20 July, 2010

Libya Sanjung Malaysia


Dua bulan yang lepas saya telah dijemput untuk menghadiri persidangan antarabangsa mengenai Pentadbiran Elektronik oleh Persatuan MultiMedia Libya. Persidangan itu berlangsung 3 hari tetapi saya dapat lebih 3 hari ke sana ke mari dan dapat mengikuti perbincangan walaupun dalam bahasa Arab kerana ada penterjemahan serentak ke dalam bahasa Perancis serta Inggeris. Saya dapat bertemu dengan ramai wakil terutamanya dari benua Arab dan Afrika lain seperti Algeria, Oman, Palestin, Mesir, Iraq, Yemen dan Zambia, negera asal isteri saya.

Saya juga di bawa melawat universiti terbesar di Benghazi (seramai 90 ribu penuntut) dan juga dari segi keluasan kawasan meliputi tanah sepanjang 1,200 km! Saya memberi sedikit ceramah kepada penuntut dan pensyarah di sana dan mendapati mereka ini cukup menghormati rakyat Malaysia. Malah semasa di lapangan terbang Tripoli dimana kami sampai terlalu lambat untuk menaiki pesawat, pengarah dan kakitangan sana telah memberi kami layanan VIP dengan membawa kita ke bilik khas serta memastikan tiket ganti diurus secara peribadi. Pembawa kami cuma perlu sebut bahawa kami ini "Min Malazi".

Saya pun bertanya kepada Prof Dr. Arteimi, Pengerusi Society of Artificial Intelligence Libya, mengapa ia sedemikian. Apakah kerana kehebatan Malaysia semasa zaman Dr. Mahathir? Beliau jawab bahawa ia berpunca daripada kisah-kisah yang dibawa oleh nenek moyang mereka apabila bertembung dengan jemaah haji di Makkah. Mereka menyaksikan bahawa rakyat Arab dan Afrika lain adalah kasar dan senantiasa menolak orang lain tetapi rakyat dari Nusantara iaitu Melayu dan Indonesia tidak. Apabila mereka kembali ke Libya mereka pun cerita semua ini kepada anak-anak mereka bahawa orang Melayu merupakan orang yang sopan santun sehingga mereka ingin sangat datang berkunjung ke Malaysia.

Kini Libya sudah ditamatkan pemulauan ekonomi oleh dunia barat sejak tahun 2003 dan pesat membangun. Rupanya amat berdebu dengan syarikat gergasi Cina dan Barat mengejar keduniaan di sana. Suasana sana saya sifatkan seolah Kota Bahru 20 tahun yang lepas.

Saya juga mungkin kembali ke Libya dengan lebih kerap kerana mereka minat menggunakan perisian sumber terbuka ADempiere yang diceburi oleh saya. Kali ini saya ingin menetap di sana lebih lama dan menjelajah ke Barat merentasi Tunisa, Algeria, Maghribi, dan merentasi tanjung Gilbratar memasuki benua Eropah menerusi Sepanyol dimana saya ingin menetap suasana Granada dan Cordoba serta masjid-masjid yang telah dibangunkan semula oleh Shaykh saya - Abdal Qadir AlMurabit. Libya juga adalah negeri shaykhnya iaitu AlMarhum Shaykh Al-Fayturi.

Apabila dah puas satu pusingan barat dan ke utara termasuk Perancis dan Italy maka lain kali saya merancang ke Barat pula iaitu merentasi Mesir dan menyaksikan saki baki Firaun serta sampai ke tanah Gaza. Ingin sangat saya menetapi suruhan Allah supaya bermusafir untuk menyaksikan kebesaranNya serta mengutip pengalaman maupun membuka pintu rezeki. Amin!

2 comments:

Unknown said...

salam tuan guru, Red1. Tahniah! kerana banyak mengembara menabur ilmu. Dr Nurhizam pun ada di sebelah tu. samapaikan salam saya padanya...

Azrul said...

Great job! do keep us posted