31 July, 2010

Mahathir Perlu Selamatkan Ling Liong Sik?

Apabila Tun Dr Ling Ling dibawa ke mahkamah dua hari lepas atas tuduhan menipu kabinet, ia adalah kes yang cukup besar maknanya. Pertama, kabinet yang Tun tipu masa itu diketuai oleh seorang lagi Tun (masa itu Dato Seri) Dr. Mahathir Mohamad. Sepertimana semua sedia maklum, rakyat Malaysia yang paling berpengaruh kini masih merupakan Dr. Mahathir dan beliau mampu menyelamatkan Tun Dr. Ling-a-Ling. Soalnya, apakah betul analisis ini?

Dr. Mahathir merupakan akitek atau perancang paling licik yang menjatuhkan Pak Lah sebelum ini. Dr. Mahathir jugalah yang mampu bermain tali dengan PM sekarang, iaitu Najib Razak, kerana Najib terjerumus dalam kes antarabangsa Altantuya dimana kredibilitinya disoal dan amat memerlukan tokoh bijaksana seperti Dr. Mahathir untuk menyelamatkan. Tentu sekali Dr. Mahahtir bukan sahaja akan cuba menyelamatkan tetapi akan lebih cuba mempergunakan. Inilah seni politik tersemat. Dalam sains politik, semuanya betul. Tetapi dalam seni politik ada yang tak betul kerana hendak membetulkan yang tidak boleh betul. Dalam bahasa Inggeris ia disebut, "Politics is the Art of the Impossible".

Nampak seolah ini dipergunakan oleh Najib untuk cuba mengawal Dr. Mahathir supaya lebih serius menyelamatkan imejnya daripada memperkudakan kedudukan trofinya (buat wayang je) yang tidak stabil. Dengan didakwa Dr. Ling tadi, maka Najib memegang satu kad pakau mata satu yang boleh memaksa Dr. Mahathir berfikir lebih dalam lagi apa harus dilakukan seterusnya.

Rakyat pula terpingga dan ada yang tersorak seronok kerana menyaksikan seekor jerung kelas satu diheret ke mahkamah dengan begitu rendah diri dan sedih bagi keluarga dan konco-konco Dr. Ling.

Mahathir perlu berfikir panjang dan lebar. Kes Anwar belum selesai. Kes Ling baru nak buka. Ah.. buat PRU la. Amacam Najib? I sokong you habis-habis. Lepas Anwar masuk dalam kita bubar. Saya banyak ide baru. Pasti ade yang terkene. Cina ini saya kenal semua. Saya tau cuit mereka. Kita guna Perkasa, lepas tu kita tangkap Ibrahim Ali tu last minute. Gerentee lekat hati kaum Cina. Yang India pula, kita tangkap juga Samy Vellu.

Sebenarnya, saya rasa adegan di atas ini sudah main lama dah dalam otak 'Inception' Dr. Mahathir. Kan dah kata dulu, dialah mastermind ala Sun Tze's Art of War. Apabila kuat, buat macam lemah. Apabila lemah, buat macam kuat. Kini dialah yang kuat. Dia buat macam lemah. Sebenarnya mungkin Dr. Mahathir sudah merancang supaya beberapa kroni politiknya (berbeza dengan kroni bisnes seperti Eric Chia, Daim Zainudin dan Vincent Tan) akan masuk dalam untuk mengharumkan nama Najib. Selama ini rupa-rupanya Najib dalam tangan Dr. M.

Kesian Anwar, Ling dan Samy.

Tahniah Najib, menang lagi PRU13 nanti.

30 July, 2010

Anugerah Rasuah Negara

Kita sepatutnya mengadakan pertandingan tahunan untuk menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk satu Anugerah Rasuah Negara kepada tokoh politik maupun yang berkuasa ke atas pencapaian yang terbaik dalam bidang rasuah dan bukannya dengan cara hukuman penjara dan denda. Ini lebih bertujuan mengelak dan insentif awal kerana tokoh terlibat boleh mendapat hadiah terus dan elak dari melakukan rasuah dan kemudiannya baru dapat tangkap dan akhirnys semua pihak rugi termasuk dirinya sendiri.

