13 November, 2009

Apakah MSC Kalah Perang Saraf Jenama?

Dalam MSC8.pdf saya menyatakan dengan menggunakan analisa P.E.S.T. pada mukasurat 2 dimana cabaran pertandingan dengan dunia, MSC tengah kalah, dan harapan atau peluangnya saya telah memberi contoh projek dari kebun di Kuang sebagai berjaya meraut kedudukan pertama dalam dunia.

Maksud 'perang jenama' adalah penting untuk difahami sebagai satu perang saraf peringkat antarabangsa. Dalam buku 'Positioning - The Battle of the Mind' tulisan guru marketing Al Ries dan Jack Trout ada mengambarkan bahawa realiti adalah bergantung kepada persepsi atau imej.

Dalam perang jenama dengan dunia, YAB Tun Dr. Mahathir dengan memahami konsep tersebut, berjaya meletakkan persepsi terhadap Malaysia sebagai sebuah pencabar utama dunia satu ketika dahulu. Mengapa kini imej tersebut payah dipertahankan? Apakah sudah berubah kebolehan rakyatnya? Jawapannya ialah tidak. Kami masih belum berubah sebagai pencabar gergasi dunia. Lihatlah pada tokoh seperti Jimmy Choo, Nichols David, Michele Yeoh dan pembuat thumb-drive. Apa yang berubah adalah perang saraf persepsi.

Sebagai contoh, semasa zaman Pak Lah, beliau gagal menonjolkan imej sepatutnya dan walaupun beliau seorang yang cukup baik, namun persepsi umum terhadapnya menjatuhkannya. Begitu juga mengenai MSC, saya percaya pencapaian MSC cukup tinggi. Lihatlah kad pengenalan bercip dan passport automatik kita yang tidak ada tandingan lain di dunia? Tetapi apakah dunia sedar tentang itu?

Apabila saya berjalan masuk ke pekarangan MDec, saya tidak dapat merasa imej tersebut dari papan-papan iklan dan ayat-ayat yang terpampar kiri, kanan dan atas dinding. Jika saya berjalan masuk Universiti Lim Kok Wing, saya dapat rasa kebijaksanaan LKW dalam mempertonjolkan tempatnya sebagai tokoh besar dunia, walaupun saya tidak percaya kepada Lim Kok Wing secara peribadi dan tidak ingin membantunya. Saya percaya kepada jenama Malaysia dan ingin membantu Malaysia.

Hakikatnya kita nombor 1. Tetapi kita gagal menjual diri kita kepada dunia. Sudah sampai masanya kita sedar tentang betapa pentingnya memahami teori menaikkan jenama yang sebenarnya dan mengorak langkah ke arah itu. Saya syorkan kepada mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut supaya Google atau Wikipedia untuk 'Al Ries' and 'Jack Trout'.

12 November, 2009

Mengapa IAP mengambil orang luar?

Mengenai IAP-MSC, saya tertanya-tanya mengapa ia dianggotai secara pengaruhnya oleh tokoh-tokoh asing yang tidak kena-mengena dengan budaya atau kebolehan kita secara fitrah. Orang putih (dengan segala hormatnya kepada mereka kerana mendiang ayah mertua saya orang putih) bukanlah kisah sangat dengan permasalahan kita kerana mereka sendiri sudah terplay-out dengan kancah kemelut sendiri terutamanya krisis ekonomi yang mereka sendiri ciptakan.

Apakah pengerusi Forbes iaitu Steve Forbes ingin lihat kita maju dengan ide dari dirinya sekiranya ada? Tentu dia mahu ide itu untuk diri sendiri dulu iaitu melariskan pihak Amerika Syarikat yang kini ingin menyedut seberapa banyak titik minyak atau darah dari bumi Timur Tengah sebelum kiamat.

Saya cukup terkilan bahawa IAP-MSC tidak melantik seorang pun tokoh Malaysia supaya diletakkan pada tempat yang sebenar iaitu menasihati negara tercinta sendiri. Apakah rakyat sendiri tidak boleh didahulukan atau mereka tidak mampu mengutamakan produktiviti?

Kita patut ingat - dunia barat sudah gagal - dulu, kini, dan selama-lamanya. Bukan hambo roiyak tetapi Allah roiyak dalam al-Kitab. Sekiranya kita ingin mati dalam iman (seperti P.Ramlee berkata dalam AliBaba) kita harus kembali kepada petunjuk Ilahi, bahawa "anda lebih tahu urusan dunia anda sendiri"

Saya cukup bangga kerana atas kesedaran sedemikian saya dapat mencipta sejarah dunia atas kebun dan bumi sendiri tanpa satu sen pun dari MSC maupun Forbes. Akhbar tempatan yang dikutip blog tempatan maupun blog Jerman sudah iktiraf sedemikian.

Saya bangga kerana Allah kurniakan pada tapak kaki dan tanah air ku.

(alangkah nikmatnya tanah air ku sekiranya Najib memperkenalkan ketua dunia Open Source ERP yang disokong tiga puluh buah negara kepada mereka sebagai kejutan)

08 October, 2009

Kehilangan 4 billion ringgit

Kita harus protes secara aman mengenai sesuatu yang berjumlah sebesar itu. Tidak, ia bukan hilang menerusi skandal tetapi menerusi cara lesen perisian komputer yang berjumlah lebih RM4 billion setakat ini.

Kerajaan bukanlah innovator yang baik. Ini adalah pendapat kebanyakan pakar dunia. Tetapi kerajaan adalah regulator atau penjaga peraturan. Ia boleh meletakkan peraturan baru yang membawa kepada innovasi secara tidak langsung. Kerajaan bukan rakyat kerana ia lebih kecil dari rakyat. Rakyatlah yang bakal bergerak untuk membawa perubahan besar kepada dirinya. Kerajaan cuma mengatur.

Contohnya bagi menaikkan daya modal insan, kerajaan tidak dapat memaksa majikan untuk memberi kursus dan latihan sumber manusia kepada kakitangan. Tetapi kerajaan boleh menerusi peraturan cukai ke atas majikan iaitu satu peratus ke atas jumlah gaji pekerja untuk dimasukkan ke dalam tabung pembangunan sumber manusia atau HRDF dimana 80% darinya boleh dikembalikan menerusi kursus latihan yang dijalankan.

Begitu juga untuk menyelesaikan soal jumlah lesen perisian yang begitu besar. Kerajaan boleh mencukai satu peratus kepada syarikat gergasi sedemikian. Microsoft sudah pun didenda satu juta dollar Amerika sehari di Amerika Syarikat. Di Kesatuan Eropah, ia pula disaman 1.7billion euro. Ini memaksa Microsoft menurut kehendak Eropah seperti memberi lebih kebebasan kepada pengguna.

Di Malaysia kita mungkin kurang agresif dan tidak mengenakan denda tetapi kita memang boleh mengenakan cukai yang amat berpatutan. Hasil cukai tersebut boleh mencecah 40 juta ringgit dan ia boleh digunakan untuk melatih pengguna sumber terbuka serta membiayai projek awal membuktikan keberkesanan sumber terbuka bagi organisasi besar atau sederhana. Kejayaan dan bukti tersebut boleh menyakingkan pengguna supaya kurang bergantung kepada perisian tertutup yang mengenakan kos lesen yang tinggi seperti SAP, Oracle dan Microsoft.

Baru-baru ini saya terdengar dari kawan dalam Telekom Malaysia bahawa ia terbelanja 400 juta ringgit untuk SAP tetapi ia gagal untuk melakukan e-perolehan. Padahal perisian terbuka projek saya iaitu ADempiere mampu melakukannya tanpa kos lesen. Cuma bayar kos manusia sahaja. Dengan itu, kos itu tidak akan mengalir keluar tetapi kembali ke dalam kocek rakyat sendiri.

Kita sedia maklum bahawa kita sering dianiaya oleh kuasa asing yang bukan bersifat perikemanusiaan melainkan berpura-pura sahaja. Apa yang kita tidak dapat jimat seperti bergantung kepada banyak jenama barat atau luar dari Jepun tidak dapat dielakkan. Tetapi dalam bidang perisian komputer ia sesuatu yang kita mampu membebaskan diri. Menerusi pembelajaran dan penguasaan ke atas sumber terbuka.

Ayuh, kita protes secara tulisan siber, dan memberi link protes ini kepada mereka samada menerusi rantaian emel dan sebagainya. Tolonglah. Kesianlah duit kita. Saya merayu supaya kita boleh dengan 2 klik sahaja membantu diri kita, negara kita dan generasi kita akan datang supaya tidak hidup lebih melarat daripada sekarang.

30 September, 2009

Mengapa Kita Segan

Sudah cukup dengan malas, ada ramai antara kita yang amat segan. Bukan kepada Allah tetapi kepada diri sendiri. Tidak berani yang diri itu ada bakat atau nilai yang boleh dibina dan dicungkil sehingga ke peringkat antarabangsa.

Apabila saya berada di Jerman, saya berceramah di sebuah universiti di sana (tahun 2007) dan dapati orang Jerman pun takut atau segan untuk bertanya soalan. Ia adalah naluri biasa manusia bersifat sensitif dan bimbang akan kritikan. Walaupun orang Jerman atau Amerika dikatakan amat terbuka kepada kritikan tetapi cubalah kritik kawan kita orang Barat tu. Memang terasa dia.

Apatah lagi kita. Tak lama lagi saya akan pergi berceramah di UTM Skudai 5hb Oktober ini mengenai pencapaian saya Buku Open Source ERP .

Saya bukan malas nak pergi malah amat minat bercerita tentang bidang kesukaan saya. Tetapi saya rasa sedih apabile tidak ramai yang berani bertanya soalan yang mencabar kepada saya.

Begitu juga semasa saya menjadi orang kuat PAS dan mencabar Daim Zainuddin pada tahun 1986 untuk kerusi parlimen. Saya diusung ke sana ke mari untuk berceramah. Saya amat minat apabila ia adalah di Universiti. Kerana lebih cerdik pandai di sana untuk mencabar kita balik. Saya tidak minat sekiranya tiada orang bertanya balik. Adapun yang bertanya biasanya soalan sterotaip dan dijangka seperti,

"PAS itu Islam. Apakah Umno itu sama?" Soalan yang terlalu jelas polemiknya.

Kita mesti tajam pemikiran kita dan tidak harus asyik mengambil pendapat dari pihak lain tanpa soal. Allah berikan kita akal bukan untuk hafalan, tetapi untuk pemikiran.

22 September, 2009

Mengapa Kita Malas

Saya bersetuju dengan satu teori bahawa manusia yang menduduki kawasan di sepanjang khatulistiwa yang mempunyai cuaca baik, panas, dengan air hujan yang lumayan serta bumi yang subur akan menjadi malas dan tidak bermaya untuk berfikir panjang.

Padahal orang yang hidup dalam kawasan merbahaya seperti tempat gempa-bumi, tsunami, sejuk, dengan gurun pasir akan terasa terancam dan secara fitrah akan berfikir panjang dan tidak menjadi malas.

Kita di Malaysia tidak sama dengan Eropah yang pernah saya mengunjungi. Setangah tahun ia adalah terlalu sejuk untuk berbuat apa-apa di luar. Mukabumi payah bercucuk tanam dan hanya akan hidup tanaman pada musim yang lebih panas. Taufan pun sering melanda disetengah-tengah kawasan tropika. Di Jepun misalnya terlalu kerap berlaku gempa dan taufan sehingga mereka belajar hidup dalam rumah kertas dan tanam padi di lereng bukit curam.

Kaum-kaum yang paling dinamis dan maju adalah kebetulan dua kaum Jerman dan Jepun yang turut juga cuba mengubah dunia menerusi peperangan tetapi gagal. Mereka cukup berkemampuan sehingga selepas kalah binasa teruk muncul kembali sebagai gergasi ekonomi dunia.

