Kes Sodomi jelas lagi memperjelaskan. Ada satu hala-tuju dalam selok-belok latar-belakang kes ini. Segalanya menunjukkan satu matlamat. Caranya kes ini dan kes seumpamanya hampir sedekad sebelum ini menunjukkan ciri dan corak yang sama. Akhir hasilnya akan sama. Tidak kira apa jua penentangan maupun hujah lawan maupun bukti atau tanpa bukti. Kes ini akan disabit kesalahan yang dikehendaki berdasarkan hujah yang paling mudah yakni pengakuan lisan semata-mata. Tidak perlu bukti lain ditokok-tambahkan. Hatta sehingga saksi utama sendiri menyatakan pengakuannya sudah berubah pendakwaraya masih akan menggunakan pengakuan bersumpah yang telah dilafazkan semasa dalam tahanan walaupun secara perbicaraan membuktikan pengakuan sudah berubah (ini semasa kes Sodomi pertama).
Dalam kes Sodomi ke2 tidak ada lagi pelbagai saksi atau mangsa sodomi yang diperkenakan. Cuma seorang sahaja dan fakta-fakta sekelilingnya sama-sama mencurigakan. Terbukti ia berjumpa dengan musuh no.1 Anwar sebelum semua ini. Ternyata dia cuba dapatkan pengesahan doktor yang tidak mengesahkan. Pengakuannya tidak mandi, cebuk atau berak selama 2 hari cukup menimbulkan tanda-tanya. Terbaru anggota DPP menjalin hubungan luar nikah pun terbongkar dan terhasil dengan pembuangan kekasih terbaru itu. Tak lut semua ini.
Anwar Ibrahim pasti akan masuk penjara. Tidak. Ini bukan ramalan, tetapi perkiraan politik. Anwar tidak boleh dibenarkan bermaharajalela di luar, sini sana mengatur dan memperbaiki dan memperkuatkan Pakatan Rakyat. Tempatnya adalah di dalam penjara kerana sekiranya tersabit apa jua kesalahan dan dipenjarakannya maka tidak dapatlah dia bertanding pilihanraya dan bersuara politik.
Sesiapa yang lain di luar sana tidak mungkin buat masa ini memainkan peranan yang sama seperti beliau untuk menyatu-padukan pembangkang BN. Lihatlah sendiri Pakatan Rakyat. Sesama sendiri ceramuk. Sama PAS pun ceramuk. Sama DAP pun ceramuk. Dalam PKR lagilah, jika tak ceramuk, ramai yang lari dibeli. Hilanglah sebuah negeri.
Apakah rakyat akan bangkit secara majoriti? Jawapan tidak. Lihatlah PRU 11. Apabila Anwar berada di dalam penjara, BN menang paling besar walaupun PMnya Pak Lah. Apabila Anwar keluar, BN kalah paling besar walaupun PM yang sama. Pak Lah dimangsakan sebagai lemah padahal faktornya hanya satu iaitu Anwar.
Maka dengan Anwar masuk dalam selepas ini, PRU13 selamat dipanggil dan BN akan menang kembali 2 pertiganya. Rakyat tidak mungkin bangkit dan bersatu dibawah satu Pakatan Rakyat. Maka apa pilihan lagi untuk rakyat? ISA akan diasah lagi dan lebih kurang 100 lagi akan ditarik kekebasan mereka atas kononnya mengugat keselamatan negara.
Rakyat hilang pilihan tetapi Anwar tetap ada satu sahaja pilihan. Iaitu Anwar perlu mengangkat sumpah, "Wallahi, Wabillahi.. saya tidak sodomi. Laknatlah Allah ke atas saya dan keluarga saya sekiranya palsu saya." Saya sudah dengar hujah Anwar dan kawan-kawan lain mengenai sebab dan nasihat ulama tentang tidak boleh mengangkat sumpah dalam soal ini. Saya bersetuju dengan hujah tersebut. Tetapi ada juga ulama lain iaitu Dr. Asri, Mufti Perlis masa itu berkomen mengenai perkara yang sama dan beliau menasihati patut dilafazkan sumpah jawapan oleh Anwar. Dalam perkara ini saya terpaksa bersetuju dengan Dr. Asri. Hujah saya adalah yang di atas. Sekiranya tidak, arus mematikan Anwar akan berterusan tanpa batasan. Menjunjung Al-Quran dan melafazkan sumpah tersebut serta dirakamkan raut wajahnya semasa sumpah tersebut mungkin tindakan terakhir yang boleh membalikkan hati-nurani rakyat yang masih atas pagar mengenainya.
Mungkin Allah SWT menginginkan kaedah penyelesaiannya sedemikian? Atau tunggu sahaja di akhirat dimana hanya satu Raja segala Raja? Bagaimana tentang dunia ini? Serahkan sahaja kepada mereka yang amat cinta terhadapnya. Anwar pasti masuk penjara.
(Saya baru tonton semula ucapan Dr Asri, rupa-rupanya junjung Al-Quran (semasa bersumpah) itu tidak perlu. Maka disini saya turunkan ralatnya)
No comments:
Post a Comment