30 January, 2009

Dapat Pengiktirafan dari Asia e-University

Alhamdulilah, projek antarabangsa yang saya pelupori, ADempiere yang sering mendapat kedudukan terulung di tangga no.1 termasuk hari ini, kini diiktiraf oleh sebuah universiti iaitu Asia e-Universiti yang baru tertubuh dianggotai oleh 30 buah negara di Asia.

Selama ini saya agak sedih kerana sebagai rakyat hasil pendidikan di Malaysia yang dapat mencapai projek yang terkemuka ini tidak diberi perhatian oleh mana-mana institusi tempatan berkaitan. Bukan kerana inginkan nama, kerana jika dah masyur di luar negara, tidaklah sangat ingin turut masyur dalam negara yang lebih terhad pula. Cuma merasa rugi kerana khazanah projek tersebut boleh dimanfaat oleh semua IKS terutamanya dari sektor pembuatan dan perdagangan antarabangsa.

Terutama dalam waktu sekarang yang seluruh dunia sedang mengalami kegawatan ekonomi serta ramai siswazah akan menganggur. Projek ERP tersebut mampu memberi kepada siswazah satu sistem yang sudah siap sedia untuk dipasang pada IKS dan mendapat keuntungan lumayan kepada siswazah lepasan nanti dari segi jangkamasa panjang. Ini kerana IKS nanti tidak perlu membayar royalti atau lesen tinggi kepada pembekal perisian ERP luar negara terutamanya SAP B1 yang merupakan hasil kerja syarikat Israel yang kita tengah ingin sangat memboikot.

Asia e-Universiti akan menawarkan kursus lanjutan Asian Executive Master in Open Source Software ERP yang dikeluarkan oleh saya sebanyak 10 modul dan akan mula pengajian secara atas talian pada bulan Mac ini. Modul pertamanya sedang dalam proses di sini: http://red1.org/aaa/WebEconomy.zip

Saya berharap kerajaan akan lebih prihatin dan memberi sokongan lebih jitu kepada Universiti berkenaan dengan menarik Kem. Sumber Manusia, MDec dan SIMIDEC untuk membiayai siswazah nanti supaya dapat mengikuti kursus master ini dan dibiayai terus untuk mengambil projek awal dari kalangan IKS terpilih sempena manfaat dari latihan praktikal nanti. Agensi kerajaan berkenaaan dikatakan ada banyak dana ke arah tujuan tersebut samada untuk membantu siswazah lepasan postgraduate atau IKS yang ingin sistem ERP yang canggih untuk menurunkan kos operasi mereka dan meningkatkan sistem sokongan ICT seperti yang mampu dilakukan oleh ERP projek ADempiere ini.

Projek ERP sedemikian bukan sahaja amat berguna bagi meningkatkan industri dan modal insan tempatan tetapi adalah merupakan satu jenama "Made In Malaysia" yang mahal harganya serta amat diidam-idamkan oleh semua lapisan selama ini. Kini terpaksa ditempatkan projek ini beralamat di Berlin, Jerman kerana sokongan dari Eropah terlalu baik berbanding Asia.

Sekiranya ada permintaan rasmi dari kerajaan, tentu sekali ia boleh dipertimbangkanoleh komuniti projek saya supaya memindahkan pusat tersebut ke Malaysia.

25 January, 2009

Anak Peserta Khidmat Negara

Anak sulong cukup suka dapat mengikuti Program Latihan Khidmat Negara di Kem Kuala Kangsar yang bermula pada bulan lepas, dan semalam dapat kembali bersama keluarga sempena Tahun Baru Cina. Dapatlah kami sekeluarga dengar cerita pengalamannya.

Dia jenis berjiwa ingin meneroka dan berkenalan dengan ramai kawan baru berjaya berkenalan dengan ramai peserta lain dari pelbagai negeri dan bangsa. Dapat juga kenalan yang bercakap dalam bahasa Mandarin.