Dengan tuduhan ke atas Tun Dr. Ling Liong Sik semalam, kebanyakan rakyat prihatin amat menaruh harapan bahawa ikan-ikan jerung lain yang sebenarnya ditangkap. Hanya Allah dan mereka sahaja yang terlibat mengetahui tentang berapa ramai lagi ikan yang masih berenang di luar sana dan berapa billion ringgit yang sudah teralir keluar. Ini menaikkan kos barangan kerana menurunkan kepercayaan dunia kepada kita sehingga turunnya nilai wang ringgit dan indeks Pelaburan Asing FDI.

Dengan menawarkan anugerah yang anggun dan membanggakan, bukan dengan menawarkan penyapu seperti yang dilakukan oleh Khir Toyo untuk kakitangan kerajaan negeri yang tidak mencapai prestasi. Tidak. Ia mesti lebih terhormat dan mesti ditujukan bukan kepada soal produktiviti kerja tetapi soal rasuah kerana ia kategori yang tersembunyi, paling menguggat ekonomi negara, keselamatan diri kita serta kerugian mutlak pembayar cukai semua.

Antara hadiah menarik bolehlah diminta sumbangan dari bakal hasil pendapatan mereka yang haram itu secara purata contohnya 5% yang semestinya memasuki jutaan ringgit. Kes PKFZ yang menelan berbillion ringgit tambahan sekiranya dikira 5% apalah sangat berbanding 95% pulangan hasil itu nanti.

Kaedah MACC dan Peguam Negara hari ini tidak efektif kerana cara mereka ialah dengan menyiasat, menangkap, mengheret ke mahkamah, dituduh dan diadili secara berpanjangan yang menelan kos yang berterusan merugikan lagi duit rakyat. Belum kira lagi ikan-ikan tersebut selalunya terlepas kembali ke lautan antarabangsa.

Sekiranya ditawarkan hadiah lumayan 5% dan pingat bebesaran serta anugerah berprestij tanpa hukuman penjara, saya percaya ramai yang akan tampil ke hadapan dan MACC pun bolehlah dikecilkan dan tidak pula takut ditawarkan rasuah pula oleh pihak yang disiasat.

Skim sedemikian pernah ditawarkan kepada PATI, penagih dadah, orang bangkerap dan juga pesalah penjara sekiranya berkelakuan baik. Maka apa salahnya bertindak lebih proaktif dan kreatif.

Apa pendapat anda semua?

28 July, 2010

Mahathir Lagi Bebas Dari Tun Razak




Hari ini saya mengunjungi Pejabat Harakah kerana menerima jemputan untuk menyertai NGO bernama KAMI yang mendesak kerajaan memansuhkan Akta Mesin Cetak 1984. Cukup untung bersua kembali Haji Subky Latif dan Ahmad Lutfi (Ketua Pengarang Harakah) selepas 15 tahun sejak saya meninggalkan PAS pada tahun 1995. Juga turut hadhir bersama ialah Ibnu Hashim dan Tarmizi Md Jam. Semua (bekas) sahabat lama ini kelihatan seolah tidak banyak berubah dari segi raut wajah melainkan Tarmizi itu lebih besar saiz pinggangnya. Turut hadhir Penasihat Undang-undang Harakah dan Prof Aziz Bari.

Haji Subky mengolah tentang sejarah kebebasan akhbar dalam negara dimana zaman PM kedua dan ketiga, iaitu Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn merupakan zaman yang cukup kurang memberi kebebasan akhbar terutamanya dengan kawalan saham oleh individu UMNO ke atas Utusan Melayu masa itu.

Haji Subky membawa analisisnya dimana zaman Dr. Mahathir merupakan detik permulaan era kebebasan akhbar secara beransur-ansur. Subky berharap supaya PM sekarang, Dato Najib tidak pula kembali kepada zaman ayah dan zaman bapa saudaranya itu.

Hj, Subky diberi masa lama untuk berseloroh dan bercerita tentang sejarah penubuhan Utusan Melayu sehingga dipimpin oleh Yusuf Ishak (selepas itu menjadi Presiden Singapura). Saya dapat mengenali beberapa fakta penting yang cukup berharga dalam majlis hari ini. Hj Subky tetap saya sanjungi sebagai salah seorang mentor semasa zaman saya dulu dalam PAS yang cukup berisi fakta tajam setiap kali beliau berceramah.

