13 July, 2010

ESQ Haram

Saya tidaklah berminat dengan ESQ walaupun berkali-kali dipelawa oleh salah seorang kuatnya sejak beberapa tahun yang lepas. Saya ditawarkan untuk menyertainya secara percuma tetapi tetap saya melepaskan peluang tersebut berdasarkan beberapa pendapat peribadi saya:

0. Tidak jelas program ESQ ini urusan dakwah Islamiah atau sekadar motivasi semata-mata. Jika ia motivasi sahaja maka bolehlah. Saya perhati ada unsur ilmiah dari pakar motviasi bernama Steven Covey (seorang Mormon, iaitu cabang yang sesat dari kumpulan Kristian umum) dan beberapa teori saintifik yang popular yang pernah saya pelajari tetapi tidaklah sehingga boleh diguna-pakai bagi maksud Tauhid. Secara umum, ESQ bertujuan ke arah tujuan dakwah maka seterusnya bolehlah saya anggapnya sedemikian dalam pendapat saya seterusnya.

1. Risalah Islam tidak seharusnya dikenakan bayaran, lebih-lebih lagi kos yang terlalu tinggi. Apa akan jadi dengan mereka yang tidak mampu membayar kos yang tinggi? Kurang ke tidak pencapaian ketauhidan mereka? Para anbiya pun tidak kenakan bayaran malah diharamkan meminta apa jua balasan. Ini mencorakkan urusan berdakwah supaya bersifat bebas, terbuka dan belas kasihan kepada orang lain.

2. Fahaman Islam seperti 99 nama Allah merupakan perkara yang amat mudah sepatutnya difahami secara fitrah oleh kita tanpa kursus yang khusus atau menurut pengasas ESQ semata-mata. Malah, pernah saya ceritakan kepada sahabat saya bahawa mengenal nama-nama Allah merupakan perkara yang awal-awal saya pelajari dan maka sudah hilang kehairanan kepada keajaibannya setelah sekian lama saya memeluk Islam sejak tahun 1980 dahulu. Malah saya merasakan hairan mengapa umat Islam lain biasanya tak mengenal nama atau sifat utama Allah dengan betul. Saya telah terangkan contohnya rahsia rezeki dalam beberapa tulisan yang lalu dimana masih ramai yang tidak mengenali rahsia Ayat Seribu Dinar yang menyingkap sifat Ar-Razaq, Pemberi Rezeki yang sudah terjamin dan hanya perlu diusahakan ketaqwaan terlebih dahulu sebelum memikirkan rezeki.

Saya berkesimpulan (sepertimana dengan aliran dakwah Islam yang lain seperti gerakan Tabligh, Tarikat, politik PAS) bahawa rata-rata ramai ahli penganut tidak minat kepada ilmu dan masih sambil lewa dengan soal menghilangkan taklid mereka dalam mengejar ilmu dan iman secara sah dan berguru. Ayat Al-Quran adalah jelas, seperti "apabila didatangi kepada mereka ayat, lalu mereka beriman" dimana tidak dilengahkan soal iman dan seterusnya "aku dengar lalu aku taat". Mengapa masih ramai orang kita yang dengar macam tak dengar? Soal dinar misalnya masih ramai yang soal saya, "bagaimana sekiranya tak cukup emas"? sebagai alasan mempersoalkan kesesuaiannya dinar pada saat ini.

Bagaimanapun, saya tidaklah merasakan senang hati diharamkan ESQ, walaupun fatwanya saya baca dan ada alasannya yang cukup serius. Saya melihat ada lagi urusan keutamaan dan isu yang lebih serius untuk diharamkan iaitu soal duit kertas yang jelas haram kerana dicipta oleh cerdik pandai Yahudi dan dikenakan kos kepada kita dengan label inflasi tanpa kita sedari sejak turun-menurun, Bank Islam yang mempergunakan istilah dan konsep Islam untuk membuat kita menyangka bahawa yang riba itu adalah faedah bunga bank semata-mata, padahal itu tidak tepat dan memesong dari melihat kepada riba yang sebenarnya pada wang kertas itu sendiri.

Majlis Agama sepatutnya lebih kuat mengharamkan rasuah dan kaedah rasuah yang makin lick kian hari, dimana saya telah menyaksikan ia dilakukan oleh ramai juga para sahabat saya tanpa kira aliran politik suka melakukan sebaik sahaja menaiki kerusi politik. Mereka harus diberi amaran dengan seterang-terangnya sehingga mana-mana jua tokoh politik atau ikan besar akan merasakan haba api neraka didunia ini jua. Majlis Agama hendaklah serius menjaga kesejahteraan umat dan bukan sekadar di atas kain sajadah sahaja.

2 comments:

musafir said...

Setuju. dalam hal-hal yang jelas haram nya, tiada fatwa nak di keluarkan. adakah sebab takut dilucut jawatan!!

Rancangan2 TV yg diambil dari luar yang jelas bertelanjang.... di mana fatwanya?

dll perkara yang sedang berlaku.

...Dulu nafsu menurut ilmu tetapi sekarang ilmu menurut nafsu... inilah akibatnya....

musafir said...

macam2 perkara wujud di akhir zaman ni... di sebabkan kejahilan maka mudah tertipu...