Ameera turut cerita bagaimana dia ternangis sekejap apabila be
rsendirian pada minggu pertama terpisah buat pertama kalinya dalam sejarah hidup daripada keluarga sendiri. Dia yakin sudah tidak perlu menangis lagi selepas ini dan ingin sangat berjumpa kembali rakan-rakan barunya pada Rabu depan nanti.

Dalam ujian larian, dialah paling pantas dengan melalui 'Bleep Test' sebanyak 6.3, kerana memang dia Olaragawati SMK Bukit Rahman Putra bagi tahun 2008 lepas. Ini semua juga kerana latihan yang amat intensif sebelum ini sebagai perenang peringkat negeri di bawah jurulatih Cindy Ong, pemegang rekod renang yang mengalahkan Nurulhuda Abdullah.

24 January, 2009

Tahun Baru Cina 4707

Saya berbangsa Cina. Maka saya akan berjumpa dengan ibu saya. Ia merupakan hari bercampur emosi kerana seringkali saya sekeluarga sahaja yang mengunjungi ibu kerana adik-beradik lain tidak dapat berbuat demikian. 
Adik lelaki saya yang kedua berada di Manila, Filipina dan lebih menyambut tahun baru Cina dengan keluarga isterinya di Jakarta, Indonesia. Ia juga kehausan kewangan kerana dalam tahun 1990an hilang banyak duit di bursar saham yang menjadi medan judi kebanyakan orang Cina.

Adik perempuan pun sama kehilangan banyak duit di bursar saham. Namun dia bernasib baik sebagai seorang bekas pragawati, ada harta, tetapi hidup keseorangan, kehilangan 2 anak lelaki kepada keluarga lain dan sering bersedih. Ia juga marah dengan saya kerana tidak memberinya sokongan moral.

Saya tidak main saham kerana wang sentiasa cukup-cukup saja. Allah selamatkan saya dengan cara itu barangkali.

Adik bongsu saya bekas penghuni penjara, walaupun sudah keluar, tetapi lebih baik dia duduk dalam, bagi keselamatan dirinya. Itupun dia ada satu kes
tunggakan dan menunggu perbicaraan.

Maka hampir setiap tahun hanya saya anak sulong dan tunggal dapat mengunjungi ibu bagi makan malam sempena tahun baru Cina. Dahulunya adik-beradik saya pernah tertarik kepada Islam. Pernah adik perempuan saya mula memakai tudung apabila datang mengunjungi saya semasa dibangku sekolah lagi. Adik lelaki saya pernah tertanya tentang falsafah hidup saya apabila dia kedukaan kehilangan teman wanitanya seorang pramugari.

Tetapi ibu saya tidak suka dan menganggap sudah cukup seorang anaknya masuk agama orang Melayu. Dia tidak mahu kehilangan kecinaan kita dengan semua anaknya memeluk Islam.

Maka kini hanya seorang anak tunggalnya sahaja yang dapat menghiburkan hatinya pada malam Ahad ini.

Bagi masyarakat Cina, ia merupakan makna yang sudah berlangsung 4707 tahun mengikut takwim mereka. Boleh baca lanjut di sini.
 
- (gambar tanda pintu rumah Cina yang menunjukkan satu jenis ucapan 'AsSalamualaikum warahmat' tetapi tanpa nama Allah, cukup menarik dan bermakna)

21 January, 2009

Obama mengugat dominasi kaum

Obama sebagai satu ide baru dalam dunia politik kerana selama ini Amerika Syarikat bukan sahaja didominasi oleh golongan kulit putih, malah pernah membawa orang kulit hitam sebagai hamba abdi dengan layanan buruk sekali dalam sejarah perkembangan negara tersebut.

Kini sudah jelas golongan dominan pun boleh menerima seorang dari bangsa pendatang malah mempunyai akar umbi dari negara Afrika yang beragama Islam.