Kita di Malaysia cukup malas. Sering tiru kedua gergasi ini dalam semua perkara. Namakan satu perkara dalam Malaysia yang tidak ditiru dari mereka. Apabila saya menjelajah ke Eropah beberapa bulan yang lepas saya sedar yang banyak perkara sudah berada di sana dekat sepuloh tahun sebelum ia diamalkan disini. Contohnya, sistem transit massa, tali pinggang penumpang belakang, kitar semula dan tiket atas talian. Ada lagi yang masih belum diamalkan iaitu kipas angin raksaksa untuk menangkap kuasa angin untuk ditukar menjadi tenaga letrik secara teknologi hijau. Baru-baru ini kita pula memperkenalkan bahagian teknologi hijau.

Kita tidak boleh pelupori innovasi. Kita perlu susah dulu. Kini hidup kita terlalu mewah, terlalu senang. Hutang sekeliling pinggang kerana ingin tunjuk-tunjuk kepada orang dan jiran. Hidup kiasu, dan makin kiasi - takut mati, atau sudah lupa yang satu hari kita akan meninggal dunia tanpa apa jua harta benda melainkan hisab dari Allah ta'ala. Nauzubillah dari hidup yang malas dan sia-sia.

Salam Aidil Fitri al-Mubarak!

Saya tidak kemana-mana kerana tiada kampung lagi. Marilah Kuang sekiranya ingin berbicara hati.

29 August, 2009

Anak Ikut Ayah


Zaman dulu-dulu, seseorang anak akan menjejaki dan mempelajari perusahaan atau kepakaran ayahnya sehingga satu hari mampu mengganti tempat ayahnya. Tidak kira samada ayahnya seorang ulama, tukang besi, nelayan, petani, pembuat roti, penulis atau pemimpin.

Anak bongsu saya, Mohamad Nasem Oon, masih 9 tahun umurnya dalam darjah empat sekolah kebangsaan Cina, nampaknya bercita-cita ingin mengikut jejak langkah saya menjelajah dunia tanpa pergi sekolah tetapi belajar sendiri untuk bebas dan berdikari sebagai seorang pengamal ICT.

Dengan bantuan satu perisian percuma dan sumber terbuka bernama Alice 2.0 dari Universiti Carnegie Mellon, dia dapat menggunakannya tanpa satu patah tunjuk-ajar dari saya. Alice 2.0 digunakan untuk mencipta wayang permainan dengan menggunakan perkakasan yang mirip kepada Java, iaitu bahasa perisian paling canggih dan amat payah untuk dipelajari.

Saya memberitahunya dan abangnya Naquib, 14 bahawa sekiranya dapat menguasai Java dalam masa 3 tahun, maka mereka tidak perlu pergi ke sekolah dan boleh hidup macam zaman Marco Polo, Ibnu Batutta atau I Tsing, maupun Nabi Muhammad, yang mengembara semasa masih mentah dan muda lagi.

Cara hidup sedemikian lebih fitrah, lebih membawa kepada mempelajari secara fitrah dari tangan ayah sendiri, dan lebih pakar lagi kerana kasih sayang ayah kepada anak lain dari kasih sayang chegu kepada murid. Mereka pasti memperolehi lebih banyak khazanah ilmu dari Allah dengan musafir, mengutip ilmu dari banyak tempat, bebas dari menjadi hamba manusia dan sistem dunia.

Malah mereka tidak akan sebosan seperti sekarang, asyik menghadap bilik darjah umpama penjara, lantas tercetus pelbagai penyakit kronik sosial-psikologi dan tekanan minda secara tidak seimbang, ekoran dari usaha asyik menghafal tanpa henti dan tanpa masa menghadam dan memahami ilmu secara semula jadi, dari dalam jiwa dan mendalami sedalam-dalamnya.

23 August, 2009

Soal Kiasu

Perkataan Kiasu bermaksud 'Takut Kalah' dalam bahasa Hokkien, iaitu bahasa bapa saya. Bahasa ibunda saya adalah Kantonis. Nak tahu dalam bahasa ibunda saya, 'Takut Kalah" berbunyi KhengSeh. Jelas bunyi Hokkien lebih mudah dari bunyi Kantonis. Padahal Kantonis lebih popular di Malaysia dan Singapura dan Hong Kong.

Kiasu ada makna positif. Ia mungkin terungkap semasa seorang Cina mencabar kawannya dalam bertarung, samada di meja perniagaan atau meja makan atau meja judi. 'Lu takut kalah kah? Letaklah lagi banyak. Apasal sikit-sikit? Lu Kiasu!' Ini satu sikap positif. Lainlah dengan orang Melayu. Bukanlah sahabat kita orang Melayu takut kalah atau takut bertarung lebih-lebih. Tetapi tidak ada kawannya yang mencabar. Harap faham maksud saya!

Sekarang kita lihat kepada mana biasanya perkataan Kiasu digunakan iaitu terhadap orang Singapura, tempat tumpah darah ibunda dan saya. Mengapa orang Cina malah lebih kepada Cina di Singapura sendiri yang memberitahu saya bahawa ada antara mereka yang kiasu? Hairan saya kerana orang Singapura sanggup kutuk orangnya sendiri. Mungkin kerana negerinya kecil kerana berada di atas satu pulau yang lebih kecil dari Kepulauan Batam yang betul-betul di bawahnya! Itulah perkataan yang terlintas dalam kepala kita apabila kita melihat Singapura menang kes pulau kecil atau lebih tepat lagi secebis batu menjadi haknya. Mudahlah kita sebut, 'kiasu betul. Batu kecil pun nak'.

Memang masyarakat Cina dalam menggunakan perkataan kiasu tidak lain tidak bukan lebih bermaksud mencabar supaya lebih menang dan lebih berjaya. Bukan lebih mengalah. Ini saya dapati dalam jiwa saya sendiri asyik ingin menang dan tidak suka kalah. Tetapi apabila saya lebih bergaul dengan masyarakat Melayu saya dapati jiwa Melayu ini amat berbeza. Mereka lebih lemah lembut malah lebih suka mengalah daripada bergaduh! Ini kepada saya lebih serasi dengan jiwa saya kini. Apakah saya sudah dimelayukan? Entahlah. Tetapi cara mengalah itu adalah baik terutama dalam permainan catur. Ia dinamakan gambit. Apabila lawan makan bidak kita yang ditawarkan, kita dapat mengenal kelemahannya disamping mendapat kedudukan lebih baik kerana memesong bidak penyerang ke tempat yang kita mahu.

Kesimpulannya, takut ke tidak kepada namanya kalah tidaklah penting. Yang penting menang tak di akhirat nanti.

Salam Ramadhan Al-Mubarak. Tak mungkin bulan puasa ini kita kiasu dengan Iblis yang memang terikat bulan ini. Alhamdulilah cukup suka hamba yang bulan mulia ini sudah bermula.

16 August, 2009

Papan Catur


Dulu semasa dalam tahun 1987 saya tertarik dengan catur sambil berkerja dalam syarikat Khalid Samad selepas kalah pilihanraya lawan Daim Zainuddin. Syarikat Khalid dapat kontrek menyelengara dan mencuci karat paip besi di semua pengkalan-pengkalan TUDM di luar bandar. Masa itu saya masih bujang dan selepas balik ke rumah tumpangan setiap petang saya mengisi masa dengan membaca buku catur dan mempraktikannya secara berseorangan. Selepas mendirikan rumah-tangga pada tahun 1989 saya telah meninggalkan buku mengenai catur dan fokus kepada bidang-bidang lain.

Baru-baru ini saya diperkenalkan kepada sebuah kelab kecil di Taman Tun Dr Ismail kepunyaan Sdr Irwan Neo yang mengajar pelajar-pelajar sekolah bermain catur. Saya jatuh minat balik kerana kini ada seorang yang serius mengenai strategi permainan catur yang saya boleh bertukar pendapat tanpa mengenal penat. Banyak perkara baru saya dengar darinya. Antaranya adalah menyedihkan kepada saya.

Menurutnya Malaysia tidak mempunyai seorang pun yang bertaraf Grandmaster. Indonesia ada dekat lima orang. Negara Cina ada beberapa puluh orang. Germany ada beratus. Russia ada beribu. Malaysia pula dapat dikalahkan oleh pasukan dari Singapura. Neo kata tidak lama dahulu seorang budak Singapura berumur 11 tahun yang dilatih oleh grandmaster impot dari Russia telah mengalahkan pemain handalan peringkat kebangsaan dari Malaysia.

Neo kata kerajaan ada peruntukan tersangat kecil untuk kegiatan bermain catur padahal ia adalah cukup baik untuk membina daya mental anak-anak kita supaya lebih pandai dalam ilmu matematik dan sains. Jika ada peruntukan ia akan pergi lebih kepada kocek tertentu dan tidak sampai kepada maksud sebenarnya seperti membawa masuk seorang grandmaster untuk melatih pemain tempatan.

Kelab tersebut tengah merancang membawa seorang grandmaster tetapi harganya adalah lima ribu ringgit sebulan dan perlu kontrek sekurang-kurangnya setahun lamanya sebelum pakar itu bersetuju terbang masuk.

Saya pun menelefon kawan saya di sini yang dari Kazakhstan dan beliau kebetulan datang dari keluarga pemain catur dan memberitahu kami ada seorang kawannya yang akan datang pada akhir tahun ini untuk belajar Inggeris dan kebetulan dia adalah seorang pakar yang bawah sedikit dari taraf grandmaster. Bolehlah saya bantunya selepas kelas Inggeris untuk percekapkan pertuturan Inggerisnya dan dia pula bantu kami di sini lebih cekap bermain catur.

Catur ini penting dalam hidup saya kerana ada beberapa konsep darinya yang saya sering terpakai dalam percaturan bisnes dan kerjaya. Contohnya menawarkan gambit dan melakukan 'positioning' untuk strategi jangka masa panjang.

Petang tadi kami di pejabat kelab tersebut berbincang lama strategi pula untuk menaikkan permainan catur tempatan. Antaranya saya akan cuba menulis skrip filem bertajuk 'Papan Catur' dan akan meminta M. Nasir sekiranya beliau berminat campur sekali. Baru-baru ini saya terjumpa M. Nasir dan nampaknya boleh berkawan. Bukanlah perkara baru seni ini bagi saya, kerana saya pernah menyumbang lapan episod sitcom Rumah Ayah yang dibintangi oleh Mustafa Kamal dan salah satu episodnya saya terlakun di dalamnya.

Harap-harap filem cadangan kami diterima dan disokong oleh semua sebagai usaha kutip derma serta sokongan untuk kegiatan minda menerusi catur dan juga sebagai tanda 1Malaysia yang baru - iaitu berteraskan kandungan minda dan bukan lisan semata-mata. Mana tahu boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Yasmin Ahmad.

26 June, 2009

Sebulan di Eropah


Musafir kali ketiga ini lebih kepada Eropah dimana saya dapat menjejak kaki ke bumi England dan Ireland buat pertama kalinya dalam hidup. (Kali pertama musafir adalah dalam awal 2000an di kepulauan Indonesia selama 3 minggu. Kali kedua ke Afrika Selatan setahun kemudian itu. Kini juga lebih 3 minggu sejak 5hb Jun sehingga hari ini kembali ke Potsdam, pekan yang mempunyai komuniti muslim Jerman yang asli (masuk Islam secara tersendiri). Saya mengambil peluang menghadiahkan kain pelekat bagi kaum lelaki di sana dan kain selendang bagi kaum muslimah mereka.

