah saya yang tidak melakukan apa yang saya anjurkan?

Maka itu sebabnya pagi ini saya bertafakur menghisab diri dan saya rasa lebih baik saya cari pahala sikit dengan mengamalkan maksud Surah Wal-Asri dengan memberikan nasihat buat kaum kerabat saya.

Sekian sahaja nasihat ikhlas dari saya. Ya Allah, ampunilah dosa saya dan kaum keluarga saya. Amin ya Rabbil Alaamiin.

6 comments:

ryzam said...

Thanks..Alhamdulillah nasihat yang bagus

Prof. Era Pasca said...

star...star...star...

Unknown said...

Red,
Ramai orang2 melayu kini belajar Islam hanya untuk tahu Islam, bukan untuk jadi Islam..
Terima kasih Red, saya tahu Red ikhlas, tetapi melayu hari sudah lama diajar oleh pemerintah mereka untuk menerima 'durian runtuh' tanpa mengajar mereka menilai apakah itu sepadan dgn titik peluh mereka..penilaian mereka terhadap rezeki Allah adalah berasaskan akal yg dididik oleh keadaan, bukan lagi yg haq atau bathil

HALIMI MN said...

Moga Tuan sama-sama dapat membantu dan bersama-sama kita berdoa mendapat restu daripadaNYA mengubah Persepsi tentang Islam dikalangan masyarakat majmuk Malaysia dengan menghapuskan anggapan bahawa "Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu".

ReentryCapsule said...

Tak sangka dikala generasi muda Melayu sekarang semakin memperlekehkan Bahasa Ibundanya. Tiba-tiba ada bangsa lain yg lebih menghargainya.Kagum dan teruja.Apa-apahal pun terima kasih Red.

. said...

Salam,

mari pelajari ILMU HAQ