Apakah ide sedemikian boleh mengugat golongan dominan seperti yang berada di Malaysia? Apakah satu hari kuasa dominan Umno boleh diganti oleh golongan minoriti seperti dari DAP atau PAS yang mungkin berbangsa Cina Muslim untuk menjadi seorang Perdana Menterinya?

Memang didebatkan bahawa Barack Obama dipilih kerana kebolehan dirinya dan bukan kerana warna kulitnya. Tentu sekali bagi kita di Malaysia pun kita mahu sedemikiannya berlaku. Apakah seseorang yang benar-benar berkebolehan akan terpilih atau ia mestilah kerana politik wang atau pengaruh kronisma?

Barack bukanlah calon bebas dalam pertandingan Presiden AS, tetapi ahli Parti Demokrat yang dominan dalam sistem dwi-parti di sana. Di sini kita lihat bagaimana kuasa masih menjadi satu faktor penting. Yang dominan di Malaysia masih parti besar seperti Umno, PAS dan kini PKR. DAP masih merupakan parti bagi golongan penduduk bandaraya yang majoritinya berbangsa Cina.

Walau macamanapun perubahan pasti berlaku. Bukan dalam jangkahayat kita, mungkin semasa  zaman anak kita.

18 January, 2009

Jenayah Perang Barisan Nasional

Cuba bayangkan sekiranya benar-benar media perdana dan kerajaan berlaku adil dalam Pilihanraya samada besar atau kecil baru-baru ini di Kuala Terengganu yang Pakatan Rakyat mencapai kemenangan simbolis yang amat besar dengan menewaskan calon Barisan Nasional dengan majoriti dua ribu enam ratus lebih.

Tentu sekali majoriti tersebut mungkin mencecah sepuluh ribu majoriti. Dengan kerajaan menggunakan segala jentera dan kewangan serta sumber hak rakyat sepenuhnya ke arah memastikan kemenangan calon BN seorang, menampakkan ketidak-adilan dan ketidak-berkesanan langsung taktik selama ini.

Kerajaan harus sedar bahawa jenteranya adalah dibayar oleh jutaan rakyat menerusi cukai dan titik peluh mereka. Adalah menyalahi undang-undang dan perlembagaan sekiranya digunakan untuk memelihara satu pihak sahaja tanpa mengambil kira bahawa proses pilihanraya adalah proses rakyat sejagat.

Dalam demam dan perang demokrasi, jentera kerajaan sudah disalahgunakan. Maka ia sudah merupakan satu jenayah perang oleh pemerintah sementara iaitu Barisan Nasional. Mereka harus menjawab tuduhan ini. BN bukanlah tuhan maupun lembaga yang diletakkan disana oleh Allah. Mereka hanya berada disana kerana rintitan sejarah daripada penjajah British meletakkan mereka menerusi satu perancangan rapi sebelum merdeka dengan membuang semua pencabar utama mereka dari kalangan Melayu itu sendiri seperti API, KMM dan ramai lagi tokoh-tokoh hebat lain seperti Dr. Burhanudin Al-Helmy, Ahmad Boestaman, maupun Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh yang dilabelkan sebagai komunis. 

Untuk kerajaan membetulkan keadaan ianya boleh dilakukan dari sekarang sementara masa 3 tahun lagi masih ada. Sekiranya ia tidak dibetulkan akan menandakan parah bagi sistem demokrasi tulen dalam  negara kita dimana pelbagai spekulasi dan penyakit boleh berlaku.

Kerajaan hanyalah sebuah jentera rakyat sebenarnya dan bukanlah satu lembaga yang kejam dan jauh dari hati rakyat. Ia tidak boleh bersifat draconis dan monstrous atau sejuk dan hitam dimana rakyat perlu takut dan bimbang kepadanya.

Rakyat tidak harus takut kepada Kerajaan. Kerajaan harus takut kepada rakyat.