Semasa di Berlin, saya menghadiri konferensi projek ADempiere yang kedua dan memutuskan untuk lebih bersatu mengujudkan satu installer berasaskan pentas Windows yang amat mudah digunakan supaya makin mencabar gergasi ERP iaitu SAP. Kerajaan Malaysia juga telah memberi perhatian yang lebih intim kepada perkembangan ini dan saya akan memohon sejumlah wang dari MDec supaya menjayakan projek ini sebagai projek buatan Malaysia yang bekal mengejutkan dunia perisian perniagaan. Berita mengenai diri saya juga turut disiarkan dalam akhbar The Star baru-baru ini.

Baru juga mendapat berita mengenai kematian Michael Jackson. Menurut jemaah muslim Jerman di Potsdam ini, mereka mengenalnya sebagai memeluk Islam tahun lepas dengan mengikuti jejak langkah seorang lagi saudaranya yang telah memeluk Islam sebelum itu. Wallahu-aklam sekiranya benar, semoga Allah mengampuni dosanya dan meredhai arwah Mikail (nama yang dipilihnya depan seorang Imam semasa itu).

23 April, 2009

Pelawat dari Jerman


MSC Development Corporation atau MDec dan Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit atau MAMPU, telah memasukkan projek ADempiere sebagai salah satu projek Sumber Terbuka (Open Source) untuk membentangkan topik pada Open Source Conference  2009 yang akan diadakan pada Mei 31 sehingga Jun 3, di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Mereka telah sudi menjemput rakan saya dari Jerman, iaitu Kai Schaeffer untuk berucap mengenai potensi projek ini di negara Jerman yang berdepan dengan gergasi perisian yang sama sektor dengan projek kita iaitu SAP.  Saya turut akan berucap mengenai trend dan beberapa potensi besar dari projek antarabangsa kita.

Terdapat satu hari Hackathon pada Mei 31, iaitu belajar secara percuma dan menguji bakat memasang sistem dimana hadiah kursus pendek percuma ditawarkan oleh Asia e-University. Pada Jun 1 sehingga 3, kemasukan adalah secara berbayar tetapi bagi pelajar adalah harga rendah.

Kursus saya di Asia e-University juga sudah siap 2 modul dan mereka dijadikan siri buku. Satu versi Inggeris sedang disunting oleh Pearson, dan satu lagi versi Bahasa oleh Dewan Bahasa & Pustaka.

Alhamdulilah saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan dan Dekan ICT, universiti tersebut (Dr. Nurhizam Safie) kerana atas visinya, serta dorongan tanpa henti, dan semangat yang lebih tinggi dari saya yang akhirnya berjaya juga mengeluarkan buku-buku yang saya sebagai penulisnya. Selama ini saya bercita-cita menjadi penulis buku, tetapi sejak 1985 hanya berangan-angan sahaja. Kali ini sudah menjadi kenyataan, saya berazam menulis makin banyak dalam subjek Sumber Terbuka ini.

Oh ya, saya akan menurut kawan saya dari Jerman itu kembali ke Berlin pada tanggal Jun 4 dan akan menjelajah sedikit sekitar Eropah sehingga June 25 kembali ke tanahair. 

16 April, 2009

Tidak Mampu Boikot Barat

Tadi tengahhari saya sedang menunggu dekat MacDonalds, Kota Kemuning, dan saya perhati ia penuh dengan pelanggan terutamanya orang seagama saya. Saya pun terlintas dalam otak, "Macamana nak boikot Barat dan jenama Barat?" Lagi ramai yang mengunjung dan memberi wang kepada syarikat gergasi barat yang ada kaitan dengan kuasa zionis yang mencengkam dunia umat sejagat terutamanya menindas saudara mara kita di Palestin.

Saya perhati cara kita berebut dan beriya membeli barangan dan membayar dengan harga lebih tinggi dari harga di kedai mamak atau melayu berdekatan seolah-olah jenama luar negara itu memukau kita dan lebih berkhasiat. 

Tidak kurang juga umat Islam yang masih membeli rokok dari jenama Barat padahal hukumnya adalah haram atau makruh oleh jumhur ulamak. Kepada siapa harus kita menyalahkan sekiranya kita sakit lebih kerap dari biasa? Siapa yang harus dipersalah sekiranya anak cucu kita masih miskin dan kuasa asing masih kayaraya?

Mengapa kita perkata apa yang kita tidak mampu buat?

31 March, 2009

Mahathir Mengancam Pembangkang

Sepertimana yang saya sering bangkit dalam blog-blog yang lepas, Dr. Mahathir ini mastermind banyak perkara - dari modenisasi negara kepada kekuatan dirinya, dan semestinya kepada kelemahan pembangkangnya.

Dengan ramalan saya bahawa dia akan kembali memimpin Umno dan negara kian lebih jelas. Dengan Dr. Mahathir muncul dikhalayak ramai sehingga tidak dibau oleh anaknya sendiri menunjukkan cara dia berfikir, dan cara dia bertindak. Dr. Mahathir masuk pada saat Muhyiddin berucap dengan sambutan gemuruh itu adalah bukti showmanship beliau. Jelas nampak siapa yang dia akan pimpin dan siapa yang berganding bahu nanti. Jelas juga sokongan padu dan semangat keahlian Umno kepadanya.

Dr. Mahathir ada rahsia disebalik nama. Kemasukannya boleh dengan tiba-tiba menambahkan 200 billion kepada tabung pemulihan Najib. Kini pembangkang betul-betul tergugat. Wang yang banyak itu boleh mencairkan balik keadaan ekonomi ala Mahathir dulu. Cuba ingat balik, bagaimana dalam perang dengan IMF yang mahakuat itu boleh dioffside dengan cara Mahathir mengerak menentang lawan dan arus lawan.

Sebahagian besar dari undi pembangkang dulu adalah dari pengundi berbangsa India dan Cina. Saya kurang pasti tentang India, tetapi bagi orang Cina ini lebih jelas. Mereka perlukan ekonomi berjalan, ramai orang ada wang untuk menjadi pengguna dan pembeli barangan dan perkhidmatan mereka. Mereka perlu ramai yang berkerja dan menyewa rumah sewa mereka. Banyak harta mereka tersadai dan terbeku ekoran kecutan dan kejutan ekonomi.

Dengan adanya Mahathir kembali kepada tampuk pemerintahan kerajaan secara belakang tabir pun akan amat merangsangkan analisa kepala otak orang Cina yang ekonomi akan lebih terbela dan terus maju. Bagi orang Cina, tiada pilihan - lu mau hidup ke mati?

Dengan itu, saya meramalkan kawasan pertandingan pilihanraya kecil di mana ada pengundi Cina yang ramai akan jatuh ke tangan BN kali ini. Sekurang-kurangnya kurang majoriti.

(tiba-tiba terbau sesuatu, lalu saya tambah di bawah ini. Keadaan Najib juga tergugat. Nampak tak? Ok, lain kali lain waktu kita bincang itu)

29 March, 2009

Apakah Kita Boleh Pandai Macam British?

Saya terbaca satu komen dari blog lain yang mengecam sistem kita sebagai terlalu teruk sehingga saya terasa bosan. Apakah kita ini sekiranya menggunakan Inggeris 100% akan jadi pandai macam orang putih? Saya baru balik dari India yang rata-rata boleh bertutor Ingggeris tetapi saya rasa kualiti Inggeris mereka masih rendah berbanding British. Orang di negara roti Chennai bercakap terlalu pantas sehingga adalah tidak guna untuk cuba mendengarnya. Mereka masih tidak faham sastera dan bunga Inggeris sebenarnya. Bahasa tidak boleh mengatasi budaya. Sekira anda budaya Cina, sampai bila pun lu budaya Cina - ada faham? Jangan sangka dengan petah berbahasa Inggeris maka Britishlah pemikiran anda.

Orang Asia rata-rata tidak boleh menjadi semacam orang Jerman. Teknologi mereka bukan kerana teknologi mereka tetapi kerana cara mereka berfikir. Cara itu tidaklah digambarkan dalam bahasa atau warna kulit mereka. Ia adalah fitrah semula jadi mereka. Orang Jepun pun cakap laju, dan selalu tunduk kepala tetapi dalam hati berfikir panjang-panjang. Memahami bahasa Jepun dengan arigato kuzaimas atau hajime semashteh tidak akan menyedarkan kita tentang pemikiran mereka yang tajam.

Kita mesti sedar siapa kita dan menyayangi rahsia kejadian kita. Ada hikmah di dalamnya dan hendaklah kita teroka sehingga tercungkil apakah kebaikan dan rahsia tersebut. Tidak berguna kita mencuba untuk memburungkakaktuakan orang lain yang jauh dari corak genetik kita.

Sampai bila agaknya kita akan menjadi penelan budaya asing dan sampai bila kita akan menelan burger MacDonalds.

27 March, 2009

Media Asing Menfitnah Najib

Dengan tiba-tiba, seolah dirancang oleh satu kuasa luar yang besar dengan teratur, banyak akhbar dan media asing dikatakan oleh Malaysia-Today.net sedang memainkan isu Najib dan Altantuya. Antara media tersebut ialah  Liberation (Perancis), The New York Times, International Herald Tribune, Times Online, The Times of India, The Australian, Kompas (Indonesia), The Nation dan NineMSN.

Soalnya banyak di sini. Pertama, siapa yang tuan punya di belakang media asing dan siapa dalang untuk memberikan teks berita yang adalah sama pada setiap pihak media itu? Jelas sekali tiada penyiasatan jurnalistik atau penambahan nilai berita yang dijalankan oleh mereka. Cuma copy-and-paste. Setiap media itu cetak cerita yang sama. Yang Najib adalah bersangkuat-paut dengan kes pembunuhan Altantuya secara langsung.

Ini menunjukkan kepada kerja satu sindiket yang sama. Soalnya apakah sindiket tersebut memihak kepada Malaysia? Dan sekiranya 'Ya', mengapa siarkan sekarang padahal kes ini sudah berlanjutan lebih setahun? Mengapa pada masa beberapa hari ini dimana Najib bakal menduduki kerusi PM?

Mesti ada dalang. Samada dari kem musuh dalam selimut yang tengah cari gunting dalam bantal atau musuh politik luar. Tetapi saya rasa besar kemungkinan dua-dua sedang berkerjasama. Agen dalam dan agen luar. Barulah namanya sindiket.

Dalang tersebut sekiranya orang muslim maka sudah melakukan dosa besar disisi Islam. Ini kerana dalam Islam kita tidak boleh menfitnah tanpa bukti atau prasangka. Syariat menuntut dikemukakan saksi. Dikatakan Raja Petra Kamarudin mempunyai bukti yang kukuh dan tidak akan mendedahkannya sehingga berpeluang pada ruang dan keadaan yang sesuai sekali.

Soalnya mengapa RPK tidak kemukakan kepada Yang diPertuan Agung dibawah satu tindakan istana kerana memang dia mengaku dia ahli keluarga kerabat diraja? Atau berikan bukti tersebut ke New York Times atau CNN atau Al-Jazeera supaya ia dijadikan bahan jurnalistik bersifat investigative dan scoop (satu pemberian bahan yang bernas dan bersumber)?

Dengan melaung "Saya tuduh wanita ini berzina!" dan tidak mengemukakan saksi yang nyata adalah dikutuk sekeras-kerasnya dalam Islam. Al-Quran meletakkan syarat sekiranya tidak dapat mengemukakan saksi, maka hendaklah melakukan sumpah mubalahah. Selepas itu, kita menyerah kepada Allah. Mengapa sedemikian? Inilah cara Islam menyelesaikan kes dan isu politik. Banyak masalah manusia kerana asyik berbalah tanpa henti. Tidak kira Timur Tengah ke atau Umno-Pas ke. Islam ingin kita semua beriman dan berpegang kepada Hari Akhirat dengan itiqad dan yakin yang sempurna. Itu adalah syarat menjadi orang yang beriman menurut perenggan pertama dalam Suratul Balqarah.