Pada tahun 1990, beliau pernah bertanya kepada saya untuk cuba teka sepatutnya bilakah Anwar Ibrahim akan menjadi PM Malaysia. Saya menjawab, 'tahun 2000 agaknya'. Subky mengejutkan saya dengan jawapan '1986'. Saya terpingga-pingga sehinggalah Subky menjelaskan bahawa peluang Anwar dan pembangkang masa itu lebih cerah sekiranya Anwar tidak masuk UMNO tetapi kekal sebagai ketua barisan pembangkang. Ah!.. memang cukup tajam pemikiran Haji Subky Latif!

20 July, 2010

Libya Sanjung Malaysia


Dua bulan yang lepas saya telah dijemput untuk menghadiri persidangan antarabangsa mengenai Pentadbiran Elektronik oleh Persatuan MultiMedia Libya. Persidangan itu berlangsung 3 hari tetapi saya dapat lebih 3 hari ke sana ke mari dan dapat mengikuti perbincangan walaupun dalam bahasa Arab kerana ada penterjemahan serentak ke dalam bahasa Perancis serta Inggeris. Saya dapat bertemu dengan ramai wakil terutamanya dari benua Arab dan Afrika lain seperti Algeria, Oman, Palestin, Mesir, Iraq, Yemen dan Zambia, negera asal isteri saya.

Saya juga di bawa melawat universiti terbesar di Benghazi (seramai 90 ribu penuntut) dan juga dari segi keluasan kawasan meliputi tanah sepanjang 1,200 km! Saya memberi sedikit ceramah kepada penuntut dan pensyarah di sana dan mendapati mereka ini cukup menghormati rakyat Malaysia. Malah semasa di lapangan terbang Tripoli dimana kami sampai terlalu lambat untuk menaiki pesawat, pengarah dan kakitangan sana telah memberi kami layanan VIP dengan membawa kita ke bilik khas serta memastikan tiket ganti diurus secara peribadi. Pembawa kami cuma perlu sebut bahawa kami ini "Min Malazi".

Saya pun bertanya kepada Prof Dr. Arteimi, Pengerusi Society of Artificial Intelligence Libya, mengapa ia sedemikian. Apakah kerana kehebatan Malaysia semasa zaman Dr. Mahathir? Beliau jawab bahawa ia berpunca daripada kisah-kisah yang dibawa oleh nenek moyang mereka apabila bertembung dengan jemaah haji di Makkah. Mereka menyaksikan bahawa rakyat Arab dan Afrika lain adalah kasar dan senantiasa menolak orang lain tetapi rakyat dari Nusantara iaitu Melayu dan Indonesia tidak. Apabila mereka kembali ke Libya mereka pun cerita semua ini kepada anak-anak mereka bahawa orang Melayu merupakan orang yang sopan santun sehingga mereka ingin sangat datang berkunjung ke Malaysia.

Kini Libya sudah ditamatkan pemulauan ekonomi oleh dunia barat sejak tahun 2003 dan pesat membangun. Rupanya amat berdebu dengan syarikat gergasi Cina dan Barat mengejar keduniaan di sana. Suasana sana saya sifatkan seolah Kota Bahru 20 tahun yang lepas.

Saya juga mungkin kembali ke Libya dengan lebih kerap kerana mereka minat menggunakan perisian sumber terbuka ADempiere yang diceburi oleh saya. Kali ini saya ingin menetap di sana lebih lama dan menjelajah ke Barat merentasi Tunisa, Algeria, Maghribi, dan merentasi tanjung Gilbratar memasuki benua Eropah menerusi Sepanyol dimana saya ingin menetap suasana Granada dan Cordoba serta masjid-masjid yang telah dibangunkan semula oleh Shaykh saya - Abdal Qadir AlMurabit. Libya juga adalah negeri shaykhnya iaitu AlMarhum Shaykh Al-Fayturi.

Apabila dah puas satu pusingan barat dan ke utara termasuk Perancis dan Italy maka lain kali saya merancang ke Barat pula iaitu merentasi Mesir dan menyaksikan saki baki Firaun serta sampai ke tanah Gaza. Ingin sangat saya menetapi suruhan Allah supaya bermusafir untuk menyaksikan kebesaranNya serta mengutip pengalaman maupun membuka pintu rezeki. Amin!