12 January, 2009

Konsep Arab Tidak Selamatkan Gaza

Dah lah terlalu sedih melihat wajah-wajah mangsa pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh tentera Israel, terdengar pula suara penduduk Gaza muncul di Al-Jazeera dengan rayuan, 
"Apa sudah jadi dengan dunia Arab? Di mana anda apabila kami di bunuh? Mana pergi janji mu?"

Masih yang tidak sedar bahawa pada Arab itu tidak ada secebis kuasa pun. Identiti Arab tidak boleh selamatkan mereka. Bukankah mereka itu beragama? Bukankah kitab sudah menyatakan,
"Apabila datang pertolongan dari Allah yang membuka.."? Atau, "Sesungguhnya 'nasrullah al karib' - pertolongan Allah itu amat hampir". Tetapi kepada siapa yang mereka memohon?

Mengapa mereka tidak melaungkan, "Di mana pertolongan Mu ya Allah?"? Nescaya semua umat Islam boleh bangkit dengan jawapan tersebut.

Sama juga dengan apa yang mata kasar kita lihat sebagai kekuatan Israel, yang pada hakikatnya tiada berkuasa, melainkan apa yang dikehendaki oleh Allah. Sepatutnya kalimah kita kepadanya juga sepertimana Al-Quran sudah ajarkan,
"(Katakan kepada mereka), 'Wahai Bani Israel, ingatkanlah nikmat yang Allah berikan kepada Mu yang engkau dustakan.."

Hendaklah sedar bahawa Bani Israel itu adalah atas Iradah atau Kehendak Allah. Ia diizin untuk melakukan kerosakan. Malah ditakdirkan sedemikian sepertimana yang lumrah diutarakan dalam Al-Quran, samada dari Al-Fatihah lagi, maupun surah terpanjang selepas itu yakni Surah Al-Baqara, Surah Bani Israel, dan banyak lagi surah-surah yang mengkisahkan tentang Bani Israel ini.

Apakah Bani ini boleh tiba-tiba bertukar sifat dan bertukar menjadi beriman? Hanyalah dengan kehendak Allah sekali lagi, tetapi Allah sudah berjanji dipelbagai tempat dalam Al-Quran tentang sikap dan sifat mereka.

Maka apa yang kita saksikan hari ini tidak lain dan tidak bukan jelmaan apa yang Allah sudah firmankan. Maka saya tidaklah hairan sedikit pun atas apa yang berlaku selama ini. Yang saya hairan adalah sikap Arab itu sendiri yang masih tidak sedar tentang penentuan Allah dan berhijrah dari sana kerana ada lagi satu potong nas yang lebih kurang,

"Mengapa engkau tidak berhijrah ke tempat lain? Bukankah bumi Kami luas?". Akan dihukum pula mereka yang gagal berbuat demikian dalam keadaan tertentu pada Hari Perbicaraan nanti.

Kalimah kita mesti kalimah Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Sempurna dalam PerancanganNya.

Allah sudah berjanji satu kemenangan, yang pasti hanya dariNya, yang akan membangkitkan satu kemenangan atau kesatuan pada Ummah. Ia hanya akan datang dengan umat manusia disedarkan dengan satu fenomina yang amat dasyat, yang mampu menyatu-padukan mereka. Gaza cuma antara rintitan kisah menuju hari yang dijanjikan itu.

".. dan akan kamu melihat manusia berduyun-duyun memasuki Dinullah dengan ramainya." - Surah An-Nasr.

08 January, 2009

Media Perdana Masih Tidak Menghormati Rakyat

Nampaknya media perdana seperti berita perdana jam 8 semua saluran lebih terbuka  sedikit dan sanggup memuatkan berita mengenai pembangkang terutama yang meliputi kempen pilihanraya kecil di Terengganu. Namun begitu saya masih terdengar skrip pembaca berita yang jelas diubah-suai untuk mengutuk satu pihak dan mengangkat satu pihak yang lain.

Rakyat penonton dan pendengar berita sudah matang dan amat terpelajar dan mampu berfikir. Bukan macam zaman Jepun atau British dahulu. Malah rakyat masa itu pun sudah pandai berfikir. Jika tidak, tak kan mereka tahu lawan British dan Jepun dan menuntut kemerdekaan?