Kita adalah terselamat dengan mengikuti syariat, walaupun tersilap dalam soal batin dan hakikat. Ini antara perkara yang ramai orang yang mengaku Islam tetapi sudah alpa dan jahil mengenai yang mana letaknya hakikat dan yang mana letaknya syariat. Ada nas dan hadits yang Rasulullah (s.a.w) sengaja melepaskan pesalah walaupun dari segi syariat jelas kerana ingin menanamkan 'menyerah kepada Allah dan Akhirat' sebagai penentu.

Kita hari-hari membaca 'Maliki Yaumiddin' dan ayat-ayat mengenainya adalah jelas seperti mafhumnya, 'mengapa anda menyatakan sesuatu yang anda tidak mengetahui (atau menjadi saksi)?'.

Dari segi syariat takrif kes ini adalah fitnah. Akhbar asing tidak muslim dan ingin sensasi dan tidak bertanggungjawab apa akan jadi kepada negara kita sekiranya huru-hara nanti. Di depan mata saya semasa Mei 13 sudah menyaksikan ramai rakyat tidak berdosa tetapi terbunuh hasil fitnah yang tidak bertanggungjawab.

Dalam link di atas kepada Malaysia-Today saya turut menjawab dan membidas sikap rakyat kita (berbangsa Cina) yang sendiri tidak ingin menyertai pasukan Polis tetapi lepas itu menuduh polis itu korup dan berat sebelah. Apakah dengan ramai anggota berbangsa Cina ia pasti tidak lagi korup? Tetapi sekurang-kurangnya tidaklah polis terperangkap sebagai menyebelahi satu kaum sahaja kerana mereka sering meminta rakyat Cina memohon menyertainya tetapi gagal dapat calun yang sesuai. Itu sebabnya saya sering sokong Mahathir kerana dia sekurang-kurangnya berkata, 
"Ini negara saya dan saya rakyatnya. Apakah tidak boleh saya bersuara sebagai seorang rakyat?". Ada yang tahu bersuara macam dia tidaklah kena tangkap ISA. Yang tidak tahu bersuara dengan sivil dan betul akan kena ISA. Saya sendiri pernah membuat banyak tindakan protes dan demonstrasi tetapi tidak pernah disabitkan kesalahan atau ISA. Polis melepaskan saya begitu sahaja kerana saya lakukan dengan tertib dan tatacara yang berasaskan kaedah Mahatma Gandhi iaitu protes tanpa kekerasan.

Mungkinkah saya ini agen mana-mana pihak sehingga tidak ditangkap? Fikir-fikirlah.

23 March, 2009

Najib Angkat Mahathir

Dalam kabinet Najib yang baru nanti saya menjangka PM baru kita akan melantik Dr. Mahathir samada sebagai Menteri Kanan atau Penasihat Kabinet. Besar kemungkinan bukan Menteri Kanan kerana Singapura sudah berbuat demikian dengan bekas PMnya iaitu Lee Kuan Yew.

Suara Dr. Mahathir (yang masih bertaraf tidak berparti selepas keluar dari Umno secara sukarela) masih keramat kepada negara apatah lagi Umno itu yang lebih parah selepas keputusan J/K Disiplin yang cukup mengelirukan. Sekiranya Najib tidak meletak Mahathir dalam kedudukan yang mempengaruhi keputusan kerajaan selepas ini, akan berlaku dua keadaan yang di luar kawalannya:

1) Mahathir tetap akan bersuara dan melepaskan kritikan yang seringkali berbentuk serangan politik yang pedih dan merugikan sesiapa yang diserangnya.

2) Pentadbiran kerajaan dan negara kian tercabar dengan pelbagai masalah besar seperti kemelesetan teruk ekonomi abad ini kian menjelang. Tokoh seperti Mahathir bukan sahaja memulangkan kepercayaan orang ramai kepada kerajaan, tetapi pasti beliau ada ide yang strategik untuk berdepan dengan segala cabaran tersebut.

Sekiranya andaian ini betul bermakna macamana keputusan pemilihan Ketua Pemuda nanti, Mukhriz turut akan dianggap sebagai pemenang. Khairy tidak akan mendapat tempat dalam kabinet yang dibayangi oleh Dr. Mahathir. Oleh kerana Dr. Mahathir sudah meletakkan prinsip bahawa anak sendiri tidak harus berpolitik, maka peranan Mukhriz turut akan bersifat minima. Sekurang-kurangnya selepas Mahathir meninggalkan kerusi pernasihat kerajaan.

(Percaturan ini sudah pun dianalisa panjang lebar dalam tulisan blog saya yang lepas-lepas bahawa Dr. Mahathir adalah pemimpin agung yang benar-benar pandai main catur politik dan akan kembali berkuasa, secara langsung maupun tidak langsung).

Dengan pengaruh Mahathir kembali ke dalam Umno dan kerajaan akan berlaku pembersihan etnik terhadap pengaruh Pak Lah dan mereka yang sebelum ini tidak memihak kepada Dr. Mahathir. Rombakan kabinet yang bakal dilakukan oleh Najib nanti adalah sebenarnya dari Dr. Mahathir. Akan ada banyak nama dan muka baru dan lebih muda. Ini semua baik kerana setaraf dengan umur Mukhriz nanti. Dengan kain baru yang putih juga adalah lebih mudah untuk memulakan usaha menawan hati dan minda rakyat sekali lagi.

21 March, 2009

Pemuda UMNO perlu reformasi

Sekarang semua mata pada pemilihan dalam Pemuda Umno yang akan menyaksikan pertaruhan 3 penjuru antara Mukhriz, Khairy dan Khir Toyo.

Khairy yang terlepas dari hukuman tetapi sebenarnya 'udah terkena' hukuman kerana dibacakan sebagai 'bersalah'. Walaumacamanapun, jika saya Khairy, saya akan lebih berani kerana baru terlepas dari duri samar yang tajam, lalu masih boleh teruskan malah lebih serius dalam pertarungan sengit minggu depan. Mengapa tidak? Sidang disiplin sudah habis slotnya. Ayuh, gosok habislah. Anda tidak ada apa lagi halangan teknikal. Offside pun masih boleh teruskan bola. Amaran itu apa? Untuk berhenti dari perbuatan apa? Rasuah? Jika tidak? Salahkan? Ah! Kan memang dah salah? Apa guna bacaan kedua. "Salah kali kedua, dan tidak sah bertanding!" Apakah ada peluang pengumuman itu berlaku.  Itu amaran untuk supaya berhati-hati sahaja. Jangan kena tangkap. Sembunyi lagi, pasang panjang-panjang lagi lu punya agen-agen perayu undi.

Itu sebabnya Tun Dr. Mahathir mengeluarkan pendapatnya bahawa peluang membersihkan Umno dari rasuah terlepas dan dengan lebih negatif lagi tanggapan umum bahawa Umno terlalu bergelumangan dalam budaya rasuah. Anaknya langsung tidak tersabit amalan rasuah tersebut. Alangkah baiknya imej. Tetapi tanpa wang, apakah perwakilan terdorong? Kita perlu wang untuk hidup, bukan hidup untuk wang.

Perwakilan amat perlu wang dalam keadaan kejatuhan ekonomi. Murkhriz tidak menawarkan wang. Mungkin beliau hanya boleh mengharapkan namanya yang berbin Mahathir, satu keramat yang Umno mengharapkan akan menyelamatkan Umno dari kehancuran yang kian ternampak alamatnya.

Kejatuhan Pak Lah adalah tercetus secara tidak langsung dari mulut Dr. M yang tidak henti-henti melepaskan kritikan terhadap segala taktik Pak Lah untuk mempertahankan diri. Semua gerak Pak Lah dibaca oleh Mahathir yang lebih handal dalam semua seni politik kerana dialah yang paling lama boleh bertahan iaitu selama 22 tahun sebelum itu. Pak Lah kini hanya melalui ulangtahun ke-6 sebagai PM. Dr. M boleh menyara 4 timbalan PM. Pak Lah hanya tunggu TPM tunggalnya mengambil alih.

Namun dalam segala silat politik yang berlaku Umno semakin parah. Krisis politik di Perak adalah yang paling mengancam kerana mahkamah tertinggi akhirnya pasti akan menyebelah kerajaan Pakatan Rakyat. Selagi DUN Perak tidak terbubar selagi Speaker DUN Sivakumar bermaharajalela dan akan mengalahkan semua jenis usaha membuang undi bagi pihak kerajaan minoriti BN.

Umno perlu reformasi dari dalam kerana dari luar memang tidak akan berlaku melainkan pada PRU13. Dr. Mahathir pun sudah sebut yang PRU13 akan menjadi yang terakhir bagi Umno dalam keadaan macam ini. Dr. M mengharapkan dengan terbuktinya kesalahan yang diadili secara bebas oleh J/K disiplin Umno sepatutnya Khairy tidak lagi berada dalam gelangan dan maka tinggal Mukhriz sahaja yang berdepan dengan Khir Toyo.

Dr. Mahathir seolah-olah tahu bahawa Khairy akan terus menggunakan politik sediaada untuk mengalahkan lawannya. Khairy bercita-cita tinggi sangat untuk jadi PM secepat mungkin. Maka usaha untuk menjadi Ketua Pemuda Umno mesti dirampasnya. Walaupun dengan cara jalan rasuah. Bukan hambo roiyak. Jeke diseplen roiyak.

Sekiranya dalam pertarungan budi lawan judi ini kelak selesai dengan kemenangan Mukhriz, saya amat berharap yang Mukrhiz ini tendang habis segala anasir jahat dalam Pemuda dan membersihkan sebersih-bersih tong ikan.

Jika Khairy menang juga, untuk berlaku adil, saya turut mengharapkan Khairy membersihkan tong ikan. Tetapi harapan itu nipis dan tipis.

16 March, 2009

Chennai

Baru balik dari Chennai (11hb malam ke 14 malam) dan masih belum segar sepenuhnya. Berada di sana kerana menjadi ahli panel dan pembentang di Open Source India. Berbeza Chennai dari 2001 semasa saya pertama kali melalui sana. Kini lebih moden tetapi tetap sama bising dengan hon tanpa hentinya.  

Sana cukup terlalu ramai orang dan nisbah pelajar perkomputeran tetap ramai. Namun ramai yang belum dengar tentang projek ADempiere yang utama dalam SourceForge dan perlu diterangkan dengan panjang lebar politik serta strateginya untuk mereka menjadi penyumbang dan penjenama tersendiri, bukan sekadar pengguna dan downloader semata-mata. 

Yang penting ialah antara penganjur adalah majalah LinuxForYou yang beredaran sebanyak 30 ribu naskah sebulan dan juga teredar di Malaysia. Ia adalah majallah pertama yang memuatkan perisian ADempiere sebaik sahaja projek kita tertubuh pada tahun 2006. Majalah tersebut bakal meyiarkan sesuatu mengenai projek ini dan ia boleh meletuskan lebih ramai peminat tempatan kerana sehingga kini tidak ada penyumbang dari dalam benua India. Luar India ada beberapa penyumbang.

Di India mereka itu kuat kerja tetapi kerana terlalu ramai orang menghadapi pelbagai cabaran kepimpinan dan perancangan. Hm.. agaknya nama roti canai datang dari nama bandar Chennai yang dahulunya British memberikan nama Madras.

09 March, 2009

Apa Islam Buat Untuk Saya?

Semasa saya beragama Kristian dahulu, sering saya diajar untuk menunjukkan bukti yang Jesus Christ itu ada impak (istilah BI) ke atas prilaku dan pemikiran saya. Contohnya jika saya asyik memikirkan kepentingan diri sendiri hendaklah berubah kepada kepentingan umum. Jika saya membuat keputusan dengan meletakkan diri itu atas tahta jiwa, hendaklah digantikan dengan Kristus itu di atas tahta jiwa saya.