13 July, 2010

ESQ Haram

Saya tidaklah berminat dengan ESQ walaupun berkali-kali dipelawa oleh salah seorang kuatnya sejak beberapa tahun yang lepas. Saya ditawarkan untuk menyertainya secara percuma tetapi tetap saya melepaskan peluang tersebut berdasarkan beberapa pendapat peribadi saya:

0. Tidak jelas program ESQ ini urusan dakwah Islamiah atau sekadar motivasi semata-mata. Jika ia motivasi sahaja maka bolehlah. Saya perhati ada unsur ilmiah dari pakar motviasi bernama Steven Covey (seorang Mormon, iaitu cabang yang sesat dari kumpulan Kristian umum) dan beberapa teori saintifik yang popular yang pernah saya pelajari tetapi tidaklah sehingga boleh diguna-pakai bagi maksud Tauhid. Secara umum, ESQ bertujuan ke arah tujuan dakwah maka seterusnya bolehlah saya anggapnya sedemikian dalam pendapat saya seterusnya.

1. Risalah Islam tidak seharusnya dikenakan bayaran, lebih-lebih lagi kos yang terlalu tinggi. Apa akan jadi dengan mereka yang tidak mampu membayar kos yang tinggi? Kurang ke tidak pencapaian ketauhidan mereka? Para anbiya pun tidak kenakan bayaran malah diharamkan meminta apa jua balasan. Ini mencorakkan urusan berdakwah supaya bersifat bebas, terbuka dan belas kasihan kepada orang lain.

2. Fahaman Islam seperti 99 nama Allah merupakan perkara yang amat mudah sepatutnya difahami secara fitrah oleh kita tanpa kursus yang khusus atau menurut pengasas ESQ semata-mata. Malah, pernah saya ceritakan kepada sahabat saya bahawa mengenal nama-nama Allah merupakan perkara yang awal-awal saya pelajari dan maka sudah hilang kehairanan kepada keajaibannya setelah sekian lama saya memeluk Islam sejak tahun 1980 dahulu. Malah saya merasakan hairan mengapa umat Islam lain biasanya tak mengenal nama atau sifat utama Allah dengan betul. Saya telah terangkan contohnya rahsia rezeki dalam beberapa tulisan yang lalu dimana masih ramai yang tidak mengenali rahsia Ayat Seribu Dinar yang menyingkap sifat Ar-Razaq, Pemberi Rezeki yang sudah terjamin dan hanya perlu diusahakan ketaqwaan terlebih dahulu sebelum memikirkan rezeki.

Saya berkesimpulan (sepertimana dengan aliran dakwah Islam yang lain seperti gerakan Tabligh, Tarikat, politik PAS) bahawa rata-rata ramai ahli penganut tidak minat kepada ilmu dan masih sambil lewa dengan soal menghilangkan taklid mereka dalam mengejar ilmu dan iman secara sah dan berguru. Ayat Al-Quran adalah jelas, seperti "apabila didatangi kepada mereka ayat, lalu mereka beriman" dimana tidak dilengahkan soal iman dan seterusnya "aku dengar lalu aku taat". Mengapa masih ramai orang kita yang dengar macam tak dengar? Soal dinar misalnya masih ramai yang soal saya, "bagaimana sekiranya tak cukup emas"? sebagai alasan mempersoalkan kesesuaiannya dinar pada saat ini.

Bagaimanapun, saya tidaklah merasakan senang hati diharamkan ESQ, walaupun fatwanya saya baca dan ada alasannya yang cukup serius. Saya melihat ada lagi urusan keutamaan dan isu yang lebih serius untuk diharamkan iaitu soal duit kertas yang jelas haram kerana dicipta oleh cerdik pandai Yahudi dan dikenakan kos kepada kita dengan label inflasi tanpa kita sedari sejak turun-menurun, Bank Islam yang mempergunakan istilah dan konsep Islam untuk membuat kita menyangka bahawa yang riba itu adalah faedah bunga bank semata-mata, padahal itu tidak tepat dan memesong dari melihat kepada riba yang sebenarnya pada wang kertas itu sendiri.

Majlis Agama sepatutnya lebih kuat mengharamkan rasuah dan kaedah rasuah yang makin lick kian hari, dimana saya telah menyaksikan ia dilakukan oleh ramai juga para sahabat saya tanpa kira aliran politik suka melakukan sebaik sahaja menaiki kerusi politik. Mereka harus diberi amaran dengan seterang-terangnya sehingga mana-mana jua tokoh politik atau ikan besar akan merasakan haba api neraka didunia ini jua. Majlis Agama hendaklah serius menjaga kesejahteraan umat dan bukan sekadar di atas kain sajadah sahaja.