Mengapa hari ini masih ada skrip ulasan berita yang cukup suka memperbodohkan proses pemikiran rakyat? Bukankah ini akan membosankan lagi pendengar dan mereka akan langsung tidak lagi bergantung kepada media perdana dan lebih suka mendapat maklumat dari media alternatif? 

Saya tahu media alternatif seperti blog itu tidak rasmi dan tidak bertanggungjawab kerana tiada pihak yang boleh disaman dan diambil tindakan seperti menarik permit siaran blognya.

Tetapi apabila media perdana yang sudah ada permit dan bertanggungjawab, perlulah juga bertanggungjawab menjaga 'kehormatan otak rakyat' dan tidak dicabulinya atau diperlekehkan dengan begitu sahaja. Ini sudah tahun 2009 bro..

Satu kajian peringkat dasar perlu diadakan oleh kerajaan untuk mempertingkatkan  bidang penyiaran kepada tahap yang setanding dengan BBC, London yang walaupun dipunyai oleh kerajaan tetapi amat bebas dalam menentukan hala tuju medianya sehingga banyak mendedahkan kelemahan kerajaan sendiri - secara langsung maupun secara tidak langsung (seperti menyiarkan siri HardTalk dan Doha Dialogs yang ada mengutuk kuasa-kuasa besar dan memberi peluang kepada umat Islam bersuara).

Rakyat makin bijak akan memerlukan bahan yang lebih intelektual. Yang tidak bijak pun akan tunduk malu kerana tidak faham berita secara terbuka. Janganlah kita bimbang. Kes amuk pun sudah tidak kedengaran. Zaman negatif memang tidak ada dan tidak harus dikhayali lagi.

03 January, 2009

Mengajar Mat Salleh Sembahyang

Satu hari pada tahun 1980an, semasa saya menjadi sukarelawan dakwah, saya ada mengajar seorang Mat Salleh baru masuk Islam untuk bersembahyang. Dia mengaku tidak pernah dan tidak tahu cara sembahyang dan saya terus ajaknya ikut sahaja apa saya buat dan janganlah ragu-ragu.

Apabila saya bertakbir, dia yang berdiri sejengkal ditepi kanan dan belakang saya pun berbuat demikian. Selepas membaca beberapa ayat, saya pun rasa gatal pada muka saya lalu mengangkat tangan untuk mengarunya. Sahabat dan pelajar baru saya tersebut pun melihat saya mengangkat tangan kanan saya lalu dia pun mengangkat tangan kanannya. Hampir sama cara dan tempat tangannya berada ke muka dengan apa yang saya tengah ingin buat.

Saya pun terberhenti tangan saya dan dia pun turut sama-sama berhenti. Saya cepat-cepat kembali ke tempat biasa. Dia pun berbuat demikian. Rupa-rupanya itu sahaja yang dia lakukan. Pandang sahaja apa yang saya lakukan dan ikut sahaja tanpa berfikir. Memanglah. Kan itu yang saya suruh dia buat.

Selepas sembahyang saya pun bagi tahu dia apa yang dia boleh ikut dan apa yang dia tidak patut ikut saya buat.

Jika tidak silap saya nama muslimnya Anuar dan dia seorang usahawan kecil yang masa itu dia dan isterinya sibuk perniagaan kecil membawa minyak pelincir motor. Dia semasa di Barat dahulu kerja sederhana tetapi kaya sehingga mempunyai motor besar dan motorbot sendiri. Semua itu dia jual dan berhijrah ke sini apabila berkenalan dengan isterinya orang kita di sini.

Kerana agak lama masa sudah berlalu semenjak mengenali dia, saya sudah terputus hubungan dan tidak tahu dimana dia berada sekarang atau bagaimana keadaannya menyesuaikan diri dengan cuaca dan budaya tempatan.