Apabila saya memeluk Islam saya pun sering tertanya apa yang Islam buat untuk saya? Apakah saya tetap sama pemikiran seperti dulu atau makin besar impak kepada saya? Seharusnya dan semestinya perubahan lebih besar kerana kebenaran itu sudah sampai kepada saya dan kejahilan akan meninggalkan saya.

Hari ini saya bertanya kepada rakan-rakan saya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Falsafah hidup mana yang kita ingin anuti? Sekiranya jawapan saudara adalah bukan Barat, bukan Timur tetapi Islam, maka apa tindakan saudara ke arah itu? Apakah saudara mempelajari dan mendalami falsafah dan pemikiran Islam? Atau sekadar hanya cukup dengan prilaku ritual (istilah BI) yang diikuti turun-menurun entah ya atau tidak dipersetujui oleh Islam pada usulnya?

Islam mengajar kita supaya bertindak benar walaupun keseorangan. Ini kerana Allah Maha Saksi dan malaikat mencatat nawaitu, percakapan dan amalan kita. Dengan mengetahui hakikat ini akan mendatangkan perubahan segala-galanya ke atas kita. Akan malu kita terhadap pengetahuan dan kesedaran yang sedemikian.

Islam juga mengajar kita supaya jangan menunjuk-nunjuk kehebatan dan amalan diri sehingga diberitahu "janganlah tangan kiri anda mengetahui apa tangan kanan anda melakukan".  Itu sebabnya tidak elok untuk mengucap, "Saya lakukan ini demi Allah dan fisabilillah" kepada pihak yang tidak kena mengena, iaitu selain dari Allah SWT.

Islam juga mengajar kita menghormati orang lain walaupun kafir. Bukan dalam tangan kita jiwa mereka tetapi genggaman Allah yang Agung dalam Berkuasa PendirianNya (Al-Qayyum). Dialah yang menghijab sesiapa yang Dia kehendaki, bukan apa yang kita kehendaki. Sekiranya ingin mengikut kehendak kita, kita sahaja yang patut masuk syurga. Yang lain biar mampus masuk neraka.

Itu sebabnya Allah menjanjikan balasan seadil-adilnya bagi setiap dari kita, dengan kiraan sekecil biji sawi pun. Dengan itu cara yang paling baik bersedia untuk hakikat itu adalah dengan mendalami agama kita sendiri.

Semoga Allah memberi kita keampunan kesemuanya ke atas rakyat berbilang agama dan bangsa di sini.

Alhamdulillah wa Salam.

08 March, 2009

Tanpa Mengaku Gagal Inggeris

Dengan perhimpunan membantah aliran Bahasa Inggeris (BI) bagi mata-pelajaran Sains dan Matematik seolah-olah kita ini adalah semangat patriotisma. <-- Perkataan terpinjam dari BI selagi masih boleh.

Sebenarnya isu (lagi satu istilah pinjaman) bahasa ini tidak lain dan tidak bukan adalah kelemahan diri sendiri dalam menguasai satu bahasa induk dan asas dalam ekonomi global hari ini. Banyak negara maju di dunia dapat menguasai bahasa Inggeris atau bahasanya adalah antara bahasa utama dunia. Jerman, Perancis, Jepun dan Cina tidak perlu tahu bahasa Inggeris kerana bahasa mereka dipelajari dan diikuti. Bahan dalam bahasa mereka pun cukup banyak.

Bagi kita adalah berbeda dan berbeza. Kita tidak mampu mengadakan bahan yang mencukupi pun dalam subjek (dari istilah BI) tersebut. Ia adalah kelemahan dan kegagalan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kini bangsa kita tidak mahu mengaku ia adalah kelemahan sendiri. Cukup ramai pelajar kita tidak mampu berucap dengan yakin apatah lagi dengan BI. Kita tidak cukup guru-guru yang pandai BI pun. Kita cuba mengalirkan perhatian massa (dari BI) bahawa kita ingin mempertahankan kedaulatan bahasa sendiri. Bukannya sanggup menceritakan kelemahan yang asas ini sehingga ramai anggota  kabinet (BI) dan pemimpin kita seperti Mat Taib dan Abdul Hadi tidak mampu berBI. Tidaklah haram sekiranya tidak boleh. Tetapi adalah fardhu kifayah sekiranya boleh. Untuk mengharamkan BI lagi akan memudaratkan peluang fardhu.

Apakah dengan mempelajari bahasa asing kita akan lebih terlupa bahasa sendiri? Saban hari dan di setiap tempat saya kedengaran umat kita bertutur dengan tidak lain melainkan bahasa Melayu Riau dengan elok dan bangga. Cuma yang ketara adalah hampir tiada langsung yang mampu bertutur dalam bahasa asing, tidak kira Cina ke, Jerman ke atau sekurang-kurangnya Inggeris.

Bagaimana kita ingin bersaing dengan dunia ini? Jiran-jiran terdekat kita pun ramai yang dapat menguasai Inggeris. Singapura dan Filipina menggunakan Inggeris secara rasmi. Ramai di benua India dan Afrika pun sedemikian.

Saya rasa kempen kembali ke bahasa Melayu amat tidak kena tempatnya dan lebih mirip dengan dasar Tianamen zaman silam yang menutup pintu kepada dunia luar yang lebih luas dan maju sehingga Cina yang merupakan lebih awal beruniversiti boleh ketinggalan sehingga rakyat hidup ala mayat mangsa candu British. Sekiranya kita terus menggunakan lagi bahasa ibunda akan memburukkan lagi keadaan yang sudah terlalu ketara.

07 March, 2009

Unsur Syirik kalangan Melayu

Hari pertama saya memeluk Islam pada tanggal 12, 1980 TM juga merupakan hari pertama saya mula mempelajari Islam secara bebas dan sah. Saya diberitahu bahawa saya sudah menjadi satu kain putih seolah baru lahir. Segala ilmu dan pengetahuan saya sebelum itu hendaklah dicuci semula sekiranya kotor.

Fahaman seperti bahawa manusia itu hatta Anbiya wa Mursalin itu berkuasa, malah tiada kuasa secebis pun apa jua makhluk dalam alam luas ini yang semuanya dijadikan oleh Allah SWT. Hakikat ini merupakan cahaya murni dalam sanubari saya yang baru saya tersedar sudah ada selama ini pada saat kejadian saya olehNya.

Dengan kehendakNya yang Maha terpuji saya dilahirkan sebagai seorang hambaNya yang berkulit bangsa Cina Hokkien dan dengan lidah bahasa ibunda Kantonis dan ayahanda Hokkien. Kemudiannya saya disekolahkan dalam aliran Inggeris, satu lagi lidah yang termasyur dan terumum dari Ayat tanda kebesaran Allah SWT.

Maka dengan melalui kehidupan pada zaman ini Allah pernampakkan kepada hamba dia ni jalan yang lurus dimana yang terkeluar darinya ialah perkara bendanya iaitu yang pertama, fahaman, percakapan dan prilaku syirik. Itu yang paling tidak dimaafkan. Zina dan bunuh boleh dimaafkan. Syirik tidak sekali-kali.

Namun saya mula memeriksa apakah perkara yang boleh mengeluarkan seseorang itu dari Islam dan kedalam syirik dan saya terkejut dan insaf serta sedih bahawa banyak dari amalan dan percakapan kaum seagama saya iaitu umat Melayu yang memang sedemikian. Bukan sahaja dari segi kepercayaan kepada bomoh, tangkal, kuasa manusia, tangan manusia memberi rezeki tetapi juga dari segi cara kita bercakap dan berdoa - terputus dari menyembah Allah dan tidak lagi mengagungkanNya. Samada halus atau tidak ia tetap kasar dan jelas. Apabila kita mengatakan bahawa Allah itu jauh dan 'tidak ada rezeki'. Begitu juga apabila kita berkata, "nanti syoru miss", kita sebenarnya menjatuhkan martabat kekhalifahan yang Allah SWT memberi kepada kita dan mengelurkan diri dari perlindungan yang Islam telah meletakkan kita di dalamnya.

Fahaman anismistik peninggalan dari seni kuno sebelum Parameswara masuk Islam masih terbawa-bawa dan dengan pegangan taklik buta dan jahil kita masih tidak mahu meninggalkannya.

Adat menyembah raja dengan panggilan yang menyamai cara kita memanggil Allah adalah sesuatu yang cukup menakutkan saya kerana terdapat undang-undang negara yang melarang kita menghina raja dan boleh dijatuhkan hukuman Akta Hasutan. Padahal kita di sini hanya ingin menyatakan yang benar tanpa mendekati istana. Itu sebabnya saya tertarik dengan banyak tulisan Imam-imam muktabar sebelum ini yang antara lain (Imam Muhammad al-Ghazali) yang melarang ulama mendekati istana. Menerima pinggat apatah lagi.

Ini sudah akhir zaman. Ada hadis yang menasihati duduk lagi jauh dari bandar lagi baik. Hatta sampai dalam hutan rimba dan makan kulit kayu pokok lebih baik dari hidup mewah dengan gelaran padahal hina disisi Allah SWT.

KepadaNya saya merayu dan saya bersedia kembali. Itulah sebaik-baik akhir - husnul-khatimah.  Apa jua yang Dia kurniakan kepada hamba ini yang adalah cukup mewah dan agung sehingga tidak terlayak rasanya.

Dengan perkembangan politik tanah air mutakhir ini saya bimbang Melayu akan hilang selama-lamanya. Ada Melayu yang sudah lupa diri dan berlaku zalim. Tidak kira dari fahaman politik atau mazhab manapun. Kerana secebis tanah dan secebis habuan sanggup jual kawan dan perjuangan. Mempergunakan nama kebaikan, anti rasuah, istana dan raja untuk melakukan segala kezaliman dan ketidak-adilan. Dengan Allah kita semua berlindung dari semua ini. Bagi mereka adalah akhir yang tidak baik langsung. Bukan hambo roiyak, tetapi Tuheh roiyak.

02 March, 2009

Ceramah di Seremban mengenai Iblis

Sabtu lepas saya berada di Bangunan Mara, Seremban untuk menggendalikan satu kursus 'Negotiation Skills' bagi usahawan tempatan. Saya ingin berkongsi beberapa persoalan menarik dari kursus tersebut. Hari ini saya ingin bicarakan satu topik. Lain hari saya akan bersambung topik lain dari kursus tersebut.

Saya ada menanyakan kepada perserta kursus, siapa yang lebih berkuasa - Syaitan atau Manusia. Yang mengejutkan saya ialah ada yang menyangkakan Syaitan lebih berkuasa. Saya pun mengingatkan hadirin kursus kembali kepada nas yang sahih mengenai Syaitan. Saya pun tanya mereka,
"Siapa yang jadikan Syaitan?" Mereka pun dapat jawab dengan betul, iaitu 'Allah!".
"Siapa yang lebih berkuasa?" Sekali lagi jawapannya tegas "Allah Yang Maha Berkuasa!".
"Apakah Syaitan lebih berkuasa dari manusia?" Di sini agak samar-samar jawapan mereka.

Saya pun ingatkan kembali kepada sejarah kejadian jinn, iblis syaitan dan manusia itu sendiri. Sesungguhnya Allah lebih awal mencipta makluk malaikat dan jinn halus ini, tetapi kemudiannya mencipta pula Adam dan manusia kita ini sebagai satu jenis Khalifah yang diletak paling tinggi, malah lebih tinggi dari jinn dan malaikat.

Buktinya ialah Allah menyuruh malaikat dan jinn supaya sujud kepada Nabi Adam a.s. Pada mulanya mereka enggan kerana dengan pengetahuan mereka yang sudah luas mereka tahu bahawa keturunan Adam ini akan membawa kerosakan ke atas muka bumi dan melupakan Allah. Padahal makhluk halus ini tidak. Allah pun menjawab kembali, "Aku tahu apa yang kamu tidak mengetahui".

Dengan mengajar Adam mengenai nama-nama sekalian alam, jinn malaikat pun tidak tahu, akhirnya mereka sujud melainkan Iblis. Namun begitu Iblis itu tidak pula berkuasa dan terpaksa meminta izin dari Allah untuk menyesatkan manusia. Dan Allah pula tidak benarkan melainkan dengan syarat. Saya pun suruh peserta periksa balik Al-Quran nanti bila balik dari kursus kerana saya sendiri pun kurang pasti apa syarat itu. Tetapi saya pasti ialah memang ada syarat dan pada asasnya Allah yang berkuasa dan menentukan segalanya. Pastinya bukan Iblis secebis pun.

Dengan itu, kemudiannya Iblis itu ingin menyesatkan manusia tidak dapat membuat demikian kerana memang ia tidak berkuasa atas manusia dan ia lebih rendah dari manusia. Iblis hanya boleh berbisik sahaja, dan terpulang pada manusia itu untuk mempercayai bahawa Iblis itu lebih berkuasa dan mampu menolongnya.

Nasihat saya kepada peserta ialah Iblis ini main psikologi sahaja. Ia akan samada cuba menarik nafsu kita atau menakutkan kita. Jika kita tidak berganjak ia tidak boleh berbuat apa-apa. Tetapi ada nasihat Allah tentang lawan godaan Iblis yang cukup licik.  Saya pun bertanya kat peserta apakah ayat Allah untuk menghalau Iblis. 

Ayatul Kursi itu siapa yang bagi tahu? Iblis juga! Mengapa Iblis tidak terbakar dengan menyebut ayat tersebut? Saya pun beritahu rahsianya ialah bahawa bukan Ayat yang berkuasa, tetapi manusia yang membaca itulah yang berkuasa. Maknanya ada rahsia dalam anak Adam ini yang Allah sudah letakkan. Ayatul Kursi ini tidak ada apa-apa melainkan makna di dalamnya. Sila baca dan faham maksud ayat tersebut.

Rahsia lawan Iblis ialah berpaling darinya, jangan layan atau pedulinya, dan hanya mengambil perlindungan dengan Allah semata-mata kerana Dia lah yang sebenar-benarnya Maha Berkuasa dan tidak ada yang boleh atau ada kuasa selain dariNya. Jangan cuba lawan apa yang tidak ada kuasa. Itu adalah terkena tipu helah Iblis syaitan dan secara tidak langsung memberi pengiktirafan yang tidak layak baginya.

Kembalilah kepada menyedari bahawa anda adalah khalifah dan adalah berkuasa dengan kuasa Allah yang menghendaki anda memiliki Amanah Nya.

Walahu Aklam

- catatan peringatan topik seterusnya:
1. Macamana kita tahu yang mana satu syaitan?
2. Salahguna perkataan 'InsyaAllah'
3. Salahguna menyatakan niat ikhlas

20 February, 2009

Kelarisan Seks

Mengapa soal seks menjadi perkara paling laris dalam alam ini? Pepatah Inggeris kata "Sex Sells". Dalam iklan tarikan seksual digunakan. Jika untuk menarik lelaki, gambar wajah perempuan dengan gaya yang ada pesanan tersirat secara seksual digunakan. Jika iklan itu ada muka saya atau projek saya, ia tidak akan laku.

Untuk menarik wanita, juga ada soal romantis digunakan. Mesej kepada wanita ialah, "Anda menarik kepada lelaki. Anda seksi". Sehingga wanita dalam Islam pun akan gunakan aurat lain seperti suara dan gaya atau fesyen untuk menarik lelaki. Hatta yang memakai jilbab pun masih menunjukkan sepasang mata yang kepada saya lebih merbahaya dalam keadaan tertentu. Ada sebuah hadis menyatakan bahawa mata wanita itu adalah anak panah dari neraka. Tak dengar pula sedemikian sama mengenai bahagian tubuh lain.

Dalam kes Eli Wong baru-baru ini, soal beliau berada dalam keadaan bogel menjadi isu sehingga mengemparkan dan mampu mengugat sebuah kerajaan negeri sekiranya parti komponennya bergaduh tentang soal garisan moral dan prinsip yang berbeda dan berbeza.

Seperti yang saya tulis sebelum ini soal seks adalah soal fitrah dan ciptaan Allah yang tiada apa makna misteri atau menarik selebih itu. Seks adalah satu keperluan fitrah manusia. Bogel adalah keadaan fitrah kejadian manusia. Syaitan sahaja yang sibuk menggunakannya kerana kita jua masih jahil tentang naluri seks manusia yang fitrah.

Dalam fitrah manusia, hendaklah apabila sampai akil baligh dikahwinkan pasangan lelaki dan perempuan. Jika tidak akan berlaku gejala sosial dan penyelewengan seks. Dulu-dulu orang kahwin semuda umur 9 pun ada dalam kes Siti Aishah (RA) kepada Nabi Muhammad (SAW). Lelaki pula apabila 15. Pernah semasa saya di Semabok Melaka, seorang kawan lelaki sekolah berikan kami kad kahwin dimana dia hanya berumur 18. Saya berkahwin pula semasa umur 28. Rugi, rugi. Apa nak buat.. calon tinggi sikit tak jumpa.

Hari ini orang sampai umur 37 pun belum kahwin. Tak sihat dan tak baik. Jika payah cari jodoh lelaki umur 37 ke atas yang sesuai ada suami 45 ke atas yang sesuai. Islam benarkan asal berkahwin dan diberi penghormatan dan perlindungan  zahir wa bathin, dunia wa akhirat.

Wallahuaklam!

07 February, 2009

Kelas Inggeris - Artikel XVI

Daripada tak faham sudah jadi faham pulak undang-undang. Tetapi perlulah ada sedikit ilmu bahasa inggeris. Perhatikan rangkap berikut: 

Perak State Constitution: Artikel XVI(6): “If the Mentri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council”.

Compare with the Federal Constitution:

Federal Constitution: Article 43 (4): “If the Prime Minister ceases to command the confidence of the majority of the members of the House of Representatives, then, unless at his request the Yang di-Pertuan Agong dissolves Parliament, the Prime Minister shall tender the resignation of the Cabinet.”

Ramai yang cuba menafsir benda yang sampingan iaitu satu menyebut Dewan Undangan dan satu lagi menyebut Ahli-ahli Dewan. Kedua-dua benda itu tidak menjurus kepada soalan yang saya menafsir secara berikut.

Menurut kedua-dua rangkap tersebut ada satu subject iaitu MB atau PM yang memegang teraju kerajaan. Ia menyebut "Apabila Mentri Besar..." atau "Apabila Perdana Menteri..". Dengan itu, tindakan atau kandungan artikel adalah merujuk kepada si-penama dan bukan Sultan atau YDPA. Ingat, MB not Sultan should act - MB yang disuruh bertindak.

Dalam artikel tersebut disebut keadaan, yakni sudah jelas apa keadaan itu, "gagal memperolehi kepercayaan majoriti Dewan/Ahli2 Dewan". Sepertimana saya sebutkan Dewan atau Ahli2 tidak timbul kerana mereka bukan subjek tetapi sebahagian dari keadaan. Pokoknya hilang kepercayaan majoriti.

Seterusnya artikel mengarahkan subjek yakni MB supaya melakukan dua perkara sahaja:

1) Bubarkan Dewan (atas permintaan MB, Sultan membubarkan)

ATAU

2) Letak jawatan

Hanya perkara (1) yang menjadi isu. MB berkenaan telah menjalankan arahan artikel sebiji ayat tersebut. Yang menentukan pembubaran tidak disebut Sultan malah dengan jelas menyebut:

atas permintaan MB (at 'his' request), 

barulah Sultan membubarkan (the Sultan dissolves). Maka Sultan tidak ada kuasa eksekutif melainkan sebagai tindakan 'adat' - 'ceremonial'.

Tiada ayat terselit, tersurat, tersirat yang mengatakan "Sultan has the option, or can delay, or can withhold, or can differ, or can direct". Elek.

Sekian kelas bahasa inggeris bagi maksud memperjelaskan ini bagi tujuan penyaksian sesiapa yang berkenan.

Melayu Ingin Berhijrah

Semalam seorang kawan telefon saya melahirkan kesedihannya dengan apa yang berlaku kepada kerajaan yang sah di Perak lalu terus ingin berhijrah dari sini ke negara lain. Dia yang tahu tentang projek ADempiere say pun berkata, kini dia faham mengapa falsafah saya tentang tidak lagi bergantung kepada majikan dan sempadan tetapi bebas sepertimana Allah mengurniakan fitrah itu amat penting.

Ini lagi satu reaksi dari sahabat berbangsa Melayu bumipura yang saya tidak duga. Saya sangka suku-sakat saya sahaja yang tidak puas hati dan ingin berhijrah ke negara lain. Seperti 2 pakcik saya telah berhijrah ke Australia dalam tahun 1980a semasa krisis ekonomi waktu itu.

Allah memberi keluasan alam ini kepada insan supaya apabila merasakan kezaliman semasa supaya untuk keluar dari bumi yang dia pijak untuk memijak ke bumi lain. Yang saya hairan sikit ialah langit mana kawan itu akan junjung (mengingati pesanan Yin/Yan).

Saya telah mengatakan itulah penyelesaian juga bagi rakyat Palestin apabila keadaan menjadi terlalu teruk, apakah fahaman nasionalisma akan dianuti sehingga tiang lahat?

Di bumi dalam sejarah, umat kita pun pernah tidak menjunjung titah raja demi kebenaran. Dato Bendahara  yang diperintah Baginda Sultan Melaka pernah durhaka dengan perintah hukum bunuh Hang Tuah dan menyembunyikannya di bumi lain yang tidak diketahui. Jika tidak kerana tindakan memberontak Hang Jebat, sehingga kini kita tidak tahu Hang Tuah itu seorang pembesar yang disanjung raja. Mungkin hilang begitu sahaja dalam sejarah sebagai pendurhaka.

Dalam tahun krisis perlembagaan 1983 dan 1993, seluruh jentera media masa dan cerdik pandai Melayu menyerlah kesultanan lalu filem Hang Jebat dan apa-apa fakta yang membongkar kezaliman raja dulu dan kini dibongkarkan untuk tantapan khalayak ramai. Begitulah Melayu mudah lupa. Matlamat menghalalkan cara kita melayani budaya dan sejarah kita tanpa perhitungan yang saksama dan sebenar.

Dengan itu lebih afdal kembali kepada perhitungan Islam. Kita semua akan dikembalikan:
"Dan Kami telah menurunkan kepada engkau kitab yang benar, mengesahkan apa yang sebelumnya dan meletakkan pemelihara ke atasnya, maka hukumlah antara mereka dengan apa Allah turunkan, dan jangan sekali-kali ikut nafsu rendah (untuk berpaling) dari kebenaran yang sudah datang kepada engkau; untuk setiap dari engkau Kami meletakkan satu Hukum Perundangan dan satu kaedah, dan sekiranya Allah inginkan nescaya Dia akan menjadikan engkau (kesemuanya) satu kaum, tetapi supaya Dia dapat menguji dengan apa yang Dia berikan, maka usahalah dengan satu sama lain menggejar kepada amalan salih; kepada Allah adalah pemulangan engkau, untuk semua, supaya Dia akan memberitahu engkau apa yang engkau berbeza pendapat/pendirian. - Al-Maidah Ayat 48

06 February, 2009

Raja Yang Zalim

Sekali saya saya ingin mohon maaf kerana saya bukan berbangsa Melayu yang benar-benar memahami budaya Melayu. Dalam penulisan saya, pernah merujuk kepada banyak perkara dalam budaya orang Melayu yang saya anggap kurang sesuai dengan jiwa Islam saya, seperti asyik meminta maaf zahir batin waktu Aidil Fitri tetapi tidak mahu mengaku dia melakukan kesilapan terhadap saya terlebih dahulu.

Begitu juga dengan soal makhluk Allah yang diberi amanah sebagai raja. Yang saya tahu, gelaran itu dibenarkan oleh Islam dengan syarat yang amat ketat. Sehingga 3 jenis orang yang bakal menduduki neraka jahannam nanti adalah (1) Orang kaya yang kedekut (2) Ulama yang sombong (3) Raja yang zalim

Pernah saya berada di Pulau Bintan menghadiri satu majlis oleh Timbalan Gabenor Huzrin Hud masa itu pada tahun awal 2000an dimana beliau banyak berpantun enak dan memberitahu hadirin tentang cara menyembah Raja di Nusantara yang berbilang 120 lebih Sultan dan Raja kesemuanya.

Beliau bagi tahu kami dalam pantun jua, apabila Raja menjadi zalim, ada cara untuk membuangnya oleh pembesar istana. Satu cara ialah dengan memasukkan racun ke dalam makanannya. Kepada saya itu agak serius.

Kepada orang Cina, mereka cukup menyembah Maharaja dalam sejarah mereka. Itu sebab British dan Komunis membuang Maharaja Cina sebelum dapat mengkotak-katikkan rakyatnya. Tetapi sebab utama jatuhnya adalah Maharaja tersebut sudah terputus hubungan baik dengan rakyat kerana menduduki terlindung dalam kota larangan yang rakyat tidak boleh mendekatinya. Maka akhirnya rakyat Cina tidak dapat membangkit mempertahankannya.

Sistem berRaja amat bergantung kepada semangat dan sokongan rakyat jelata. Sekiranya rakyat membenci dan tidak lagi mendoakan raja, maka dia tidak mendapat berkat dunia apatah lagi akhirat.

Dalam solat berjemaah pun saya belajar yang salah satu ciri Imam adalah ia mesti popular dikalangan makmum. Pelik juga rukun itu tetapi saya rasa ada makna yang baik.

Dalam kes Negeri Perak baru-baru ini, sistem berlembagaan sepatutnya meletakkan hak kepada Dewan Negeri dengan lebih kuasa berbanding sistem Raja mutlak yakni kesultanan rata-rata di Malaysia sudah tidak lagi mutlak tetapi berpelembagaan di mana Raja adalah bersifat adat atau ceremonial dan tidak sebenarnya mempunyai kuasa langsung. Ini adalah sistem yang dikenalpasti tetapi hari ini semua itu disapu tepi.

Saya mengikuti banyak komentar dalam blog dan media alternatif. Ada yang menganggap tindakan BN itu sah kerana membalas cubaan DSAI sebelum ini untuk mendapat katak-katak dari BN sebelum ini termasuk dari Bota, Perak baru-baru ini.

Kepada saya, kadang-kala kaum kita ini gagal melihat pokok yang sebenar dan tertutup dengan daun yang kecil. DSAI tidak membelakangkan Raja maupun Dewan Rakyat malah mengemukakan usul undi tidak percaya untuk dibahaskan. Apabila digagalkan beliau tidak melakukan paksaan untuk apa-apa diluar dewan. Malah juga beliau didatangkan musibah yang besar seperti tuduhan sodomi (sekali lagi) yang amat menekan jiwa sesiapa yang kena sedemikian.

Kali ini saya amat simpati kepada MB Datuk Seri Ahmad Nizar yang sah. Walaupun saya ingin berjumpa beliau tidak lama dahulu, tetapi cukup sekadar nampak wajah tenangnya mempertahankan prinsip walaupun tidak dihormati oleh beberapa pegawai tinggi kerajaan yang tidak memahami perlembagaan. Amat sedikit makhluk pimpinan yang bertakwa dan tidak takut kepada makhluk di akhir zaman ini. Apa makna hidup sedemikian takut kepada yang bukan Hak dan akhirnya dimatikan Allah jua dan kemabli dalam keadaan hina.

Ini semua kerana perbuatan yang tidak mudah disebut melainkan dibalas dengan pepatah Melayu yang masyur pernah saya pelajari:

Raja yang adil, Raja yang di sembah; Raja yang zalim, raja yang disanggah.

30 January, 2009

Dapat Pengiktirafan dari Asia e-University

Alhamdulilah, projek antarabangsa yang saya pelupori, ADempiere yang sering mendapat kedudukan terulung di tangga no.1 termasuk hari ini, kini diiktiraf oleh sebuah universiti iaitu Asia e-Universiti yang baru tertubuh dianggotai oleh 30 buah negara di Asia.

Selama ini saya agak sedih kerana sebagai rakyat hasil pendidikan di Malaysia yang dapat mencapai projek yang terkemuka ini tidak diberi perhatian oleh mana-mana institusi tempatan berkaitan. Bukan kerana inginkan nama, kerana jika dah masyur di luar negara, tidaklah sangat ingin turut masyur dalam negara yang lebih terhad pula. Cuma merasa rugi kerana khazanah projek tersebut boleh dimanfaat oleh semua IKS terutamanya dari sektor pembuatan dan perdagangan antarabangsa.

Terutama dalam waktu sekarang yang seluruh dunia sedang mengalami kegawatan ekonomi serta ramai siswazah akan menganggur. Projek ERP tersebut mampu memberi kepada siswazah satu sistem yang sudah siap sedia untuk dipasang pada IKS dan mendapat keuntungan lumayan kepada siswazah lepasan nanti dari segi jangkamasa panjang. Ini kerana IKS nanti tidak perlu membayar royalti atau lesen tinggi kepada pembekal perisian ERP luar negara terutamanya SAP B1 yang merupakan hasil kerja syarikat Israel yang kita tengah ingin sangat memboikot.

Asia e-Universiti akan menawarkan kursus lanjutan Asian Executive Master in Open Source Software ERP yang dikeluarkan oleh saya sebanyak 10 modul dan akan mula pengajian secara atas talian pada bulan Mac ini. Modul pertamanya sedang dalam proses di sini: http://red1.org/aaa/WebEconomy.zip

Saya berharap kerajaan akan lebih prihatin dan memberi sokongan lebih jitu kepada Universiti berkenaan dengan menarik Kem. Sumber Manusia, MDec dan SIMIDEC untuk membiayai siswazah nanti supaya dapat mengikuti kursus master ini dan dibiayai terus untuk mengambil projek awal dari kalangan IKS terpilih sempena manfaat dari latihan praktikal nanti. Agensi kerajaan berkenaaan dikatakan ada banyak dana ke arah tujuan tersebut samada untuk membantu siswazah lepasan postgraduate atau IKS yang ingin sistem ERP yang canggih untuk menurunkan kos operasi mereka dan meningkatkan sistem sokongan ICT seperti yang mampu dilakukan oleh ERP projek ADempiere ini.

Projek ERP sedemikian bukan sahaja amat berguna bagi meningkatkan industri dan modal insan tempatan tetapi adalah merupakan satu jenama "Made In Malaysia" yang mahal harganya serta amat diidam-idamkan oleh semua lapisan selama ini. Kini terpaksa ditempatkan projek ini beralamat di Berlin, Jerman kerana sokongan dari Eropah terlalu baik berbanding Asia.

Sekiranya ada permintaan rasmi dari kerajaan, tentu sekali ia boleh dipertimbangkanoleh komuniti projek saya supaya memindahkan pusat tersebut ke Malaysia.

25 January, 2009

Anak Peserta Khidmat Negara

Anak sulong cukup suka dapat mengikuti Program Latihan Khidmat Negara di Kem Kuala Kangsar yang bermula pada bulan lepas, dan semalam dapat kembali bersama keluarga sempena Tahun Baru Cina. Dapatlah kami sekeluarga dengar cerita pengalamannya.

Dia jenis berjiwa ingin meneroka dan berkenalan dengan ramai kawan baru berjaya berkenalan dengan ramai peserta lain dari pelbagai negeri dan bangsa. Dapat juga kenalan yang bercakap dalam bahasa Mandarin.

Ameera turut cerita bagaimana dia ternangis sekejap apabila be
rsendirian pada minggu pertama terpisah buat pertama kalinya dalam sejarah hidup daripada keluarga sendiri. Dia yakin sudah tidak perlu menangis lagi selepas ini dan ingin sangat berjumpa kembali rakan-rakan barunya pada Rabu depan nanti.

Dalam ujian larian, dialah paling pantas dengan melalui 'Bleep Test' sebanyak 6.3, kerana memang dia Olaragawati SMK Bukit Rahman Putra bagi tahun 2008 lepas. Ini semua juga kerana latihan yang amat intensif sebelum ini sebagai perenang peringkat negeri di bawah jurulatih Cindy Ong, pemegang rekod renang yang mengalahkan Nurulhuda Abdullah.

24 January, 2009

Tahun Baru Cina 4707

Saya berbangsa Cina. Maka saya akan berjumpa dengan ibu saya. Ia merupakan hari bercampur emosi kerana seringkali saya sekeluarga sahaja yang mengunjungi ibu kerana adik-beradik lain tidak dapat berbuat demikian. 
Adik lelaki saya yang kedua berada di Manila, Filipina dan lebih menyambut tahun baru Cina dengan keluarga isterinya di Jakarta, Indonesia. Ia juga kehausan kewangan kerana dalam tahun 1990an hilang banyak duit di bursar saham yang menjadi medan judi kebanyakan orang Cina.

Adik perempuan pun sama kehilangan banyak duit di bursar saham. Namun dia bernasib baik sebagai seorang bekas pragawati, ada harta, tetapi hidup keseorangan, kehilangan 2 anak lelaki kepada keluarga lain dan sering bersedih. Ia juga marah dengan saya kerana tidak memberinya sokongan moral.

Saya tidak main saham kerana wang sentiasa cukup-cukup saja. Allah selamatkan saya dengan cara itu barangkali.

Adik bongsu saya bekas penghuni penjara, walaupun sudah keluar, tetapi lebih baik dia duduk dalam, bagi keselamatan dirinya. Itupun dia ada satu kes
tunggakan dan menunggu perbicaraan.

Maka hampir setiap tahun hanya saya anak sulong dan tunggal dapat mengunjungi ibu bagi makan malam sempena tahun baru Cina. Dahulunya adik-beradik saya pernah tertarik kepada Islam. Pernah adik perempuan saya mula memakai tudung apabila datang mengunjungi saya semasa dibangku sekolah lagi. Adik lelaki saya pernah tertanya tentang falsafah hidup saya apabila dia kedukaan kehilangan teman wanitanya seorang pramugari.

Tetapi ibu saya tidak suka dan menganggap sudah cukup seorang anaknya masuk agama orang Melayu. Dia tidak mahu kehilangan kecinaan kita dengan semua anaknya memeluk Islam.

Maka kini hanya seorang anak tunggalnya sahaja yang dapat menghiburkan hatinya pada malam Ahad ini.

Bagi masyarakat Cina, ia merupakan makna yang sudah berlangsung 4707 tahun mengikut takwim mereka. Boleh baca lanjut di sini.
 
- (gambar tanda pintu rumah Cina yang menunjukkan satu jenis ucapan 'AsSalamualaikum warahmat' tetapi tanpa nama Allah, cukup menarik dan bermakna)

21 January, 2009

Obama mengugat dominasi kaum

Obama sebagai satu ide baru dalam dunia politik kerana selama ini Amerika Syarikat bukan sahaja didominasi oleh golongan kulit putih, malah pernah membawa orang kulit hitam sebagai hamba abdi dengan layanan buruk sekali dalam sejarah perkembangan negara tersebut.

Kini sudah jelas golongan dominan pun boleh menerima seorang dari bangsa pendatang malah mempunyai akar umbi dari negara Afrika yang beragama Islam.

Apakah ide sedemikian boleh mengugat golongan dominan seperti yang berada di Malaysia? Apakah satu hari kuasa dominan Umno boleh diganti oleh golongan minoriti seperti dari DAP atau PAS yang mungkin berbangsa Cina Muslim untuk menjadi seorang Perdana Menterinya?

Memang didebatkan bahawa Barack Obama dipilih kerana kebolehan dirinya dan bukan kerana warna kulitnya. Tentu sekali bagi kita di Malaysia pun kita mahu sedemikiannya berlaku. Apakah seseorang yang benar-benar berkebolehan akan terpilih atau ia mestilah kerana politik wang atau pengaruh kronisma?

Barack bukanlah calon bebas dalam pertandingan Presiden AS, tetapi ahli Parti Demokrat yang dominan dalam sistem dwi-parti di sana. Di sini kita lihat bagaimana kuasa masih menjadi satu faktor penting. Yang dominan di Malaysia masih parti besar seperti Umno, PAS dan kini PKR. DAP masih merupakan parti bagi golongan penduduk bandaraya yang majoritinya berbangsa Cina.

Walau macamanapun perubahan pasti berlaku. Bukan dalam jangkahayat kita, mungkin semasa  zaman anak kita.

18 January, 2009

Jenayah Perang Barisan Nasional

Cuba bayangkan sekiranya benar-benar media perdana dan kerajaan berlaku adil dalam Pilihanraya samada besar atau kecil baru-baru ini di Kuala Terengganu yang Pakatan Rakyat mencapai kemenangan simbolis yang amat besar dengan menewaskan calon Barisan Nasional dengan majoriti dua ribu enam ratus lebih.

Tentu sekali majoriti tersebut mungkin mencecah sepuluh ribu majoriti. Dengan kerajaan menggunakan segala jentera dan kewangan serta sumber hak rakyat sepenuhnya ke arah memastikan kemenangan calon BN seorang, menampakkan ketidak-adilan dan ketidak-berkesanan langsung taktik selama ini.

Kerajaan harus sedar bahawa jenteranya adalah dibayar oleh jutaan rakyat menerusi cukai dan titik peluh mereka. Adalah menyalahi undang-undang dan perlembagaan sekiranya digunakan untuk memelihara satu pihak sahaja tanpa mengambil kira bahawa proses pilihanraya adalah proses rakyat sejagat.

Dalam demam dan perang demokrasi, jentera kerajaan sudah disalahgunakan. Maka ia sudah merupakan satu jenayah perang oleh pemerintah sementara iaitu Barisan Nasional. Mereka harus menjawab tuduhan ini. BN bukanlah tuhan maupun lembaga yang diletakkan disana oleh Allah. Mereka hanya berada disana kerana rintitan sejarah daripada penjajah British meletakkan mereka menerusi satu perancangan rapi sebelum merdeka dengan membuang semua pencabar utama mereka dari kalangan Melayu itu sendiri seperti API, KMM dan ramai lagi tokoh-tokoh hebat lain seperti Dr. Burhanudin Al-Helmy, Ahmad Boestaman, maupun Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh yang dilabelkan sebagai komunis. 

Untuk kerajaan membetulkan keadaan ianya boleh dilakukan dari sekarang sementara masa 3 tahun lagi masih ada. Sekiranya ia tidak dibetulkan akan menandakan parah bagi sistem demokrasi tulen dalam  negara kita dimana pelbagai spekulasi dan penyakit boleh berlaku.

Kerajaan hanyalah sebuah jentera rakyat sebenarnya dan bukanlah satu lembaga yang kejam dan jauh dari hati rakyat. Ia tidak boleh bersifat draconis dan monstrous atau sejuk dan hitam dimana rakyat perlu takut dan bimbang kepadanya.

Rakyat tidak harus takut kepada Kerajaan. Kerajaan harus takut kepada rakyat.

12 January, 2009

Konsep Arab Tidak Selamatkan Gaza

Dah lah terlalu sedih melihat wajah-wajah mangsa pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh tentera Israel, terdengar pula suara penduduk Gaza muncul di Al-Jazeera dengan rayuan, 
"Apa sudah jadi dengan dunia Arab? Di mana anda apabila kami di bunuh? Mana pergi janji mu?"

Masih yang tidak sedar bahawa pada Arab itu tidak ada secebis kuasa pun. Identiti Arab tidak boleh selamatkan mereka. Bukankah mereka itu beragama? Bukankah kitab sudah menyatakan,
"Apabila datang pertolongan dari Allah yang membuka.."? Atau, "Sesungguhnya 'nasrullah al karib' - pertolongan Allah itu amat hampir". Tetapi kepada siapa yang mereka memohon?

Mengapa mereka tidak melaungkan, "Di mana pertolongan Mu ya Allah?"? Nescaya semua umat Islam boleh bangkit dengan jawapan tersebut.

Sama juga dengan apa yang mata kasar kita lihat sebagai kekuatan Israel, yang pada hakikatnya tiada berkuasa, melainkan apa yang dikehendaki oleh Allah. Sepatutnya kalimah kita kepadanya juga sepertimana Al-Quran sudah ajarkan,
"(Katakan kepada mereka), 'Wahai Bani Israel, ingatkanlah nikmat yang Allah berikan kepada Mu yang engkau dustakan.."

Hendaklah sedar bahawa Bani Israel itu adalah atas Iradah atau Kehendak Allah. Ia diizin untuk melakukan kerosakan. Malah ditakdirkan sedemikian sepertimana yang lumrah diutarakan dalam Al-Quran, samada dari Al-Fatihah lagi, maupun surah terpanjang selepas itu yakni Surah Al-Baqara, Surah Bani Israel, dan banyak lagi surah-surah yang mengkisahkan tentang Bani Israel ini.

Apakah Bani ini boleh tiba-tiba bertukar sifat dan bertukar menjadi beriman? Hanyalah dengan kehendak Allah sekali lagi, tetapi Allah sudah berjanji dipelbagai tempat dalam Al-Quran tentang sikap dan sifat mereka.

Maka apa yang kita saksikan hari ini tidak lain dan tidak bukan jelmaan apa yang Allah sudah firmankan. Maka saya tidaklah hairan sedikit pun atas apa yang berlaku selama ini. Yang saya hairan adalah sikap Arab itu sendiri yang masih tidak sedar tentang penentuan Allah dan berhijrah dari sana kerana ada lagi satu potong nas yang lebih kurang,

"Mengapa engkau tidak berhijrah ke tempat lain? Bukankah bumi Kami luas?". Akan dihukum pula mereka yang gagal berbuat demikian dalam keadaan tertentu pada Hari Perbicaraan nanti.

Kalimah kita mesti kalimah Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Sempurna dalam PerancanganNya.

Allah sudah berjanji satu kemenangan, yang pasti hanya dariNya, yang akan membangkitkan satu kemenangan atau kesatuan pada Ummah. Ia hanya akan datang dengan umat manusia disedarkan dengan satu fenomina yang amat dasyat, yang mampu menyatu-padukan mereka. Gaza cuma antara rintitan kisah menuju hari yang dijanjikan itu.

".. dan akan kamu melihat manusia berduyun-duyun memasuki Dinullah dengan ramainya." - Surah An-Nasr.

08 January, 2009

Media Perdana Masih Tidak Menghormati Rakyat

Nampaknya media perdana seperti berita perdana jam 8 semua saluran lebih terbuka  sedikit dan sanggup memuatkan berita mengenai pembangkang terutama yang meliputi kempen pilihanraya kecil di Terengganu. Namun begitu saya masih terdengar skrip pembaca berita yang jelas diubah-suai untuk mengutuk satu pihak dan mengangkat satu pihak yang lain.

Rakyat penonton dan pendengar berita sudah matang dan amat terpelajar dan mampu berfikir. Bukan macam zaman Jepun atau British dahulu. Malah rakyat masa itu pun sudah pandai berfikir. Jika tidak, tak kan mereka tahu lawan British dan Jepun dan menuntut kemerdekaan?

Mengapa hari ini masih ada skrip ulasan berita yang cukup suka memperbodohkan proses pemikiran rakyat? Bukankah ini akan membosankan lagi pendengar dan mereka akan langsung tidak lagi bergantung kepada media perdana dan lebih suka mendapat maklumat dari media alternatif? 

Saya tahu media alternatif seperti blog itu tidak rasmi dan tidak bertanggungjawab kerana tiada pihak yang boleh disaman dan diambil tindakan seperti menarik permit siaran blognya.

Tetapi apabila media perdana yang sudah ada permit dan bertanggungjawab, perlulah juga bertanggungjawab menjaga 'kehormatan otak rakyat' dan tidak dicabulinya atau diperlekehkan dengan begitu sahaja. Ini sudah tahun 2009 bro..

Satu kajian peringkat dasar perlu diadakan oleh kerajaan untuk mempertingkatkan  bidang penyiaran kepada tahap yang setanding dengan BBC, London yang walaupun dipunyai oleh kerajaan tetapi amat bebas dalam menentukan hala tuju medianya sehingga banyak mendedahkan kelemahan kerajaan sendiri - secara langsung maupun secara tidak langsung (seperti menyiarkan siri HardTalk dan Doha Dialogs yang ada mengutuk kuasa-kuasa besar dan memberi peluang kepada umat Islam bersuara).

Rakyat makin bijak akan memerlukan bahan yang lebih intelektual. Yang tidak bijak pun akan tunduk malu kerana tidak faham berita secara terbuka. Janganlah kita bimbang. Kes amuk pun sudah tidak kedengaran. Zaman negatif memang tidak ada dan tidak harus dikhayali lagi.

03 January, 2009

Mengajar Mat Salleh Sembahyang

Satu hari pada tahun 1980an, semasa saya menjadi sukarelawan dakwah, saya ada mengajar seorang Mat Salleh baru masuk Islam untuk bersembahyang. Dia mengaku tidak pernah dan tidak tahu cara sembahyang dan saya terus ajaknya ikut sahaja apa saya buat dan janganlah ragu-ragu.

Apabila saya bertakbir, dia yang berdiri sejengkal ditepi kanan dan belakang saya pun berbuat demikian. Selepas membaca beberapa ayat, saya pun rasa gatal pada muka saya lalu mengangkat tangan untuk mengarunya. Sahabat dan pelajar baru saya tersebut pun melihat saya mengangkat tangan kanan saya lalu dia pun mengangkat tangan kanannya. Hampir sama cara dan tempat tangannya berada ke muka dengan apa yang saya tengah ingin buat.

Saya pun terberhenti tangan saya dan dia pun turut sama-sama berhenti. Saya cepat-cepat kembali ke tempat biasa. Dia pun berbuat demikian. Rupa-rupanya itu sahaja yang dia lakukan. Pandang sahaja apa yang saya lakukan dan ikut sahaja tanpa berfikir. Memanglah. Kan itu yang saya suruh dia buat.

Selepas sembahyang saya pun bagi tahu dia apa yang dia boleh ikut dan apa yang dia tidak patut ikut saya buat.

Jika tidak silap saya nama muslimnya Anuar dan dia seorang usahawan kecil yang masa itu dia dan isterinya sibuk perniagaan kecil membawa minyak pelincir motor. Dia semasa di Barat dahulu kerja sederhana tetapi kaya sehingga mempunyai motor besar dan motorbot sendiri. Semua itu dia jual dan berhijrah ke sini apabila berkenalan dengan isterinya orang kita di sini.

Kerana agak lama masa sudah berlalu semenjak mengenali dia, saya sudah terputus hubungan dan tidak tahu dimana dia berada sekarang atau bagaimana keadaannya menyesuaikan diri dengan cuaca dan budaya tempatan.